Bab 3

Drama Series 13156

Fahri berhentikan keretanya di tepi jalan. Dia menurunkan cermin kereta dan memandang ke sebuah sekolah yang berada di seberang jalan. Ketika itu sesi persekolahan sedang berjalan. Kelihatan para pelajar sedang menjalani Pembelajaran dan Pengajaran di kelas masing-masing.

Sedang Fahri merenung kosong sekolah di hadapannya itu tiba-tiba seorang lelaki main terjah masuk ke dalam keretanya tanpa memberi salam. Fahri tidak terkejut langsung dengan kehadiran lelaki itu.

"Fuh! Panas betul hari ni. Berkicap aku dibuatnya," keluh Badrul sambil menguatkan penghawa dingin di dalam kereta. Tidak cukup dengan itu dia mengipas tubuhnya yang lencun berpeluh dengan sampul surat berwarna putih.

"Macam mana? Dapat tak?" soal Fahri tanpa selindung.

"Bro, kalau iya pun tak menyabar... bagilah aku ambil nafas dulu. At least bagi aku minum air kelapa sejuk sedap jugak panas-panas ni," kata Badrul sambil menunding jari ke gerai jual air kelapa di tepi jalan.

Tanpa banyak bicara Fahri terus keluar dari kereta dan menuju ke gerai air kelapa yang Badrul maksudkan.

"Beli sekali tempe goreng, bro!" jerit Badrul. Sempat lagi membuat pesanan.

Fahri hanya menunjukkan jari tengahnya kepada Badrul. Mengekek lelaki bertubuh besar itu dibuatnya. Tidak lama kemudian Fahri kembali ke kereta bersama beberapa bungkus plastik.

"Nah, cukup tak? Kalau tak cukup aku pergi order yang lain," sindirnya sambil menghulurkan bungkusan plastik itu kepada Badrul.

Badrul melihat isi di dalam beg plastik itu. Bukan setakat air kelapa dan tempe goreng turut ada sekali sukun goreng dan keropok lekor. Tersenyum lebar dia dibuatnya.

"Lebih daripada cukup ni, bro," balasnya sambil menghirup air kelapa sejuk dengan penuh nikmat.

"Perghhh! Sedapnya. Rasa macam berkelah pulak. Hmm, rangupnya tempe goreng ni. Sambal kicap pun menyengat. Tak Johor lah kalau tak cicah tempe goreng dengan sambal kicap. Engkau patut try tempe goreng pak cik tu. Memang sedap teruk. Kejap lagi habis waktu sekolah memang kerumun gerai tu dengan budak-budak sekolah."

Sempat lagi Badrul bercerita sambil mulutnya tidak henti mengunyah. Fahri melihat ulah rakannya itu dengan panas hati. Ikut hati mahu saja dia flying kick rakannya itu tetapi dia cuba untuk bersabar. Sabar itu separuh daripada iman.

"Oh, lupa pulak aku nak beri ni kat engkau," kata Badrul sambil menghulur sampul surat yang dipegangnya sedari tadi kepada Fahri.

"Baru nak bagi. Dari tadi aku tunggu... engkau pula bukan main sedap melantak."

"Jangan marah, brother. Hehehe."

Fahri hanya menggeleng kepala. Sudah faham sangat dengan loyar buruk rakannya itu. Tanpa membuang masa dia terus mengeluarkan isi dari sampul surat itu. Matanya terbeliak saat membaca maklumat yang tertera pada kertas putih itu.

"Apa? Kerani asrama? Engkau biar betul? Beb, aku minta at least jadi cikgu kat sekolah tu tapi kerani engkau bagi kat aku? Seriuslah?" rungut Fahri dengan rasa tidak puas hati.

"Okeylah tu jadi kerani. Itu saja kekosongan yang ada. Itupun nasib baik ada kosong. Kerani sebelum ni dah pindah ke negeri lain. Lagipun kan beb, kelayakan akademik engkau ni tak sesuai untuk jawatan guru" kata Badrul sambil tersengih.

"Tapi apasal kerani asrama? Aku cakap aku nak masuk ke dalam sekolah tu bukannya asrama!"

"Bro, engkau ingat senang ke nak masuk ke sekolah tu? Banyak tapisan, tahu! Lagipun... kelulusan engkau tu mana sesuai untuk jawatan guru. Paling-paling pun, engkau mesti ada ikhtisas. Itu apa yang bini aku cakaplah."

Fahri mendengus kasar. "Tapi ini kerani asrama..."

"Alah, beb. Tu kira baik bini aku dapat bodek ketua warden asrama. Kalau tidak memang tak dapatlah engkau nak masuk ke dalam tu," ujar Badrul lagi sambil memandang ke pagar sekolah tempat isterinya mengajar.

Fahri turut memandang ke sekolah itu. Sekolah Menengah Seri Bakti. Sebuah sekolah asrama yang terletak di dalam daerah Pontian. Sekolah Menengah Seri Bakti telah melahirkan ramai pelajar cemerlang dalam akademik mahupun kokurikulum. Sekolah itu antara sekolah yang terbaik di daerah Pontian.

"Kenapa engkau beriya sangat nak masuk ke sekolah tu?" soal Badrul tiba-tiba.

Fahri tidak membalas. Dia masih lagi merenung bangunan Sekolah Menengah Seri Bakti dengan rasa bungkam. Ada rahsia yang cuba dia bongkar di sebalik kemasyhuran nama baik sekolah itu.

"Sebab aku perlukan jawapan kepada persoalan yang membelenggu hidup aku selama 15 tahun ini," jawab Fahri dengan nada yang mendatar.

Badrul terkebil-kebil mata memandang wajah rakannya itu. Dia mengenali Fahri sewaktu mereka sama-sama belajar di kolej. Mereka mengambil jurusan yang sama. Apabila tamat pengajian, dia mendapat tawaran bekerja di pejabat pos manakala Fahri meneruskan kerjaya dalam bidang yang diceburi.

Walaupun sudah lama bersahabat masih banyak yang Badrul tidak tahu tentang Fahri. Rakannya itu seorang yang perahsia. Fahri hanya akan bercerita tentang dirinya bila perlu sahaja. Adakala, sukar untuk Badrul meneka apa yang sedang bermain dalam kepala rakannya itu.

"Aku tak tahu apa yang sebenarnya cuba engkau cari tapi kalau dengan cara ini boleh memberi jawapan kepada persoalan engkau itu... aku akan sentiasa beri sokongan kepada engkau," kata Badrul sambil menepuk lembut bahu Fahri.

Fahri tersenyum nipis. Dia rasa beruntung kerana mempunyai kawan seperti Badrul. Dia merenung dokumen di tangannya. Nampaknya dia tiada pilihan lain selain menerima jawatan yang diberi sekiranya dia mahu meneruskan rancangannya itu. Fahri melepaskan keluhan yang berat.

"Sebelum aku terlupa... engkau kena lapor diri," kata Badrul.

"Cepatnya?"

"Iya. Bini aku cakap pihak asrama sekarang ni tengah kekurangan staf sebab itulah dia minta engkau lapor diri secepat mungkin."

Sekali lagi Fahri mengeluh.

"Eh, waktu rehat aku dah nak habis ni. Beb, hantar aku balik ke pejabat pos," pinta Badrul.

"Okey!"

Sewaktu kereta Fahri hendak keluar dari simpamg tiba-tiba beberapa orang pelajar lelaki berlari melintasi hadapan keretanya tanpa tengok kiri kanan. Sikit lagi Fahri hampir terlanggar salah seorang daripada mereka. Mujur dia sempat menekan brek.

"Woi, nak mati sangat, ke? Kalau nak bunuh diri jangan kat depan kereta aku!" bentak Fahri sambil menekan hon berulang kali.

Hati yang sudah sedia panas semakin berasap apabila salah seorang pelajar lelaki itu menunding jari tengah kepadanya sebelum berlari menyertai rakan yang lain.

"Perghhh! Kurang ajar betul budak sekarang ni. Adab minta maaf langsung tak ada." Badrul membebel. Matanya tidak berkelip melihat kelibat pelajar-pelajar itu menghilang di balik bangunan kedai di situ.

"Hee... kalau aku jumpa lagi budak tu, siaplah!" marah Fahri lagi.

Dia yakin pelajar lelaki itu merupakan pelajar Sekolah Menengah Seri Bakti kerana dia melihat lencana yang tersemat pada kocek baju sekolah pelajar itu.

"Aku syak dia orang ponteng sekolah sebab sekarang belum habis waktu sekolah," kata Badrul lagi.

Fahri mengetap bibir kegeraman. Tiba-tiba sahaja semangat ingin menjadi warden asrama membuak-buak.

*****

"Berani betul engkau tunjuk jari tengah engkau kat brother tadi. Bukan main marah dia tekan hon," kata Fizi sambil tergelak.

"Aku peduli apa dia nak marah ke apa. Bukan jumpa pun lagi lepas ni," balas Izmer tanpa rasa bersalah.

Ketika itu dia dan tiga lagi rakannya sedang menunggu seseorang di bangunan terbiar tidak jauh dari sekolah mereka. Jam menunjukkan pukul 12.30 tengah hari tetapi bayang yang di nanti masih tidak kelihatan. Masing-masing mula kelihatan resah. Mereka mesti kembali ke sekolah sebelum pukul satu petang.

Tidak lama kemudian sebuah motorsikal yang ditunggang oleh lelaki memasuki kawasan bangunan terbiar itu. Izmer dan rakan yang lain segera mendapatkan dua lelaki itu.

"Kenapa lambat?" soal Izmer kepada lelaki itu.

"Ada roadblock tadi kat pekan," jawab lelaki itu sambil turun dari motorsikalnya.

"Habis tu ada tak 'barang' tu?" tanya Izmer lagi kepada lelaki itu.

"Mestilah ada, bro. Tapi harga naik sikitlah. Amacam?"

"Naik harga lagi?"

"Nak buat macam mana, bro. Harga sekarang makin naik campur duit minyak nak ke sini lagi. Engkau orang nak ke tak nak? Kalau tidak aku jual kat orang lain."

Izmer memandang rakan-rakannya untuk mendapatkan persetujuan. Masing-masing memberi isyarat yang mereka bersetuju untuk membeli 'barang' daripada lelaki itu memandangkan mereka sudah lama mengidamkan 'barang' tersebut. Setelah urusan jual beli selesai, lelaki itu menyerahkan satu bungkusan plastik berwarna hitam kepada Izmer.

"Kalau engkau orang nak lagi 'barang'tu jangan lupa roger aku macam biasa, okey!" kata lelaki itu sebelum beredar.

"Memang ini last aku berurusan dengan engkau. Cekik darah nak mampus!" gumam Izmer sendiri.

Kawan-kawan Izmer terus mengerumuninya untuk mendapatkan 'barang' masing-masing. Mereka menghidu 'barang' tersebut dengan penuh syahdu. Tanpa membuang masa semuanya menikmati 'barang' tersebut dengan penuh kenikmatan. Sampai ada yang terpejam-pejam mata dibuatnya.

"Perghhh! Sedap betul nasi kandar ni. Memang syurrr!" kata Fizi sambil menjilat jari.

"Lama giler kita tak makan nasi kandar ni. Nasi kandar Wak Karjo memang the best!" kata Zawawi pula sambil berlinangan air mata.

"Apasallah Wak Karjo tu tak nak buka cawangan baru kat pekan ni? Nak makan nasi kandar dia kena pergi jauh kat bandar. Kalau tidak, tak adalah kita sampai nak ponteng kelas add math semata-mata nak makan nasi kandar Wak Karjo." Syakir pula menyampuk.

Izmer tergelak besar melihat reaksi rakan-rakannya itu. Dia sendiri sudah lama kempunan hendak makan nasi kandar Wak Karjo. Duduk di asrama sedikit sebanyak menyekatnya untuk selalu keluar asrama. Bukannya setiap hari mereka dapat keluar asrama, ada waktu tertentu sekiranya hendak keluar outing.

"Lepas ni kita tak payah order dengan abang delivery tu lagi, lah. Dia cas mahal," kata Zawawi merujuk kepada lelaki yang menghantar makanan mereka sebentar tadi.

"Betul tu. Iz, lain kali kita cari rider lainlah," ujar Fizi kepada Izmer.

"Okey," balas Izmer pendek.

Empat sekawan itu menikmati hidangan masing-masing. Sesekali mereka berbual sambil menikmati angin yang berpupuk di bangunan terbiar itu. Di situlah port mereka melepak setiap kali ponteng dari kelas.

"Makan cepat sikit. Hari ni giliran Ustaz Mahadi bertugas. Masak kita kalau dia nampak kita panjat pagar lagi," ujar Izmer apabila melihat rakannya masih lagi berbual. Dia sendiri sudah selesai makan.

"Aduh. Ustaz Mahadi lagi ke yang bertugas? Bilalah agaknya nak ada warden baru gantikan tempat Cikgu Mursyid. Aku naik menyampah dengan Ustaz Mahadi tu. Asyik nak cari salah orang saja." Zawawi mengeluh sambil mengemas sisa makanan ke dalam beg plastik.

"Untung kalau warden baru tu lurus bendul macam Cikgu Mursyid, kalau bengis macam Ustaz Mahadi? Jenuh kita nak menghadap dua ekor singa sepanjang tahun," balas Fizi pula.

Izmer dan Syakir mengangguk tanda setuju.

jemput baca

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience