Majlis kesyukuran dan aqiqah anak kembar Badrul dan Batrisya berlangsung dengan jayanya pada malam itu. Tiga ekor kambing dikorbankan untuk dijamu kepada tetamu yang hadir. Empat buah khemah dipasang di halaman rumah Zainal untuk keselesaan para tetamu. Mujur sahaja cuaca pada hari itu sangat baik seolah-olah memberkati majlis yang sedang berlangsung.
Alunan bacaan al-Quran daripada kaum wanita yang terdiri daripada Kumpulan Mengaji Wanita Kampung Seri Nilam memeriahkan lagi majlis tersebut. Kelihatan sebuah pelamin mini beserta katil bayi terhias indah di ruang tamu rumah. Sepasang bayi kembar menjadi watak utama pada malam itu. Ramai yang memuji kecomelan pasangan kembar itu. Batrisya dan Badrul berasa bangga apabila kecomelan anak mereka menjadi perhatian tetamu yang hadir.
Usai bacaan al-Quran kedengaran pula satu suara merdu mengalunkan bacaan berzanji. Siapa sangka seketul Adelia mampu melagukan berzanji dengan lancar. Pada mulanya Adelia tidak mahu turut serta tetapi Batrisya bersungguh-sungguh mahu dia mengetuai bacaan berzanji untuk majlis aqiqah anaknya. Adelia terpaksa akur lebih-lebih lagi apabila emaknya turut campur tangan.
Fahri terpana mendengar alunan berzanji dari dalam rumah. Dia yang ketika itu sedang membancuh air di belakang terus menyerahkan tugasnya kepada orang lain dan bergerak ke hadapan. Fahri melihat beberapa orang kampung sedang menonton bacaan berzanji di tepi jendela kayu yang terbuka luas. Dia pun turut sertai mereka. Sejujurnya dia berasa tertarik dengan bacaan yang dilontaran oleh suara merdu itu. Seumur hidupnya tidak pernah lagi dia mendengar bacaan ayat al-quran seperti itu. Unik.
"Abang Fahri!"
Fahri segera menoleh apabila mendengar orang memanggil namanya. Dia melihat Zarul melambai tangan ke arahnya di bawah khemah tetamu. Fahri pun segera memanggil remaja itu.
"Ada apa, bang?" tanya Zarul sejurus mendekati Fahri.
"Apa yang dia orang baca kat atas tu?" tanya Fahri pula.
Sempat lagi Zarul memanjangkan lehernya melihat ke dalam rumah. Bacaan berzanji semakin ke penghujung.
"Oh... itu orang baca berzanji. Abang tak pernah dengar, ke?"
Laju Fahri menggeleng. Matanya tidak lepas dari memandang kumpulan wanita yang sedang berzanji. Sesekali dia memanjangkan lehernya untuk melihat gerangan suara merdu yang sedang melagukan bacaan berzanji. Entah kenapa dia merasakan satu getaran halus saat mendengar suara merdu itu.
"Engkau tahu siapa yang sedang baca berzanji tu?" tanya Fahri lagi.
"Lahh... itukan suara Kak Lia."
Fahri terdiam. Dia tidak percaya orang seperti Adelia mampu melagukan bacaan berzanji. Dia menjengah sekali lagi ke dalam rumah. Tidak puas hati dengan jawapan Zarul.
"Hah, itupun Kak Lia!" jerit Zarul sambil menuding jari ke arah Adelia.
Fahri segera menoleh. Bagaikan dipukau, matanya tidak berkelip melihat Adelia dalam busana serba putih dan bertudung litup sedang mengalunkan bacaan berzanji di tengah-tengah ruang tamu. Fahri terpegun melihat kecantikan wajah Adelia. Adelia kelihatan sangat manis apabila bertudung. Alis matanya yang cantik dan bibirnya yang merah mekar membuat hati Fahri bertambah tidak keruan. Fahri merasakan dirinya seperti sedang melihat seorang bidadari yang turun dari langit. Dalam tak sedar Fahri menyentuh dadanya. Entah kenapa dia merasakan degupan jantungnya seperti tidak mahu duduk diam. Berdegup laju seperti mahu melompat keluar dari tubuhnya.
"Terpikat nampak."
Fahri terus tersedar dari lamunan perasaannya. Dia terkebil-kebil mata memandang Zarul yang tersengih-sengih melihatnya.
"Abang dah fall in love dengan Kak Lia, ya..." Zarul mengusik.
"Mana ada!" sangkal Fahri laju. Warna mukanya berubah merah padma.
Zarul ketawa mengekek.
"Kalau abang berkenan dengan Kak Lia pun apa salahnya. Kak Lia tu masih solo. Kalau suka cepat-cepatlah masuk meminang takut melepas pula," selorohnya lagi sambil beredar dari situ.
Fahri terkulat-kulat sendirian di situ. Dia memandang Zarul yang semakin menjauh kemudian memandang pula Adelia yang baru sahaja selesai membaca berzanji. Lama dia merenung wajah itu. Fahri tersentak apabila pandangan matanya bertembung dengan anak mata Adelia. Lantas dia segera berpaling. Mana mungkin dia jatuh cinta dengan pembunuh kembarnya. Mati hidup balik pun dia tak akan jatuh cinta dengan Adelia. Hatinya berkeras dengan pendiriannya.
*****
"Lia, emak balik dululah. Lama sangat tunggu adik engkau tu," kata Zubaidah.
Adelia yang ketika itu sedang berbual dengan rakannya di khemah segera mendapatkan emaknya.
"Emak nak balik naik apa? Tunggulah dulu. Ila hantar kawan dia ke pekan. Sekejap lagi baliklah tu." Adelia memujuk.
"Huh, entah pukul berapa agaknya si Ila tu balik. Dia tu kalau dah jumpa kawan bukan ingat emak dia terpacak menunggu macam patung kat sini," bebel Zubaidah.
"Habis tu takkan emak nak balik jalan kaki malam-malam begini? Bahaya, tau. Tak apa, biar Lia telefon Ila suruh dia balik sekarang juga."
Adelia ingin menelefon Suzila namun Zubaidah terlebih dahulu menahan.
"Tak payah. Emak balik dengan Zarul dan Fahri."
Adelia berkerut dahi. "Fahri?" Hujung matanya melirik ke arah Fahri yang sedang menunggu di kereta bersama Zarul.
"Ha'ah. Kebetulan dia pun nak balik juga itu yang dia ajak emak balik sekali. Erm, kamu nak ikut tak?"
Laju Adelia menggeleng. "Tak apalah. Lia tunggu Ila aje."
"Betul ni? Jangan balik lambat sangat. Suruh Ila tu balik cepat sikit. Anak dara tak elok balik lewat," pesan Zubaidah sebelum berlalu ke kereta Fahri.
"Ya..."
Adelia melihat Fahri menghantar emak dan adiknya pulang dari jauh. Tidak ingin dia naik sekali dengan mamat poyo itu. Dia lebih rela jalan kaki malam-malam daripada menumpang kereta Fahri.
"Hoi... Fahri!"
Adelia melihat abang sulung Batrisya, Abang Man cuba mengejar kereta Fahri yang semakin menjauh meninggalkan perkarangan rumah. Abang Man berpusing semula ke rumah dengan nafas yang tercungap-cungap setelah penat berlari mengejar kereta Fahri.
"Kenapa, abang Man?" tanya Adelia.
"Ni, hah. Fahri tertinggal handphone dia. Dari tadi mesej masuk. Mesti urgent," kata Abang Man sambil menunjukkan telefon bimbit jenama Samsung kepada Adelia.
"Macam mana nak bagi kat dia, ek? Abang tak tahu dia duduk mana. Hah, tengok ni! Ada mesej lagi masuk. Badrul tahu agaknya mana kawan dia ni duduk," tambah Badrul lagi sambil matanya meliar mencari adik iparnya.
"Abang, kejap!" Adelia menahan.
Abang Man tidak jadi melangkah.
"Biar Lia aje yang bagi handphone tu kat dia."
Abang Man membuat muka terkejut. Dia merenung wajah Adelia dengan rasa ragu-ragu.
"Kamu biar betul, Lia? Kamu tahu ke Fahri ni duduk mana?"
"Tadi Fahri hantar emak dan adik Lia ke rumah. Mesti dia ada di sana sekarang ni. Lia pun memang dah nak balik pun," beritahu Adelia.
"Lahh... kenapa tak cakap awal-awal. Buat abang risau aje. Nah, kamu bagi handphone ni kat Fahri. Mesti dia tengah tercari-cari handphone nya tu sekarang ni," kata Abang Man dengan rasa lega.
Adelia hanya tersenyum nipis saat Abang Man menyerahkan telefon bimbit Fahri kepadanya. Pada masa itu jugalah Suzila pulang dari menghantar rakannya di pekan.
Sementara itu, di halaman rumah Zubaidah Fahri tercari-cari telefon bimbitnya di dalam kereta. Habis setiap ceruk di dalam kereta diselongkarnya. Selepas menghantar Zubaidah dan Zarul ke rumah baru dia perasan telefon bimbitnya tiada dengannya.
"Macam mana, Ri? Ada jumpa telefonnya?" tanya Zubaidah.
"Tak jumpa, mak cik," balas Fahri sambil terkial-kial mencari dalam gelap. Dia sudah bermandi peluh dibuatnya. Dia sangat memerlukan telefon bimbitnya itu. Terdapat banyak mesej penting di dalamnya.
"Mak, dah jumpa lampu picit!" laung Zarul dari atas rumah sambil berlari ke tanah bersama lampu picit di tangan.
"Haa... ada pun. Nah, Ri. Cuba suluh kat bawah kerusi. Mana tahu terjatuh kat bawah sana," ujar Zubaidah sambil menghulurkan lampu picit kepada Fahri.
Fahri terus menyuluh di celahan kerusi namun telefon bimbitnya itu tidak kelihatan. 'Aduh, macam mana ni? Dahlah banyak mesej penting kat dalam handphone tu,' gerutu hatinya. Sempat lagi Fahri menyalahkan diri atas kecuaian sendiri.
"Tak jumpa juga?" Zubaidah bertanya lagi.
Sekali lagi Fahri menggeleng dengan wajah yang monyok.
"Apa kata kamu cuba telefon nombor telefon kamu tu. Mana tahu ada yang menjawabnya," usul Zubaidah tiba-tiba.
Fahri menepuk dahi. Kenapalah dia boleh tak terfikir tentang perkara itu. Lantas dia meminjam telefon Zarul untuk menelefon telefonnya. Semasa dia ingin menelefon telefonnya masa itu jugalah Adelia dan Suzila sampai.
"Ada apa ramai-ramai kat laman ni? Kita nak buat barbeque, ke?" tanya Suzila sejurus keluar dari kereta.
"Banyaklah engkau punya barbie tu. Ni, hah... telefon Ri hilang," kata Zubaidah.
"Hilang? Hilang kat mana?"
"Manalah emak tahu. Ini nak try telefon nombor dia lah tu. Hee... engkau ni banyak betul soalannya," bebel Zubaidah. Rimas dengan soalan anaknya itu.
Mengekek ketawa Suzila dibuatnya. Saja dia ingin mengusik emaknya. Adelia yang baru sahaja ingin memberitahu Fahri yang telefonnya ada padanya terbantot apabila telefon lelaki itu terlebih dahulu berdering. Semua mata memandang ke arahnya terutama sekali Fahri. Anak matanya bulat memandang telefon yang ada di tangan Adelia. Tidak mahu semuanya salah faham cepat-cepat Adelia menjelaskan dari A sampai Z.
"Ohh... macam tu kisahnya. Mujur Man yang jumpa kalau tidak... memang sayonara lah jawabnya handphone kamu tu, Ri," kata Zubaidah sambil mengambil telefon itu dari tangan Adelia lalu diserahkan kepada pemiliknya.
"Amboi, mak. Bukan main lagi cakap Jepun." Suzila mengusik. Sempat lagi dia mengenyit mata dengan Zarul.
"Dah engkau hari-hari bukak kartun Jepun. Emak pun terikut-ikutlah cakapnya."
"Kalau macam tu lepas ni Ila nak buka cerita Korea lah. Mana tahu emak boleh fasih cakap Korea pula. Bolehlah Ila minta ayah baru made in Korea. Betul tak, Rul?"
Zarul mengangguk laju sambil ketawa mengekek. Zubaidah pula semakin berangin melihat gelagat dua orang anaknya itu. Semakin menjadi-jadi menyakatnya terutama sekali Suzila.
"Budak berdua ni memang nak kena agaknya. Pergi naik atas! Makin melalut merepeknya. Hee... geram pulak aku tengok!" marah Zubaidah. Tangannya laju mencubit kedua anaknya itu.
Suzila dan Zarul berlari masuk ke dalam rumah sambil ketawa mengekek. Zubaidah bercekak pinggang sambil menggeleng kepala. Kemudian Dia memandang Fahri yang terpinga-pinga di situ.
"Mak cik minta maaf, Ri. Anak-anak mak cik tu memang suka menyakat," ujarnya.
"Tak apa, mak cik. Erm, handphone pun dah jumpa jadi saya ingat nak beransur dulu," kata Fahri pula sambil bersalaman dengan Zubaidah.
"Nak balik dah ke? Tak nak masuk singgah minum air dulu?"
"Eh, tak apa. Lagipun hari dah lewat ni. Nanti lambat pula saya nak sampai ke rumah."
"Hmm, iyalah. Hati-hati bawa kereta tu. Lain kali datanglah lagi ke sini. Boleh kita berbual panjang," kata Zubaidah lagi.
"Insya-Allah, mak cik," balas Fahri seadanya.
Tanpa menunggu lama dia terus ke keretanya. Langsung dia tidak menghiraukan Adelia yang tercegat di situ dari tadi.
"Ehem!"
Fahri berpura-pura tidak mendengar. Dia sibuk membalas mesej orang. Zubaidah pula ketika itu sudah masuk ke dalam rumah.
"Ehem!!!"
Kali ini deheman itu kedengaran lebih kuat. Fahri mendengus kasar. Dia pun menoleh ke belakang. Terkejut dia melihat Adelia betul-betul berdiri di belakangnya.
"Engkau nak apa?" soal Fahri dingin.
Adelia mengecilkan mata sambil berpeluk tubuh. Dia merenung wajah lelaki itu dalam-dalam. "Engkau dah lupa ke?" soalnya pula.
"Lupa apa pula?" tanya Fahri kembali sambil berkerut dahi.
"Dah tak reti-reti nak ucap terima kasih, ke?"
"Ucap terima kasih kat siapa? Engkau? Pasal apa pulak aku nak kena ucap terima kasih kat engkau?" Fahri berpura-pura tidak mengerti.
Adelia mendengus kasar. Geram dengan sikap Fahri yang sangat menyakitkan hati.
"Engkau ni memang orang yang tak reti bersyukur, kan. Orang dah tolong bawakan handphone tu patutnya ucaplah terima kasih atau..."
Fahri tertawa sinis. Matanya melirik sinis memandang Adelia.
"Maksudnya engkau nak upahlah? Hahaha. Kenapa tak cakap nak upah. Aku boleh bagi. Engkau nak berapa? 50 ringgit? Cukup?"
Fahri menghulurkan not sekeping bernilai RM 50 kepada Adelia. Air muka Adelia terus berubah. Dia tidak ambil pun duit itu.
"Engkau buat apa ni?"
"Kenapa? Tak cukup ke? Okeylah aku tambah lagi 50. Puas hati?"
Fahri menambah lagi not RM 50 lalu diletakkan ke dalam tangan Adelia. Merah padma wajah Adelia dibuatnya. Dia memandang Fahri dengan renungan yang tajam.
"Engkau buat apa ni, hah?!" Bentak Adelia. Dia cuba memperlahankan nada suaranya agar tidak di dengari oleh ahli keluarga yang lain. Nafasnya turun naik menahan amarah.
"Kenapa? Bukan ini ke yang engkau mahukan. Engkau tolong aku dengan harapan boleh dapat upah. Bukan macam tu ke? Aku faham. Tak ada benda free dalam hidup ni. Atau... engkau nak lebih dari tu? Maksud aku... engkau nak aku tidur dengan engkau..."
Pang! Fahri terkesima apabila Adelia tiba-tiba sahaja menampar pipinya. Wajahnya merah padma. Mujur sahaja tiada sesiapa yang melihat kejadian tersebut kecuali mereka berdua sahaja. Fahri memandang Adelia dengan wajah yang menyinga.
"Engkau ni apahal? Tiba-tiba nak tampar orang!"
"Memang selayaknya engkau kena tampar. Mulut busuk macam longkang!" balas Adelia dengan nada yang dingin.
Fahri berkerut dahi. 'Dia samakan aku dengan longkang?' hati Fahri menggerutu. Kecil besar sahaja dia tengok Adelia ketika itu. Sekali lagi dia terkejut apabila Adelia tiba-tiba sahaja merampas dompetnya.
"Woi, apa ni main rampas dompet orang? Dah tak ada duit sangat ke, engkau ni? Gaji jadi cikgu tu tak cukup ke sampai nak ambil duit aku? Bak sini dompet aku!"
Adelia mengelak apabila Fahri cuba merampas kembali dompetnya. Cepat-cepat dia mengambil sekeping duit bernilai RM 50 dari dompet Fahri sebelum melempar semula dompet tersebut kepada tuanya.
"Macam engkau cakap tadi... tak ada yang percuma dalam hidup ni. Ini upah engkau tumpang kereta aku siang tadi," kata Adelia sambil melayangkan duit kertas itu ke muka Fahri.
Untuk kesekian kalinya Fahri termakan dengan kata-katanya sendiri. Dia termangu sendirian di halaman sambil melihat Adelia yang sudah berlari masuk ke dalam rumah.
"Interesting," gumamnya perlahan.
Share this novel