Sejurus pulang dari pekan Adelia tidak terus balik ke rumah sebaliknya dia memilih untuk berehat di dalam kereta. Enjin kereta sengaja tidak dimatikan. Suara dj radio berceloteh di corong radio langsung tidak menarik minatnya. Fikirannya melayang entah ke mana. Sejujurnya dia mula berasa tawar hati untuk terus tinggal di rumah Ammara. Sikap dingin Ammara yang tiba-tiba membuatkan Adelia berasa kurang selesa untuk terus berada di rumah itu.
"Tapi apa salah aku? Apa yang aku dah buat sampai Mara marah sangat kat aku? Dia tak suka aku duduk kat rumah dia ke? Habis tu takkan aku nak kena keluar? Aku baru nak berjimat. Lagipun kalau nak sewa luar rasa macam rugi sebab tempoh mengajar tinggal sebulan setengah saja lagi. Aduhhh! Pening kepala aku jadinya. Pening!"
Ammara menghantuk kepala ke stereng berkali-kali dengan harapan dapat menghilangkan segala masalah yang bersarang dalam kepalanya. Ponnn! Menggelabah Adelia dibuatnya apabila secara tidak sengaja dia telah tertekan hon. Matanya meliar melihat keluar. Mujur tiada sesiapa di tempat parkir kereta. Adelia menarik nafas lega.
Tok! Tok! Tok!
Sekali lagi Adelia terkejut apabila cermin keretanya di ketuk dari luar. Dia melihat Fahri sedang berdiri di tepi keretanya sambil mengetuk cermin kereta beberapa kali. Adelia mendengus kasar.
"Mamat poyo ni lagi. Dah tak ada muka lain ke kat atas muka bumi ni selain muka mamat poyo tu? Kenpalah time aku tengah bad mood time tu jugalah engkau muncul. Huh!"
Sempat lagi Adelia mengomel. Dia menarik muka masam sewaktu menurunkan cermin kereta.
"Hah, nak apa?"
"Amboi, cantiknya bahasa. Cakap elok sikit tak boleh, ke?" Fahri memerli.
Adelia mendengus kasar sambil melemparkan jelingan tajam kepada Fahri.
"Engkau nak apa? Kalau tak ada benda penting nak cakap sila beredar dari sini. Aku tak ada mood nak layan sesiapa sekarang ni terutama sekali engkau!" katanya dengan dingin.
Fahri mencebik. Dia menundukkan sedikit kepalanya ke cermin kereta Adelia yang terbuka luas. Adelia pula semakin tidak selesa apabila lelaki itu mendekatkan wajahnya. Dia berpura-pura membuat muka masam sambil memandang ke hadapan. Bibir Fahri tersungging sinis melihat wajah masam Adelia.
"Engkau ingat aku suka sangat ke nak cakap dengan engkau? Kalau kat atas muka bumi ni cuma ada engkau dan keldai saja... aku lebih rela cakap dengan keldai daripada cakap dengan engkau!" bisik Fahri dekat dengan telinga Adelia.
Mata Adelia terbeliak. 'Dia bandingkan aku dengan keldai? Kurang asam!'
Dia terus menoleh ke arah Fahri. Buat seketika pandangan mata mereka bertemu. Masing-masing terpaku memandang antara satu sama lain. Jarak yang dekat membuatkan hembusan nafas mereka saling menyapa. Adelia dan Fahri merasakan satu getaran halus pada hati masing-masing. Perlahan-lahan tangan kasar Fahri mengelus lembut pipi mulus Adelia. Adelia sendiri rasa terbuai dengan usapan itu. Lama mereka berkeadaan seperti itu. Tiba-tiba, bagaikan ada satu arus elektrik yang menjalar lalu membuatkan mereka tersedar dari lamunan yang mengasyikkan.
Fahri terus menegakkan tubuhnya manakala Adelia pula membetulkan duduknya dan berpura-pura memandang ke hadapan. Sesekali mereka saling melirik sesama mereka. Tiba-tiba rasa janggal menguasai diri masing-masing. Fahri berdehem kuat. Cuba menghilangkan rasa debar yang merajai diri.
"Er, aku... ada nak cakap sikit," cakap Fahri tergagap-gagap.
"Cakap apa?" soal Adelia laju. Sesekali dia mengipas mukanya yang terasa hangat dengan tangan meskipun dalam kereta sudah terpasang penghawa dingin. 'Aduh! Kenapa tiba-tiba rasa panas semacam ni?' bisik hatinya.
Fahri menggaru keningnya. Kemudian dia memandang Adelia yang sedang mengipas dirinya. Buat sejenak dia bagai terpukau melihat wajah Adelia. Anak matanya meliar memandang sepasang mata bundar yang terletak elok di tempatnya. Dari mata jatuh pula ke hidung, pipi dan seterusnya ke bibir yang merekah merah. Lama Fahri merenung bibir mugil itu. Tak semena-mena jantungnya berdegup kencang. Satu perasaan halus terhadap Adelia menjalar ke lubuk hati nan sepi.
'Dia pembunuh!'
Kata hati Fahri tiba-tiba sahaja membentak sekaligus menyedarkannya pada realiti. Tidak sepatutnya dia mempunyai apa-apa perasaan terhadap Adelia. Jika ternyata benar Adelia penyebab kematian Firzanah dia akan membuat hidup Adelia tidak aman.
"Engkau ni nama saja bawa kereta tapi parkir pun tak reti!" bentak Fahri tiba-tiba.
Adelia tersentak. Matanya terkebil-kebil memandang wajah garang Fahri.
"Engkau tengok tu! Kereta engkau dah halang kereta aku!"
Adelia menoleh ke belakang. Baru dia perasan yang keretanya betul-betul menghalang kereta Fahri. Cepat-cepat dia meminta maaf kepada lelaki itu.
"Sudah! Sudah! Aku tak nak dengar apa-apa. Lebih baik engkau alihkan kereta cabuk engkau tu sekarang juga!"
Sakit pula hati Adelia apabila kereta yang di beli dengan hasil titik peluhnya sendiri di samakan dengan kereta cabuk. Lantas dia keluar dari perut kereta lalu menghempas pintu kereta dengan kasar. Dia maju ke hadapan mendekati Fahri. Fahri terundur beberapa langkah ke belakang apabila Adelia mendekatinya dengan wajah yang menyinga.
"Kereta cabuk? Engkau cakap kereta aku kereta cabuk? Engkau tahu tak berapa banyak air mata yang aku korbankan semata-mata nak beli kereta cabuk tu?" Adelia sengaja menekankan perkataan cabuk sambil memandang tepat ke anak mata Fahri.
Fahri tergelak sinis. "Air mata? Beragaklah kalau nak menipu pun. Engkau ingat air mata engkau tu laku sangat ke sampai nak dikorbankan semata-mata untuk beli kereta?"
Hati Adelia bertambah pedih apabila Fahri mentertawakannya. Kalau dia cerita tentang segala penat lelah yang dilalui sepanjang menjadi pendidik belum tentu Fahri akan percaya. Orang luar melihat kerjaya cikgu ini hanya sekadar mengajar di bilik darjah kemudian duduk bergosip dalam bilik guru. Cukup bulan dapat gaji masuk kutu beli tupperware. Lepas tu apabila cuti sekolah semua pakat pergi bercuti. Huh! Kalaulah semudah itu tugas seorang pendidik rasanya tiada guru yang ingin bersara awal pada hari ini.
"Hello! Hello!" Fahri memanggil sambil mengetik ibu jarinya di hadapan muka Adelia.
Adelia tersedar dari lamunan. Dia melihat Fahri sedang bercekak pinggang memandangnya.
"Apa?" soalnya.
Fahri menjungkitkan sebelah keningnya. "Engkau cakap apa? Engkau tahu sekarang ni dah pukul berapa? Dah petang, tahu! Engkau nak aku jadi pak guard kat sini ke? Aku nak balik. Cepat alihkan kereta engkau tu!" arahnya dengan tegas.
Adelia mencebik bibir. Sambil merungut dia kembali ke keretanya. Baru beberapa langkah dia menapak Fahri memanggilnya semula. Sambil mendengus dia menoleh ke arah lelaki itu.
"Engkau nak apa lagi?" marahnya.
Fahri tidak membalas sebaliknya dia menuding jari ke satu arah. Adelia berasa pelik melihat reaksi lelaki itu lalu dia turut melihat ke arah yang ditunjuk. Serta-merta matanya terbeliak luas.
"Cikgu..."
Mardhiah memandang Adelia dengan mata yang basah. Di sebelahnya kelihatan Izmer sedang mengendung Auni dalam keadaan basah lencun.
Share this novel