Kereta Viva milik Adelia meluncur laju di atas jalan raya dari Batu Pahat menuju ke Pontian. Kini, dia dalam perjalanan menuju ke Sekolah Menengah Seri Bakti. Sepanjang jalan Rengit-Benut cuaca agak mendung semendung perasaannya.
Dua minggu yang lepas dia mendapat panggilan daripada sepupu arwah ayahnya, Zainal yang menawarkan kepadanya jawatan guru ganti di sekolah anaknya. Setelah setahun di gantung daripada berkhidmat, akhirnya dia di beri peluang untuk menabur bakti walaupun hanya sebagai guru ganti. Tetapi, yang merunsingkan Adelia sekarang ini tentang sekolah yang bakal dia berkhidmat untuk tiga bulan yang akan datang.
Sekolah Menengah Seri Bakti merupakan tempat Adelia menuntut ilmu dari tingkatan satu sehingga tingkatan lima. Walau bagaimanapun, dia tidak menghabiskan tingkatan limanya di sekolah itu. Lima bulan sebelum SPM dia telah berpindah ke sekolah harian biasa di Batu Pahat. Daerah kelahirannya.
"Kamu risaukan tentang 'perkara itu'?"
Tiba-tiba perbualannya bersama Zubaidah seminggu yang lepas kembali terngiang-ngiang di telinga. Ketika itu Adelia masih tidak memberi kata putus tentang tawaran yang Zainal berikan kepadanya. Dia tidak tahu samada mahu menerima tawaran tersebut atau tidak. Dia ragu-ragu dengan dirinya. Dalam masa yang sama dia takut untuk menjejakkan kaki ke tempat yang mengingatkannya kepada dosa masa silamnya.
"Semua itu sudah lama berlalu. Untuk apa kamu kenangkan lagi benda yang sudah lepas?" kata Zubaidah lagi.
"Tapi kakak punca semua itu berlaku. Rasa bersalah ni masih lagi bersarang dalam diri ni walaupun dah lama benda tu terjadi. Kalau bukan sebab kakak... semua itu tidak akan terjadi," luah Adelia dengan rasa bersalah.
Zubaidah mengeluh kecil. Dia memahami kegusaran yang sedang melanda dalam diri anak sulungnya itu. 15 tahun yang lepas, dia melihat dengan mata kepalanya sendiri betapa hancur luluhnya hati Adelia. Anaknya itu seperti orang putus harapan untuk terus hidup. Setiap masa menyalahkan diri sendiri atas apa yang terjadi. Emak mana yang sanggup melihat anak yang dikandung sembilan bulan berkeadaan seperti orang yang tidak normal. Sebab itulah dia dan arwah suaminya rela menukar sekolah Adelia daripada sekolah asrama kepada sekolah harian biasa.
"Hidup kita ni sentiasa bergerak ke hadapan, bukannya mengundur ke belakang. Masa lalu memang kita tak boleh nak putarkan kembali begitu juga dengan masa depan. Kita tak boleh nak jangka apa yang ada di hadapan kita. Tapi... kita ada masa sekarang. Jalanilah sebaik-baiknya masa yang kita ada sekarang ini," kata Zubaidah sambil memandang lembut wajah sugul Adelia.
"Entahlah, mak. Kadang-kadang akak rasa macam nak mati bila ingat balik hal itu. Dah banyak kali akak cuba buang perasaan tu dari hidup akak tapi tak boleh. Rasa bersalah tu terus membelenggu diri akak sampai akak rasa seperti ada sesuatu yang menjerut leher akak," ujar Adelia perlahan.
"Hisy! Tak baik cakap macam tu. Cakap macam orang tak ada agama. Tak ada Tuhan!" marah Zubaidah.
Adelia beristighfar. Menyedari akan kelancangan mulutnya. Wajah yang sedia mendung bertambah malap. Zubaidah berasa kasihan melihat keadaan anaknya itu.
"Buatlah istikharah. Itu lebih baik. Minta petunjuk daripada-Nya. Allah Maha mengetahui. Kamu pasti akan temui jawapannya," kata Zubaidah dengan lembut.
Sekali lagi Adelia terdiam. Mungkin betul apa yang Zubaidah cakapkan itu. Dia perlu meminta petunjuk daripada Allah SWT untuk melapangkan segala kegusaran yang bertamu di dada.
Dan pada hari itu, Adelia meneruskan perjalanan ke Pontian dengan satu tujuan. Menerima tawaran menjadi guru ganti di Sekolah Menengah Seri Bakti. Dia sudah melakukan segala yang emaknya suruh dan ini jawapan kepada keraguannya selama dua minggu itu.
âBismillahi tawakkaltu alallahi la hawla wala quwwata illa billah," ucap Adelia berulang-kali sepanjang jalan.
*****
Hajah Maimunah, pengetua Sekolah Menengah Seri Bakti menyambut kedatangan Adelia dengan perasaan berbelah bahagi. Cikgu Batrisya ada menerangkan kepadanya tentang situasi Adelia. Sedikit sebanyak dia berasa gusar kalau-kalau ada ibu bapa yang mengetahui tentang perkara itu Sebolehnya dia tidak mahu sekolahnya itu terpalit dengan situasi yang di hadapi oleh Adelia.
Anak matanya tidak henti memandang Adelia atas bawah sehingga membuatkan gadis itu berasa tidak selesa. Setelah lama menyepi, barulah wanita berusia sekitar 50-an itu membuka mulut.
"Yang sebenarnya pihak sekolah sudah lama usulkan kat PPD untuk menghantar guru baru ke sekolah ini tapi macam itulah, senyap saja. Sebab itulah kami terpaksa mencari guru ganti melalui Mystep."
Adelia terangguk-angguk kepala seperti burung belatuk mendengar pengetua bertubuh berisi itu bercerita. Sesekali anak matanya meliar melihat setiap ruang dalam bilik pengetua sekolah itu. Kalau tidak silap bilik itu dahulu merupakan sebuah bilik darjah. Tak sangka pula sekarang dijadikan bilik pengetua. Seingat Adelia
sewaktu dia belajar dahulu, bilik pengetua waktu itu tidak seluas bilik yang sekarang ini.
"Tapi kebetulan pula Cikgu Batrisya ada menyarankan tentang kamu... jadi saya meletakkan kepercayaan saya kepada dia yang kamu boleh menggalas tanggungjawab sebagai seorang pendidik," kata Hajah Maimunah lagi.
Adelia terkulat-kulat di buatnya. Dia merasakan ada sesuatu yang pengetua itu cuba sampaikan. Dadanya mula terasa berdebar. Rasa gemuruh mula menghurung diri. Adelia mengenggam erat tangannya yang dingin seperti ais.
"Saya sudah tahu tentang situasi kamu itu. Jujur saya cakap, agak sukar untuk saya menerima kamu menjadi guru ganti di sekolah ini kerana kes kamu itu tapi sekali lagi Cikgu Batrisya cuba meyakinkan saya tentang kebolehan kamu. Erm, kalau ikut pada dokumen ni... kamu pernah belajar di sini. Betul, ke?" tanya Hajah Maimunah sambil melihat dokumen Adelia di atas meja.
Air muka Adelia sedikit berkocak apabila Hajah Maimunah mengetahui dia merupakan bekas pelajar sekolah itu. Perlahan-lahan dia mengangguk kepala.
"Tapi saya tak menamatkan persekolahan saya di sini," ujarnya perlahan.
"Kenapa?"
Semakin tidak duduk senang Adelia di buatnya apabila wanita di hadapannya itu berterusan mengasaknya dengan soalan-soalan yang dia cuba elakkan.
"Er... saya pindah. Ikut family."
Hajah Maimunah terangguk-angguk kepala. Sekali lagi dia merenung wajah guru muda itu. Sesekali dia membetulkan kaca matanya yang sedikit melorot dari tempatnya. Kemudian dia menarik nafas panjang dan menghulurkan tangan kepada Adelia.
"Selamat bertugas, cikgu. Saya harap kamu dapat memberikan yang terbaik selama kamu berkhidmat di sekolah ini," katanya dengan senyuman lebar.
Adelia tercengang. Matanya tidak berkelip memandang wajah pengetua itu. Dia menyangka Hajah Maimunah tidak mahu dia menjadi guru ganti di situ selepas mengetahui tentang dirinya. Sedikit lagi dia hampir putus asa. Dengan teragak-agak Adelia menyambut tangan itu dan mengenggamnya dengan penuh erat.
"Terima kasih banyak-banyak, puan pengetua!" Ucap Adelia dengan rasa sebak.
"Sama-sama. Er... ada satu lagi perkara yang saya nak ingatkan kepada kamu," kata Hajah Maimunah dengan nada yang serius.
Sekali lagi Adelia terkebil-kebil mata. Rasa berdebar kembali menyerang.
"Kalau boleh jangan sampai ada ibu bapa pelajar sekolah ini tahu tentang kes kamu itu. Faham?" pinta Hajah Maimunah sambil memandang wajah Adelia dalam-dalam.
Adelia berasa gementar melihat renungan itu. Dia mula berasa panik dan bermandi peluh. Tetapi dia cuba untuk bersikap lebih professional kerana dia sendiri memerlukan pekerjaan itu.
"Faham, puan hajah," jawabnya perlahan.
*****
Selesai sahaja melaporkan diri Adelia di bawa ke bilik guru untuk sesi perkenalan. Tanpa sempat beramah mesra dia terus diberikan jadual kelas dan beberapa tugasan yang sudah sedia menanti. Hari pertama bertugas sangat melelahkan Adelia. Dari pagi sampai ke tengah hari jadual kelasnya sangat penuh. Itu belum masuk lagi tugasan lain seperti membantu guru lain menyediakan kertas soalan untuk ujian yang akan datang.
Adelia hanya mampu menarik nafas lega apabila loceng tamat waktu persekolahan berdering. Dia bersandar pada kerusi dengan wajah yang keletihan. Sudah lama dia tidak merasa sibuk seperti ini. Walau bagaimanapun, dia berasa seronok dengan kerjanya itu.
"Letih nampaknya, cikgu?"
"Oit, emak engkau hijau!"
Adelia melatah secara spontan. Berderau di buatnya apabila di tegur dari belakang. Tambah pula waktu itu hanya dia seorang sahaja di bilik guru. Dia terus menegakkan tubuh dan mendongak. Kelihatan seorang guru wanita yang sedang hamil sedang ketawa mengekek.
"Hisy. Engkau rupanya. Aku ingatkan siapalah tadi," omelnya.
Batrisya masih lagi ketawa mengekek. Sesekali dia memegang perutnya. Mengah rasanya membawa perut yang berisi dua nyawa. Adelia terus menarik kerusi kosong di sebelahnya dan menyuruh ibu hamil itu duduk.
Batrisya tersengih. "Macam mana hari pertama mulakan tugas di sini? Okey?" soalnya setelah reda.
"Not bad. Mungkin sebab dah setahun lebih aku tak buat kerja-kerja ni... itu yang macam penat sikit," jawab Adelia sambil mengurut bahunya yang terasa lenguh.
"Biasalah tu. Nanti lama-lama engkau akan serasi balik," kata Batrisya.
Adelia hanya tersenyum nipis. Dia tidak menyangka dapat bertemu semula dengan Batrisya di situ. Batrisya merupakan anak bongsu Zainal. Sama seperti Adelia, Batrisya juga merupakan bekas pelajar sekolah itu. Mereka sama-sama masuk asrama dari tingkatan satu sehingga tingkatan lima. Berbanding Adelia, Batrisya menamatkan alam persekolahannya di situ. Selepas Adelia pindah sekolah, dia tidak lagi berhubung dengan rakannya di sekolah itu. Hanya Batrisya seorang yang dia selalu berjumpa. Mungkin kerana mereka bersaudara. Selepas Batrisya mendirikan rumah tangga, mereka semakin jarang berjumpa.
"Isya, terima kasih sebab tolong yakinkan puan hajah tentang aku," ujar Adelia, tersipu-sipu.
Batrisya tersenyum nipis.
"Tak ada hallah. Lagipun sekarang kami memang tengah kekurangan tenaga pengajar. Kira ini rezeki engkau untuk mulakan... hidup baru orang cakap."
Adelia tergelak kecil. Hatinya digeletek rasa lucu dengan kata-kata Batrisya. Mungkin ada betulnya juga apa yang Batrisya cakap. Mungkin ini adalah langkah pertama untuk dia mulakan hidup baru selepas apa yang berlaku. Boleh jadi ada hikmah dia kembali ke situ.
"Memandangkan hari ni hari pertama engkau, apa kata aku tunjukkan kat engkau kawasan asrama. Sekarang ni dah banyak perubahan, tau. Tak macam zaman kita belajar dulu."
Adelia memandang sekeliling. Ketika itu bilik guru sudah lengang. Hanya tinggal mereka berdua yang berada di situ. Yang lain sudah pulang ke rumah masing-masing. Adelia melihat jam di skrin laptop. Jam hampir menunjukkan pukul dua petang.
"Boleh ke? Bukan ke orang luar tak boleh masuk kawasan asrama," kata Adelia pula dengan nada yang perlahan.
"Kebetulan aku ada nak hantar barang kat sana jadi apa salahnya kita pusing-pusing sekali," balas Batrisya sambil berseloroh.
Adelia tidak membantah. Yang sebenarnya dia juga teringin hendak melawat kawasan asrama puteri. Tempat dia tidur, makan, mandi dan menuntut ilmu bersama rakan-rakannya selama empat tahun lebih. Rindunya.
Batrisya menunjukkan kawasan asrama Jasmine kepada Adelia. Benar cakap Batrisya, sudah banyak perubahan di situ. Pokok besar tempat dia dan rakan-rakan selalu lepak setiap petang hanya tinggal kenangan. Menurut Batrisya lagi, pokok besar itu terkena panahan petir lima tahun lepas dan pihak asrama mengambil keputusan untuk memotong pokok tersebut bagi mengelakkan sebarang kecelakaan kepada pelajar.
Batrisya membawa pula Adelia ke kolam renang yang terdapat di situ. Adelia berasa teruja melihat penambahan prasarana yang pihak asrama sediakan kepada pelajar asrama di situ.
"Perghhh, siap ada kolam renang sekarang ni! Dulu kalau kita nak mandi kolam kena pergi kat kelab renang di bandar. Untungnya student sekarang," ujar Adelia penuh teruja.
"Tahu tak apa. Budak-budak sekarang beruntung berbanding zaman kita dulu. Dah rezeki mereka nak dapat semua ni," balas Batrisya.
Adelia mengangguk setuju.
"Ini baru sikit. Ada banyak lagi kemudahan yang pihak asrama sediakan untuk pelajar asrama ni. Satu hari memang tak puas kalau kita nak tengok itu semua." Batrisya menambah.
"Isya, jom kita pergi ke DM. Aku nak tengok menu apa yang budak-budak ni makan. Agak-agak ada lagi tak menu ikan jaket masak kari sama telur masin?"
Batrisya bersetuju. Tanpa membuang masa mereka bergerak ke DM atau nama sebenar dewan makan. Sewaktu mereka hendak ke dewan makan, seorang guru perempuan datang menegur mereka.
"Cikgu Batrisya buat apa kat sini?" tegur Ammara.
"Oh, cikgu Ammara. Yang sebenarnya saya ada nak hantar barang kat kak Halimah. Dia ada pesan barang dengan saya. Dia ada tak kat office?" soal Batrisya kembali.
"Rasanya dia ada tu di pejabat. Saya pun baru nak ke sana. Err... ini siapa?"
Ammara memandang Adelia atas bawah. Rasanya dia tidak pernah melihat wajah Adelia di situ sebelum ini.
"Ya Allah. Lupa saya nak kenalkan. Ini cikgu Adelia. Dia guru ganti yang akan menggantikan cikgu Rasyidah yang sedang cuti bersalin. Cikgu Adelia, kenalkan ini cikgu Ammara. Dia ketua panitia bahasa Inggeris dan warden aspuri," jelas Batrisya kepada mereka berdua.
Adelia dan Ammara saling berjabat tangan. Masing-masing saling berbalas senyuman.
"Selamat bertugas. Kalau cikgu perlukan apa-apa bantuan beritahu saja. Insya-Allah, mana yang boleh bantu saya bantu," kata Ammara dengan ramah sekali.
"Betul, ke?" tanya Adelia dengan pandangan penuh pengharapan. Ketika itu mereka sedang menuju ke pejabat pengurusan asrama.
Ammara dan Batrisya berhenti melangkah. Mereka saling berpandangan. Kemudian Ammara mengangguk perlahan. Adelia mengetap bibir dan menarik nafas panjang.
"Agak-agaknya boleh tak kalau saya nak tinggal di aspuri?"
Sekali lagi Ammara dan Batrisya saling memandang. Dahi mereka berkerut seribu.
"Jangan salah faham. Maksud saya... kalau-kalau pihak asrama boleh tumpangkan saya kat rumah warden perempuan yang masih bujang. Bukan apa... saya ni cuma guru ganti tiga bulan saja. Jadi, rasa macam membazir pula kalau saya menyewa di luar. Itupun kalau pihak asrama izinkan," jelas Adelia. Dia tidak mahu mereka salah sangka dengannya.
"Lah, kenapa engkau tak cakap yang engkau masih tak ada rumah nak duduk? Habis tu hari ni engkau nak tidur mana?" soal Batrisya.
"Aku ada sewa rumah tumpangan kat pekan. lima puluh ringgit untuk satu malam tapi itulah..." jawab Adelia sambil tersengih.
"Engkau duduk sajalah dengan aku. Lagi jimat," usul Batrisya.
"Eh, tak mahulah. Nanti apa pula kata laki engkau?" Adelia menolak.
"Laki aku okey. Lagipun engkau bukan orang lain, saudara aku juga."
Adelia berkeras menolak pelawaan Batrisya. Tidak sanggup dia membebankan saudaranya itu lagi.
"Kalau macam tu cikgu Lia duduk dengan saya sajalah," kata Ammara tiba-tiba.
Adelia memandang Ammara tidak berkelip. Begitu juga Batrisya.
"Sekarang ni saya memang duduk seorang di rumah warden jadi rasanya tak ada masalah kalau cikgu Lia nak duduk dengan sekali. Tak adalah saya sunyi tiga bulan ni," kata Ammara lagi sambil tersengih.
"Betul ke ni, cikgu? Tak menyusahkan cikgu, ke?" soal Adelia.
"Kalau menyusahkan tak adalah saya offer kat cikgu," balas Ammara lagi.
Adelia terdiam. Dia memandang Batrisya. Saudaranya itu hanya menjungkitkan bahu. Adelia mengetap bibir. Akhirnya dia bersetuju untuk tinggal sementara waktu di rumah Ammara. Sekurang-kurangnya dia dapat berjimat untuk tiga bulan akan datang.
"Encik Fahri, kak Halimah ada kat dalam?" tegur Ammara kepada seorang lelaki muda yang baru sahaja keluar dari pejabat pengurusan asrama.
"Ada," jawab Fahri pendek.
"Encik Fahri nak ke mana?" tanya Ammara lagi apabila melihat lelaki berlesung pipit itu seperti tergesa-gesa hendak keluar.
"Saya nak ke pejabat pos. Ada dokumen yang tuan haji suruh saya poskan," jawab Fahri sambil menunjuk sampul surat yang dipegangnya. Tanpa membuang masa dia terus berlalu. Sempat lagi dia memandang dua orang perempuan di sisi Ammara sekali lalu.
"Encik Fahri!" teriak Ammara tetapi lelaki itu terus berlalu dari situ tanpa menoleh ke belakang.
Dia mendengus kasar. Sudah banyak kali dia cuba mendekati Fahri semenjak lelaki itu datang bekerja di situ tetapi Fahri sangat bijak mengelak. Ammara tidak akan berputus asa untuk mendekati Fahri kerana hatinya benar-benar sudah terpaut dengan lelaki itu.
"Chill, Ammara. Baru dua minggu bukannya dua bulan atau dua tahun. Slow-slow. Lambat-laun dia pasti akan tangkap leleh dengan engkau," gumam Ammara perlahan.
Adelia dan Batrisya pula terpinga-pinga melihat reaksi Ammara.
Share this novel