Adelia terjaga dari tidur apabila terdengar bunyi bising di luar. Dia melihat jam baru menunjukkan pukul empat pagi. Pada mulanya dia ingin sambung tidur semula tetapi bunyi bising di luar membuatkan hatinya menjadi resah. Risau jugak kalau-kalau ada yang cuba pecah masuk rumah. Sudahlah di rumah itu hanya dia dan Ammara sahaja yang tinggal.
Dengan teragak-agak Adelia turun dari katil dan menuju ke pintu. Sempat lagi dia mengambil payung yang tergantung di tepi almari baju. Perlahan-lahan dia membuka pintu dan menjengahkan sedikit kepala keluar. Ruang tamu masih lagi gelap. Tiada sebarang pergerakan pun di sana. Dia melihat pula pintu bilik Ammara yang tertutup rapat.
Tiba-tiba hidungnya terhidu sesuatu yang hangit. Adelia tercari-cari bau hangit itu sehingga ke dapur. Tanpa berfikir panjang dia terus ke dapur. Matanya terbeliak melihat keadaan dapur yang bersepah dan penuh asap. Dia melihat Ammara sedang terbatuk-batuk di tepi tingkap.
"Mara, awak buat apa ni?"
Ammara yang sedang mencari nafas kerana tersedak bau asap terkejut apabila di sergah dari belakang. Dia segera memusingkan badan.
"Kus semangat! Buat terkejut oranglah Lia ni. Ingatkan apalah tadi," kata Ammara sambil mengurut dadanya.
Adelia rasa bersalah kerana telah membuatkan rakan serumahnya itu terkejut.
"Sorry, Mara. Lia tak sengaja nak sergah Mara tapi... Mara buat apa sampai berasap dapur?"
Adelia melihat ke dalam kuali. Terkejut dia melihat ayam goreng yang sudah hangus rentung. Dia memandang Ammara yang tercegat di tepi sinki.
"Mara nak masak apa pagi-pagi buta ni?" tanya Adelia lagi.
Ammara tersengih sambil menggaru kepala.
"Yang sebenarnya Mara nak buat ayam goreng tapi tak sangka pula ayam tu boleh terhangus," ujarnya tersipu-sipu.
"Lah, kenapa tak guna air fryer saja?"
Ammara terkebil-kebil memandang wajah Adelia. Dia seperti orang dalam kebingungan.
"Kita ada air fryer ke kat dalam rumah ni?"
Adelia menepuk dahi. Apa punya soalan bodohlah Mara ni, bisiknya dalam hati. Kemudian dia menuding jari ke rak di sebelah peti sejuk.
"Itu apa?"
Sekali lagi Ammara terpinga-pinga melihat air fryer jenama Panasonic terletak elok di atas rak. Sungguh dia tidak ingat bila masa dia membeli perkakas itu. Adelia menggeleng kepala. Dia berpeluk tubuh sambil merenung wajah dungu Ammara.
"Mara, lebih baik awak berterus-terang dengan saya. Yang sebenarnya awak tak pernah masak kat rumah ni. Betul tak?"
Ammara tersipu-sipu. Wajahnya yang putih melepak berubah merah padma. Perlahan-lahan dia mengangguk kepala. Adelia menarik nafas panjang. Patutlah dia tengok banyak perkakas di dapur masih baru dan berhabuk. Seperti tidak pernah di sentuh selama ini.
"Awak nak masak apa? Biar saya tolong," kata Adelia sambil membersihkan kuali yang sudah berkerak.
Ammara tersengih-sengih.
*****
Adelia melihat Ammara menyanyi riang sambil memasukkan bekas makanan ke dalam beg kertas. Hatinya serba tidak kena apabila mendapat tahu Ammara ingin memberi makanan tersebut kepada Fahri.
"Mara, awak serius ke nak bagi makanan tu kat mamat tu?" tanya Adelia sekali lagi.
"Mamat mana, Lia,?"
"Tu... mamat kerek yang kat pejabat asrama tu," jawab Adelia dengan bibir yang muncung.
Ammara tergelak kecil.
"Nama dia Fahri, lah. Lagi satu... kenapa awak panggil dia mamat kerek?"
Adelia mencebik bibir. "Saya tak suka dia. Dia poyo lepas tu kerek nak mam..."
Adelia tidak jadi meneruskan cakapnya. Sempat lagi dia menampar mulutnya yang lancang. Ammara pula memandang Adelia dengan dahi yang berkerut. Pelik melihat reaksi Adelia pada pagi itu. Jarang sekali dia mendengar gadis itu berkata buruk tentang orang lain.
"Yang mana satu ni? Poyo ke kerek?"
"Dua-dua!" jawab Adelia laju.
Ammara hanya menggelengkan kepala.
"Haih. Macam-macamlah awak ni, Lia. Fahri tu okey orangnya. Nanti awak dah lama kenal mesti awak pun suka dengan dia... cupp! Dia saya punya. Hehehe." Ammara berseloroh.
Sekali lagi Adelia mencebik bibir.
"Tak ingin saya mamat poyo lagi kerek tu. Bagi free pun saya tak ingin," ujarnya sambil menonong pakai kasut sebelum keluar rumah.
"Eh, Lia. Tunggulah. Nak kunci pintu ni!" laung Ammara sambil tergesa-gesa mengunci pintu rumah.
Dalam perjalanan ke sekolah sempat lagi Ammara singgah ke pejabat pengurusan asrama semata-mata mahu menghantar makanan kepada Fahri. Kebetulan pula waktu itu Fahri baru sahaja masuk kerja.
"Bekal untuk saya?" tanya Fahri sambil mengambil beg kertas yang Ammara hulurkan kepadanya.
Yup!" jawab Ammara pendek. Senyuman manis tidak lekang dari bibirnya yang merah merekah.
"Tapi kenapa?"
"Oh, saja saya nak bagi Fahri rasa air tangan saya," kata Ammara lagi sambil mengenyit mata kepada Adelia. Bukannya dia yang masak tetapi Adelia yang masak lauk pagi itu. Dia hanya basuh beras sahaja.
"Rajin cikgu masak pagi-pagi." Fahri memuji.
"Isk, kan saya dah cakap tak payahlah panggil cikgu. Panggil Mara saja..."
Ammara tersipu-sipu. Sesekali dia menyelitkan rambutnya yang ditiup angin ke celah telinga. Kepalanya tertunduk menekur ke lantai simen. Lagaknya seperti anak gadis Melayu terakhir yang malu-malu apabila dipuji oleh sang teruna.
"Kalau dah itu yang Mara minta... Ri okey saja." Fahri berseloroh.
Adelia yang mendengar perbualan dua orang itu sedari tadi berasa seperti hendak muntah hijau. Meremang bulu romanya apabila mendengar mamat kerek itu membahasakan dirinya 'Ri'.
"Cikgu!"
Adelia tersentak apabila terasa seseorang menyentuh bahunya. Kelihatan Izmer yang kebetulan baru sahaja keluar dari DM berdiri di hadapannya.
"Cikgu tak pergi sekolah? Dah bunyi loceng tu," kata Izmer.
Adelia terpinga-pinga. Baru dia sedar yang loceng asrama baru sahaja berbunyi. Itu tanda yang pintu asrama akan ditutup sebentar sahaja lagi. Adelia terkebil-kebil memandang wajah pelajarnya.
"Ohh... err... nak pergilah ni," kata Adelia tersekat-sekat.
Dia menoleh ke arah Ammara yang masih lagi berbual dengan Fahri di hadapan pejabat pengurusan asrama. Malas menunggu Ammara akhirnya Adelia memutuskan untuk pergi dahulu ke sekolah.
"Biar saya tolong cikgu pegang buku-buku ni." Izmer menawarkan diri.
"Eh, tak apa. Cikgu boleh bawa..."
"Tak apa. Biar saya yang bawa," kata Izmer lagi. Dia terus mengambil buku latihan pelajar dari tangan Adelia.
Adelia terdiam sejenak. Melihat Izmer berkeras mahu membantunya membuatkan Adelia terpaksa merelakannya. Mereka pun berjalan beriringan menuju ke sekolah. Sesekali mereka bergelak ketawa sambil berbual tentang hal-hal di sekeliling mereka.
Sementara itu, Fahri tidak lepas dari memandang Adelia dan Izmer yang sedang berjalan beriringan ke sekolah. Dia tidak suka apabila melihat Adelia berbual mesra dengan pelajarnya itu. Dia tidak suka mendengar suara tawa Adelia apatah lagi melihat gadis itu tersenyum riang seperti tiada apa-apa yang berlaku. Pada Fahri, Adelia tidak layak untuk merasa bahagia. Dia akan melakukan apa sahaja untuk menyakitkan hati gadis itu sehingga Adelia dengan sendirinya mengaku yang dirinya punca Firzanah mati.
"Ri? Kenapa ni? Awak dengar tak apa yang saya cakap?" tanya Ammara berkali-kali.
Fahri berpaling ke arah Ammara semula. Kali ini raut wajahnya tampak serius.
"Loceng dah bunyi awak tak pergi sekolah, ke?" Nada suara Fahri berubah rentak. Raut wajahnya juga tampak ketat. Dalam sekelip mata dia berubah menjadi seorang yang dingin.
"Alamak! Saya tak sedar dah bunyi loceng. Eh, mana Lia? Err... Ri, saya pergi dulu. Awak jangan lupa makan, okey!" kata Ammara. Dia pun segera beredar ke sekolah.
Tinggallah Fahri sendirian di situ. Dia melihat jam di tangan. Hari masih awal lagi. Kak Limah masih belum masuk kerja lagi. Ini bermakna hanya dia seorang sahaja di dalam pejabat pada waktu itu.
Fahri menggunakan peluang itu dengan menyeludup masuk ke dalam bilik dokumen. Bilik tersebut menyimpan maklumat pelajar asrama yang terdahulu. Menurut Kak Limah, dokumen-dokumen tersebut akan dilupuskan memandangkan sekarang ini segala maklumat pelajar boleh diperolehi melalui sistem yang dirangka khas oleh pihak pengurusan.
Fahri membuka bilik tersebut menggunakan kunci yang dia ambil dari meja Kak Limah. Sebaik sahaja pintu dibuka debu habuk bertebaran sehingga membuatkan Fahri terbatuk-batuk. Dia cuba menghidupkan suis lampu di situ namun suisnya sudah tidak lagi berfungsi. Dengan menggunakan cahaya lampu dari telefon bimbit, Fahri menjalankan misinya. Misi mencari rahsia disebalik kematian Firzanah.
*****
Deringan loceng yang panjang menandakan tamatnya sesi persekolahan pada hari itu. Pelajar asrama berpusu-pusu keluar dari kelas masing-masing untuk mengisi perut di DM sebelum balik ke dorm masing-masing. Tenaga pengajar juga turut meninggalkan perkarangan sekolah dan pulang ke rumah masing-masing.
"Mara, awak tak balik lagi, ke?" tanya Adelia apabila melihat Ammara masih lagi ralit dengan tugasannya.
"Erm, lepas siap kerja ni saya baliklah. Kalau Lia nak balik, baliklah dulu. Nah, ambil kunci ni. Saya lupa nak buat spare key untuk Lia," kata Ammara sambil menghulurkan kunci rumah kepada Adelia.
"Okey," jawab Adelia pendek.
Sebelum pulang Ammara sempat meminta Adelia menyerahkan beberapa dokumen kepada Kak Limah di pejabat pengurusan asrama memandangkan dia masih ada beberapa tugasan yang perlu diselesaikan.
Di pejabat pengurusan asrama pula, Fahri sibuk dengan tugasannya sebagai kerani di situ. Sambil membuat kerja anak matanya sempat melirik pada beg sandangnya. Ada sesuatu yang dia sembunyikan di dalam begnya itu.
"Ri, tak keluar rehat, ke? Nak akak tapaw makanan?" Kak Limah bertanya.
Fahri tersentak apabila ditegur secara tiba-tiba. Lantas dia memaniskan wajah.
"Tak apa, kak. Saya ada bawa bekal hari ni," jawab Fahri.
"Amboi. Rajin kamu bawa bekal," seloroh Kak limah.
"Tak adalah, kak. Orang bagi tadi. Sayang pula tak makan," balas Fahri lagi.
Kak Limah hanya mengangguk. "Okeylah, akak keluar rehat dulu," katanya lagi.
Fahri hanya tersenyum nipis. Tinggallah dia seorang sahaja di pejabat pada waktu itu. Pada mulanya dia ingin menyambung semula kerjanya tetapi terbantut apabila matanya terpandang beg kertas yang Ammara beri kepadanya pagi tadi. Tiba-tiba sahaja perutnya berkeroncong minta untuk diisi. Setelah berbolak-balik dengan diri sendiri akhirnya Fahri mengambil juga beg kertas tersebut.
Semerbak harum aroma daun pandan yang ada pada nasi lemak masuk ke rongga hidung. Fahri menghidunya dengan penuh nikmat. Turut ada sekali ayam goreng, sambal tumis, telur rebus serta beberapa hirisan timun. Namun yang paling menarik perhatian Fahri adalah sambal tumis yang merah menyala. Sangat menggoda seleranya. Sesungguhnya dia seorang penggemar sambal tumis.
"Biar betul Ammara yang buat semua ni?" gumamnya sendiri.
Seperti orang yang kelaparan dia terus menyuap sesudu nasi lemak yang sudah digaul dengan sambal tumis yang menyengat itu ke dalam mulut.
Sampai terpejam mata Fahri menikmati keenakan nasi lemak itu. Sedar tak sedar sudah tiga siap masuk ke dalam mulutnya.
"Sedap betul sambal tumis ni. Rasa macam pernah makan. Rasa tu familiar sangat. Tapi kat mana aku makan sambal tumis ni?"
Fahri berkata sendirian sambil merenung sambil tumis yang sudah tinggal separuh di dalam bekas. Dia yakin yang dia pernah rasa sambal tumis itu sebelum ini.
"Cuba Ri rasa sambal tumis ni? Sedap tak?"
Fahri mencuit sedikit sambal tumis yang Firzanah hulurkan ke dalam mulutnya.
"Hmm, sedap. Zana ke yang masak sambal tumis ni? Sedap sangat. Ri suka."
"Taklah. Kawan Zana yang masak sambal tumis tu. Sedap, kan."
Tiba-tiba Fahri terbatuk kerana tersedak sambal. Cepat-cepat dia mengambil air di pantri dan meneguknya dengan rakus. Fahri mengesat sisa air yang bertubir di tepi bibir. Nafasnya tercungap-cungap. Baru sahaja sebentar tadi dia teringat akan perbualannya bersama Firzanah suatu masa dahulu. Sekarang dia sudah ingat di mana dia pernah makan sambal tumis itu. Bukan Ammara yang masak bekalan itu tetapi Adelia.
Tiba-tiba Fahri terasa tekaknya seperti loya. Cepat-cepat dia ke sinki dan memuntahkan segala yang dia makan sebentar tadi. Dia tidak rela menelan apa yang Adelia masak. Dia rasa jijik. Setelah berasa lega, Fahri terus mengambil bekas makanan itu dan membuang nasi lemak yang masih tidak terluak ke dalam tong sampah. Dia tahu tindakannya itu suatu pembaziran tetapi tekaknya tidak sudi menelan masakan Adelia.
"Apa yang awak buat?"
Fahri segera menoleh. Dia terkejut melihat Adelia berdiri tercegat di belakangnya.
"Awak buang nasi lemak tu?" tanya Adelia lagi apabila melihat bekas makanan yang sedang Fahri pegang sudah kosong.
"Ada masalah ke kalau aku buang?" soal Fahri bersahaja.
Adelia berkerut dahi. Dia tidak sangka lelaki di hadapannya itu sanggup membuang makanan.
"Awak cakap apa masalah? Awak tahu tak itu makanan. Rezeki! Ada orang kat luar sana sampai sanggup kutip makanan dari tong sampah semata-mata untuk isi perut mereka tapi awak... senang-senang macam tu saja buang makanan. Mana common sense awak, hah?!" Adelia mula naik angin.
Fahri terdiam. Dia sedar dirinya bersalah kerana membuang makanan tetapi dia memilih untuk bersikap egois kerana dia memang sengaja mahu membuat Adelia berasa sakit hati.
"Common sense tak common sense, itu bukan masalah aku. Aku peduli apa!" tempelak Fahri. Sengaja ingin menyakiti hati Adelia.
Dia ada terbaca di dalam diari Firzanah, di mana Adelia sangat sensitif tentang pembaziran makanan. Pernah terjadi satu isu di mana Adelia sampai bergaduh dengan salah seorang rakannya yang suka membuang makanan.
"Awak tahu tak Ammara sanggup bangun pagi buta semata-mata nak buatkan makanan untuk awak. Tak boleh ke awak hargai sikit penat lelah dia?" marah Adelia lagi. Hatinya benar-benar sebal dengan sikap Fahri yang menjengkelkan.
"Ada aku suruh dia masak untuk aku?"
Adelia bertambah bengang dengan mamat kerek itu. "Engkau..." gumamnya. Rentak suaranya mula berubah. Ikutkan hati nak saja dia tampar muka perasan bagus tu.
"Apasal? Engkau nak tampar aku? Tamparlah!"
Fahri sengaja mencabar kesabaran Adelia.
"Kalau Ammara tahu engkau buang pemberian dia... mesti dia sedih," kata Adelia lagi. Dia terus ubah panggilannya dari saya-awak kepada aku-engkau. Padanya orang seperti Fahri tidak layak untuk dia hormati. Kerek!
"Di tak akan tahu kalau tak ada yang report kat dia!"
Adelia mengetap bibir. Wajahnya masam mencuka. Sakit hatinya setiap kali Fahri membidas setiap cakapnya. Mamat poyo! Kerek nak mampus! Tidak. Mamat hipokrit. Gelaran yang paling sesuai untuk lelaki seperti Fahri.
Fahri menapak perlahan-lahan mendekati Adelia. Matanya merenung tajam wajah bujur sireh itu. Adelia yang menyedari akan itu terundur ke belakang sehingga tubuhnya terkena pada dinding. Dia ingin berkalih namun Fahri terlebih dahulu menghalang dengan kedua belah tangan. Kini Adelia terperangkal di tengah-tengah antara Fahri dan dinding.
"Ap... apa yang cuba engkau buat ni?" Suara Adelia tergagap-gagap.
Fahri tidak membalas. Sebaliknya dia terus merenung wajah itu dalam-dalam. Meskipun usia mereka sekarang ini sudah masuk 30 tetapi bagi Fahri, gadis di hadapannya itu tetap sama dengan gadis yang pernah dia jumpa 15 tahun yang lepas. Dalam marah ada manisnya. Suatu masa dahulu, wajah itu hampir membuatkan hati lelakinya berbunga mekar.
Tanpa sedar Fahri mendekatkan mukanya ke muka Adelia. Kini jarak antara mereka hanya beberapa inci sahaja. Mereka boleh merasai deru nafas masing-masing. Mereka saling bertatapan mata. Bagai ada arus eletrik yang menggetarkan hati masing-masing. Rasa berdebar yang menggila merajai dada masing-masing. Fahri semakin maju ke hadapan. Dia bagaikan lupa diri. Sedikit sahaja lagi bibir mereka saling bersentuhan.
Bagaikan terkena kejutan elektrik Adelia terus menolak tubuh Fahri menjauh darinya. Kemudian dia menampar muka lelaki itu sekuat hatinya. Fahri tergamam.
"Engkau buat apa ni, hah? Dah gila ke apa?" marah Adelia. Suaranya mulai meninggi. Mujur sahaja ketika itu hanya mereka berdua sahaja di situ.
Fahri terkedu. Dia meraba pipinya sakit. Dia sendiri tidak sedar apa yang telah dia lakukan. Yang dia tahu sekarang ini jantungnya tidak mahu duduk diam. Asyik berdegup kencang setiap kali memandang wajah Adelia. Buat seketika dia jadi lupa dengan dendamnya terhadap gadis itu.
"Aku... aku..."
Tak semena-mena Fahri menjadi gagap. Dia kehilangan kata-kata. Dia ingin minta maaf tetapi lidahnya terasa kelu. Adelia mendengus kasar. Matanya merenung tajam wajah itu. Sambil bercekak pinggang dia memberi amaran.
"Mulai hari ini... aku tak nak tengok muka engkau setiap kali aku lalu kat kaki lima depan tu."
Fahri terpinga-pinga.
"Apasal pula? Jalan tu bukan jalan bapak engkau!" tempelaknya.
Adelia melirik sinis.
"Bapak tak bapak. Pokoknya aku tak nak engkau dekat dengan aku. Kalau tidak... aku akan report kat pihak atasan dan beritahu mereka yang engkau cuba cabul aku!" ugutnya sebelum beredar dari situ dengan hati yang bungkam.
Sekali lagi Fahri terkedu. Nampaknya kali ini dia terciduk dalam permainannya sendiri. Dalam hati dia mengutuk dirinya sendiri kerana tidak cuba mengawal perasaannya tadi.
Share this novel