Sebuah ambulan meluncur laju memasuki kawasan hospital. Bunyi siren yang lantang menarik perhatian warga hospital dan pengunjung yang ada di situ. Ambulan itu berhenti betul-betul di hadapan pintu unit kecemasan. Dua orang petugas kesihatan sudah bersedia menanti kedatangan ambulan itu.
"Lepaskan aku! Aku tak nak hidup. Biarkan aku mati. Arghhh!"
Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun, lengkap berpakaian sekolah diusung keluar dari perut ambulan sebelum di bawa masuk ke dalam unit kecemasan. Tubuhnya terpaksa diikat kerana cuba bertindak agresif sewaktu di dalam ambulan. Terdapat bekas merah pada lehernya manakala pada pergelangan tangan kanannya pula berbalut dengan kain pembalut. Tangannya luka kerana pelajar perempuan itu cuba menghiris tangannya dengan pisau sewaktu di dalam ambulan. Pelajar perempuan itu menjerit sambil meronta-ronta apabila seorang doktor wanita cuba merawatnya.
"Adik, bawa bertenang. Bagi kami periksa keadaan adik dulu," ujar Doktor Masyitah seperti yang tertera pada tag nama. Dia cuba membuka kain pembalut yang meliliti pergelangan tangan pelajar perempuan itu.
"Tak nak! Biar aku mati baru semuanya puas hati!" raung pelajar perempuan itu sambil menepis tangan doktor yang merawat.
Raungannya memenuhi ruang unit kecemasan. Semua yang ada di situ baik pesakit mahupun petugas kesihatan terjengah-jengah ke arah pelajar perempuan itu. Gelagatnya seperti orang terkena sampuk sekaligus menimbulkan pelbagai reaksi kepada mata yang memandang. Doktor perempuan itu segera menarik langsir bagi mengelakkan mata-mata terus memandang pelajar perempuan itu.
Pelajar perempuan itu semakin bertindak agresif lebih-lebih lagi apabila melihat orang tuanya berada di situ. Dia berjaya meloloskan diri dan cuba bertindak melarikan diri namun sekali lagi sempat di tangkap oleh petugas kesihatan di situ.
"Pergi! Pergi! Mia tak nak tengok muka ibu dan ayah lagi!"
Saripah dan Masri beristighfar panjang. Banyak mata memandang ke arah mereka sehingga membuatkan pasangan suami isteri itu tersipu malu. Itu belum masuk lagi suara-suara sumbang yang berkata tentang mereka. Dalam sekelip mata unit kecemasan menjadi riuh sehinggakan doktor dan jururawat di situ terpaksa mengasingkan Mia ke tempat yang lebih privasi.
"Encik dan isteri sila tunggu di luar sementara kami merawat anak encik," kata seorang jururawat.
Pasangan suami isteri itu tiada pilihan lain selain menunggu sehinggalah rawatan Mia selesai. Mia terpaksa di tahan di wad memandangkan keadaannya yang tidak stabil.
"Tak perlu. Kami nak bawa anak kami pulang sekarang juga," kata Masri sambil merempuh masuk ke dalam bilik wad Mia.
Mia terkejut apabila ibu dan ayahnya tiba-tiba masuk ke dalam biliknya dengan wajah yang menyinga.
"Cepat siap. Kita balik rumah sekarang!" arah Masri. Nada Suaranya agak keras kedengaran.
Mia menggeleng kepala. Wajahnya pucat lesi. Tergambar rasa takut di wajahnya.
"Tak nak! Mia tak nak balik!"
"Engkau jangan nak buat perangai kat sini boleh, tak? Aku cakap balik, baliklah!" jerkah Masri lagi.
"Encik, tolong perlahankan suara. Ini hospital," tegur Doktor Masyitah.
Masri mendengus kasar. "Engkau jangan nak menyibuk. Ini urusan kami anak beranak. Pergi rawat pesakit engkau yang berlambak kat luar tu!"
Air muka doktor wanita itu berubah apabila diherdik sedemikian rupa. Namun, sebagai seorang doktor dia tidak akan sesekali membiarkan pesakitnya di bawa keluar tanpa keizinannya. Dia cuba menghalang si ayah tetap berkeras mahu membawa anaknya pulang.
"Lebih baik engkau bangun sekarang sebelum aku heret engkau sepanjang jalan!" jerkah Masri seraya mengheret Mia sehingga gadis itu terjatuh dari katil.
"Lepas! Jangan sentuh Mia. Mia tak nak balik. Kalau Mia balik nanti ayah..."
Mia tidak jadi meneruskan ayatnya. Dia memandang Masri dengan rasa takut.
Wajah Masri berubah. Seperti ada sesuatu yang cuba dia sorokkan namun dia tetap berlagak seperti biasa. Melihatkan anaknya itu tidak mahu berganjak lalu dia menyuruh isterinya pula yang memujuk anak mereka.
"Marilah balik, sayang. Mia tak kesian kat ibu, ke?" Saripah cuba memujuk.
Mia tertawa sinis. Anak matanya tajam memandang Saripah.
"Ibu pula... pernah ke ibu kesian kat Mia selama ni?"
"Mi cakap apa ni? Ibu... tak faham," kata Saripah tersekat-sekat. Anak matanya sempat melirik pada doktor dan jururawat yang ada di bilik itu. Khuatir tembelang mereka pecah.
"Ibu tak payah nak berpura-pura. Setiap hari ibu dan ayah pukul dan paksa Mia supaya belajar. Kalau Mia tak dapat nombor satu ibu marah. Mia nak keluar jumpa kawan-kawan tak bagi. Hari-hari kena hadap buku. Ibu tak bagi Mia tidur selagi tak siapkan semua latihan. Mia cakap Mia sakit tapi ibu tak percaya. Ibu paksa Mia lagi adalah. Yang keluar dari mulut ibu... belajar! Belajar! Belajar!" jerit Mia lagi.
"Sayang, ibu buat semua tu demi kamu juga. Demi masa depan kamu. Ibu tak mahu kamu jadi orang yang tak berguna bila dah besar nanti."
"Arghhh! Balik-balik ayat yang sama ibu guna. Mia tertekan ibu tahu, tak? Mia rasa hidup Mia ni terkongkong. Mia tak boleh buat apa yang Mia suka. Mia terpaksa ikut cakap ibu walaupun Mia tak suka. Mia... penat!"
Sekali lagi Mia meninggikan suara. Air matanya terus berjuraian seperti air hujan. Dia lelah. Lelah menanggung rasa sakit yang terbuku di dada.
"Cukup, Mia! Engkau sebagai anak patut dengar dan ikut apa yang kami cakap. Kami ini orang tua engkau. Lebih lama makan garam, lebih lama kenal hidup. Baru tertekan sikit dah nak bunuh diri. Engkau tak fikir pulak pasal tekanan aku? Banyak benda yang aku kena fikir. Engkau sepatutnya rasa bersyukur kami ambil engkau jadi anak angkat kami. Engkau tahu berapa modal yang kami keluarkan untuk besarkan engkau? Takkan engkau tak boleh nak berkorban sikit untuk kami?" bentak Masri lagi.
Mia terdiam. Dia sedar dia hanyalah anak angkat ibu dan ayah. Dia tidak pernah mengenali siapakah orang tua kandungnya. Yang dia tahu dia sudah berada di rumah anak yatim sewaktu usianya masih dalam hari lagi. Di situlah tempat dia membesar sehinggalah sepasang suami isteri datang mengambilnya untuk dijadikan anak angkat. Sudah lima tahun dia menjadi anak angkat Masri dan Saripah. Sepanjang lima tahun itu dia banyak memendam perasaan. Jiwanya retak. Hatinya remuk dengan sikap Masri dan Saripah yang terlalu mengongkong.
"Encik yang sepatutnya rasa bersyukur sebab berpeluang menjadi seorang ayah."
Semua mata memandang ke arah pemilik suara yang mencelah. Seorang perempuan muda berbaju kurung merah hati berdiri di muka pintu. Pada dada bajunya tertera tag nama. Adelia.
Adelia mendekati pasangan suami isteri yang menjengkelkan itu. Matanya galak merenung ke arah mereka. Sakit betul hatinya melihat pasangan suami isteri itu berterusan menyalahkan anak mereka atas apa yang berlaku.
"Engkau ni siapa? Tiba-tiba datang menyampuk," marah Masri. Matanya mencerlung tajam memanjang perempuan di hadapannya itu.
"Saya Adelia. Guru kaunseling di sekolah Mia."
"Guru kaunseling? Huh! Cikgu, apa yang cikgu buat kat sekolah sampaikan anak saya ni boleh nak bunuh diri di sekolah?" marah Saripah pula dengan raut wajah yang menjengkelkan. Sempat lagi dia menunding jari kepada Adelia.
Bibir Adelia melirik sinis.
"Puan tanya saya, kenapa? Sepatutnya saya yang tanya dekat puan dan suami puan. Apa yang puan dan suami puan dah buat dekat Mia sehingga dia sanggup mengambil tindakan untuk membunuh diri?" soalnya kembali.
Pasangan suami isteri itu saling memandang. Masing-masing kelihatan gugup lebih-lebih lagi apabila banyak mata terarah kepada mereka.
"Kami buat apa? Kami tak ada buat apa-apa pun."
Sekali lagi Adelia melirik sinis.
"Tak buat apa-apa puan cakap? Habis tu ini apa?" bentaknya seraya menarik lengan baju Mia sehingga ke siku.
Semua yang ada di dalam bilik itu terbeliak mata melihat kesan lebam dan luka pada lengan kecil itu. Doktor Masyitah segera mendekati Mia dan memeriksa keadaan pelajar itu.
"Ini kesan kena pukul. Ada kesan kena cucuh dengan benda bakar pulak tu," kata Doktor Masyitah.
Patutlah Mia mengelak sewaktu dia mahu menyentuh lengan pelajar itu. Rupa-rupanya ada sesuatu yang sedang disembunyikannya.
"Puan masih mahu menidakkannya?" soal Adelia sekali lagi. Nada suaranya sedikit meninggi.
Saripah tersentak apabila Adelia mengherdiknya. Wajahnya pucat lesi. Manakala Masri pula masih lagi berlagak tenang walaupun di dalam dirinya seperti sedang dilanda ribut taufan.
"Salah ke kalau kami marah atau pukul anak kami kalau dia buat salah? Salah ke?!" balas Saripah dengan berani walaupun rasa gementar itu ada.
"Tak salah kalau nak marah sebab nak didik tapi bila puan dan encik pukul Mia sampai mendatangkan kecederaan emosi dan fizikal itu sudah dikira salah!" Suara Adelia semakin meninggi.
Sekali lagi pasangan suami isteri itu terkedu. Mereka mula berasa tidak senang hati. Sepertinya ada sesuatu yang mereka cuba sembunyikan dari umum.
"Cikgu tak ada bukti untuk sabitkan yang saya dan isteri saya dera Mia. Boleh jadi dia bergaduh dengan kawannya. Budak sekarang bukan boleh percaya sangat. Depan kita mungkin nampak baik tapi belakang kita... tup-tup silap hari bulan bawa perut. Siapa yang malu? Orang tuanya juga yang menanggung malu kelak!" kata Masri pula tanpa rasa bersalah.
"Astaghfirullah al'azim. Encik sedar tak apa yang encik cakap?"
Adelia merasakan tahap kesabarannya semakin menipis. Geram dengan lelaki di hadapannya itu. Sangat ego! bisik hatinya.
Adelia melirik pada Mia yang sedang menutup telinganya dengan kedua belah tangan. Pelajarnya itu menangis teresak-esak. Dia jatuh kasihan melihat keadaan Mia yang sangat tertekan. Kemudian anak matanya jatuh pada bekas merah yang meliliti leher Mia. Bekas merah itu daripada tali yang meliliti leher Mia sewaktu dia cuba membunuh diri dengan menggantungkan dirinya di makmal sains.
Tiba-tiba sahaja Adelia menjadi gugup. Satu bayangan yang samar-samar melintasi ruang mata. Jantungnya mula berdegup kencang tidak tentu arah. Dadanya terasa seperti sempit. Dia tidak tahu kenapa tiba-tiba sahaja dia di serang rasa panik. Perlahan-lahan dia menarik nafas untuk menghilangkan rasa panik itu.
"Cikgu tak apa-apa?" tegur Doktor Masyitah.
Adelia segera memaniskan wajah. "Saya tak apa-apa," jawabnya pendek.
Doktor Masyitah memandang Masri dan isterinya dengan wajah yang tegang.
"Saya tak izinkan encik berdua bawa pesakit saya ini keluar dari hospital. Saya rasa kes ini bukan setakat cubaan membunuh diri tapi turut melibatkan kes dera. Kalau encik berdua berkeras mahu mengambil pesakit saya ini... saya tak ada pilihan lain selain report polis!" tegasnya.
Air muka Masri dan Saripah terus berubah pucat. Mereka khuatir kalau doktor itu betul-betul mahu membuat laporan polis. Nak tak nak mereka terpaksa akur. Sebelum beredar Saripah sempat memberi amaran kepada Adelia.
"Aku akan report kat pihak atasan supaya engkau di buang dari sekolah!" ugutnya.
"Saya tak kisah kalau puan mahu report saya kat KPM sekalipun. Saya hanya menjalankan tugas saya sebagai seorang guru. Apabila anak murid saya berada dalam masalah, takkan saya nak berdiam diri? Lebih-lebih lagi apabila orang yang diamanahkan untuk menjaganya sanggup menderanya secara fizikal dan mental. Saya mesti mengambil tindakan supaya anak murid saya dapat menjalani kehidupan remajanya dengan lebih baik dan selayaknya sama seperti remaja yang lain!" tegas Adelia.
Saripah mendengus kasar.
"Jomlah bang kita balik Kat sini kuat sangat bau bangkai!" cemuh Saripah dengan lagaknya.
"Tunggu dulu!"
Adelia menahan pasangan suami isteri itu dari pergi. Dia mendekati Masri dengan perasaan yang jelik.
"Encik jangan ingat saya tak tahu apa yang encik dah buat kat Mia. Mia dah ceritakan segala-galanya kepada saya. Saya rasa... isteri encik tak tahu pasal 'hal itu'."
Adelia berbisik ke telinga Masri. Air muka lelaki itu terus berubah. Matanya terbeliak memandang Adelia yang tersengih sinis kepadanya. Dengan terkocoh-kocoh Masri terus menarik isterinya beredar dari situ.
Setelah pasangan suami isteri itu beredar, Adelia terus mendapatkan Mia. Dia memeluk pelajarnya itu dengan penuh erat.
"Jangan takut. Mereka sudah pergi. Kamu selamat sekarang. Mereka tak boleh apa-apakan kamu." Adelia memujuk sambil mengusap lembut rambut Mia.
Mia menangis teresak-esak dalam pelukan Adelia. Dia memeluk kuat tubuh gurunya. Jika tadi dia sangat takut tatkala berhadapan dengan keluarga angkatnya tetapi kini dia merasakan ketenangan dalam dirinya. Buat pertama kali dia berasa selamat apabila bersama orang dewasa.
*****
"Apa? Sudah keluar wad? Bila? Kenapa doktor benarkan mereka ambil Mia?" soal Adelia.
Doktor Masyitah menarik nafas panjang. Dia menyerahkan fail pesakit kepada jururawat yang bertugas di kaunter. Kemudian barulah dia memandang guru muda itu.
"Mereka datang bersama peguam mereka. Saya tak ada pilihan lain bila mereka mahu menyaman pihak hospital kerana tidak membenarkan mereka membawa Mia pulang," ujarnya.
Adelia mengetap bibir. Tangannya di genggam penuh erat sehingga berbekas. Dia sangat terkejut apabila mendapat panggilan daripada pihak hospital yang memberitahu Mia sudah keluar daripada hospital. Sebab itulah dia datang ke situ untuk mendapatkan penjelasan. Dia tidak menyangka orang tua Mia menggunakan khidmat peguam untuk mengeluarkan Mia dari situ.
"Habis tu macam mana dengan laporan kes dera tu? Pihak polis cakap apa?" soalnya lagi.
Kali ini Doktor Masyitah melepaskan keluhan dengan berat. Seperti ada sesuatu yang sukar untuk dia lafazkan secara lisan. Adelia menanti dengan penuh debar.
"Mia ubah pengakuannya. Dia cakap dia bergaduh dengan kawan sehingga mendatangkan kecederaan. Jadi, laporan yang saya buat itu dikira tidak valid."
Adelia merengus kasar. Dia berasa sangat kesal atas apa yang berlaku. Dia percaya Masri telah mengugut Mia supaya mengubah pengakuannya. Kalaulah dia tidak menghadiri kursus selama tiga hari di Kuantan pasti semua ini tidak akan berlaku.
Sedang dia bermonolog dengan diri sendiri tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Adelia terus mengangkat tanpa melihat nombor pemanggil yang tertera pada skrin.
"Helo!"
Adelia tidak menyangka yang dia akan mengiringi jenazah anak muridnya ke tanah perkuburan. Beberapa hari yang lepas, dia mendapat panggilan daripada pihak polis yang menyatakan tentang kematian Mia. Dia betul-betul sangat terkejut apabila pihak polis memberitahu Mia mati kerana bunuh diri di rumahnya. Baru sahaja beberapa hari lepas dia menyelamatkan Mia daripada bunuh diri. Dia tidak menyangka Mia tetap meneruskan niatnya itu.
Hati seorang guru berasa walang saat melihat jenazah anak muridnya dimasukkan ke dalam Liang lahad. Gugurlah sekuntum mawar putih yang belum mekar dari tangkainya ke tanah.
Jemput baca
Share this novel