"I minta maaf. I tak tahu yang you abang kepada arwah Zana."
Nurain kelihatan seperti tidak senang duduk setiap kali bertentang mata dengan Fahri.
"Arwah Zana tak pernah cerita pun yang dia ada kembar. Sebab tu I agak terkejut bila you cakap yang you ni... kembar arwah. Erm, tapi muka you dan arwah Zana tak nampak seiras..."
Sekali lagi Nurain bersuara. Matanya tidak berkelip menatap wajah tampan itu.
"I dan arwah Zana kembar tak seiras," jawab Fahri pendek.
"Ohh..."
Mulut Nurain terlopong luas mendengarnya. Buat seketika perasaannya melayang melihat ciptaan indah di hadapannya itu. Kenapalah Firzanah tidak pernah bercerita tentang kembarnya itu sebelum ini jika tidak pasti dia sudah...
"Cik Nurain?"
Nurain tersedar dari angan-angan apabila Fahri memanggilnya. Tersipu-sipu dia dibuatnya. Dia berpura-pura batuk untuk menghilangkan rasa malu.
"Ehem! Erm, jadi... ada apa you nak jumpa I?" soalnya tergagap-gagap.
Fahri merenung wajah Nurain dalam-dalam. Di dalam diari peninggalan Firzanah ada tertulis tentang Nurain. Kembarnya itu sering memuji Nurain di dalam diarinya. Nurain banyak membantunya sepanjang berada di Seri Bakti. Nurain sering mendengar luahan hatinya. Nurain yang itu. Nurain yang ini. Banyak yang Firzanah tulis tentang Nurain di dalam diarinya sampaikan Fahri dapat merasakan yang Nurain dan kembarnya itu mempunyai hubungan yang baik.
"Boleh I tahu hubungan you dan Zana semasa di Seri Bakti?" tanya Fahri pula. Sengaja ingin menduga Nurain.
Nurain terdiam. Raut wajahnya berubah mendung. Dia melepaskan keluhan kecil. Kemudian matanya memandang tepat ke wajah Fahri.
"I sendiri tak tahu macam mana nak jelaskan tentang hubungan kami cuma... apa yang I boleh cakap sepanjang I kenal arwah Zana, dia seorang kawan yang sangat baik. Zana suka tolong orang. Dia budak pandai. Budak surau. Kalau bercakap tu lembut sangat."
Nurain berhenti berbicara. Tiba-tiba dadanya terasa sebak apabila mengenangkan kisah lama bersama kenalan yang sudah kembali ke negeri abadi. Dia mengusap air mata yang bertubir di tepi kelopak dengan hujung jari. Fahri yang melihatnya segera menghulurkan tisu kepada Nurain. Nurain menyambutnya dengan rasa terharu.
"Thanks. Sorry. I sedikit emosi bila teringatkan tentang arwah Zana," ujarnya perlahan.
"It's okay. I faham," balas Fahri.
Nurain menghembus hingus menggunakan tisu. Kemudian dia menarik nafas panjang sekali lagi dengan harapan rasa sebak yang membelenggu dada beransur hilang.
"I tahu benda ni dah lama tapi I nak cakap juga kat you... takziah. I bersimpati atas apa yang terjadi kepada arwah Zana. Masa tu I tak ada kekuatan nak jumpa dengan parents arwah sebab I sendiri tak sangka yang arwah sanggup..."
Kali ini Nurain tidak mampu untuk meneruskan ayatnya. Air mata yang bertakung semakin lebat turun membasahi pipi. Bahunya yang terdedah bergegar menahan sebak.
Fahri hanya membiarkan perempuan itu menangis teresak-esak. Dia bagaikan makhluk yang tidak punya emosi. Raut wajahnya tampak kosong sekosong hatinya saat itu. Sedih? Dia sudah cukup lama bersedih dengan pemergian Firzanah. Marah? Dahulu dia sangat marah apabila mendapat tahu Firzanah membunuh diri tetapi sekarang rasa itu berganti dengan rasa ingin tahu kenapa Firzanah bunuh diri. Pihak polis sendiri tiada jawapan itu.
"I minta maaf kalau kehadiran I ni buat you jadi ingat kisah lama," ucap Fahri dengan nada yang perlahan.
Nurain menggeleng laju. Dia segera menyeka air matanya. Wajahnya yang hidung dan matanya menjadi merah kerana banyak menangis.
"Tak... I sepatutnya yang minta maaf sebab terlalu emosi," kata Nurain setelah tangisannya reda.
"I harap you tak berfikir buruk tentang arwah Zana. Kita semua tahu tindakannya tu... salah di sisi Islam tapi, setiap apa yang terjadi pasti ada sebabnya," tambahnya lagi.
"Masalahnya sampai sekarang I tak tahu kenapa Zana bunuh diri. Dah 15 tahun. Pihak polis sendiri tak ada bukti yang boleh mengaitkan kes kematian Zana. Macam mana I nak berlalang dada? Sebab itulah I jumpa you hari ni untuk I dapatkan sesuatu klu," luah Fahri.
"Tapi kenapa I?"
Fahri memandang wajah Nurain sekilas kemudian dia mengeluarkan diari Firzanah dari beg lalu menyerahkannya kepada Nurain.
"Sebab Zana banyak menulis tentang you dalam diarinya."
Mata Nurain terbelalak. Dia mengambil diari tersebut dengan teragak-agak. Dia menyelak muka surat yang Fahri sudah tandakan. Sekali lagi dia berasa sebak apabila membaca tulisan tangan Firzanah tentang dirinya. Sahabatnya itu banyak memujinya di dalam diarinya. Sekejap-sekejap dia menangis, sekejap-sekejap dia tertawa.
Fahri melihat sahaja Nurain dengan dunianya. Dia mengharapkan ada sesuatu yang dia dapat dalam pertemuan itu.
"Encik Fahri, ada sesuatu yang I nak tunjuk kat you," kata Nurain tiba-tiba.
Fahri yang sedang duduk bersandar terus tegakkan tubuhnya.
"Apa dia?"
Nurain menunjuk salah satu muka surat diari Firzanah kepada Fahri.
"Kat sini Zana ada tulis yang dia marah kat seseorang. Kalau tak silap I catatan ni sebulan sebelum Zana bunuh diri."
Fahri mengambil diari itu dari tangan Nurain. Dia membaca setiap baris ayat yang tertulis di dalam diari Firzanah.
'Aku betul-betul tak sangka yang dia sanggup khianati aku. Sampai hati dia buat aku macam ni. Apa dosa aku kat dia? Kenapa dia benci sangat kat aku?'
Fahri membaca catatan itu berulang-kali. Dia tidak perasan tentang catatan itu sebelum ini. Sel otaknya cuba menghadap maksud catatan kembarnya itu. Siapa yang khianat Firzanah? Apa yang 'orang itu' telah lakukan kepada Firzanah? Sebab itukah Firzanah membunuh diri? Kepala Fahri mula berasa pusing. Banyak persoalan yang bermain di kepalanya sehinggakan dia berasa mual dibuatnya. Fahri mengurut dahinya.
"Encik Fahri, are you okay?"
Fahri tersentak. Dia melihat Nurain merenungnya tidak berkelip.
"I'm fine."
Dia cuba memberi fokus pada catatan diari Firzanah.
"Agak-agaknya you kenal tak orang yang Zana maksudkan dalam diarinya ni?"
Nurain terdiam sejenak. Dia merenung lama catatan Firzanah itu. Sampai terherot-herot bibir dibuatnya. Kemudian dia memandang Fahri sambil menggeleng kepala. Fahri mengeluh kehampaan. Sedikit lagi dia berharap Nama Adelia meniti di bibir Nurain. Nampak gayanya persoalan dalam kepalanya semakin bertambah dengan catatan diari Firzanah yang terbaharu itu.
"Kejap! I tak pasti sama ada perkara ni ada kaitan dengan kematian Zana atau tidak tapi apa yang I ingat, Zana terus berubah selepas dia bergaduh dengan salah seorang rakan kami," kata Nurain tiba-tiba.
Fahri berkerut dahi.
"Gaduh?"
Nurain mengangguk. Fahri menarik nafas panjang. Tiba-tiba sahaja dia berasa teruja dengan maklumat itu.
"Siapa kawan you tu?" Sekali lagi Fahri menduga Nurain. Dalam kepalanya sudah terbayang wajah Adelia.
Nurain terus mengambil majalah sekolah di hadapannya dan menyelak satu halaman yang memaparkan gambar kelasnya. Dia menuding jari pada satu foto.
"Dia!"
Anak mata Fahri membulat apabila gambar Adelia yang Nurain maksudkan. Fahri mengetap bibir kuat-kuat. Sudah dia duga selama ini Adelia mempunyai kaitan dengan kematian Firzanah. Dalam diam Nurain tersenyum sinis tatkala melihat reaksi Fahri. Sejurus Fahri beredar Nurain terus menghubungi seseorang.
"Hello, beb!" Kedengaran satu suara lunak di hujung talian.
*****
Adelia terjengah-jengah ke dalam pejabat pengurusan asrama sewaktu dia balik dari sekolah. Sudah banyak hari dia tidak melihat kelibat Fahri di situ. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini dia asyik memikirkan tentang lelaki itu. Lebih-lebih lagi selepas kejadian Fahri hampir menciumnya di pantri.
Pang! Tak semena-mena Adelia menampar pipinya sendiri.
'Sedar diri engkau tu, Lia! Dia tu mamat poyo. Takkan baru nak kena cium engkau dah angaukan dia? Dia tu bukan taste engkau walaupun muka dia tu ada iras macam Mark Prin pujaan hati engkau tu. Sedar diri tu, Adelia Natasha!' Adelia berkata dalam hati.
"Lagipun Ammara suka giler dengan mamat poyo tu. Engkau tak boleh potong line kawan engkau. Ingat tu, Lia!" kata Adelia lagi.
"Ingat apa?"
"Oi, emak engkau ingat!"
Adelia termelatah. Terkejut dia apabila disergah dari belakang. Tak pasal terkeluar melatahnya walaupun dia bukanlah seorang yang kuat melatah. Beberapa orang pelajar yang kebetulan lalu di situ ketawa mengekek mendengarnya melatah. Merah padma muka Adelia dibuatnya. Mujur dia tidak menyebut perkataan yang tidak sopan jika tidak pasti bertambah malu dia dibuatnya.
Adelia menoleh ke arah Batrisya dengan wajah yang cemberut. Batrisya pula sudah ketawa mengekek sedari tadi.
"Gelak. Gelak. Bukan main seronok engkau kenakan aku tadi."
"Alah. Rileks lah, sis. Aku panggil engkau dari tadi tapi engkau tu... berangan dari tadi," kata Batrisya.
"Mana ada aku berangan!" tingkah Adelia tidak mahu kalah. Dia berpura-pura mencari di dalam tas tangan.
Batrisya tertawa sinis. Masih lagi ingin menyakat temannya itu.
"Engkau tengok apa kat dalam tu tadi?"
"Ma... mana ada aku tengok apa-apa. Hisy, engkau ni..."
"Eleh. Tak payah nak menipulah. Aku nampak tadi engkau terjengah-jengah kat pintu macam orang tengah skodeng something. Engkau... engkau ushar mamat kat dalam tu, ya?" Sekali lagi Batrisya cuba menembak.
Semakin menggelabah Adelia dibuatnya.
"Hisy, mana ada. Engkau ni tak padan dengan perut dah membuyung masih lagi nak menyakat orang. Kang terkenan kat anak tu nanti baru tahu." Adelia cuba mengalihkan topik.
Terus terkedu Batrisya dibuatnya. Laju tangannya mencubit lengan Adelia.
"Engkau ni saja je kan cakap macam tu," balas Batrisya dengan muncung yang panjang.
"Hah! Buat muncung macam tu. Kang baby lahir keluar muncung panjang macam tu baru engkau tahu!" Adelia cuba menyakat Batrisya pula.
"Hee... engkau ni, kan. Suka tau kenakan aku!" marah Batrisya sambil memukul manja lengan Adelia.
Adelia ketawa terbahak-bahak. Taktiknya mengalihkan perhatian Batrisya akhirnya berjaya. Tidak berhenti di situ, dia berterusan mengusik Batrisya sehingga ke tempat kereta.
Kebetulan dalam masa yang sama, Fahri yang baru sahaja sampai di tempat letak kereta tidak jadi keluar dari keretanya apabila melihat Adelia dan Batrisya di situ. Dia merenung wajah ceria Adelia dengan perasaan yang bergelora. Dia cuba menahan diri dari terus menyerang Adelia.
"Macam mana engkau boleh tersenyum bergelak ketawa seolah-olah tiada apa yang berlaku?" gumam Fahri sambil merenung wajah Adelia dengan hati yang penuh dendam.
Share this novel