Bab 7

Drama Series 13156

Pagi itu Adelia memulakan harinya dengan penuh semangat. Dia sudah tidak sabar mahu masuk ke kelas yang akan dijaganya sepanjang Cikgu Rasyidah bercuti. Dengan langkah penuh semangat dia bergerak ke kelas tingkatan Lima Gamma.

Sebaik sahaja tiba di kelas tersebut, Adelia terkejut melihat keadaan kelas yang kucar-kacir dan bingit seperti di pasar pagi. Sekali lagi dia membaca nama kelas yang tertera di muka pintu. Memang betul kelas Lima Gamma. Air muka Adelia terus berubah. Patutlah masa di bilik guru tadi Ammara dan Batrisya sempat lagi mengusiknya.

"Good luck, cikgu," kata Ammara tiba-tiba.

"Good luck sebab apa?" soal Adelia, terpinga-pinga.

"Nanti awak tahulah," jawab Ammara sambil tersengih-sengih.

Adelia berasa pelik. Dia bertambah bingung apabila Batrisya juga turut mengatakan ayat yang sama.

"Rupa-rupanya ini maksud dia orang 'good luck'," gumamnya perlahan.

Matanya melihat beberapa orang pelajar lelaki dan perempuan saling berkejaran di dalam kelas sambil ketawa terbahak-bahak. Ada yang bergaduh. Yang sedang bercinta di tepi pintu pun ada. Adelia melihat kelas di sebelah kelas Lima Gamma. Walaupun tiada guru tetapi pelajarnya kelihatan sedang tekun mentelaah. Berbeza dengan kelas Lima Gamma. Dalam banyak-banyak kelas di situ kelas Lima Gamma yang paling bising. Adelia menarik nafas panjang dan cuba memaniskan wajah.

"Cool, Lia," bisiknya perlahan.

Adelia mengetuk pintu kelas yang terbuka luas dengan kuat sehingga mengejutkan pelajar di dalam kelas itu. Kelam-kabut pelajar-pelajar itu mengambil tempat masing-masing. Dengan langkah penuh yakin Adelia masuk ke dalam kelas. Dia perasan banyak mata memandang ke arahnya ketika itu.

"Assalamualaikum," ucapnya sambil berdiri tegak di hadapan kelas.

"Waalaikumsalam..." jawab beberapa orang pelajar. Itupun seperti nak tak nak sahaja jawabnya.

Adelia meliarkan pandangannya. Ada beberapa pelajar yang masih berdiri. Dia menyuruh mereka duduk di tempat masing-masing sebelum dia memperkenalkan diri.

"Nama saya Cikgu Adelia. Saya akan menggantikan tempat Cikgu Rasyidah yang sedang cuti bersalin. Lepas ni kalau kamu semua ada apa-apa pertanyaan atau masalah boleh datang jumpa saya."

"Cikgu ni masih single ke dah kahwin?"

Soalan tersebut mengundang tawa seisi kelas. Adelia terdiam. Dia melihat seorang pelajar lelaki yang sedang duduk di tempat duduk belakang tersengih-sengih memandangnya. Dia memeriksa senarai nama pelajar yang ada dalam rekodnya. Zawawi, bisik hatinya. Adelia cuba berlagak tenang. Dia memandang pelajar lelaki itu.

"Kenapa awak tanya, Zawawi?"

"Tadi cikgu juga yang cakap kalau ada apa-apa pertanyaan boleh tanya kat cikgu. Jadi saya nak tahu, cikgu ni single ke dah kahwin?" Zawawi bertanya sekali lagi sambil ketawa kecil.

Adelia mengetap bibir. Beberapa siulan nakal mula kedengaran. Ada yang menggesa Adelia supaya menjawab soalan Zawawi.

"Maksud cikgu kalau kamu ada masalah berkaitan mata pelajaran ke atau kamu ada masalah dengan sekolah ini ke... barulah kamu datang jumpa cikgu. Bukannya tanya cikgu single ke tidak," jawab Adelia.

"Alah, beritahu sajalah cikgu. Kalau masih single... bolehlah kami masuk jarum." Kali ini Fizi pula menyampuk.

"Eh, engkau orang ni sibuk sajalah nak tahu cikgu single ke tidak!" tempelak Nur Hidayah, penolong ketua tingkatan.

"Ek'eleh minah ni. Sibuk saja. Bukannya aku tanya kat engkau!" balas Fizi tidak mahu kalah. Sempat lagi dia mengejek gadis berkaca mata itu.

Keadaan di dalam kelas itu sekali lagi bingit apabila pelajar lelaki dan pelajar perempuan saling berbalah gara-gara guru ganti mereka yang baru itu. Adelia menepuk dahi. Tidak tahan mendengar perbalahan itu dia mengetuk meja dengan pembaris berulang-kali. Semua pelajar terkejut dengan tindakannya. Mereka terkedu melihat wajah guru ganti mereka merah padma.

"Kamu semua ni bukannya darjah lima tapi dah tingkatan lima. Cubalah perangai tu elok sikit. Saya ni dah macam tunggul kat depan ni. Saya kalau boleh hari pertama masuk kelas kamu saya tak nak marah-marah. Kamu bukan budak kecil lagi nak kena bentak-bentak. Hujung tahun ni kamu dah nak SPM. Kamu masih ada masa nak tanya soalan-soalan bodoh tu?" marah Adelia.

Zawawi dan Fizi tertunduk-tunduk kepala. Begitu juga dengan pelajar yang lain. Adelia merenung satu per satu wajah di hadapannya. Dalam pada dia berasa marah terbit rasa kasihan terhadap pelajar-pelajar itu.

"Saya tak mahu panjangkan lagi hal ni. Cikgu Rasyidah ada serahkan kepada saya beberapa nota dan latihan untuk kamu sepanjang dia bercuti," kata Adelia lagi sambil mengedarkan nota dan latihan kepada pelajarnya.

Sesi pembelajaran dan pengajaran pun bermula. Walaupun ada yang merungut namun pelajar kelas Lima Gamma itu tetap memberi perhatian terhadap apa yang guru mereka ajar. Adelia pula cuba memberikan yang terbaik kepada pelajar-pelajarnya. Dia ingin menggunakan masa tiga bulan itu dengan sebaik-baiknya. Manalah tahu kalau pihak sekolah suka dengan cara kerjanya, dia dapat di panggil semula untuk berkhidmat.

Dalam pada itu, Izmer yang duduk di tepi tingkap tidak melepaskan pandangannya kepada Adelia sedari tadi. Dia tidak fokus dengan apa yang Adelia ajar di hadapan. Syakir di sebelahnya menyenggol lengannya.

"Weyh, engkau ni dah kenapa? Apasal engkau tak salin nota kat depan?" bisiknya perlahan.

"Beb, aku rasakan..."

"Rasa apa?"

Syakir berasa pelik melihat gelagat Izmer. Rakannya itu tidak berkelip mata memandang guru ganti mereka sedari tadi.

"Aku rasa... aku dah jatuh cinta pandang pertama," kata Izmer dengan nada yang perlahan.

Syakir terlopong mulut. Dia memandang Izmer tidak berkelip.

*****

Adelia menghempaskan tubuhnya ke sofa yang terdapat di rehat pejabat pengurusan asrama. Satu keluhan yang berat dihembuskan dengan sekali lafaz. Wajahnya tampak letih sekali. Tamat sahaja sesi persekolahan dia tidak terus pulang ke rumah sebaliknya mengikut Ammara ke situ.

"Lia rehatlah kat situ dulu. Mara nak jumpa kak Limah kejap," kata Ammara sambil berlalu ke bilik ketua kerani asrama.

Adelia hanya mengangguk kepala. Dia menyandarkan kepala sambil menikmati dingin penghawa dingin di situ. Cuaca yang terik di luar membuatkan dirinya cepat letih ditambah pula dengan jadual kelas yang padat. Adelia memejamkan mata. Meskipun katil di rumah sudah memanggil-manggil tetapi mata yang berat membuatkan Adelia memilih untuk berehat sebentar di situ sambil menanti Ammara menyelesaikan urusannya.

"Bangun!"

Adelia tersentak apabila seseorang menendang kakinya. Terus segar mata dibuatnya. Adelia terpinga-pinga. Dia melihat seorang lelaki berdiri di hadapannya. Hatinya jadi panas kerana lelaki itu suka hati sahaja menendang kakinya.

"Apa ni main tendang-tendang. Tak boleh kejut elok-elok, ke?" marahnya.

"Kalau nak tidur bukan kat sini, pergi balik rumah. Sini tempat kerja. Kalau tiba-tiba ada pelawat datang tengok engkau tengah tidur, kan tak manis." Fahri menegur dengan nada yang dingin.

Adelia terdiam. Hatinya yang tadi membara seperti lahar berapi terus terpadam. Dia merenung wajah lelaki di hadapannya itu. Kalau tidak silap lelaki itu kerani yang Ammara tegur semalam.

"Sa... saya minta maaf, encik. Saya tak perasan pula boleh tertidur kat sini," ujar Adelia tersipu-sipu.

"Huh!"

Fahri mendengus sambil berlalu ke mejanya. Kemudian dia menyusun fail-fail yang bertimbun di atas mejanya ke meja sebelah yang masih kosong. Sesekali terdengar suaranya merungut.

"Buat semak saja. Tempat ni dahlah sempit lagi nak bertambah sesak."

Telinga Adelia seperti berdesing mengeluarkan asap. Dia merasakan lelaki bernama Fahri itu seperti sedang menyindirnya. Dia terus bangun dan mendekati lelaki itu.

"Encik ni kenapa ya nak perli-perli saya? Kan saya dah minta maaf tadi," kata Adelia dengan rasa tidak puas hati.

Fahri mendongak. Dia melihat Adelia bercekak pinggang di hadapan meja kerjanya.

"Engkau terasa, ke? Aku cakap fasal fail-fail ni lah!" tempelaknya sambil menuding fail-fail yang bersusun bertingkat-tingkat di sebelah mejanya.

Sekali lagi Adelia terdiam. Mukanya merah padma. Dalam hati tidak henti-henti menyumpah lelaki di hadapannya itu. Dia melihat Fahri kecil besar sahaja dari tadi.

"Encik ada masalah dengan saya, ke?" soalnya dengan rasa menyampah.

"Engkau rasa?" soal Fahri kembali. Anak matanya tidak lepas memandang wajah Adelia. Sengaja mahu mendera perasaan gadis itu.

Semakin bengang Adelia dengan sikap Fahri yang seakan-akan sengaja mahu mencari fasal dengarnya. Dia ingin membalas cakap lelaki itu tetapi masa itu jugalah telefon bimbit Fahri berbunyi. Fahri segera menjawab panggilan tersebut. Sempat lagi dia mengibas tangan menyuruh Adelia beredar dari situ.

Malam itu usai makan malam, Adelia memilih untuk membuat kerjanya di dalam bilik. Ammara pula sibuk menyemak buku latihan pelajarnya di ruang tamu sambil ditemani suara pembaca berita yang sedang ditayangkan di kaca tv. Adelia cuba memberi fokus pada kerjanya namun fikirannya asyik melayang pada peristiwa siang tadi. Dia memikirkan layanan buruk Fahri kepadanya.

"Apa masalah mamat tu?" bisiknya perlahan.

***IMBAS KEMBALI***

Fahri membuat isyarat kepada Adelia menyuruh gadis itu beredar dari situ dan tidak menganggunya lagi. Adelia terkejut apabila lelaki itu memberikan jelingan yang tajam kepadanya. Apa yang telah dia lakukan sehingga membuatkan lelaki itu seperti anti dengannya? Dia sendiri tidak ada jawapannya.

Malas mahu memanjangkan isu tersebut, Adelia memilih untuk beredar. Kebetulan pula Ammara baru sahaja keluar dari bilik Halimah, ketua kerani di situ.

"Eh, encik Fahri. Tak keluar lunch, ke?" tanya Ammara dengan ramahnya.

Fahri yang baru sahaja menamatkan perbualannya di telefon melemparkan senyuman paling manis kepada Ammara.

"Saya baru saja balik dari lunch, cikgu. Cikgu pula dah lunch ke belum? Kalau belum makan lebih baik pergi makan sekarang. Dah lewat ni. Kang masuk angin pula perut tu," balas Fahri.

"Saya masih kenyang lagi makan di kantin sekolah tadi pagi."

Fahri dan Ammara saling berbalas pandangan. Adelia yang menjadi pemerhati terlopong mulut melihat sketsa di hadapannya itu. Dia membuat muka pelik apabila lelaki yang baru sahaja bersikap dingin dengannya berubah menjadi seorang yang sangat peramah. Dia rasa nak termuntah apabila Fahri membuat gaya seperti lelaki macho di hadapan Ammara. Ammara pula boleh tahan gedik di hadapan Fahri.

"Er... malam ni encik Fahri free, tak?" tanya Ammara, tiba-tiba.

"Malam ni? Kenapa?" tanya Fahri semula.

Ammara menarik nafas panjang sebelum menghelanya dengan perlahan. Dengan lenggok yang manja dia melabuhkan punggungnya di atas meja kerja Fahri. Hari itu dia sengaja memakai baju kebaya yang ketat sehingga boleh nampak lekuk tubuhnya yang ramping dan menggiurkan. Dia tahu pihak sekolah telah melarang pemakaian yang boleh menampakkan lekuk tubuh tetapi dia tidak peduli meskipun sudah berkali-kali ditegur oleh pihak atasan.

"Erm, saya ingat kalau encik Fahri free malam ni... saya nak ajak encik Fahri makan malam bersama," kata Ammara dengan nada suara yang gemersik.

Air muka Fahri terus berubah apabila Ammara tiba-tiba sahaja duduk di atas meja kerjanya.

"Saya minta maaf, cikgu. Kebetulan pula saya memang dah ada plan dengan kawan saya malam ni. Minta maaf sangat-sangat, cikgu. Er... cikgu, boleh bangun sekejap, tak? Saya nak ambil fail ni," kata Fahri sambil menarik kasar fail yang diduduki oleh Ammara.

Pada masa itu anak matanya bertentangan dengan anak mata Adelia. Gadis itu tidak berkelip memandangnya. Fahri segera mengalihkan pandangannya. Dia tahu, gadis itu tahu yang dia sedang berbohong. Dia tahu, Adelia ada mendengar perbualannya dengan Badrul di telefon sebentar tadi. Badrul ada mengajaknya keluar malam nanti tetapi dia menolak.

Ammara tersipu-sipu malu apabila Fahri menolak pelawaannya. Perlahan-lahan dia bangun dari meja. Dia cuba memaniskan wajah walhal dalam hati malunya tidak terkata.

"Er... tak apalah kalau macam tu. Erm, saya balik dulu," ujar Ammara teragak-agak.

"I'm really sorry, cikgu. Maybe next time kita boleh keluar makan bersama but not today," kata Fahri dengan lembut. Senyuman manis tidak lekang di bibir.

Ammara terangguk-angguk sebelum beredar dari situ dengan tergesa-gesa.

"Apa masalah mamat tu? Orang dah ajak keluar makan tu pergi sajalah. Nak bohong bagai buat apa?" kata Adelia lagi kepada dirinya sekaligus mematikan lamunannya.

Dia betul-betul tidak faham dengan lelaki bernama Fahri itu. Pada Adelia, Fahri merupakan seorang lelaki yang penuh dengan rahsia. Seperti ada sesuatu yang lelaki itu cuba sembunyikan. Adelia hanya berhenti memikirkan tentang Fahri apabila terdengar bunyi bising di luar. Dia terus keluar dari bilik untuk melihat apa yang sedang berlaku.

Di ruang tamu Ammara sedang memeriksa keadaan seorang pelajar perempuan yang sedang menangis teresak-esak sambil memegang perut.

"Kenapa ni, Mara?" tanya Adelia sambil membantu Ammara membawa pelajar perempuan itu ke sofa.

"Rasanya dia sakit senggugut. Lia tolong ambilkan peti ubat kat atas rak dapur. Ada ubat senggugut kat dalam tu," pinta Ammara.

Adelia segera mengambil peti ubat seperti yang diarahkan oleh Ammara. Dia memberi pil senggugut serta segelas air suam kepada pelajar perempuan itu. Setelah memakan ubat barulah pelajar itu berasa sedikit lega. Malam itu Adelia dan Ammara bergilir-gilir memantau keadaan pelajar tersebut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience