Bab 16

Drama Series 13156

Adelia merapikan rambut panjangnya yang diikat kuda di hadapan cermin. Dia ingin memastikan penampilannya pada pagi itu tampak kemas agar pelajarnya senang hati melihatnya sewaktu mengajar. Sebagai seorang guru selain memberi fokus kepada teknik pembelajaran yang berkesan, penampilan yang menarik dan sopan juga sangat di titikberatkan.

Sedang dia bersiap tiba-tiba terlayar di ruang mata pertemuannya bersama Fahri tempoh hari. Dia melihat Fahri melayan emak dan adik-adiknya dengan baik sekali. Apatah lagi emak dan adik-adiknya. Cukup mesra dengan Fahri padahal baru sehari mereka berjumpa tetapi lagaknya seperti sudah lama kenal. Tidak pernah dia melihat emak dan adik-adiknya melayan orang luar semesra itu. Sejujurnya dia sendiri rasa tersentuh melihat layanan Fahri terhadap keluarganya.

"Tapi kenapa dia layan aku macam aku ni musuh dia?" bilik Adelia sendiri. Dia tiada jawapan kepada persoalannya itu. Menyedari hari semakin cerah cepat-cepat dia bersiap.

Usai bersiap Adelia terus keluar bilik dan mencari Ammara di biliknya. Berkali-kali dia mengetuk pintu bilik rakan serumahnya itu tetapi tiada maklum balas dari pihak sebelah. Lalu Adelia pun membuka pintu bilik Ammara dengan perlahan.

"Mara, awak dah siap ke?" Adelia bersuara dengan nada yang perlahan. Dia menjengukkan sedikit kepalanya ke dalam bilik Ammara.

Bilik Ammara bergelap. Katilnya juga kemas tersusun rapi. Adelia berasa pelik. Dia berlalu pula ke dapur. Barangkali Ammara ada di sana sedang sarapan pagi. Adelia terpaku di dapur. Ammara tiada di dapur apatah lagi sosok bayangnya. Adelia cuba menghubungi Ammara namun pihak sana mematikan telefon. Hati Adelia merusuh risau.

"Mana pula minah ni pergi? Dia dah pergi sekolah dulu, ke? Ke dia tak balik malam tadi? Semalam pun dia macam cuba mengelak dari aku." Adelia berkata sendirian.

Semalam sejurus pulang dari kampung Adelia bertembung dengan Ammara di tempat letak kereta. Dia ada juga menyapa Ammara tetapi Ammara buat seolah-olah dia tunggul di situ. Ammara terus masuk ke dalam kereta dan beredar dari situ meninggalkan Adelia terpinga-pinga sendirian di tempat letak kereta. Tidak mahu berburuk sangka dengan rakan sendiri Adelia mengambil keputusan untuk mengabaikannya.

Sementelahan itu di kelas 5 Gamma, Fizi dan Zawawi sibuk meniru latihan kerja sekolah milk Syakir. Mereka sanggup mengheret rakan mereka itu ke sekolah sebelum pukul tujuh lagi semata-mata mahu meniru kerja sekolah.

"Itulah... asyik main saja sampai lupa ada homework," bebel Syakir sambil berpeluk tubuh.

"Aku bukan sengaja tak buat homework tapi buku latihan aku tertinggal kat bawah meja. Tak tahulah kalau Fizi..." balas Zawawi sambil tersengih. Matanya tetap fokus meniru jawapan Syakir.

"Eh, aku pun samalah. Buku aku tertinggal kat loker dorm," kata Fizi pula. Tangannya laju meniru jawapan Syakir. Sekali pandang tak ubah seperti cakar ayam tulisannya.

Syakir hanya mampu menggeleng melihat ulah dua rakannya itu. Bukan sekali dua Fizi dan Zawawi selalu menirunya, sudah berkali-kali. Sejak mereka tingkatan satu lagi. Tetapi yang peliknya waktu periksa tidak pula dua rakannya itu meniru dan masing-masing mendapat markah yang sama tinggi dengannya.

"Rileks lah, bro. Nanti rehat kita orang belanja engkau makan. Macam biasalah," kata Zawawi lagi.

"Mantap!" Syakir membalas sambil menunjuk ibu jari tangannya.

"Siap! Fuh, lega siot," ujar Fizi sambil menutup buku latihannya. Dia tersandar di kerusi dengan hati yang lapang.

Zawawi pula terkocoh-kocoh menyalin jawapan Syakir. Sesekali dia melihat jam di dinding. Sebentar lagi loceng pertama akan berbunyi.

"Ohh... ini rupanya kerja engkau orang. Patutlah awal-awal dah tinggalkan aku."

Syakir, Zawawi dan Fizi terkejut apabila melihat Izmer tiba-tiba sahaja muncul di situ.

"Isk, engkau ni Mir... terkejut aku, tau!" Marah Zawawi sambil mengurut dada. Berderau darah gemuruhnya. Sangkanya guru mereka yang masuk tadi.

Izmer tergelak-gelak sambil duduk di tempatnya. Sewaktu dia mahu mengeluarkan buku dari dalam beg tiba-tiba sahaja Fizi menghulurkan buku latihannya.

"Aku tahu engkau pun tak siap lagi latihan cikgu Adelia. Nah, aku bagi engkau tiru jawapan aku. Aku dah siap dah," kata Fizi dengan lagaknya.

"Terima kasihlah, wahai sahabatku yang baik hati lagi poyo nak mampus. Aku dah siapkan pun latihan cikgu Adelia," balas Izmer sambil menayangkan buku latihannya.

Fizi, Syakir dan Zawawi terlopong mulut melihat Izmer menayangkan buku latihannya. Berebut mereka mengambil buku latihan itu dan melihat isi di dalamnya. Masing-masing terkejut melihat Izmer berjaya menyiapkan kesemua latihan yang diberi tanpa meniru sesiapa. Tiga sahabat itu memandang wajah rakan mereka yang seorang itu tidak berkelip. Rasa tidak percaya meniti di wajah masing-masing. Izmer yang terkenal dengan kaki tiru mampu menyiapkan kesemua latihan dengan usaha sendiri? Mustahil!

"Seriuslah, Mer? Engkau buat semua ni? Ke engkau tiru jawapan Syakir senyap-senyap?" tanya Zawawi dengan rasa tidak percaya.

"See the leg lah, bro. Apa barang tiru-tiru. Aku sudah bertaubat. Tidak akan meniru lagi," balas Izmer dengan penuh bangga.

Dia telah memasang azam baharu. Demi mendapatkan perhatian Adelia dia mesti menunjukkan tingkah laku yang baik. Semua kelakuannya yang tidak elok sebelum ini mesti ditinggalkan. Sampai begitu sekali perubahan seorang Izmer, pelajar yang sering membuat masalah. Semuanya gara-gara Adelia.

"Wahhh! Baguslah kalau engkau sudah bertaubat. Nampaknya sekarang ni tinggal engkau orang berdualah yang akan belanja aku waktu rehat," perli Syakir sambil mengerling ke arah Fizi dan Zawawi.

Izmer ketawa terbahak-bahak. Fizi dan Zawawi pula hanya mencebik bibir. Sedang mereka sibuk membandingkan jawapan Izmer dan Syakir, di hujung kelas kelihatan dua orang pelajar perempuan sedang membuli seorang lagi pelajar perempuan.

"Aku suruh engkau tulis ikut tulisan aku, yang engkau tulis macam ni apasal? Dah sah-sahlah cikgu perasan, bodoh!" bentak Syakila sambil menunjal kepala Auni beberapa kali.

"Maaf, Kila. Aku tak sengaja. Aku buat balik semula," kata Auni tersekat-sekat. Dia terburu-buru membetulkan apa yang salah.

"Aku tahu sebelum kelas mula engkau siapkan homework aku tu kalau tidak... siap engkau!" ugut Syakila sambil memandang kerusi Auni sehingga membuatkan pelajar perempuan itu terjatuh ke lantai.

"Hei, Auni. Buatkan sekali homework aku," kata Shiha pula sambil mencampak buku latihannya ke meja Auni.

Dengan perlahan Auni bangun dan duduk semula di tempatnya. Dia hanya menundukkan wajahnya dan kembali menyambung kerjanya. Dibalik cermin mata kelihatan sepasang mata yang bergenang dengan air mata. Gadis bertubuh kecil itu cuba menahan dirinya dari terus mengalirkan air mata. Dia mesti bertahan sekiranya ingin terus berada di situ walaupun jiwanya meronta apabila sering menjadi mangsa buli rakan sebaya.

Syakila dan Shiha pula hanya mentertawakan Auni saat pelajar perempuan itu terjatuh dari kerusinya. Mereka tidak menghiraukan badai yang melanda hati rakan mereka itu yang mereka tahu kerja sekolah mereka mesti diselesaikan sebelum sesi pembelajaran bermula.

*****

"Haa... kan bagus semuanya siapkan homework yang saya bagi minggu lepas. Bagus, bagus, bagus..."

Adelia sengaja membuat nada suara seperti watak Ipin dalam cerita animasi Upin dan Ipin yang sangat terkenal di tanah air. Dia berpuas hati melihat pelajarnya dapat menyiapkan tugasan yang di beri.

"Tapi... kenapa saya rasa macam ada yang meniru?" kata Adelia sambil mengerling ke arah Fizi dan Zawawi.

Fizi dan Zawawi hanya tersengih.

"Hmm, Izmer pun bagus. Tahniah ya Izmer sebab siapkan latihan. First time awak siapkan homework," kata Adelia dengan nada seperti sedang memerli.

Seluruh warga kelas 5 Gamma ketawa terbahak-bahak mentertawakan Izmer. Izmer pula hanya tersengih seperti kerang busuk. Dalam pada itu dia berasa bangga Adelia memujinya walaupun dalam masa yang sama sedang memerlinya. Kelas diteruskan seperti biasa. Sewaktu Adelia sedang mengajar di hadapan, Syakila dan Shiha yang duduk di belakang berterusan membuli Auni. Mereka melempar pemadam ke arah Auni sehingga menganggu pelajar perempuan itu.

"Syakila, Shiha, apa yang kamu buat tu?"

Dua pelajar itu tersentak apabila Adelia menegur mereka. Cepat-cepat mereka berhenti dari melempar getah pemadam ke arah Auni.

"Tak... tak ada apa, cikgu," jawab Shiha gugup. Syakila pula berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku. Ketika itu banyak mata yang memandang ke arah mereka.

Adelia memandang pula wajah sugul Auni. Auni hanya menundukkan wajahnya sedari tadi.

"Auni, kamu tak apa-apa?"

Auni tidak segera menyahut. Dia memandang Syakila takut-takut. Syakila pula melemparkan renungan tajam seolah-olah cuba memberitahu yang dirinya akan dibelasah sekiranya dia lapor kepada cikgu mereka apa yang Syakila dan Shiha lakukan kepadanya. Dengan perlahan Auni menggeleng.

"Saya okey, cikgu," sahutnya perlahan.

Adelia masih tidak berpuas hati. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena antara tiga orang pelajar itu. Dia ingin bertanya lebih lanjut tetapi loceng telah berbunyi tanda masuknya waktu rehat. Sambil berkemas dia meminta Syakila dan Shiha datang berjumpa dengannya di bilik guru selepas tamat waktu persekolahan.

Semasa Auni sedang makan di dewan makan tiba-tiba Syakila dan Shiha datang lalu menyimbah air sirap ke muka Auni. Terkejut pelajar perempuan itu dibuatnya.

"Ahh!" Auni menjerit kecil.

Semua yang ada di dewan makan menoleh ke arah mereka. Menyedari banyak mata memandang mereka, Syakila pun menarik Auni keluar dari situ. Dia mengheret Auni ke belakang asrama puteri. Tanpa rasa kasihan dia menolak tubuh kecil itu ke dinding. Auni terjelepok di atas kaki lima. Dia memandang wajah menyinga Syakila dengan rasa takut.

"Ki... Kila, apa yang engkau buat ni?" soalnya tergagap-gagap.

"Engkau cakap apa yang aku buat? Engkau tahu tak apa yang engkau dah buat sampai cikgu panggil kita orang tadi?" bentak Syakila sambil menunjal-nunjal dahi Auni.

"Aa... aku buat apa?"

Syakila mendengus kasar. Shiha pula hanya berpeluk tubuh. Mereka memandang Auni dengan perasaan yang menjengkelkan. Langsung tidak berbekas di hati mereka saat melihat Auni mula menangis teresak-esak.

"Tak payah nak pura-pura sucilah. Yang engkau pergi report kat cikgu yang aku paksa engkau buat kerja sekolah aku tu apasal? Engkau memang sengajakan nak cari pasal dengan aku!"

Auni terkejut mendengar berita tersebut. Dia tidak pernah melaporkan perbuatan Syakila membulinya kepada sesiapa kerana dia tahu tiada siapa yang akan percaya cakapnya berbanding Syakila. Mentang-mentanglah Syakila datang daripada keluarga yang mewah berbanding dirinya yang datang dari kampung.

"Sumpah, Kila. Aku tak report apa-apa pun kat cikgu atau sesiapa."

"Habis tu macam mana cikgu boleh tahu yang aku paksa engkau buat kerja sekolah aku, bodoh?"

"Aku tak tahu. Sumpah!"

Auni mula menangis teresak-esak. Syakila mendengus kasar. Sakit betul hatinya apabila Adelia tiba-tiba sahaja memanggilnya dan Shiha ke bilik guru lalu memarahi mereka kerana memaksa Auni membuat kerja sekolah mereka. Tidak puas dirinya ditegur lalu Syakila melemparkan seluruh rasa marahnya itu
kepada Auni. Auni mengerang kesakitan apabila Syakila memijak perutnya. Shiha pula hanya mentertawakannya sambil merakam video.

"Hoi!"

Syakila dan Shiha terkejut beruk apabila disergah. Mereka segera menoleh. Kelihatan Mardhiah menghampiri mereka dengan raut wajah yang tegang. Syakila dan Shiha mendengus kasar.

"Engkau orang buat apa ni, hah?" jerkah Mardhiah sambil matanya mengerling ke arah Auni yang terduduk sambil memegang perut di atas kaki lima.

"Buat apa? Mana ada kita orang buat apa-apa," jawab Syakila selamba.

"Habis tu apa?" tanya Mardhiah lagi sambil menuding jari ke arah Auni.

"Tak ada apa-apalah, Dhia. Kita orang bergurau tadi. Betul tak, Auni?" Shiha pula bersuara. Dengan penuh paksaan dia menarik tubuh kecil itu untuk berdiri.

Auni hanya mengangguk perlahan. Dia segera menyeka air mata yang bersisa di pipi.

"Sekarang engkau dah puas hati, wahai cik pengawas?" kata Syakila pula dengan nada yang sinis. Dia sengaja melanggar bahu Mardhiah sebelum beredar dari situ sambil diikuti Shiha dan Auni.

Mardhiah terdiam. Namun begitu dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena antara tiga orang pelajar itu. Dia memandang wajah sugul Auni yang semakin menjauh.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience