Selepas berjumpa dengan Huzair, Fahri terus ke rumah ibunya di Taman Kemboja. Rumah itu sudah lama tidak diduduki selepas Firzanah meninggal dunia. Mariani pula masih lagi menjalani rawatan di hospital sakit jiwa. Ibunya itu benar-benar terkesan dengan pemergian Firzanah sehingga menjejaskan kesihatan mentalnya.
Fahri melangkah masuk ke ruang tamu yang sepi. Semua perabot di dalam rumah itu ditutupi dengan kain putih kecuali sebuah sofa dan meja kopi di ruang tamu. Di situlah tempat Fahri merehatkan diri semenjak dia datang ke situ. Fahri terus merebahkan tubuh ke sofa tanpa membersihkan diri terlebih dahulu. Tubuhnya benar-benar letih. Hendak mengangkat satu jari pun rasa tidak larat.
Fahri melihat timbunan fail yang terletak di atas meja. Semua fail itu berkaitan dengan kerjanya di FH Interior Design. Huzair sanggup turun ke Pontian semata-mata mahu menghantar fail-fail itu kepadanya. Fahri melepaskan keluhan kecil. Dia teringat akan perbualan mereka semasa di kafe petang tadi.
"Sampai bila engkau nak berkampung di sini?" tanya Huzair.
"Sampai aku dapat apa yang aku inginkan," balas Fahri.
"Maksud engkau... kebenaran di sebalik kematian kembar engkau itu?"
Fahri mengangguk perlahan. Selama 15 tahun dia mencari penyebab yang mendorong Firzanah melakukan tindakan bodoh itu. Sejujurnya, pada awalnya dia sangat marah apabila mendapat tahu Firzanah mati bunuh diri. Dia pernah menyalahkan Firzanah kerana sanggup mengambil kerja Tuhan. Namun, catatan diari Firzanah yang terakhir membuatkan Fahri mengesyaki akan sesuatu.
''Kerana Lia... aku yang menanggung semua ini. Aku benci Lia!''
Apakah rahsia yang Firzanah terpaksa tanggung sehingga membuatkannya mengambil tindakan membunuh diri? Apa yang Adelia telah lakukan terhadap Firzanah sehingga membuatkan kembarnya itu membenci sahabatnya sendiri?
"Kenapa engkau tak tanya terus kat dia? Bukan ke engkau cakap engkau sudah jumpa dia? Kenapa sampai nak menyusahkan diri masuk ke dalam tempat tu sedangkan jawapan kepada persoalan engkau tu dah ada kat depan mata engkau?"
Suara Huzair yang penuh dengan pertanyaan sekali lagi menggasak ruang fikiran Fahri.
"Kalau engkau jadi dia... tiba-tiba aku muncul di depan engkau dan tuduh yang engkau bunuh kembar aku. Engkau rasa engkau akan mengaku kesalahan engkau tu?"
Kali ini giliran Huzair pula terdiam. Sesekali dia tergaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
"Ermm... aku..."
"Tengok! Engkau sendiri tak mampu nak jawab soalan aku tu. Jadi engkau rasa dia akan mengaku buta-buta kesilapannya tu?"
Sekali lagi Huzair terdiam. 'Dia' yang mereka maksudkan adalah seorang perempuan yang menjadi punca kematian kembar Fahri. Huzair tidak pernah mengenali perempuan bernama Adelia tetapi dia percaya perempuan itu ada jawapan kepada segala kekusutan sahabatnya itu.
"Habis tu... apa yang engkau nak buat sekarang ni?" tanya Huzair untuk kesekian kalinya.
Laungan azan maghrib dari surau yang berdekatan menyedarkan Fahri dari lamunan yang panjang. Dia mengusap wajahnya berkali-kali. Sempat lagi anak matanya melirik pada setiap ruang rumah yang sepi tanpa pemiliknya. Suatu masa dahulu rumah itu riuh dengan tawa manja Firzanah tetapi selepas Firzanah meninggal dunia semuanya berubah seratus peratus. Rumah itu hilang serinya.
"Kenapa engkau sanggup ambil jalan bodoh tu, Zana? Syaitan apa yang telah merasuk diri engkau?"
Kata-kata itulah yang sering berulang dalam kepala Fahri setiap kali memikirkan tentang kematian kembarnya itu. Orang cakap, benda yang lepas usah dikenang tetapi bagi Fahri dia tidak akan tenang selagi dia tidak tahu kenapa Firzanah sanggup membunuh diri. Ibunya juga perlu tahu kebenaran itu agar tidak berterusan menyalahkan dirinya lagi.
"Sudah 15 tahun, Zana. Aku mesti bawa ibu pulang ke rumah ini. Rumah ini perlukan tuannya kembali," kata Fahri sendirian. Anak matanya meliar memandang setiap ruang rumah yang sepi dimakan waktu.
*****
Fahri melontarkan pandangan ke jalan raya. Cuaca di luar sangat terik walaupun jam baru sahaja pukul 11 pagi. Dia menyandarkan tubuh ke kerusi. Udara dingin di dalam kedai makan itu sedikit sebanyak memberikan ketenangan kepada dirinya.
Sudah sejam dia menunggu seseorang di situ namun bayang yang ditunggu masih tidak muncul-muncul. Fahri mula berasa tidak senang duduk. Apakah dia sudah kena tipu? Fahri mendengus kasar. Dia sanggup mengambil cuti pada hari itu semata-mata mahu berjumpa dengan salah seorang kenalan Firzanah sewaktu di Seri Bakti.
"Encik Fahri?"
Fahri segera menoleh. Seorang perempuan berambut perang berdiri di hadapannya. Tanpa meminta izin perempuan itu terus duduk di hadapan Fahri. Fahri menjungkitkan kening apabila perempuan itu mengambil minumannya tanpa segan silu.
"Fuhh... lega tekak ni dapat minum air sejuk," ujar Nurain. Hampir separuh air barli sejuk dia teguk tanpa meminta izin tuannya terlebih dahulu.
"Opss... sorry. I haus sangat tadi. I ganti balik air you... err..."
Nurain tersipu-sipu apabila lelaki di hadapannya itu tidak berkelip memandangnya. Dia ingin memanggil pelayan tetapi Fahri terlebih dahulu menahan.
"It's okay. Biar I yang order. You mahu air yang sama, kan?"
Laju Nurain mengangguk. Semasa Fahri memesan minuman di kaunter cepat-cepat Nurain membetulkan make up nya. Bibir yang sudah sedia merah dicalitkan lagi dengan gincu merah. Kemudian dia membetulkan rambut perangnya supaya terletak elok. Apabila melihat Fahri kembali bersama minuman mereka cepat-cepat Nurain membetulkan duduknya.
"Terima kasih. Susahkan you aje. Nanti I bayar," ucap Nurain apabila Fahri menghulurkan minumannya. Saja berbasa-basi. Mengharapkan lelaki di hadapannya itu membelanjanya.
"It's okay. I belanja."
Nurain tersenyum simpul. Dadanya rasa berdebar apabila seorang lelaki tiba-tiba sahaja menghubunginya dan mengatakan ingin bertemu dengannya. Pada mulanya dia menyangka si pemanggil ingin menggunakan khidmatnya tetapi apabila dia melihat Fahri, dia tidak yakin lelaki itu menghubunginya semata-mata inginkan khidmatnya.
"Boleh I tahu macam mana you dapat nombor I? You... dapat daripada customer I, ke?" tanya Nurain sebagai pembuka bicara.
"Sebelum tu... boleh I tahu betul ke you ni Nurain binti Selamat?" tanya Fahri pula.
Air muka Nurain terus berubah. Cepat-cepat dia membuat isyarat supaya Fahri memperlahankan suaranya. Matanya meliar memandang sekeliling.
"Kat sini I tak pakai nama tu. You can call me Anne," ujar dengan nada yang manja. Anak matanya melirik nakal pada raut wajah tampan di hadapannya.
"Tapi betul ke you ni Nurain binti Selamat?" tanya Fahri sekali lagi. Inginkan kepastian.
Nurain mendengus kecil apabila Fahri menyebut nama itu lagi. Sambil menyedut minuman dia mengangguk perlahan.
"Tapi... you nampak lain kat dalam gambar." Terlontar ayat itu dari mulut Fahri tanpa sengaja.
"Gambar? Gambar apa?" soal Nurain laju. Matanya membulat. Risau jugak kalau-kalau gambar yang tidak senonoh lelaki itu maksudkan.
Fahri menarik keluar sebuah majalah sekolah lalu dihulurkan kepada Nurain. Dia menyelak satu halaman yang menunjukkan gambar Nurain bersama rakan sekelasnya. Nurain melihat gambar tersebut. Seulas senyuman sinis terukir pada bibir merah itu.
"Oh... ini gambar masa I belajar dulu. Biasalah zaman duduk asrama. Semua kena bertutup. Ikut peraturan. Well, zaman pun dah berubah apatah lagi manusia, kan," kata Nurain sambil mengenyit mata kepada Fahri.
Fahri hanya mengangguk tanda mengerti. Dia tidak mahu meneruskan topik tersebut.
"I rasa lebih baik kita terus ke topik utama perjumpaan kita pada hari ini. Sebelum tu biar I perkenalan diri I dahulu. Macam yang I beritahu dalam telefon sebelum ni, nama I Fahri. I dapat nombor you melalui private investigator," jelas Fahri.
"Wow! Private investigator? Sound like interesting. Kenapa you beriya sangat nak jumpa I sampai sanggup guna penyiasat persendirian? You... nak guna khidmat I ke?"
Nurain mula melunakkan suara manjanya. Dia mendekatkan tubuhkan sedikit ke hadapan sehingga mampu membuatkan Fahri melihat lurah dadanya. Sengaja mahu menggoda lelaki berwajah beku itu. Dia tahu Fahri sengaja menjual mahal. Semakin Fahri jual mahal semakin dia mahu menggoda lelaki itu. Selama 10 tahun dia menjadi pekerja sosial. Sudah banyak lelaki yang dia goda dan jatuh dalam pelukannya. Setakat lelaki seperti Fahri kacang baginya.
Fahri tersengih sinis melihat aksi manja Nurain. Dia tahu perempuan itu cuba menggodanya tetapi sayangnya dia tidak termakan dengan godaan itu. Dia mengeluarkan sekeping gambar dari poket bajunya lalu ditunjukkan kepada Nurain. Fahri melihat air muka Nurain terus berubah apabila melihat gambar tersebut.
"Ma... mana engkau dapat gambar tu?"
Nada suara Nurain terus berubah rentak. Wajahnya pucat lesi melihat gambar di hadapannya. Seolah-olah baru lepas nampak hantu.
"I jumpa you sebab gambar ni," kata Fahri.
Nurain berkerut dahi. Dia membuat muka pelik sambil memandang wajah Fahri. Tidak mengerti akan kata-kata lelaki itu.
"I abang kepada Firzanah," kata Fahri dengan sekali lafaz.
Bagaikan guruh menghentam gegendang telinga Nurain. Wajahnya yang sudah sedia pucat bertambah pucat. Tubuhnya menggigil tidak sudah melihat wajah manis Firzanah dalam gambar itu.
selamat membaca
Share this novel