"Arghhh! Pergi jahanamlah Fahri, mamat poyo!" jerit Adelia sekuat hati.
Fahri yang ketika itu sedang berbual dengan Huzair di sebuah cafe tiba-tiba sahaja terbersin.
"Kenapa? Engkau tak sihat, ke?" tanya Huzair.
Fahri menggeleng kepala.
"Entahlah. Tiba-tiba saja aku rasa lain macam. Rasa macam seram sejuk pula," ujarnya sambil menggosok belakang tengkuk.
"Lebih baik engkau pergi jumpa doktor. Takut saspek denggi," kata Huzair lagi.
Fahri hanya mendiamkan diri. Mungkin betul kata Huzair. Dia patut jumpa doktor.
Adelia berasa puas kerana dapat melepaskan segala rasa yang terbuku di dada. Semuanya gara-gara Fahri, mamat kerek lagi poyo itu. Dia tidak tahu apa masalah lelaki itu sampai sanggup menyakiti hatinya setiap kali mereka berjumpa. Dari pertemuan mereka yang pertama, Fahri sudah mencari pasal dengannya. Sikap dan layanan buruk Fahri terhadapnya seolah-olah lelaki itu seperti sedang menyimpan dendam terhadapnya.
"Masalahnya aku sendiri tak tahu apa yang aku dah buat sampaikan mamat poyo tu asyik nak cari pasal dengan aku," cakap Adelia lagi kepada dirinya.
Adelia tiada jawapan kepada persoalan yang bermain di kepalanya sejak beberapa hari ini. Akhirnya dia melepaskan keluhan yang berat. Penat berdiri Adelia pun melabuhkan punggung ke tanah yang berumput hijau. Tidak jauh dari tempat dia duduk terdapat sebatang pokok yang merimbun bunganya. Dia tidak tahu nama pokok itu tetapi bunganya berwarna putih dan hampir seakan-akan warna merah jambu. Kelopak bunga itu berguguran ke tanah setiap kali ditiup angin.
Adelia melontarkan pandangan ke tasik di hadapannya. Tasik buatan seluas tujuh hektar itu terletak tidak jauh dari asrama Jasmine. Tasik itu di beri nama Lotus Lake kerana permukaannya dipenuhi dengan bunga teratai. Adelia melihat kawasan sekitar tasik yang tidak terjaga. Suatu masa dahulu, tasik itu sering dikunjungi oleh penduduk setempat termasuklah pelajar asrama Jasmine. Pelbagai aktiviti sering dilakukan di situ untuk menarik minat orang ramai datang menikmati keindahan tasik buatan itu.
Namun, apabila satu kejadian berlaku di situ pihak asrama telah melarang para pelajar mendekati kawasan tasik atas faktor keselamatan. Jalan yang menjadi penghubung antara tasik dan asrama Jasmine juga telah ditutup. Sebab itulah semasa Adelia melalui jalan itu tadi banyak rumput liar yang tumbuh menjalar di sepanjang jalan.
Adelia menghirup udara segar di situ. Sesekali kedengaran bunyi burung yang saling berkicauan. Sewaktu dia belajar di situ, Adelia sering datang ke situ bersama kawan-kawannya sebelum tempat tersebut di tutup untuk umum. Adelia menarik nafas panjang. Terlayar di ruang matanya kenangan zaman remajanya bersama rakan baiknya di situ. Sungguh dia rindu akan waktu itu. Andainya masa itu boleh di putar semula seperti roda, sudah pasti dia ingin kembali ke masa lalu. Ada banyak perkara yang ingin dia perbetulkan.
Krekkk!
Sedang Adelia melayan perasaan tiba-tiba dia merasakan satu pergerakan dari arah belakang. Tubuhnya terus kejung kaku. Rasa takut menguasai diri. Sudahlah dirinya seorang sahaja di situ. Jika bukan manusia apakah binatang liar yang sedang menghampirinya? Pelbagai kemungkinan yang buruk terus bermain di kepala Adelia.
Adelia meraba-raba telefon bimbit di dalam kocek seluar. Dia ingin menelefon sesiapa sahaja yang boleh dihubungi untuk mendapatkan bantuan. Tubuhnya menggigil apabila bunyi derapan itu semakin menghampiri. Dia takut hendak berpaling. Takut kalau-kalau apa sahaja yang berada di belakangnya itu terus menerkamnya.
Damn! Masa itu jugalah telefonnya kehabisan bateri. Adelia semakin menggelabah. Dia tidak tahu hendak buat apa sekarang ini.
'Fikir! Fikir! Apa yang patut aku buat? Lari? Atau lawan?' bisik hatinya.
Tiba-tiba anak matanya terpandang batang kayu sebesar lengannya tidak jauh dari tempat dia duduk. Hujung kayu itu sedikit runcing. Mungkin dia boleh gunakan kayu itu sebagai alat pertahankan diri.
Setelah berperang dengan diri sendiri akhirnya Adelia mengambil keputusan untuk mengambil batang kayu itu.
"Hiyarghh!" Jerit Adelia sambil menghayun batang kayu itu ke belakang.
"Ahhh!"
Serta-merta tangan Adelia terhenti. Dia tergamam. Begitu juga dengan Izmer yang tiba-tiba sahaja muncul di hadapannya. Sedikit sahaja lagi hujung batang kayu yang runcing itu mengenai halkum Izmer. Mujur sahaja Adelia sempat menahan tangannya itu dari terus menikam pelajarnya itu.
"Izmer?"
Wajah Izmer pucat lesi. Kakinya terus jadi lemah lalu dia melorot terduduk di atas rumput. Adelia terus membuang batang kayu itu ke tepi dan meluru mendapatkan pelajarnya.
"Izmer, awak tak apa-apa, ke? Awak ada luka kat mana-mana?" soal Adelia bertalu-talu. Dia memeriksa tubuh pelajarnya itu dari atas sampai ke bawah.
"Ssa... saya okey," balas Izmer dengan nada terketar-ketar.
Dia cuba memaniskan roman wajahnya walaupun rasa terkejut tadi tidak hilang. Pada mulanya dia hanya ingin menyakat Adelia tapi tidak sangka pula dia yang terkena. Dengan bantuan Adelia, Izmer bangkit dan duduk di kerusi.
"Nah, minum air ni."
Adelia memberi air mineral yang di bawanya kepada Izmer apabila melihat remaja itu masih dalam keadaan terkejut. Dengan rakus Izmer meneguk air untuk menghilangkan rasa gemuruh yang menguasai diri.
"Kamu... okey?" tanya Adelia sekali lagi apabila melihat Izmer mula tampak tenang.
Dengan perlahan Izmer mengangguk. Dia mengesat sisa air yang bertubir di tepi bibir. Adelia menarik nafas lega. Walau bagaimanapun, rasa bersalah tetap merajai diri.
"Izmer, cikgu betul-betul minta maaf. Cikgu tak sengaja nak hayun kayu tu tadi kat kamu tadi. Cikgu ingatkan binatang liar ke apa tadi. Cikgu... cikgu betul-betul minta maaf," ujar Adelia bersungguh-sungguh.
"Tak... cikgu. Sepatutnya saya yang patut minta maaf kat cikgu sebab cuba takut-takut kan cikgu. Tapi... lain pula jadinya," kata Izmer sambil tersengih seperti kerang busuk. Dia menggosok belakang kepalanya.
Adelia terdiam. Dia memandang wajah pelajarnya itu dalam-dalam. Kemudian terletus tawa kecil dari bibir mugilnya diikuti tawa besar. Izmer yang pada mulanya terpinga-pinga turut tergelak. Mereka berasa geli hati apabila mengingati semula kejadian sebentar tadi.
"Macam mana awak boleh sampai ke sini? Bukan ke jalan masuk ke sini dah ditutup?" tanya Adelia setelah tawanya reda.
Izmer mengetap bibir. Sekejap-sekejap dia memandang Adelia sekejap-sekejap dia menoleh ke tempat lain. Adelia berasa pelik melihat reaksi pelajarnya itu.
"Kenapa? Ada apa-apa kat muka cikgu ke?" tanya Adelia lagi sambil memegang pipi.
Izmer tertawa kecil.
"Tak. Bukan macam tu..."
"Habis tu?"
"Erm... yang sebenarnya saya ekori cikgu dari tadi. Masa saya nak pergi jogging kat padang tadi saya nampak cikgu panjat pagar kat belakang aspura..."
Hujung suara Izmer kedengaran sedikit mendatar. Wajah Adelia terus berubah merah padma. Dia berasa malu kerana telah menunjukkan satu perlakuan yang tidak elok kepada pelajarnya.
"Aa... awak seorang saja ke yang nampak cikgu..."
Adelia menarik nafas panjang. Suaranya kedengaran tersekat-sekat.
"... panjat pagar?" sambungnya.
Izmer tidak membalas. Matanya tidak berkelip memandang wajah comel itu. Hatinya bagai digeletek sesuatu. Suka betul dia melihat wajah crush dalam hatinya itu tidak senang duduk. Perlahan-lahan dia mengangguk.
"Betul ni?" Adelia inginkan kepastian.
Sekali lagi Izmer mengangguk. Adelia mula menarik nafas lega. Syukur kerana tiada siapa yang melihatnya panjat pagar kecuali Izmer.
"Tapi kalau tidak silap saya... kerani asrama tu pun nampak juga cikgu panjat pagar tadi," kata Izmer tiba-tiba.
"Apa?" jerit Adelia tiba-tiba. Matanya terbelalak.
Izmer terkejut apabila mendengar Adelia menjerit. Matanya terkebil-kebil.
"Maksud awak mamat poyo... er... bukan... encik Fahri?" tanya Adelia sekali lagi.
Izmer mengangguk sekali lagi. Adelia semakin tidak keruan. Entah kenapa tiba-tiba sahaja dia berasa malu yang teramat sangat. Pasti Fahri seronok mentertawakannya saat melihat dirinya sedang memanjat pagar asrama. Tak semena-mena ingatannya terarah pada peristiwa tengah hari tadi. Dia tidak boleh lupa deru nafas Fahri menyapa ke pipinya. Wajahnya yang sudah sedia merah padma bertambah merah seperti biji delima. Adelia menekup kedua belah pipinya. Dadanya terasa berdebar lebih kuat dari sebelumnya.
'Engkau dah gila ke apa, Lia? Tak pasal-pasal teringatkan mamat poyo tu.' Hati Adelia berbisik.
Izmer berasa pelik melihat reaksi Adelia segera menegur.
"Cikgu!"
Adelia tersentak. Dia terpinga-pinga memandang Izmer.
"Kenapa dengan cikgu ni? Cikgu okey, ke? Muka cikgu... nampak merah. Cikgu demam, ke?" tanya Izmer bertalu-talu. Dia cuba menyentuh dahi Adelia namun gurunya itu mengelak.
"Tak. Tak ada apa-apa. Cikgu... okey," jawab Adelia tergagap-gagap. Dia terus melontarkan pandangan ke tasik.
Izmer memandang Adelia dengan penuh tanda tanya. Suasana sepi mencengkam mereka. Sesekali deru angin petang yang sepoi-sepoi bahasa seperti sedang mengalunkan irama diikuti bunyi kicauan burung yang hinggap di pangkal pokok.
"Cikgu," panggil Izmer sekaligus memecahkan suasana.
"Hmm..."
"Macam mana cikgu boleh tahu tentang tempat ni? Selama saya belajar kat sini saya tak tahu pun yang tempat ni wujud," kata Izmer sambil memandang ke tengah tasik. Berasa teruja melihat pemandangan di situ.
Adelia tersenyum nipis. Matanya sedikit menyepet. Biasan cahaya matahari dari permukaan tasik membuatkan pandangannya menjadi silau. Langit mula bertukar warna jingga. Tanda matahari akan melabuhkan tirainya.
"Tempat ni dulu pernah jadi port lepak cikgu dan kawan baik cikgu."
"Port lepak? Maksud cikgu... cikgu pernah datang ke sini masa dulu?"
Sekali lagi Adelia mengangguk. "Cikgu bekas pelajar Seri Bakti," beritahunya.
Mata Izmer terbeliak. Dia tergamam buat seketika.
"Maksudnya... cikgu senior saya?"
Senyuman di bibir Adelia semakin mekar. Tiada siapa pun di sekolah itu yang tahu dia merupakan bekas pelajar sekolah itu. Kecuali Batrisya dan pengetua Hajah Maimunah. Izmer pula berasa teruja apabila mendapat tahu crush nya itu pernah belajar di situ. Dia semakin bersemangat ingin mengenali tentang diri Adelia dengan lebih dekat.
Share this novel