Bab 8

Drama Series 13156

Izmer menggosok baju sekolahnya dengan penuh teliti. Satu kedutan pun dia tidak bagi ada pada bajunya. Sewaktu hendak menyarung baju pun dia lakukan dengan penuh hati-hati. Setelah lengkap berpakaian sekolah dia menyisir pula rambutnya supaya tampak lebih kemas. Sempat lagi dia mencalit sedikit minyak rambut Syakir ke rambutnya.

Syakir dan Zawawi terlopong melihat gelagat rakan mereka itu. Jarang sekali mereka melihat Izmer menggosok bajunya sendiri. Selalunya dia akan menyuruh budak junior yang gosokkan bajunya. Apatah lagi menyikat rambut ke sekolah. Boleh kata setiap hari Izmer kena tahan dengan cikgu disiplin kerana masalah rambutnya yang panjang.

"Woi, tengok apa?" Sergah Fizi dari belakang.

Terkejut Syakir dan Zawawi dibuatnya. Cepat-cepat mereka membuat isyarat senyap kepada Fizi. Fizi terpinga-pinga.

"Kenapa?" bisiknya.

"Engkau tengok kawan kita tu," kata Zawawi sambil menuding ke arah Izmer yang sedang bersiap di hadapan loker.

"Apasal tu? Happy semacam aku tengok. Kena sampuk dengan hantu kat jamban, ke?" tanya Fizi lagi. Keningnya ternaik sebelah apabila mendengar Izmer bersiulan riang.

"Entahlah. Hari ni bukan main awal dia bangun. Siap kejutkan aku untuk solat subuh. Selalu dialah yang paling liat bangun subuh," kata Syakir.

"Kawan kita tu mimpi jumpa puteri raja agaknya tu yang perangai pelik semacam pagi ni. Eh, dahlah. Jom, turun DM. Budak bilik aku cakap hari ni breakfast nasi lemak. Baik kita turun sekarang kalau tidak habis nanti," ujar Fizi pula. Perutnya sudah berbunyi minta diisi.

"Kir, takkan engkau tak tahu apa yang dah jadi kat kawan kita tu. Engkau orang kan satu dorm. Mesti Iz ada cerita apa-apa kat engkau." Zawawi bersuara.

"Aduh! Engkau orang ni tak habis-habis lagi, ke?" rungut Fizi lagi.

"Hmm...aku pun tak pasti. Tapi..."

Syakir tidak meneruskan ayatnya. Wajahnya berkerut seperti orang sedang memikirkan sesuatu.

"Tapi apa?" tanya Fizi tidak sabar.

"Kelmarin Iz ada beritahu aku yang dia sudah jatuh cinta!"

"Ehhh?!"

Fizi dan Zawawi saling berteriak. Masing-masing membuat muka terkejut. Mereka memandang Izmer yang sedang mengemas katil dengan mata yang tidak berkelip.

Di dewan makan banyak mata yang memandang Izmer. Baik pelajar lelaki mahupun pelajar perempuan semuanya tidak berkelip mata melihat penampilan Izmer pada pagi itu. Sepanjang Izmer belajar di Seri Bakti tidak pernah walau sekalipun dia berpakaian kemas seperti pagi itu untuk ke sekolah. Baik pelajar, guru atau warden sedia maklum, Izmer merupakan pelajar yang banyak membuat masalah di sekolah mahupun di asrama. Sebab itulah mereka berasa pelik melihat penampilan Izmer pada pagi itu. Dengan baju masuk ke dalam seluar, bertali leher serta bersikat rambut. Kalah Firdaus pelajar paling nerd dari kelas Lima Alpha.

"Dhia, tengok tu."

Mardhiah yang ketika itu sedang mengambil makanan menoleh ke tepi. Rakannya Salma menuding ke arah Izmer yang juga sedang mengambil makanan di bahagian lelaki.

"Dah kenapa dengan kawan engkau tu? Segak semacam pagi ni. Buang tebiat ke?"

Mardhiah memandang Izmer. Dia sendiri berasa pelik melihat penampilan Izmer pada pagi itu. Sudah lama dia tidak melihat Izmer berpakaian kemas seperti itu. Seingat Mardhiah, Izmer mula buat perangai apabila masuk tingkatan tiga. Baju terkeluar dari seluar, seluar senteng, baju tidak berbutang penuh dan yang lebih teruk Izmer berani datang ke sekolah dengan berselipar jepun. Itu belum masuk lagi masalah disiplin yang lain. Sudah banyak kali Izmer di beri amaran oleh pihak disiplin. Bahkan Mardhiah sendiri sebagai penolong ketua pengawas di sekolah sudah berkali-kali menegur Izmer tentang menjaga imej sekolah dan asrama.

"Dhia, engkau dengar tak aku cakap ni?" Salma menyenggol lengan Mardhiah sekali lagi.

"Entah. Manalah aku tahu. Eloklah tu kalau dia dah berubah. Sekurang-kurangnya berkurang sikit nama dia kat buku rekod disiplin," kata Mardhiah acuh tak acuh.

Salma tidak lagi berkata apa-apa.

"Dhia!"

Mardhiah menoleh ke arah suara yang yang memanggilnya. Dia melihat Izmer melambai tangan memanggilnya. Dengan teragak-agak dia mendekati remaja itu.

"Ada apa engkau panggil aku?" tanya Mardhiah.

"Nah!"

Mardhiah terkejut apabila Izmer meletakkan sebiji telur rebus ke dalam pinggannya. Dia memandang remaja lelaki itu dengan mata yang bulat.

"Kenapa engkau bagi aku?"

"Engkau kan suka telur rebus," kata Izmer sambil menggosok kepala Mardhiah yang dilitupi tudung sebelum berlalu pergi mendapatkan kawan-kawannya.

Mardhiah terpinga-pinga sendirian. Wajahnya merona merah. Perlahan-lahan dia menyentuh tempat Izmer menggosok kepalanya tadi. Dalam diam dia tersenyum sendiri. Dia tidak sangka Izmer masih ingat kegemarannya.

*****

Sebaik sahaja tamat perhimpunan pagi, Izmer terus bergegas ke kelas Lima Gamma. Pagi itu Izmer kelihatan begitu bersemangat untuk memulakan pembelajaran pada pagi itu. Sebaik sahaja duduk di tempatnya, dia terus mengeluarkan buku bahasa Melayu. Matanya tidak lepas dari memandang pintu yang terbuka luas. Dalam diam dia menghitung waktu.

Syakir, Fizi dan Zawawi yang baru sampai tercegat di muka pintu melihat Izmer terlebih dahulu sampai daripada mereka.

"Dah buang tebiat ke apa kawan kita tu?" tanya Fizi.

"Entahlah. Dari semalam aku tengok perangai dia pelik. Orang tua-tua cakap, kalau orang tiba-tiba buat perangai pelik itu tandanya..."

Zawawi tidak jadi meneruskan ayatnya apabila menyedari Adelia sudah tercegat di belakangnya.

"Tandanya apa?" soal Adelia.

Zawawi tersengih-sengih. Begitu juga dengan Syakir dan Fizi.

"Tak ada apa-apa, cikgu," jawab Zawawi tersipu-sipu.

"Dah tu? Kenapa tercegat lagi kat pintu? Kelas dah nak mula ni. Pergi masuk! Hee... kamu ni..."

"Cikgu jangan marah-marah nanti muka cikgu cepat berkedut macam muka Cikgu Rasyidah." Fizi cuba melawak.

Adelia menjegilkan mata sambil membuat gaya mahu memukul mereka dengan kotak pensil namun tiga sahabat itu terlebih dahulu berlari mencicit masuk ke dalam kelas. Adelia menggeleng kepala. Tidak sampai seminggu dia menjaga kelas itu sudah bermacam ragam pelajar yang dia jumpa.

Izmer pula sebaik sahaja melihat Adelia masuk ke dalam kelas, terus berdiri tegak. Syakir yang baru hendak meletakkan punggung di kerusi terkejut apabila Izmer tiba-tiba sahaja berdiri. Dia dan rakan sekelas yang lain terpinga-pinga dibuatnya.

"Assalamualaikum dan selamat pagi, cikgu!" Ucap Izmer dengan penuh lantang dan bersemangat.

Terkejut beruk Adelia dibuatnya apabila Izmer tiba-tiba sahaja memberi salam dengan suara yang lantang. Dengan teragak-agak dia menjawab salam itu.

"Bukan main bersemangat nampaknya awak pagi ni, Izmer. Hmm... awak nampak lain hari ni. Lebih kemas. Macam nilah baru anak murid saya," puji Adelia. Dia menunjukkan thumb up kepada Izmer.

Izmer tersipu-sipu malu. Hatinya berbunga-bunga apabila mendapat pujian daripada Adelia. Nampak sangat dia sudah angau dengan gurunya sendiri.

*****

"Iz, tunggu aku!" panggil Syakir.

Izmer yang ingin kembali ke dorm usai solat zohor menoleh. Dia melihat rakannya itu terkocoh-kocoh memakai kasut sebelum berlari mendapatkannya.

"Tunggu sekejap. Ada perkara yang aku nak cakap dengan engkau," kata Syakir dengan tercungap-cungap.

"Engkau nak cakap apa?" tanya Izmer.

Syakir tidak menjawab sebaliknya dia mengajak Izmer ke gazebo yang berdekatan apabila menyedari mereka sekarang ini sedang menghalang laluan.

"Hmm, apa yang engkau nak cakapkan tu sampai tak boleh nak cakap kat dorm?" tanya Izmer lagi sebaik sahaja melabuhkan punggung.

Syakir tergaru-garu kepala. Sukar untuk dia meluahkan apa yang bermain di kepalanya dari pagi tadi tapi dia perlu juga meluah demi mendapatkan jawapan daripada Izmer.

"Err... hari tu engkau ada cakap dengan aku yang... yang..."

"Yang apa?" Izmer mencantas cakap Syakir.

Syakir menarik nafas panjang. Dia memandang sekeliling. Masa itu pelajar yang tinggal di asrama ada yang sedang makan tengah hari di DM dan ada juga yang sedang menunaikan solat zohor di surau. Beberapa orang pelajar junior yang kebetulan melalui hadapan gazebo untuk ke surau memberi salam kepada Syakir dan Izmer apabila melihat mereka di situ.

"Hari tu engkau cakap dengan aku yang engkau dah jatuh cinta!" kata Syakir sekali lafaz, perlahan tetapi jelas.

Izmer terdiam. Lama. Matanya tidak berkelip memandang wajah Syakir. Perlahan-lahan dia mengangguk. Dia sengih sendirian apabila teringatkan tentang Adelia. Pagi tadi Adelia banyak memujinya di dalam kelas.

"Engkau... jatuh cinta dengan cikgu ganti kita tu, ke?"

Izmer tersentak. Terus terbang angannya. Dia menyuruh Syakir perlahankan suara sambil matanya meliar memandang sekeliling. Takut kalau-kalau ada yang mendengar perbualan mereka.

"Macam mana engkau tahu?" tanya Izmer kedunguan.

"Aku kenal engkau bukan sehari dua, beb. Kita dah berkawan dari form one lagi. Ketara sangat kot reaksi engkau pagi tadi masa kat kelas Cikgu Adelia," kata Syakir.

Izmer tersengih-sengih. Sesekali dia tergaru-garu kepala yang tidak gatal.

"Bukan ke engkau kata engkau suka dengan Cikgu Ammara?"

"Minat saja bukan suka. Tapi dengan Adelia tu... aku rasa lain kat sini." Izmer meletakkan tangan ke dada.

"Rasa gatal, rasa berdebar-debar setiap kali nampak muka dia," tambahnya sambil tersengih-sengih.

"Woi, sesedap rasa engkau saja panggil nama dia macam tu. Dia cikgu kita lah. Lagipun engkau dah lupa ke dengan peraturan nombor satu sekolah ni? Antara pelajar dan guru tidak boleh ada apa-apa hubungan istimewa," tekan Syakir.

"Siapa cakap aku nak confess kat dia yang aku suka kat dia sekarang? Mestilah lepas dia habiskan gantikan tempat Cikgu Rasyidah tu. Masa tu aku rasa tak salah kot kalau aku nak cakap kat dia yang aku suka dia," balas Izmer.

Syakir hanya mampu menggelengkan kepala. Rakannya itu benar-benar sudah angau.

"Kalau dia reject engkau macam mana? Manalah tahu rupa-rupanya dia tu isteri atau tunang orang. Apa engkau nak buat?"

Izmer terdiam. Kepalanya ligat berfikir. Dia tidak terfikir pula akan kebarangkalian itu. Adelia sendiri tidak menjelaskan tentang status dirinya yang sebenar.

"Arghhh! Aku tak kisah semua tu. Yang penting lepas tiga bulan ni aku nak confess kat dia yang aku suka kat dia," kata Izmer lagi dengan penuh yakin dan berani.

"Pu... hahahha!"

Izmer dan Syakir terkejut mendengar gelak tawa itu. Mereka menoleh ke belakang. Kelihatan seorang lelaki sedang duduk di gazebo itu sambil ketawa terbahak-bahak. Bila masa lelaki itu berada di situ? Apakah lelaki itu mendengar perbualan mereka dari awal? Pucat lesi muka Izmer dan Syakir dibuatnya.

Fahri segera bangun. Tawanya masih lagi bersisa. Sesekali dia mengesat air mata yang bertubir di tepi kelopak mata. Yang sebenarnya dia baru sahaja balik dari menunaikan solat zohor. Dalam perjalanan pulang ke pejabat tiba-tiba dia terdengar perbualan dua orang pelajar lelaki itu. Pada mulanya dia tidak mahu mengambil peduli tetapi apabila dia mendengar nama Adelia dipetik itu yang membuatkan dia tergerak hati untuk memasang telinga.

"Abang ni siapa? Abang curi dengar perbualan kami, ya?" tanya Izmer dengan nada yang serius.

"Aku tak curi cuma terdengar." Fahri menafikan.

"Samalah tu!" Tempelak Izmer, tidak puas hati.

Fahri hanya mencebik bibir sambil menjungkitkan bahu. Anak matanya tidak lepas dari memandang wajah Izmer. Seperti pernah dia lihat raut wajah itu tetapi di mana?

"Sudahlah. Iz, jom kita blah," kata Syakir. Dia tidak mahu memanjangkan isu.

Izmer hanya mengikut. Wajahnya masam mencuka sewaktu memandang Fahri. Dia juga tidak mahu hari-hari indahnya terganggu dek orang seperti Fahri.

"Tunggu!"

Fahri menahan dua remaja itu dari pergi. Izmer dan Syakir tidak jadi melangkah. Dia menoleh ke arah lelaki berkumis nipis itu.

"Nak apa lagi?" Rengus Izmer.

Fahri menapak mendapatkan mereka. Matanya tidak beralih dari memandang Izmer. Raut wajahnya tampak tegang. Seperti orang yang sedang menyimpan dendam.

"Engkau..."

Fahri tidak meneruskan ayatnya. Nafasnya turun naik dengan laju. Dia menuding jari kepada Izmer.

"Apa?" balas Izmer dengan berani. Dia turut membalas renungan mata Fahri. Tidak mahu kalah.

"Engkau kan yang tunjuk jari tengah kat aku masa aku nak keluar dari simpang kat depan tu bulan lepas," kata Fahri dengan nada yang tegang.

Izmer berkerut dahi. Tidak faham apa yang Fahri cuba katakan. Dia dan Syakir saling berpandangan. Rakannya itu hanya menjungkit bahu. Kemudian Dia mengalihkan pandangannya kepada Fahri.

"Bila masa pula aku..."

Izmer tidak jadi meneruskan ayatnya. Serta-merta dia teringat hari di mana dia dan rakannya lompat pagar sekolah semata-mata mahu makan nasi kandar. Bagaikan flashback, terlayar di ruang mata Izmer dirinya sedang menunjukkan jari tengah kepada pemandu kereta yang kebetulan hendak keluar simpang di hadapan sekolah. Air muka Izmer terus menjadi keruh. Perlahan-lahan dia mengundur ke belakang.

Bibir Fahri meleret sinis. Akhirnya dia jumpa juga budak yang menunjuk jari tengah kepadanya.

jemput baca

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience