Bab 6

Drama Series 13156

Ammara membawa Adelia ke rumahnya yang terletak di dalam asrama perempuan. Rumah warden perempuan berada di dalam asrama perempuan manakala rumah warden lelaki berada di luar asrama lelaki. Warden yang sudah berkeluarga boleh membawa keluarga mereka tinggal di situ manakala warden yang masih bujang boleh berkongsi dengan warden bujang yang lain.

Memandangkan Ammara tinggal seorang diri, dia mengajak Adelia tinggal bersamanya untuk sementara waktu. Ketua warden juga sudah mengizinkan Adelia tinggal bersama Ammara sepanjang tempoh dia berkhidmat di situ.

"Lia boleh duduk kat bilik ni. Bilik Mara kat depan tu. Dapur dan bilik air kat belah sana," kata Ammara sambil menunjuk setiap ruang dalam rumah itu.

"Kalau Lia nak masak ke guna saja apa yang ada kat dapur tu. Mara jarang masak tapi kalau ada orang masak Mara tak menolak," tambahnya lagi sambil tertawa kecil.

"Tak ada hal, Mara. Benda simple saja tu. Mara dah bagi Lia tinggal kat sini pun dah syukur sangat," ujar Adelia sambil matanya melilau memandang sekitarnya. Kemudian matanya tertancap satu sudut.

"Itu... Mara jual ke?" soalnya. Matanya tidak lepas memandang pelbagai jenis makanan dan minuman tersusun di atas rak. Selain itu terdapat juga barangan wanita seperti tuala wanita, peralatan mandi dan banyak lagi. Jika dilihat tidak ubah seperti tempat sebuah gerai mini.

"Oh, sudut tu Mara jadikan macam koperasi. Mudah untuk budak-budak asrama ni nak membeli barang keperluan mereka. Bila dah duduk asrama ni bukannya boleh selalu sangat keluar. Jadi Mara buatlah macam ni untuk memudahkan budak-budak tu."

Adelia terangguk-angguk. Seingatnya sewaktu dia tinggal di asrama dulu ada juga koperasi seperti itu di rumah salah seorang wardennya. Dengan adanya koperasi di asrama memudahkan budak perempuan sepertinya membeli barang penting seperti tuala wanita jika kehabisan stok.

Bunyi loceng asrama membuatkan dua guru muda itu tersentak.

"Ya Allah! Sakan berborak dengan Lia sampai tak sedar dah pukul empat petang. Lia rehatlah dulu. Mara nak pergi tengok budak-budak kat bilik 'prep'," kata Ammara sebelum berlalu keluar dari bilik.

Adelia menghantar Ammara sehingga ke muka pintu. Sewaktu dia hendak masuk ke semula ke dalam rumah dia melihat tiga orang pelajar perempuan keluar dari salah satu dorm dengan muka masam. Seorang lagi pelajar perempuan memakai lencana pengawas asrama menyuruh tiga orang pelajar itu menulis nama masing-masing ke dalam buku disiplin.

"Kenapa ni?"

Adelia melihat Ammara sedang mendekati kumpulan itu.

"Mereka ponteng 'prep', cikgu," kata pengawas asrama bernama Mardhiah.

"Mana ada!" Sangkal salah seorang pelajar yang tertangkap.

Seterusnya Adelia tidak lagi mendengar perbualan mereka apabila Ammara membawa pelajar-pelajar itu ke bilik disiplin. Adelia tersenyum sendiri. Tiba-tiba dia teringat kenangan sewaktu dia tinggal di asrama. Lebih kurang sama sahaja kehidupan asrama zaman dahulu dan sekarang. Bangun pagi terus solat subuh berjemaah di surau. Jika ada yang ponteng solat nama akan ditulis ke dalam buku disiplin. Akan ada denda yang menanti.

Begitu juga jika tidak turun 'prep' atau riadah. Akan ada denda yang menanti sekiranya tiada alasan yang kukuh. Banyak lagi peraturan yang mesti dipatuhi semasa tinggal di asrama. Namun begitu ada satu keseronokan yang Adelia tidak boleh lupa semasa tinggal di asrama.

***IMBAS KEMBALI***

"Hari ini makan apa kat DM?"

Adelia menoleh apabila terasa ada sesuatu sedang menyucuknya dari belakang. Dua rakannya Nelly dan Nurain yang sedang duduk di barisan belakang tersengih-sengih memandangnya. Ketika itu mereka berada di dalam makmal kimia.

"Manalah aku tahu," balas Adelia dengan nada berbisik. Tidak mahu guru kimia mereka mendengar perbualan mereka.

"Deria bau engkau kan tajam. Cubalah teka. Mana tahu ada rezeki kita makan nasi ayam hari ni. Hmm, tiba-tiba lapar pula perut ni," kata Nelly sambil menggosok perut.

"Kan baru saja rehat. Takkan dah lapar balik? Aku tengok bukan main lagi engkau melantak mi goreng kat kantin!" tempelak Adelia.

"Syyy..."

Nurain membuat isyarat supaya Adelia memperlahankan nada suaranya. Adelia terus menekup mulut. Mujur guru mereka yang sedang mengajar di hadapan tidak mendengar suaranya meninggi.

"Itu tadi. Sekarang dah lapar balik. Kau orang tahu sajalah perut aku ni asyik lapar manjang," bisik Nelly lagi.

"Huh! Engkau ni makan banyak pun badan tetap slim macam kayu." Nurain mengusik sambil menyindir.

Nelly membuatkan mata sambil mencubit perut rakannya itu. Nurain berkerut muka menahan gelak dan sakit di cubit. Begitu juga dengan Adelia. Mereka bertiga ketawa perlahan sambil menundukkan kepala masing-masing ke bawah meja.

"Menu tengah hari ni ikan tongkol masak kicap dan sayur labu masak air."

Adelia dan dua lagi rakannya menoleh ke arah Firzanah yang sedang duduk di sebelah Nurain. Gadis bertudung labuh itu tersengih memandang mereka. Dari tadi Firzanah mendengar tiga rakannya itu asyik berbual tentang menu tengah hari nanti.

"Mana engkau tahu?" tanya Nelly.

"Aku nampak jadual menu untuk hari ni kat DM pagi tadi," balas Firzanah.

"Hisy. Takkan ikan tongkol lagi? Dah naik muak aku makan ikan tu," rungut Nelly lagi. Dia tidak puas hati kalau menu tengah hari nanti lauk ikan tongkol.

Adelia, Firzanah dan Nurain hanya menjungkit baju masing-masing. Sebaik sahaja tamat sesi persekolahan, semua pelajar asrama bergegas ke DM untuk makan tengah hari. Masing-masing tidak sabar ingin tahu menu apa yang akan dihidangkan kepada mereka tengah hari itu.

Setelah lama beratur panjang menunggu giliran mengambil makanan akhirnya tiba giliran Adelia dan rakan-rakannya mengambil makanan. Masing-masing tidak sabar mahu mengisi perut yang sedang berkeroncong. Apabila tiba di kaunter, wajah mereka berubah apabila melihat menu pada hari itu ikan tongkol masak kicap dan sayur labu masak air. Sama seperti Firzanah cakap. Walaupun mereka sudah muak dengan lauk itu mereka tetap ambil juga demi mengisi perut. Bak kata Adelia,

"Mak ayah kita dah bayar duit makan kat DM, takkan kita nak membazir macam tu saja?"

Namun, apabila tiba giliran Nelly lain pula bunyinya.

"Ikan tongkol lagi ke, kak?" tanya Nelly kepada kakak DM.

"Makan sajalah apa yang hidang tu. Kalau tak suka tak payah makan. Lapar sendiri yang tanggung," balas kakak DM itu dengan nada yang sinis.

Mulut Nelly muncung sedepa. Sambil merungut dia mengambil juga makanannya dan mendapatkan rakan-rakannya yang sedang menikmati juadah masing-masing. Dia menghempas tray dengan kasar sambil melabuhkan punggung di sebelah Nurain. Adelia dan yang lain terkejut melihat reaksi Nelly.

"Engkau ni dah kenapa? Kalau iyapun tak suka dengan lauk tu tak payahlah sampai hempas-hempas tray," tegur Adelia.

"Tak adalah. Kakak DM tu. Aku tanya elok-elok dia boleh pula jawab sindir-sindir. Mana aku tak sakit hati," rungut Nelly.

"Engkau tanya apa kat dia?" tanya Nurain pula.

Nelly pun menceritakan perbualan pendek antaranya dengan kakak DM dengan hati yang panas.

"Tak payah layan apa yang kakak DM tu cakap. Mulut dia memang macam tu. Suka sindir-sindir orang. Ramai yang dah terkena dengan dia. Sudahlah. Makan nasi tu. Tadi engkau juga cakap lapar... lapar," kata Adelia pula sambil mengusik.

Nelly menarik muka masam. Dia menolak jauh tray tersebut darinya.

"Tak naklah. Asyik ikan tongkol saja. Naik muak tekak aku ni, tahu!"

"Tak baik bazir makanan," tegur Firzanah pula.

Nelly merenung Firzanah dengan pandangan yang tajam. Tak tahulah kenapa, setiap kali gadis bertudung labuh itu bersuara pasti hatinya jadi panas. Acah-acah ustazah pula, gerutu hatinya .

"Kalau macam tu apa kata engkau saja yang habiskan makanan aku ni," kata Nelly sambil menuang makanannya ke dalam tray Firzanah.

Adelia terkejut dengan tindakan Nelly. Dia melihat nasi di dalam tray Firzanah bergenang dengan kuah sayur.

"Hei, Nelly! Tak baiklah engkau buat macam tu kat Zana. Makanan kot," marah Adelia. Terkejut melihat tindakan rakannya itu.

"Dah kawan ustazah kita ni cakap tak elok membazir makanan jadi aku bagilah kat dia. Salah, ke?" Nada suara Nelly kedengaran agak menjengkelkan.

"Memanglah tak elok membazir makanan tapi tak boleh ke engkau bagi elok-elok? Tengok tu sampai dah kembang nasi Zana," marah Adelia lagi.

"Alah, Zana tak cakap apa-apa pun. Engkau saja yang over lebih," tempelak Nelly.

"Bukan macam tu..."

Adelia tidak jadi meneruskan ayatnya apabila menyedari banyak mata memandangnya ketika itu.

"Sudahlah tu. Tak elok kita bergaduh depan rezeki. Lagipun, malu orang tengok engkau orang bertekak sebab hal yang kecil ni," tegur Firzanah sambil bangun.

"Engkau nak pergi mana?" tanya Adelia.

"Nak letak tray lah. Aku dah siap makan pun," balas Firzanah lagi sambil menunjuk tray yang hanya tinggal sisa tulang.

Adelia terdiam. Dia tidak percaya Firzanah seperti tidak kisah Nelly menuang makanan ke dalam tray nya seperti membuang sampah. Rakannya itu tetap kelihatan tenang seperti biasa. Nelly tersengih sinis. Dia mendekati Adelia.

"Zana okey saja. Engkau tu yang over, Lia!" bisiknya di telinga Adelia.

Nelly sengaja menyenggol bahu Adelia sebelum melangkah keluar dari DM dengan lagaknya. Baru beberapa langkah dia melangkah tiba-tiba Firzanah memanggilnya dengan suara yang lantang.

"Nelly, lain kali kalau engkau tak suka makanan kat DM, tak perlu ambil. Orang lain boleh makan. Lagi satu, aku bukan tempat untuk engkau buang sisa makanan engkau!" kata Firzanah dengan lantang.

Merah padma muka Nelly dibuatnya. Malunya dia tidak terkata apabila suara-suara sumbang mula kedengaran mengejeknya. Nelly memandang Firzanah dengan rasa bengang. Kemudian dia berkalih memandang Adelia. Rakan yang dikenali sejak tingkatan satu tersenyum sinis. Pedihnya hati Nelly apabila dimalukan sedemikian rupa. Dia benci Adelia. Dia benci Firzanah. Dengan mata yang bergenang dia berlari keluar dari DM.

"Engkau orang ni tak baik buat Nelly macam tu. Kesian dia, tahu," marah Nurain setelah lama berdiam diri. Dia terus bangun dan bergegas mendapatkan Nelly. Dia perlu memujuk rakannya itu.

Adelia jadi terpinga-pinga dibuatnya. Dia bukannya sengaja mahu mencari fasal dengan Nelly tetapi tindakan rakannya itu sangat tidak sopan. Dia memandang Firzanah yang sudah keluar dari DM. Wajah rakannya itu tampak bersahaja seperti tiada apa-apa yang berlaku.

"Hei, Lia. Apa dah jadi? Aku dengar engkau orang bising-bising dari tadi," tegur Batrisya.

Adelia memandang wajah Batrisya kemudian dia mengeluh kecil.

Hanya kerana ikan tongkol persahabatan antara mereka berempat menjadi renggang. Nelly dan Nurain membawa haluan mereka manakala Adelia dan Firzanah masih tetap bersahabat seperti biasa. Tali persahabatan yang sudah renggang terus terputus dengan kematian salah seorang daripada mereka berempat.

"Assalamualaikum. Cikgu, ada kat rumah, ke?"

Bunyi suara orang memberi salam menyedarkan Adelia dari kenangan lama. Dia melihat beberapa kepala bertudung hitam terjengah-jengah di tingkap yang terbuka. Tanpa membuang masa dia terus ke pintu.

Sementara itu dalam dorm tujuh aspura, Fizi dan Zawawi sedara rancak berbual.

"Weyh, engkau dah tengok belum cikgu ganti yang baru datang pagi tadi tu? Cun giler muka dia," ujar Zawawi dengan nada yang teruja.

"Aku ada nampak juga. Perghhh! Lawa siot cikgu tu. Dahlah comel bila senyum. Memang taste aku kalau yang comel-comel ni," kata Fizi pula dengan gelak miangnya.

Dua sahabat itu tergelak-gelak sambil bertepuk tampar. Izmer dan Syakir yang baru sahaja keluar dari bilik air terpinga-pinga melihat gelagat rakan mereka.

"Woi, engkau orang ni dah kenapa? Gelak sambil tepuk-tepuk tangan aku tengok. Dah macam bapok siot," kata Syakir sambil melempar tuala ke muka Fizi namun sempat rakannya itu mengelak.

Izmer hanya menggeleng kepala melihat ragam rakannya itu.

"Engkau orang bual apa tadi sampai kat luar aku boleh engkau orang gelak macam kena sampuk," ujar Izmer kepada Zawawi.

"Tak adalah. Yang sebenarnya kita orang tengah cakap pasal cikgu ganti yang baru datang tu. Engkau dah jumpa belum cikgu tu? Serius aku cakap... cikgu tu cute giler. Kalah Cikgu Ammara kesukaan engkau tu," balas Zawawi sambil tergelak-gelak.

Izmer berdecit.

"Ahh, tipulah. Mana ada perempuan lain kat dalam Seri Bakti ni yang boleh kalahkan kecantikan Cikgu Ammara yang paling hot tu," bantahnya.

Terlayar di ruang mata Izmer wajah cantik guru bahasa Inggeris nya itu. Siapa sahaja yang tidak tergoda dengan wajah cantik Ammara. Lirikan matanya yang menggodakan mampu membuatkan sesiapa yang melihat pasti jatuh cinta.

Deringan loceng yang nyaring menyedarkan Izmer dari lamunan yang melalaikan. Cepat-cepat dia beristighfar. Menyedari hanya dia seorang yang masih berada di dalam dorm cepat-cepat Izmer ke surau untuk menunaikan solat asar secara berjemaah.

selamat membaca

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience