Bab 5

Drama Series 13156

Fahri menghentikan keretanya secara mengejut apabila lampu isyarat bertukar warna merah. Mujur sahaja tiada kereta di hadapannya. Fahri meletakkan kepala pada stereng. Matanya terpejam rapat manakala nafasnya tercungap-cungap seperti orang baru lepas lari marathon.

"Macam mana dia boleh ada di situ?" soal Fahri kepada dirinya.

Satu raut wajah bermain di kepalanya. Tidak mungkin dia lupa akan wajah yang satu itu. Hampir setiap hari dia menatap wajah itu siang dan malam tanpa jemu dengan perasaan benci yang menggunung.

Perlahan-lahan Fahri mengangkat kepala. Anak matanya merenung tajam ke luar. Dia menggenggam erat stereng kereta sehingga berbekas. Raut wajahnya tampak tegang. Alur deru nafasnya pula turun naik tidak teratur. Alunan muzik kesukaannya langsung tidak mampu meredakan gelora di hati.

"Adelia Natasha. Merata tempat aku cari engkau tapi sudahnya kat tempat itu juga kita berjumpa!" bentaknya tiba-tiba.

Fahri benar-benar tidak percaya gadis yang di carinya selama berbelas tahun tiba-tiba muncul di hadapannya. Terkejut besar dia apabila melihat Adelia berdiri di hadapan pejabat pengurusan asrama tadi. Sekali pandang Fahri sudah mengecam gadis berambut ikat kuda dan berbaju kurung hitam bercorak bunga tabur putih itu adalah Adelia. Ikutkan hati mahu sahaja dia menerkam Adelia tetapi dia cuba menahan diri daripada melakukan tindakan bodoh.

Fahri masih lagi berperang dengan perasaannya. Dia hanya tersedar dari perasaannya itu apabila kenderaan di belakang sudah membunyikan hon yang panjang kerana lampu hijau sudah lama menyala. Tanpa membuang masa dia terus beredar dari situ. Setelah selesai urusan di pejabat pos, Fahri tidak kembali ke asrama Jasmine sebaliknya dia ke tempat lain.

Kereta Fahri berhenti betul-betul di hadapan pejabat FH Interior Design. Sewaktu dia masuk ke dalam pejabat itu, semua yang ada terkejut melihat kehadirannya pada waktu itu.

"Bos? Bukan... bos kata bos cuti, ke?"

Fahri berhenti melangkah. Dia melihat banyak mata tertumpu ke arahnya.

"Saya cuma singgah sekejap saja. Teruskan buat kerja. Lagi satu, jangan ada sesiapa yang masuk bilik saya," ujarnya sebelum menonong masuk ke biliknya.

Pekerjanya yang hanya 10 orang itu termangu. Mereka saling berpandangan.

"Kenapa dengan bos kita tu? Nampak moody semacam saja."

"Engkau tanya aku? Manalah aku tahu. Engkau pergilah tanya sendiri kat dia."

"Hisy. Tak mahulah aku. Haih. Beruntungnya encik Fahri dapat pergi bercuti. Aku pun nak pergi bercuti juga."

"Engkau pergilah minta cuti kat encik Huzair."

"Tak berani aku. Encik Huzair tu dahlah kedekut."

"Ceh! Engkau semuanya tak berani."

"Betullah. Kalau engkau nak tahu encik Huzair tu..."

"Ehem!"

Terus sunyi ruang pejabat itu serta-merta. Masing-masing terpaku melihat seorang lagi bos mereka muncul di situ. Huzair memandang setiap wajah pekerjanya dengan wajah yang serius.

"Rancak bersembang? Design yang saya suruh buat tempoh hari dah siap?" soalnya kepada dua orang pekerjanya yang rancak berbual sebentar tadi.

Dua pekerja itu terkocoh-kocoh berlari ke tempat masing-masing dan menyelesaikan tugasan yang tertangguh. Huzair menggeleng kepala. Dia baru sahaja balik dari berjumpa dengan pelanggannya di luar. Balik-balik sahaja dia sudah mendengar suara pekerjanya bergosip.

"Bergosip saja kamu orang ni. Macam mana saya nak naikkan elaun, bagi cuti kalau kerja pun main-main?" Sempat lagi dia membebel.

Masing-masing hanya menundukkan kepala apabila mendengar bos mereka mula bersuara.

"Encik Fahri ada masuk office, ke?" tanya Huzair pula kepada setiausaha Fahri, Dian.

"Baru saja sebentar tadi encik Fahri masuk ke dalam biliknya. Tunggu sekejap encik Huzair!" Dian menahan Huzair dari pergi ke bilik Fahri.

Huzair tidak jadi melangkah. "Kenapa?" soalnya.

"Encik Fahri cakap jangan ada sesiapa yang masuk ke biliknya sekarang," jawab Dian dengan perlahan.

Huzair terdiam. Dia memandang pintu bilik Fahri yang tertutup rapat.

Sementara itu di dalam bilik Fahri sibuk menyelongkar setiap laci mejanya. Habis semua barang bersepah di atas meja. Dia yakin barang yang dia sedang cari ada di dalam bilik itu. Setelah puas menyelongkar akhirnya dia jumpa juga sebuah diari berwarna coklat yang sudah lusuh warna kulitnya.

Fahri bersandar pada kerusi sambil merenung diari di atas meja. Dia tidak menghiraukan keadaan biliknya yang berselerak seperti baru lepas di serang puting beliung. Fikirannya ketika itu berserabut sehinggakan dia tidak tahu yang mana satu harus dia dahulukan mengikut aturan.

Anak mata Fahri masih tidak lepas dari memandang diari lama itu. Diari itu bukanlah miliknya tetapi milik seseorang yang pernah hadir dalam hidupnya. Sudah lama diari itu berada dalam simpanannya. Boleh kata hampir keseluruhan isi dalam diari itu sudah habis dia khatam. Melalui diari itu jugalah dia belajar mengenali seseorang.

Perlahan-lahan Fahri menarik sekeping gambar yang terselit pada salah satu halaman diari itu. Dia merenung lama wajah di dalam gambar itu.

"Adelia," gumamnya perlahan. Tangannya menggenggam kemas gambar Adelia sehingga ronyok.

Dalam gambar itu kelihatan Adelia tersenyum riang sambil memakai baju sekolah. Terdapat lencana Sekolah Menengah Seri Bakti tersemat di dada baju sekolahnya. Wajah Adelia di dalam gambar itu kelihatan lebih keanakan dan terserlah kelincahannya sebagai seorang remaja yang sedang membesar. Fahri menilik wajah Adelia dalam-dalam. Wajah Adelia versi dewasa dan versi remaja tidak jauh banyak perubahannya.

Fahri melihat pula pelajar perempuan yang berdiri di sebelah Adelia di dalam gambar itu. Pelajar perempuan itu kelihatan lebih sopan berbanding Adelia. Bertudung litup dan tersenyum manis.

"Zana..."

Kali ini suara Fahri berubah nada. Suaranya kedengaran agak bergemersik dan bergetar. Dadanya berasa sebak saat memandang gambar pelajar perempuan bernama Firzanah.

"Zana, aku rindukan engkau..."

Fahri mengusap lembut gambar Firzanah, kembarnya yang sudah meninggal dunia 15 tahun yang lepas. Berbelas tahun dia memendam rasa setiap kali mengingati cara kematian kembarnya itu. Pada ulang tahun mereka yang ke-17, Firzanah mengambil tindakan dengan membunuh diri. Sehingga ke hari ini Fahri tertanya-tanya punca Firzanah mengambil tindakan sedemikian rupa.

Kematian Firzanah membuatkan keluarganya yang sudah sedia hancur bertambah porak peranda. Ibunya dimasukkan ke hospital sakit jiwa kerana mengalami tekanan perasaan selepas kematian Firzanah. Manakala ayahnya meninggal dunia akibat serangan sakit jantung. Keluarga Fahri musnah dalam sekelip mata.

"Aku benci dia. Dia dah hancurkan hidup aku. Dia kawan yang tak guna. Aku benci dia!"

Kata-kata Firzanah 15 tahun yang lepas masih terngiang-ngiang di telinga Fahri. Dia tidak boleh lupa wajah duka Firzanah waktu itu. Kembarnya itu berada dalam keadaan yang sangat tidak terurus baik dari fizikal mahupun mental.

***IMBAS KEMBALI***

Fahri terus mengambil bas ke Pontian setelah mendapat panggilan daripada ibunya, Mariani. Dalam panggilan itu Mariani ada memberitahu, sudah banyak hari Firzanah tidak keluar dari biliknya sejurus pulang dari asrama.

"Ibu risau. Ri balik kejap tengokkan Zana, boleh? Ibu ada kursus dua hari di JB. Tak sedap hati pula nak tinggalkan dia seorang diri di rumah," kata Mariani di hujung talian.

Fahri tidak menunggu lama dia terus mengemas pakaian yang ingin di bawa ke rumah ibunya. Sempat lagi dia meminta izin daripada ayahnya, Ismadi untuk pulang ke Pontian.

"Kamu baliklah seorang. Ayah sibuk. Tak ada masa nak pergi sana," kata Ismadi acuh tak acuh.

"Tapi, yah... ibu cakap Zana dah banyak hari tak bercakap, tak keluar dari bilik. Ri risau kalau-kalau ada sesuatu telah berlaku kat Zana. Jomlah, ayah. Kita balik sama-sama tengok Zana," pujuk Fahri lagi.

"Berapa kali ayah nak cakap? Ayah sibuk! Kamu nak balik kamu baliklah. Ayah tak halang pun. Ibu kamu tu pun satu. Apa yang dia buat sampai si Zana berkurung dalam bilik saja? Itulah... masa aku nak ambil kamu berdua dulu duduk dengan aku bukan main lagi dia halang. Kononnya dia tak percaya aku boleh jaga anak perempuan dia tu. Sekarang tengok apa dah jadi? Pandai-pandailah ibu kamu tu settlekan masalah dia anak-beranak!" bentak Ismadi dengan wajah yang bengis.

"Tapi Zana juga anak ayah. Apa salahnya ayah tengok keadaan dia!" Tegas Fahri. Tahap kesabarannya semakin menipis dengan sikap ego ayahnya itu.

Mata Ismadi terbelalak melihat Fahri. Dengan wajah yang bengis dia mendekati anak bujangnya itu.

"Engkau tak perlu nak mengajar aku, Muhammad Fahri. Dah cukup baik aku benarkan engkau tengok kembar engkau tu. Kalau Ikutkan hati aku ni... dari hari pertama aku dan ibu engkau bercerai memang aku tak izinkan langsung engkau jumpa mereka!" Suara Ismadi semakin meninggi.

Fahri terus terdiam apabila Ismadi sudah mula meninggikan suara. Remaja berusia 17 tahun itu hanya mampu melihat sosok tubuh ayahnya melangkah pergi dengan pandangan yang sayu. Sewaktu usia Fahri 10 tahun, orang tuanya bercerai atas alasan tidak lagi sehaluan. Selepas bercerai, Mariani membawa Firzanah ke Pontian manakala Ismadi membawa Fahri ke Kuala Lumpur. Keluarga mereka yang dahulunya harmonis kini berpecah belah.

Walaupun orang tuanya sudah bercerai, hubungan antara Fahri dan Firzanah tetap utuh seperti biasa. Seperti pepatah air dicincang tidak akan putus begitu jugalah dengan Fahri dan Firzanah. Hubungan mereka sangat akrab. Boleh dikatakan tiada rahsia antara mereka.

Fahri tersedar dari lamunan apabila bas yang dinaikinya berhenti di terminal bas Pontian. Tanpa membuang masa dia terus turun dari bas dan mencari teksi untuk ke rumah Mariani. Semasa dia ingin menaiki teksi tiba-tiba seorang remaja perempuan lebih kurang usianya terlebih dahulu masuk ke dalam teksi yang di tahannya.

"Pak cik, hantar saya ke Taman Kemboja di Pekan Nenas," kata remaja perempuan itu sambil menutup pintu teksi.

Fahri sempat menahan pintu tersebut kemudian dia menarik remaja perempuan itu keluar dari perut teksi.

"Hei, apa ni main tarik-tarik?" marah remaja perempuan itu sambil menepis tangan Fahri.

"Engkau tu apahal naik teksi aku? Keluar!" arah Fahri dengan rasa bengang.

Remaja perempuan itu diam. Anak matanya yang bundar memandang pemandu teksi yang turut memandang ke arah mereka. Kemudian dia berkalih pada Fahri.

"Teksi ni engkau yang punya, ke?" soal remaja perempuan itu dengan nada yang menjengkelkan.

"Bukan aku punya..."

"Jadi aku ada hak untuk naik teksi ni."

Remaja perempuan itu menolak tubuh Fahri ke tepi dan ingin masuk semula ke dalam teksi namun sekali lagi Fahri menahan.

"Tapi teksi ni aku yang tahan dulu. Kalau engkau nak naik teksi sangat engkau pergi ambil teksi lain. Melambak kat sana tu!" tegas Fahri.

"Tak nak! Aku nak naik teksi ni juga. Tepilah. Aku dah lambat, tahu tak?" Remaja perempuan itu tetap berkeras dengan pendiriannya.

"Engkau ingat engkau seorang punya lambat? Ke tepi. Ini teksi aku!" Fahri tidak mahu mengalah.

Berlakulah perbalahan antara mereka berdua di tempat letak teksi. Pemandu teksi itu hanya mampu menggeleng kepala melihat dua remaja itu masih lagi berbalah mulut sehingga ada yang tarik-tarik rambut. Tidak mahu perbalahan itu berlanjutan sehingga menganggu ketenteraman awam akhirnya pemandu teksi itu terpaksa mendamaikan dua remaja itu.

"Sudah! Sudah! Kamu berdua nak ke Taman Kemboja, kan," kata pemandu teksi itu.

Fahri dan remaja perempuan yang tidak dikenali itu mengangguk serentak. Sempat lagi mereka berbalas jelingan.

"Kalau macam tu biar pak cik hantar kamu berdua ke sana. Sudah. Jangan gaduh-gaduh lagi kat sini. Nanti tak pasal-pasal kamu dan pak cik sekali kena heret balai."

Terus berubah air muka Fahri dan remaja perempuan itu. Dalam keterpaksaan mereka masuk juga ke dalam teksi dan meneruskan perjalanan ke destinasi yang di tuju. Sepanjang jalan Fahri dan remaja perempuan itu saling menarik muka masam sehingga di tegur oleh pemandu teksi tersebut.

"Jangan gaduh-gaduh. Orang tua-tua kata kalau asyik bergaduh nanti kahwin kang," seloroh pemandu teksi itu.

"Hee... tak nak saya kahwin dengan mamat poyo ni. Lagipun saya sekolah pun tak habis lagi. Mana boleh kahwin, pak cik," kata remaja perempuan itu sambil melirik tajam kepada Fahri.

Fahri tertawa sinis. Dia berpeluk tubuh sambil menyilangkan kaki. Dia memandang remaja perempuan tidak diketahui namanya itu dengan rasa jelik.

"Aku pun tak hingin nak kahwin dengan engkau, minah kerek perasan bagus. Kalau dalam dunia ni cuma ada engkau saja... aku lebih rela jadi bujang terlajak," balasnya tidak mahu kalah.

Ketawa besar pemandu teksi itu mendengar dua remaja itu kembali berbalah. 15 minit kemudian, mereka tiba di Taman Kemboja. Pemandu teksi itu tidak dapat menghantar dua remaja itu sehingga ke dalam kerana di jalan masuk taman itu ada perarakan keagamaan dan menghalang kenderaan kenderaan untuk masuk ke dalam taman.

Fahri berjalan kaki menuju ke rumah ibunya. Sudah dua tahun dia tidak datang ke situ kerana sibuk dengan aktiviti di sekolah. Walaupun jarang turun ke situ dia masih ingat lagi lorong hendak ke rumah Mariani.

Akhirnya Fahri sampai juga di rumah ibunya. Belum sempat dia memberi salam dia terus menoleh ke belakang apabila terdengar bunyi tapak kasut mengekorinya dari belakang. Dia terkejut melihat remaja perempuan tadi mengekorinya sehingga ke rumah ibunya.

"Engkau buat apa kat sini? Engkau mengekor aku, ya?"

Remaja perempuan itu membuat muka jelek. Sesekali dia mengesat peluh yang menitik di dahi.

"Bila masa pula aku ikut engkau? Aku nak pergi rumah kawan akulah. Tepilah! Yang engkau terpacak kat depan rumah kawan aku ni, kenapa?"

Fahri tidak berganjak walau sedikitpun. Dia berdiri tegak di hadapan pintu pagar rumah ibunya sambil berpeluk tubuh. Kulitnya yang sedikit gelap kerana selalu bermain bola bertambah gelap dek terkena panahan matahari yang terik. Matanya merenung tajam remaja perempuan itu.

"Ini rumah ibu akulah!"

Remaja perempuan itu terkejut beruk dibuatnya. Bibir mugilnya terlopong luas. Matanya tidak berkelip memandang budak lelaki di hadapannya itu.

"Ini... rumah ibu engkau? Maksudnya engkau ni adik atau abang kepada Zana?" soalnya inginkan kepastian.

"Yup. Aku ni abang kembar Zana. Ada masalah, ke?" tanya Fahri sambil membusungkan dada.

"What? Zana tak pernah cerita pun yang dia ada abang kembar yang poyo lagi menjengkelkan," balas remaja perempuan itu.

Fahri berasa bengang dengan jawapan itu. Ikutkan hati mahu saja dia flying kick budak perempuan itu. 'Mujur muka engkau comel kalau tidak...' hatinya berbisik. Sempat lagi dia memuji remaja perempuan itu dalam hati.

"Ehem. Engkau nak apa datang sini?" Fahri berlagak serius.

'Amboi, acah-acah serius pula,' bisik hati remaja perempuan itu dengan rasa meluat tapi dalam masa yang sama berasa terhibur melihat lagak kembar rakannya itu.

"Aku nak jumpa Zana. Dah banyak hari dia tak balas mesej aku. Call apatah lagi. Err... dia okey, ke?" Remaja perempuan itu bersuara.

"Kenapa engkau tanya dia okey ke tidak?" tanya Fahri lagi.

Air muka remaja perempuan itu sedikit berubah. Dia kelihatan seperti orang dalam kegelisahan. Fahri mulai berasa curiga dengan remaja perempuan itu.

"Err... bukan apa. Yang sebenarnya aku ada kerja kursus bersama Zana. Banyak benda yang kami kena diselesaikan sebelum naik sekolah minggu depan." Remaja perempuan itu memberi alasan.

Fahri berdiam diri. Fikirannya dari tadi tidak duduk diam memikirkan tentang Firzanah ditambah pula remaja perempuan di hadapannya itu. Mungkin dengan kehadiran rakan Firzanah dapat meringankan sedikit masalah kembarnya itu.

"Tunggu sekejap. Aku pergi panggilan Zana. Nama engkau siapa? Senang aku nak cakap kat Zana nanti."

"Lia. Adelia," jawab remaja perempuan itu laju.

'Adelia? Not bad lah dengan paras rupa dia yang tak berapa lawa tu.' Sempat lagi Fahri mengomel dalam hati.

Fahri terus membuka pintu pagar rumah ibunya dengan kunci pendua yang pernah ibunya berikan kepadanya sebelum ini. Tanpa mempelawa Adelia masuk dia terus menonong masuk ke dalam rumah.

"Assalamualaikum. Ibu? Zana? Ri datang... eh? Zana? Apa dah jadi dengan engkau?"

Fahri terkejut apabila Firzanah tiba-tiba sahaja meluru keluar dari bilik tidur dan menutup pintu utama dengan kasar. Kemudian Firzanah berlari ke tingkap dan mencuri lihat keluar. Fahri terpinga-pinga sekejap melihat reaksi kembarnya itu.

"Hei, Zana. Kenapa dengan engkau ni? Aku tanya ni jawablah," tegur Fahri sambil menyentuh bahu kembarnya.

Firzanah menepis tangan Fahri dengan kasar. Bola matanya yang merah menyala memandang wajah Fahri dengan renungan yang tajam.

"Halau dia pergi dari sini!" arah Firzanah dengan nada yang kasar.

Sekali lagi Fahri terpinga-pinga. Dia terkejut melihat tindakan Firzanah yang dirasakan sangat aneh. Kembarnya itu kelihatan sangat tidak terurus. Dengan rambut yang serabai dan berbau tegik peluh ditambah pula dengan lingkaran hitam yang mengelilingi mata. Bibir yang kering merekah seperti tidak cukup air. Fahri berasa pelik melihat Firzanah menggigit kuku sambil menggumam sesuatu.

"Zana... engkau okey, ke?" soal Fahri lagi.

Firzanah tidak membalas sebaliknya dia terus menggigit kuku. Sesuatu perlakuan yang tidak pernah dia lakukan sebelum ini.

"Zana, ibu ada telefon aku. Dia cakap engkau dah banyak hari tak keluar bilik. Tak minum, tak makan. Apa sebenarnya yang dah jadi dengan engkau? Engkau ni dah macam tak rupa orang aku tengok," kata Fahri dengan nada yang lembut. Dia cuba mengambil hati Firzanah.

"Huh!" Firzanah mendengus kasar.

Fahri menarik nafas panjang. Dia cuba menahan diri daripada menghamburkan kemarahan kepada Firzanah.

"Aku lupa nak beritahu, kawan engkau ada kat luar. Dia nak jumpa engkau. Nama dia... Adelia kalau tak silap," beritahu Fahri lagi. Cuba memancing perhatian kembarnya.

"Halau dia pergi! Aku tak nak tengok muka dia!" bentak Firzanah lagi.

Fahri terkejut apabila Firzanah tiba-tiba sahaja berteriak seperti orang yang tidak siuman. Habis barang-barang di ruang tamu di baling oleh Firzanah ke lantai. Fahri terus memeluk tubuh Firzanah dari belakang. Dia cuba menenangkan kembarnya itu.

"Shuu... bertenang, Zana. Bertenang. Tarik nafas pelan-pelan..."

Firzanah meronta-ronta sambil menangis teresak-esak. Berkali-kali dia cuba mencederakan diri dengan kaca-kaca yang berselerak di atas lantai. Mujur sahaja Fahri sempat menahannya.

"Jangan buat benda bodohlah, Zana. Beritahu aku apa sebenarnya yang terjadi? Siapa yang buat engkau sampai engkau jadi macam ni?" bentak Fahri sambil menggoncang tubuh Firzanah berkali-kali.

"Aku benci dia. Dia dah hancurkan hidup aku. Dia kawan yang tak guna. Aku benci dia!" Firzanah meraung untuk kesekian kalinya.

"Siapa? Siapa yang dah hancurkan hidup engkau?" tanya Fahri lagi. Tidak sabar.

Perlahan-lahan jari telunjuk Firzanah menuding pada langsir yang terselak ditiup angin sekaligus memperlihatkan sosok tubuh Adelia yang sedang menunggu di luar pagar. Fahri terkedu. Dia memandang wajah kembarnya dan Adelia silih berganti. Sementara itu, Adelia masih lagi terpacak di luar pagar seperti orang bodoh. Dia hanya beredar apabila abang kembar Firzanah memberitahu yang Firzanah tidak mahu berjumpa dengan sesiapa buat masa ini.

Sebulan kemudian Fahri dikejutkan dengan berita tentang kematian Firzanah. Kembarnya itu di dapati mati kerana bunuh diri. Fahri tidak faham mengapa Firzanah sanggup mengambil jalan pintas seperti itu sebagai penyelesaian masalah. Sebagai abang kembar kepada Firzanah, dia merasakan dirinya gagal melindungi saudara kembarnya. Fahri cuba mendapatkan penjelasan daripada Adelia namun sayangnya budak perempuan itu telah berpindah ke tempat lain.

Sehingga ke hari ini, Fahri masih tidak mendapat jawapan mengapa Firzanah bunuh diri. Pemergian Firzanah penuh dengan tanda tanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience