Tak sangka, aku dan Alawiyah makin ‘dekat’ pula sekarang.Pada zahirnya kami berdua memang dekat kerana hari-hari kami akan bertembung di surau ini. Tapi hakikat yang nyata, aku dan dia tak pernah bertegur sapa walau sekali.Hanya senyuman yang dihadiahkan sesama kami.
“Ali…” Petang itu selesai kelas mengaji, Abdul mengajak aku meluangkan masa membersihkan kolah surau. Aku bersetuju saja. Siapa yang tak nak pahala bukan?
“Mashitah cakap kat aku ada lelaki datang merisik Alawiyah semalam.” Sebaris ayat itu buat aku terpana lama. Terjatuh habis gayung dari tanganku.
“Astaghfirullahal’azim.” Cepat-cepat aku mengambil gayung itu lalu meneruskan cucianku. Aku cuba bertindak seperti biasa. Namun hati mula kembali resah. Siapa pula yang datang merisik Alawiyah? Ya Allah, mungkin Engkau memang ingin menguji sejauh mana aku berani untuk meluahkan perasaanku kepada gadis yang aku cintai itu?
“Siapa lelaki tu, Abdul?” soalku pada Abdul perlahan.
“Mashitah cakap lelaki tu seorang ustaz. Ustaz tahfiz dari sekolah pondok. Yang datang merisik tu pun mak ayah lelaki tu. Lelaki tu serahkan kepada mak ayah dia nak carikan calon isteri.” Aku tidak mampu nak meneruskan pekerjaanku lagi. Akhirnya aku berhenti menyental kolah yang sudah berlumut itu lalu kutatap wajah Abdul dalam.
“Seorang wanita solehah selayaknya untuk lelaki soleh kan, Abdul? Alawiyah setuju ke dengan lamaran tu?” Masakan aku mampu nak bertanding dengan seorang ustaz. Andai aku melAbdul Alawiyah, mungkin Alawiyah tidak mampu menerima lelaki serba kekurangan sepertiku. Aku bukan ustaz. Aku hanya seorang anak murid ustaz.
“Alawiyah minta masa. Dia nak buat solat sunat Isthikarah dulu. Aku tak tahulah, Ali. Tapi aku rasakan macam ada seorang lelaki yang Alawiyah tunggu-tunggu. Mungkin dia dah jatuh hati pada seorang lelaki tapi tak mampu nak luahkan. Wallahua’lam. Aku harap yang terbaik untuk dia.” Kata-kata Abdul aku jawab dengan kebisuan. Andai benar telahan Abdul, sudah pasti lelaki yang ditunggu-tunggu oleh Alawiyah itu merupakan seorang lelaki yang baik akhlaknya, beriman orangnya dan memiliki ilmu agama yang luas.
Share this novel