Andai aku mampu menyimpan harapan. Aku berharap akulah lelaki itu. Hmm… Tapi mana mungkin. Aku bukan seperti Saidina Ali yang penuh ilmu di dada. Aku hanya Ali Suffiyan yang sedang mencuba untuk belajar menjadi lelaki yang lebih baik.
Sejak dari hari aku tahu ada lelaki lain datang merisik Alawiyah, aku tidak lagi berminat untuk mengetahui apa-apa berita mengenai gadis itu. Semoga dia berbahagia dengan pilihannya.
Tidak berjaya memiliki Alawiyah bukan bermakna aku mematikan segala impianku untuk menjadi seorang lelaki yang lebih baik. Kelas mengaji masih aku teruskan tapi secara peribadi dengan Abdul. Setiap malam Isnin, aku akan ke rumah Abdul belajar mengaji dengan sahabat baikku itu. Tidak belajar mengaji di surau tidak bermakna aku menjauhkan diri dari menjejakkan kaki ke sana. Tapi aku sudah jarang menunaikan solat berjemaah di surau itu. Aku beralih angin ke masjjid pula.
Aku manusia biasa. Yang punya hati dan perasaan. Setiap kali melihat Alawiyah, hati aku dilanda rasa kecewa. Kecewa kerana aku tidak lagi mampu untuk mencintai dan menyayangi Alawiyah dalam diam. Mungkin gadis itu telah menerima lamaran ustaz tahfiz itu. Abdul sendiri cakap ustaz tahfiz itu mula menunjukkan bakatnya memujuk hati kedua orang tua Alawiyah.
Mungkin lelaki itu juga sudah berjaya memikat hati Alawiyah dalam diam. Hmm…
“Ali kau nak tahu tak satu berita?” soal Abdul setelah kami selesai kelas mengaji. Kini, aku sudah mengaji surah Al-Taha. Alhamdulillah. Kata Abdul, bacaanku makin lancar dan bagus.
“Berita apa pulak? Eh, kau lagi seminggu nak nikah kan?” Abdul angguk kepala. Minuman dalam jag dituangkannya kepadaku.
“Minumlah.” Ujar Abdul pendek. Aku menurut. Sedang aku meneguk itulah Abdul memberitahu aku satu berita menggemparkan seluruh jiwa ragaku. Hampir saja aku tersembur air minuman ke muka Abdul.
“Alawiyah tolak lamaran ustaz tahfiz tu.” Aku pandang muka Abdul terkejut. Tolak? Kenapa?
Share this novel