“Oh, ayah. Ayah apa khabar? Sihat ke?” Aku yakin, Haji Kadir yang sedang berbual dengan ku sekarang. Tapi dari mana orang tua ni dapat nombor telefon aku? Mungkinkah Abdul yang memberikannya.
“Alhamdulillah ayah sihat. Ali sihat? Bila nak datang rumah ayah lagi?” Aku garu kepala mendengar soalan ayah. Layakkah aku untuk ke rumahnya lagi. Siapalah aku.
“Alhamdulillah ayah. Saya sihat. Ayah ada buat majlis doa selamat ke? Ni call sebab nak jemput saya ke?” tanyaku dalam nada bergurau. Sedangkan dalam hati mula memikirkan pelbagai andaian. Adakah ayah menelefonku untuk memberitahu aku mengenai jawapan di atas lamaran ku tempoh hari?
“InsyaAllah memang hajat ayah nak buat kenduri doa selamat sikit. Sempena Abdul dan Mashitah menikah lusa dan sempena Alawiyah setuju dengan lamaran kamu.” Tanpa berlapik, ayah terus mengucapkan hal yang sebenarnya. Takut aku tersilap dengar dengan kata-kata ayah itu, dengan gugup aku bersuara.
“Aa…apa ayah cakap tadi? Alawiyah setuju dengan lamaran saya? Betul ke ni ayah? Ya Allah…” Rasa syukur ku panjatkan ke hadrat Ilahi. Tak mampu untuk aku bendung rasa gembiraku saat ini. Mahu saja aku menjerit kerana terlalu gembira. Gadis impianku sudi menerima aku sebagai calon suaminya? Alhamdulillah. Adakah ini tandanya Allah meredhai hubungan aku dan Alawiyah?
“Ya, ayah cakap benda betul. Alhamdulillah, Ali. Alawiyah setuju terima lamaran kamu. Kamu datanglah ke rumah ayah sekejap. Ada benda yang Alawiyah nak cakap.” Mendengar saja Alawiyah nak jumpa aku, terus aku bersetuju.
“Baik ayah. Sekarang juga saya pergi rumah ayah. Terima kasih ayah. Terima kasih sebab bersetuju dengan keputusan Alawiyah untuk terima saya sebagai sebahagian dari keluarga kalian.” Suaraku mula sebak. Hati lelakiku mula ingin menangis kerana terlalu gembira dengan berita ini.
“Ini semua kerja Allah Ali. Allah dah bagi izin Dia untuk menyatukan kamu dengan Alawiyah. Hati-hati bawa motor tu. Jangan kalut sangat ya. Alawiyah tak lari ke mana-mana.” Ada tawa kecil dihujung suara ayah. Aku turut tergelak. Akhirnya, aku memutuskan panggilan dan bersiap-siap untuk bertemu dengan bakal zaujahku. Terima kasih ya Allah. Terima kasih kerana menjadikan aku lelaki yang berjaya memiliki hati wanita solehah seperti Alawiyah.
Share this novel