Abdul cakap, dia tidak memberitahu Mashitah apa-apa mengenai kedatangan aku dan dia ke sini hari ini. Abdul tidak ingin buat aku makin tertekan. Terima kasih Abdul kerana memahami sahabatmu ini.
“Waalaikumussalam. Eh, Abdul. Masuk-masuk. Eh, Ali pun ada.” Aku terus pandang muka Haji Kadir. Tak sangka lelaki itu mengenali namaku.
“Ini Ali kawan Abdul yang sama-sama mengaji kat surau tu kan?” soal Haji Kadir seakan tahu saja persoalan yang bermain di benakku seketika tadi.
Aku angguk perlahan. Senyuman aku hulurkan pada Haji Kadir. Tangannya aku salami. Aku dan Abdul dijemput masuk ke ruang tamu rumah. Di ruang tamu itu, aku ditegur pula oleh ibu Alawiyah dan Mashitah, Hajjah Rehah. Senang perempuan tua itu menyambut kedatangan aku dan Abdul.
“Duduk, nak. Jadi inilah sahabat baik Abdul ya. Akhirnya bertemu juga kita.” Ucap Hajjah Rehah seraya tersenyum manis.
Kami berempat duduk di tempat duduk masing-masing. Aku tidak mampu membuang rasa gemuruhku. Rasa segan melanda diri. Terasa kerdilnya diri ini apabila melihat wajah Haji Kadir dan Hajjah Rehah yang bercahaya penuh keimanan itu. Tenang saja wajah mereka.
“Ayah dan umi apa khabar? Mashitah mana? Belum balik kuliah ke?” soal Abdul kepada bakal mertuanya.
“Alhamdulillah sihat Abdul. Mashitah belum balik lagi Abdul. Ni Abdul nak datang sini Mashitah tak tahu ke?” tanya pula umi mesra. Aku hanya mampu diamkan diri. Nak cakap apa pun tak tahu. Untuk berterus terang mengenai niatku juga aku sudah hilang keberanian.
“Abdul ke sini bukan nak jumpa Mashitah, umi, ayah. Tapi kawan baik Abdul ni. Dia ada hajat.” Abdul pandang aku. Aku pandang dia. Terus aku paling muka tersenyum pada orang tua Alawiyah.
“Hajat? Hajat apa pulak?” soal Haji Kadir sambil mengulum senyuman. Hajjah Rehah turut menjatuhkan pandangannya kepadaku. Aku bertambah-tambah gelisah jadinya. Nak bersuara aku jadi kelu. Nak berterus terang tentang hajatku, aku lagi tak mampu.
Share this novel