BAB 1

Romance Completed 4252

Dalam dunia ini rasanya semua orang hendak merasai alam perkahwinan. Memiliki isteri, anak dan keluarga yang penuh sakinah, mawaddah dan warahmah. Termasuk juga aku. Aku tak lari dari menyimpan impian itu.

Aku bukan seorang lelaki yang bergaji mahal. Bekerja setakat seorang mekanik sahaja. Tapi aku bersyukur sekurang-kurangnya Allah memberi aku rezeki untuk mendapat pekerjaan yang halal itu.

Aku bukan seorang lelaki yang kacak seperti artis Malaya atau artis k-pop. Badanku penuh dengan parut kerana aku pernah kemalangan dulu. Parut yang paling nyata adalah di mukaku. Tapi aku bersyukur sekurang-kurangnya aku masih mampu menghirup udara Allah dan Dia masih memberi nikmat kesihatan untukku.

Aku juga bukan seorang lelaki yang terlalu berani memikat anak gadis. Aku pemalu. Aku tidak pandai untuk memulakan perbualanku dengan seorang perempuan. Tapi aku bersyukur kerana aku masih diberi oleh Allah rasa untuk mencintai.

Ya, mencintai. Mencintai seorang wanita yang masih belum menjadi milikku.

Dia seorang wanita yang sangat sempurna di pandangan mataku. Dia wanita pertama yang buat hati kecilku berdegup-degup. Terserlah kesolehannya apabila aku sentiasa melihat dia mengerjakan solat berjemaah di surau berdekatan. Dan sikapnya yang lemah lembut melayan pelajar yang mengaji al-Quran di situ buat aku makin jatuh hati padanya.

Tapi sayangnya aku hanya berani mencintai dia dalam diam. Untuk berterus terang dengannya tentang perasaanku sungguh aku tiada keberanian. Pertama kerana, aku merasa aku tidak layak untuknya. Aku bukan lelaki soleh. Aku takut aku tak mampu membimbingnya.

Kedua kerana aku tahu, sahabat baikku, Abdul turut menyimpan hasratnya pada gadis bernama Alawiyah itu. Nur Alawiyah. Secantik namanya, seindah rupanya dan semulia akhlaknya. Gadis seperti dia hanya layak untuk lelaki terbaik seperti Abdul.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience