Kebisuan ku buat Abdul menepuk pehaku bagai memberi isyarat untuk aku bersuara. Sebagai seorang lelaki, aku tahu aku harus berani! Ah…
“Erm, sebenarnya Haji, Hajjah. Saya…” Tak sempat aku teruskan pengakuanku, Haji Kadir memintas laju.
“Tak payahlah berhaji-berhajjah. Panggil aje ayah ‘ayah’, umi pulak ‘umi’. Korang berdua ni dah macam anak-anak kami sendiri. Yakan, umi?” Umi angguk kepala menyetujui kata-kata suaminya.
Keterbukaan dan kemesraan yang ditunjukkan oleh ayah dan umi buat hatiku dilanda rasa berani dengan tiba-tiba. Lantas, aku segera meluahkan isi hatiku. Aku harus berani demi cintaku kepada Alawiyah!
“Saya bawa hajat besar, ayah,umi. Saya….” Aku pandang Abdul seketika. Abdul angguk kepala bagai meminta aku meneruskan kata. Aku tarik nafas. Kekuatan cuba aku kumpulkan. Peluang dah depan mata. Aku harus berani!
“Saya… saya datang nak melAbdul anak ayah dan umi.” Akhirnya, aku berjaya juga meluahkan apa yang sepatutnya aku luahkan dari dulu lagi. Dua tahun aku memendam perasaan ini. Kali ini, aku tidak kuat lagi untuk pendam. Dan akhirnya, aku luahkan juga ia di hadapan ibu bapa Alawiyah sendiri.
Hajat yang baru aku sampaikan berjaya membuat ayah dan umi terdiam. Lantas, ayah segera menanyakan aku satu soalan.
“Ali tahukan Mashitah dah berpunya. Yang tinggal hanya Alawiyah. Adakah Alawiyah yang Ali maksudkan?” Aku mengangguk laju. Berpeluh-peluh tanganku saat itu. Adakah dalam diam sudah ada lelaki yang datang merisik Alawiyah sebelum aku? Tapi Abdul tak cakap apa-apa pun.
Lama ayah dan umi berdiam diri tanpa sebarang kata. Buat aku jadi tak keruan. Aku pandang Abdul meminta bantuannya. Mengerti akan keadaanku, segera Abdul bersuara.
“Ali dah lama menyimpan hasrat untuk memperisterikan Alawiyah, ayah, umi. Cuma dia tiada keberanian untuk berterus terang. Abdul kenal Ali ni macam mana orangnya, ayah, umi. Dia mampu membahagiakan Alawiyah.” Terima kasih Abdul kerana membantu aku. Namun sedikit menghampakan apabila ayah dan umi tetap mendiamkan diri. Seakan-akan mereka sedang memikirkan sesuatu saja.
Share this novel