“Tapi aku tak berharta, Abdul. Ilmu aku tak cukup.Aku bukan ustaz. Dia tu ustazah. Aku ni mekanik. Siapalah aku…” Sedar tak sedar, akhirnya aku terjerat juga dengan jerat Abdul. Abdul tersenyum lalu menepuk bahuku.
“Kau adalah Ali. Seorang lelaki yang baik, yang soleh, yang bertanggungjawab dan lelaki yang aku yakin, sangat sayangkan Nur Alawiyah.”
Aku tertunduk lemah. Lantas aku gelengkan kepala.
“Tapi aku tak cukup berani nak berdepan dengan Alawiyah, Abdul. Kalau dia tolak aku, macam mana?”
“Ya Allah Ali. Kalau kau yakin Qada Qadar Allah. Kalau kau yakin Allah yang beri rezeki,jodoh dan semuanya, kau takkan bimbang andai lAbdul an kau ditolak. Allah yang tentukan jodoh kau. Sebagai hamba, kita diberi peluang untuk berusaha memiliki jodoh yang baik.Tapi kalau memang Alawiyah bukan jodoh kau, kau kena yakin ada seorang wanita lain yang diciptakan oleh Allah untuk kau. Kau kena yakin dengan Allah, Ali!”
Aku angkat muka pandang Abdul. Benar kata-kata Abdul itu. Pokok pangkalnya aku kena yakin bahawa Allah sudah mempersiapkan seorang jodoh untuk aku. Cepat atau lambat, siapa pun dia, aku tahu aku akan tetap menemuinya. Tidak di dunia, pasti di akhirat nanti aku menemuinya.
“Kau temankan aku jumpa Alawiyah, Abdul. Aku tak berani nak berdepan dengan dia seorang diri.”Abdul anggukan kepala bersetuju. Dan aku tahu. Aku harus menggunakan cara Abdul untuk meluahkan isi hatiku pada Alawiyah. Bukan berterus terang di hadapan Alawiyah. Tapi sebaliknya berterus terang di hadapan orang tua Alawiyah sendiri.
Hati aku makin kuat berdebar. Ya Allah, tabahkan hati aku untuk berdepan dengan dia. Terutamanya ibu bapanya. Dan aku berdoa kepadaMu, ya Allah. Restui hubungan aku dan dia. Aku betul-betul sayangkan dia. Izinkan aku untuk mencintai dia dan menjaga dia dalam redhaMu.
“Assalamualaikum…” Suara Abdul memberi salam buat aku terbangun dari lamunan. Lima minit menaiki kereta, kami berdua tiba juga ke rumah Alawiyah.
Share this novel