BAB 1

Drama Completed 3162

“MAK tetap tak setuju! Mak dah ada pilihan lain untuk Feridee !” deras suara Mak Leha menerpa ke cuping telinga Feridee. Mak Leha tidak menyangka, dalam diam anak gadisnya itu ada hubungan cinta dengan Muzaffar. Bebelnya terus berpanjangan, “Patutlah selama ini rajin sangat kau ke baruh tu!”

“Feridee dah buat keputusan, Feridee tetap pilih abang Karnain !” tukas Feridee membantah kata-kata ibunya sambil berpeluk tubuh. Hatinya tetap kental dengan pilihannya itu.

“Apa hebatnya lelaki tu? Kalau setakat berkebun tanam sayur, memang tak menjamin langsung masa depan kau!” jerkah Mak Leha merendah-rendahkan kedudukan lelaki pilihan Feridee itu. “Kau sengaja menempah kesusahan!”

“Feridee yang nak kahwin, bukan mak!” balas Feridee tetap bulat dengan pendiriannya. Tindakan ibunya sudah membuatkan hatinya terguris teruk. “Kami mencintai antara satu sama lain…”

“Tapi mak berhak pilih yang terbaik untuk kau! Cinta aje tak cukup untuk buat kita bahagia. Kita perlukan lebih dari itu untuk hidup yang sempurna!” ucap Mak Leha terus mendesak Feridee supaya berfikir banyak kali sebelum satu keputusan diambil. “Soal kahwin bukan untuk dibuat main-main. Tersilap langkah, merananya takkan berkesudahan!”

Semakin remuk perasaan Feridee apabila ibunya terus menentang hasrat yang sekian lama terpendam di jiwa. Di matanya Karnain adalah seorang pemuda yang sangat hebat, berwawasan serta punya masa hadapan. Biarpun lelaki itu ada segulung ijazah namun cintanya kepada sektor pertanian sangat tinggi. Walaupun sudah hampir dua tahun pemuda itu mengusahakan projek kebun sayurnya itu, kejayaan yang sebenar belum dapat diraih lagi. Semangat Karnain tidak pernah berkurang, malah semangatnya tetap tinggi. Feridee sangat terkilan dengan sikap ibunya merendah-rendahkan usaha yang dijalankan oleh Karnain itu.

“Kami dah janji akan berkahwin. Soal rezeki, biar ALLAH SWT yang tentukan. Susah senang biar kami lalui bersama!” jawab Feridee membuatkan Mak Leha semakin terbakar hati. Dia akan pastikan perkara itu tidak akan terjadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience