BAB 8

Drama Completed 3162

“Feridee serius tau! Kalau sayang Feridee, kalau tak mahu kehilangan Feridee, abang cepatlah masuk meminang!” ucap Feridee terus meninggalkan Muzaffar yang masih terkial-kial di batas sayur.

Air muka Karnain sedikit berubah. Dia juga sudah lama mencintai Feridee. Kata juga sudah lama terlafaz, hanya janji setia belum sempat dipateri lagi. Cinta pertamanya pasti manis saat cincin pertunangan tersarung kemas di jari manis Feridee nanti.

SEUSAI menikmati makan tengahari itu, Haji Tukiman kembali bertanya kepada Karnain tentang persoalan yang dibangkitkan semalam. Sedikit panas, persoalan yang dibincangkan berkait rapat dengan soal hati.

“Kau dah fikir habis?” soal Haji Tukiman apabila Karnain mengajukan niat mahu meminang Feridee. “Kau dah bersedia fizikal dan mental?”

“Dah ayah. Karnain dah tekad untuk ambil Feridee sebagai teman sehidup semati…”

“Amboi! Masa bercinta memanglah cakap macam tu!”

“Karnain serius, bukan main-main!”

Haji Tukiman beranjak sedikit dari sisi Muzaffar. Sebatang rokok daun digulung kemas. Kemudian gulungan itu dihentak beberapa kali di tapak tangan. Mungkin itu satu cara untuk memadatkan tembakau yang ada dalam gulungan rokok daun itu. Karnain hanya memerhatikan tindakan ayahnya itu. Sebentar kemudian, gulungan rokok daun itu sudah berada di antara dua bibir Haji Tukiman. Pemetik api dinyalakan lalu dicucuh kepada rokok daun sebelum disedut dalam untuk menikmati aromanya. Kemudian satu kepulan asap kecil dilepaskan ke udara.

“Tak ada gadis lain selain dia?” tiba-tiba soalan itu terpacul dari mulut Haji Tukiman. Apa maksud ayahnya bertanya soalan sedemikian? Macam ada suatu yang tidak kena sahaja, suara hati Karnain bertingkah.

“Dia cinta pertama Karnain !” pendek, tegas dan yakin jawapan Muzaffar.

“Kau ingat dengan cinta kau boleh hidup bahagia?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience