BAB 16

Drama Completed 3162

AMARAH Mak Leha terhadap Karnain tetap bersisa. Biar amaran demi amaran diberikan kepada Feridee supaya tidak bertemu dengan lelaki itu, namun pertemuan terus berlaku. Karnain terus diburu rasa bersalah apabila berterusan dikaitkan dengan masalah itu. Sedangkan yang menjadi punca adalah Feridee sendiri. Gadis itu sebenarnya dalam keadaan yang amat tertekan. Mak Leha sudah mengambil keputusan untuk bersemuka dengan pemuda yang turut mencetuskan masalah dalam keluarganya itu.

“Kau memang tak faham bahasa agaknya. Berapa kali aku pesan jangan jumpa lagi dengan Feridee !” tempik Mak Leha semasa berhadapan dengan Muzaffar. Ketika itu Karnain baharu sahaja hendak melangkah turun dari rumah untuk ke kebun.

“Makcik, apa hal yang kecoh-kecoh ni?”

“Kau jangan nak tunjuk alim, nak tunjuk baik. Feridee dah nak kahwin, tolong jangan ganggu dia lagi!”

“Bila masa saya ganggu dia makcik? Dia yang datang mencari saya!”

“Tak kiralah siapa cari siapa, yang penting aku tak nak kamu berjumpa. Kau lelaki sepatutnya lebih bertanggungjawab!”

“Makcik jangan nak salahkan saya. Kenapa makcik tak tanya Feridee sendiri?”

“Kalau tak ada siapa yang pengaruh, dia tak macam tu!”

“Jadi makcik tuduh sayalah!”

“Dah gerharu cendana pulak!” sindir Mak Leha sambil mengetap bibir. Ditambah lagi riak wajahnya yang masam mencuka.

Dalam suasana yang agak kecoh itu, muncul pula Haji Tukiman dari dalam rumah. Bunyi bising orang bersengketa itu menarik perhatiannya untuk mengetahui kisah yang sebenarnya. Dia sedikit terkejut apabila melihat Mak Leha ada di laman. Sementara itu Karnain memeluk tubuh sambil menahan sabar.

“Apa masalahnya ni Pia? Kalau iya pun naiklah dulu. Tak manis kalau orang tengok kau terjerit-jerit di laman tu!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience