BAB 5

Drama Completed 3162

Apa yang lebih membimbangkan dirinya sekarang apabila teringat kata-kata ibunya tadi. Dia terasa fobia apabila dikhabarkan pada bulan hadapan keluarga paklongnya akan masuk merisiknya. Sepantasnya wajah Khairil menujah ingatan. Hanya itu satu-satunya anak Pak Long Samad yang belum berumahtangga. Khairil merupakan sepupu yang enam tahun lebih berusia daripadanya. Dia mesti cepat bertindak. Kalau tidak sudah tentu dia akan merana seumur hidup. Dia tetapi mahu Karnain menjadi imam dalam frasa kehidupannya dan anak-anak nanti.

‘Tak boleh jadi macam ni, aku kena buat sesuatu!’ desis Feridee di dalam hati. Lagi cepat dia bertindak, lagi bagus.

TERKEJUT sungguh Karnain apabila Feridee berjumpanya dalam keadaan yang tergesa-gesa petang itu. Macam ada sesuatu yang tidak kena. Nampak sangat wajah Feridee penuh dengan kekalutan.

“Awak kenapa ni? Nampak cemas dan kalut aje. Cuba bawa bertenang sikit!”

“Kita ada masalah, kita ada masalah besar!”

“Masalah apa tu?”

“Tentang hubungan kita…”

“Abang tak faham? Feridee cakap apa ni?”

“Err… mak dah tahu pasal kita!”

“Apa masalahnya? Baguslah kalau mak Feridee dah tahu.”

“Apa yang bagusnya? Semua dah jadi celaru sekarang. Mak tak restu hubungan kita. Dia nak kita putus!”

Karnain masih lagi boleh bertenang. Dia tidak cepat mahu melatah. Dia hendak tahu apa sebab berlakunya perkara itu. Melihat keadaan Feridee itu, memang hatinya tertanya-tanya. Kenapa Mak Leha mahu menghalang hubungan mereka itu? Kalau darjat yang menjadi ukuran, perkara itu memang tidak masuk akal langsung. Tidak ada bezanya antara dia dengan lain-lain pemuda di kampung itu. Atau statusnya sebagai petani yang menjadi satu masalah?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience