PH5

Romance Series 11012

-Pengorbanan Hati 5-

Arissa pandang plastik yang terisi blaus beropol putih dengan corak bunga halus lalu dia mencebik bibir.

Ingat aku nak pakai? Heh, tolonglah... buat penat je kau belikan untuk aku Qadri...

Dirinya kini bertenggek pening di birai katil. Tak tahu mana baju yang sesuai dia patut pakai. Sejak tadi, pakai buka, pakai buka saja. Satu pakaian pun dirasakan tidak sesuai.

Dia merengus geram tatkala melihat jarum jam sudah menginjak pukul 7.30 malam. Solat Maghrib pun belum apatah lagi bersolek.

Hurghhh! Arissa Mardiya! Apa kena dengan kau ni? Bukannya susah pun pakai baju. Ambil sarung, dah! Kau yang melebih - lebih ni kenapa?

Akhirnya dia buka plastik blaus tadi. Wajahnya ditahan tidak teruja walaupun blaus tersebut nampak cukup indah.

" Try je eh... Try. Aku tak berniat pun nak pakai kau. Kau ni tak cantik pun..." kata Arissa pada baju tersebut. Bibirnya dicebir tak suka.

***

Arissa perhatikan dirinya di hadapan cermin lalu dia tersenyum manis. Jumpa pun baju yang sesuai. Puas hatinya rasa.

" Assalamualaikum, Arissa Mardiya... dah siap ke?" Sapaan di pintu membuatkan hatinya tiba - tiba saja melonjak debar.

Wajah yang siap disolek, ditilik sekali lagi. Lipstik aku ni okay ke tak eh? Celak aku ni tak tebal sangat, kan? Foundation okay, kan? Tak bercampuk, kan? Oh!

Arissa bawa tangannya ke tepi pipi lalu dia buat berbandingan. Okay, bukan Dayang Senandung. Tak melampau. Okay... Fuh...

" Arissa Mardiya?" Panggil Qadri lagi diselangi ketukan di pintu.

Tangannya ingin mengetuk dada pintu terhenti bila wajah cantik Arissa tersembul di hadapan mata. Qadri jadi kaku. Air liurnya ditelan beberapa kali. Kemudian, dia carikkan senyum.

" Awak cantik sangat..."

Wajah Arissa jadi merah tiba - tiba lalu renungan yang terkunci jadi terputus. Jantungnya berdegup kencang.

" Paling cantik bila Risa pakai baju perisai yang abang beli ni. Kita pun matching..." Qadri tunjuk baju kapas lengan pendek berbutang penuhnya yang berwarna putih.

" Macam couple..." Bisik Qadri manja. Wajahnya teruja serupa anak kecil.

Ish, comelnya Ya Allah...

Gegar di hati Arissa sudah tak dapat dibendung. Sesak nafasnya bila Qadri menggodanya sebegini. Matilah aku...

" Risa..."

Tersedar, Arissa mengedip - ngedipkan matanya. Qadri sudah simpul senyum manis. Malulah tu.

" Eh cepatlah! Nanti lambat! Ke— kedai tu bukan tunggu kau pun."

Langkah kaki terkocoh - kocoh turun dari ibu rumah. Qadri di belakang tertawa kecil. Usik macam tu pun dia boleh tercuit.

***

Bulat mata Arissa melihat saiz udang galah di dalam pinggan mi karinya. Hatinya jadi teruja. Telefon bimbit diangkat lalu cepat dia mengambil gambar. Pastilah untuk dimuat naik ke Instagram.

" Tak nak ambil gambar abang sekali ke?" Sengih Qadri sambil menayang barisan giginya yang sempurna.

Sayangnya... handsome betul dia ni tapi itulah, OKU pula. Eh, OKU pun bagus juga. Qadri boleh jadi untuk aku seorang je, kan? Ha. Ha. Ha. Getus hati Arissa.

" Ambil gambar kau? Ohhh nonono! Untuk apa? Muka tak ada market macam kau, tak layak untuk tatapan Instagram aku." Debik Arissa angkuh.

Sengaja lagi sebenarnya. Dia bukanlah jenis perempuan bermulut lancang pun. Cuma dengan lelaki di hadapan ini saja, dia jadi begitu. Itu pun dia masih sakit hati dengan keputusan Qadri.

" Ye ke tak ada market? Mana Risa tahu, abang ni dulu, kudung - kudung pun, perempuan minat tau—,"

" Eh, abang Di? Assalamualaikum... " Sapa seorang wanita cantik bertudung bawal yang disembat tengah. Sopan betul. Bibirnya senyum menampakkan lesung pipit di pipi. Kulitnya juga putih susu. Arissa mulai rasa cemburu.

" Waalaikumusalam, Bunga? Bila Bunga balik?" Sapa Qadri teruja. Arissa sedikit rasa panas. Ai, mesra semacam je...

" Bunga balik dua hari lepas."

" Wah, makin cantik Bunga sekarang... apa rahsia? Main salji banyak eh?"

Bunga ketawa. Suka betul dia bila Qadri masih mengusiknya sama seperti dahulu. Rasa seperti mereka masih berada di zaman persekolahan.

" Apalah abang ni, cantik tu dari dulu, okay. Kalau tak, Bunga tak dapat banyak surat cinta tau."

Qadri angguk, " Iyolah... betullah tu.. tak salah pun."

Berketak - ketuk bunyi ais yang dipecahkan dengan gigi geraham. Matanya tajam memerhatikan sang suami yang nampak gaya seronok betul melayani wanita yang tiba - tiba muncul itu.

Apa? Bunga? Bunga tahi ayam? Pfft... cantiklah sangat. Aku cantik lagi.

" Abang tahu, Bunga sedih sangat, balik - balik tahu abang dah kahwin..." Bunga muncungkan bibirnya tanda merajuk.

" Haha. Tak payah buat muncung sangat. Abang tak ada playar nak patahkan." Qadri meledakkan tawa.

" Abang!"

Memang jenis suka bergurau dengan semua orang ke dia ni?

" Hahaha. Maaflah Bunga. Jodoh jatuh dari langit. Abang tak mampu tolak." Seloroh Qadri sama seperti selalunya.

" Yang turun dari langit, abang sambut. Yang masih tunggu abang, abang buat tak nampak, kan?"

Arissa yang sibuk menghirup air dari straw, laju menaikkan bola mata. Turun naik dia perhatikan Bunga.

" Ehem! Nak tunggu makanan sejuk ke?" Arissa angkat kening.

" Ya tak ya, baru teringat perut lapar." Qadri garu kepalanya tatkala dia lihat air muka keruh Arissa. Menyesal pula aku menyembang lama - lama.

" Ohh, sorry - sorry. Kacau daun pula. Maaf, saya dah lama tak jumpa abang Di. — S... S—Saya, Bunga Delila. Apa khabar?" Tangan yang dihulur Arissa sambut ala kadar.

Mengerti dengan diam amarah Arissa, Bunga menoleh ke arah Qadri.

" Err, abang... tak apalah abang. Lain kita jumpa eh. Boleh sembang lama - lama."

Jumpa? Kau siapa nak jumpa laki aku? Banyak cantik muka kau. Eee, rasa nak humban je meja ni dekat muka dia.

Qadri jadi serba salah mahu mengangguk atau tidak, " Err, iyalah. Bunga hati - hati balik. Malam ni... bahaya. Tengok kiri kanan. Assalamualaikum."

" Waalaikumusalam abang."

***

Ternyata memang hilang habis mood Arissa dibuatnya. Udang sebesar tapak tangan langsung tidak terluak. Qadri sejak tadi diam membisu saja.

Sampailah, mereka sudah masuk ke perut kereta, masing - masing masih diam seribu bahasa. Qadri kebuntuan. Tak tahu mahu memujuk wanita itu bagaimana. Silap besar sungguh dia menegur Bunga tadi.

" Errr, Risa... Bunga tu... dia kawan abang waktu sekolah."

" Aku tak peduli pun." Balas Arissa dingin. Dia duduk berpeluk tubuh.

" Dia... dia memang ramah orangnya. Banyak mulut. Kita orang memang rapat... Kita orang bercinta pun sek—,"

Arissa menoleh dengan cerlungan. Bibirnya dikemam kemas. Qadri telan air liur. Petanda bahaya ni.

" sekejap je... ehehe, alah... Cinta monyet. Zaman sekolah dulu."

" Aku tak nak dengar. Kalau kau cakap lagi pasal dia, aku tak teragak - agak naik teksi balik rumah."

Qadri cuak. Habislah pelan dia malam ni kalau betul itu dibuat Arissa. Gelabah, dia merapatkan tangannya serupa sedang mencemar duli.

" Ampunkan abang. Abang janji, last! Last abang tegur, berbual lama - lama dengan orang bila dengan Risa. Okay? Jangan marah - marah eh?"

" Aku dah hilang mood ni. Maaf kau tu dah tak laku! Aku nak balik."

" Okay, okay... kita balik tapi sebelum tu abang ada satu tempat untuk naikkan mood, Risa... kita gerak eh?" Gear memandu dimasukkan.

" Pergi mana?!"

***

Arissa merungut tak habis - habis. Sejak sampai hingga nak sampai ke jeti, mulutnya bising saja. Bukan apa, merungut kasut putihnya kotor dek memijak lantai tanah yang basah.

Qadri pun sama, berbisik - bisik mahu Arissa tidak mengeluarkan suara yang kuat.

" Risa... jangan bising - bising."

" Kenapa pulak tak boleh bising! Kau nak bawa aku ke mana ni pun aku tak tahu tau!"

Bunyi sekawanan burung berterbangan dari pokok mengejutkan sedar Arissa. Matanya mendongak ke atas.

" Sebab tu abang suruh perlahankan suara. Kasihan burung - burung tu. Tak lena tidur sebab suara gergasi Risa."

BUK!

Lengan Qadri menjadi alas pukulan. Qadri mengaduh lalu dia ketawa.

" Merepeklah lagi..."

" Hahaha, Okay! Lepas ni Risa diam - diam tau... jangan kacau orang nak tidur..."

Arissa membolak - balikkan mata lalu dia meneruskan perjalanan, mengekori sang suami yang sudah mara ke depan.

" Di! Kau nak bawa aku pergi mana ni? Adoi!! Banyaknya nyamuk! Ish—," tangan Qadri terhulur tiba - tiba dipandang terpinga - pinga.

" Abang tahu Risa tak nak pegang tangan abang tapi... abang takut Risa tersadung, jatuh ke nak naik jeti ni..." terkejut Qadri bila Arissa meletakkan tangannya ke dalam telapak tangan Qadri.

Erat, Qadri sedikit pun tak lepaskan tangan isterinya walaupun perlahan saja dia mengemudi tongkatnya. Dipimpinnya isteri merentasi jeti kecil.

Seorang lelaki yang duduk di dalam bot disapa Qadri senang.

" Assalamualaikum Wak!"

" Waalaikumusalam, ingat kamu tak jadi datang tadi." Balas si lelaki tua yang suaranya serak - serak basah.

" Ish, mana tak datang. Hari special untuk isteri saya ni.
Mana boleh miss!"

" Hahaha. Jadi kamu nak pinjam bot ni, nak ke mana?" Soal Wak usai dia menyudahkan rokoknya.

" Rahsialah Wak. Tak jadi surprise nanti. Kata suami kena jadi romantik. Romantik kena ada elemen kejutan. Betul tak?"

Wak ketawa, " macam - macamalah kamu ni. Beruntung kau dapat bersuamikan budak ni, bahagialah sampai ke tua."

Arissa pandang wajah Qadri yang sudah tersengih sumbing. Eee, sukalah tu kena puji. Getus hati Arissa yang jadi asyik merenung seraut wajah tenang itu.

***

" Jom Risa... Risa boleh naik sendiri? Abang... kaki... sorry..." Tiba - tiba saja Qadri meminta maaf.

" Abang kalau boleh nak dukung je Risa naik bot, tapi maaflah... abang— tak cukup sifat, kan?"

Arissa tak jadi melabuh duduk. Hatinya terkesiap bila itu tertutur di bibir Qadri. Salah aku ke sebab selalu jadikan kecacatan itu modal untuk sakitkan hati dia?

Diam, Arissa tak tahu dia harus beriak bagaimana sehinggalah Qadri tolak bahunya jatuh lalu dipakaikan jaket keselamatan ke tubuh.

" Tak payahlah monyok - monyok. Tak comellah Risa..."

Arissa buat keras kepala tapi keras kepala Arissa, membuatkan hati Qadri menggerigit suka, " Risa...  Abang cakap macam tu sebab benda betul, kan? Abang dah redha dengan keadaan abang ni dari kecil, Risa. Risa cakaplah apa pun kat abang... abang tak kisah pun. Abang tak pernah ambil hati pun." Suara Qadri seakan tertembak di hati Arissa.

Kejamnya aku...

Qadri mulai bangun dan duduk di bahagian enjin. Tubuhnya kosong tanpa jaket pelampung. Berani betul dia, kalau jatuh dalam sungai ni macam mana?!

Arissa menoleh, " kalau ya pun kau tak kisah dengan mulut aku. At least, pakailah jaket ni. Jangan ingat keselamatan aku je."

Qadri yang cepat sejuk hati itu mulai nakal lagi, " sini... pakaikan untuk abang."

" Pakailah sendiri."

" Abang nak kemudi bot ni Risa... tak cukup tangan. Kaki memang dah sah - sah tak cukup."

" Kau boleh tak stop cakap yang kau tu tak sempurna Di!"

Panas hati yang bercampur serba salah, Arissa bangun dan kalut dia buka penyangkut pelampung. Dipakaikan jaket tadi ke tubuh Qadri tanpa sedikit pun dia sedar, yang dia sedang menangis.

" Risa... kenapa ni?"

" Jalanlah. Kau nak bawak aku ke mana?" Ujar Arissa dengan muka masam mencuka.

***

Mereka berhenti di sebuah tempat yang cukup asing. Arissa pandang kiri kanan, hanya pokok bakau saja mengelilinginya. Mahu bertanya dengan orang sebelah di mana mereka berada, mereka sudah bertegang urat pula.

Tatkala Qadri memadamkan lampu bot, dia kembali diam di tempat duduknya. Tenang, dia satukan jiwanya dengan alam.

Mata Arissa pula perhatikan saja kaki kiri Qadri yang hanya ada sampai takat lutut saja. Jahitan pada seluar itu meruntunkan hati Arissa.

Macam manalah dia hidup dengan satu kaki saja?

" Kenapa Risa tengok kaki abang?" Pertanyaan Qadri tidak dilayan. Arissa mulai menatal skrin telefon bimbitnya.

" Risa... abang tak pernah bagitahu sesiapa, tapi abang pernah berjanji... kalau abang dah kahwin, abang takkan sembunyikan apa - apa dari isteri abang."

Arissa masih keraskan hati. Dia membatu diam. Qadri masih juga tenang walaupun isterinya nampak seperti tidak berminat.

" Abang sebenarnya... sedih. Tak sempurna macam orang lain. Abang selalu rasa rendah diri dengan keadaan abang. Abang kecil hati bila ada rendah - rendahkan diri abang." Qadri urut sebelah kaki kirinya.

Arissa yang mendengar, menahan diri daripada menumpahkan air mata.

" Tahu tak Risa, kalau sejuk. Sakit... sangat. Kalau abang jalan jauh, kaki sebelah kanan abang sampai tak boleh rasa."

Qadri menunduk sayu, " abang ada minta mak, minta ayah nak pakai Prosthetic leg. Tapi dulu mak dengan ayah abang orang susah... duit yang dia orang kumpul untuk buat kaki abang selalu terpaksa guna untuk kegunaan lebih penting."

Arissa pandang wajah sedih Qadri dengan pandangan sugul. Qadri masih gagahkan sebuah senyuman sebelum dia pandang ke arah rimbunan pokok belukar.

" sejak dari itu, abang tak pernah lagi fikir nak pakai prosthetic leg. Pakai tongkat ni pun senang juga. Ini.. arwah ayah yang buat untuk abang. Boleh pakai sampai sekarang."

Ada diam yang sekejap memenuhi ruang mereka berdua,

" Arrisa... abang tak nak susahkan sesiapa dengan kekurangan abang. Abang tak nak susahkan Arissa juga jadi abang minta maaf ya. Kalau abang ada kurang di mata Arissa—."

" Aku benci kau Di! Aku benci!" Meraung - raung Arissa menangis tiba - tiba. Tak tahulah kenapa dia berada di sini dan mendengar keluh kesah Qadri.

" Sabar Risa... kenapa ni?"

" Aku cakap aku benci kau Di! Aku benci! Tak faham?! Pekak?! Hah!" Marah Arissa dalam linangan air mata yang mencurah bak air terjun.

" Ya, abang tahu Risa benci abang... janganlah nangis sayang..." Qadri cuba memujuk.

" Macam mana aku tak nangis bila kau asyik label diri kau tu tak sempurna? Sakit hati aku dengar. Kau ingat aku tak ada perasaan ke? Tak ada belas kasihan? Ingat aku tak rasa pape ke bila kau cakap macam tu?!" Arissa akhirnya meluahkan apa yang terbuku di lubuk hati.

" Ingat aku buat tak tahu ke dengan mata - mata yang pandang kau? Ingat aku tak rasa sedih ke bila budak - budak tu pandang kau macam..macam sampah?," — Arissa teriak kuat - kuat. Tak sanggup dah menutur kata tak elok pada Qadri.

Diam - diam Qadri tersenyum. Tak sangka peduli juga dia pada aku.

" Sayang... abang minta maaf... lepas ni abang dah tak cakap macam tu lagi, ya? Sayang janganlah nangis... nanti jadi mata sayang macam ikan buntal. Menggelembung macam ni— aduh.. hahahaha."

" Main! Main! Orang serius tau! Serius!" Marah Arissa bila dia sapu air matanya kering tapi hatinya sudah mulai menyejuk bila buku limanya dipaut Qadri.

Bunyi sesuatu yang nyaring membantutkan perbalahan mereka berdua.

" Hah! Risa... syhhh..."

" Apa dia?"

" Syhh... satu... dua... tiga..."

Habis saja kiraan jari Qadri, satu persatu daun pokok bakau menyala terang seakan mentol. Arissa ketakjuban. Bibirnya ingin diluahkan ayat ditahan Qadri,

" Inilah kunang - kunang Risa. Nanti Risa tengok... terang tempat ni sebab penuh kunang - kunang kat sini." Bisik Qadri tak mahu membuat bising. Nanti lari berterbangan pula kunang - kunang ini.

Arissa sedikit - sedikit tersenyum tatkala banyak kunang - kunang sudah mengeluarkan cahaya. Cantiknya.

Dengan senyuman dia pandang wajah Qadri yang kini kacak terbias cahaya kunang, " Risa suka? Hadiah Di untuk Risa."

Arissa angguk laju, " cantik! Sangat!"

Perlahan, Qadri memberanikan diri untuk berpegangan tangan. Arissa pula membiarkan saja Qadri memegangnya sebegitu dek dia suka mendengar rerama yang sedang rancak berterbangan di dalam perutnya kini.

Share this novel

Emasalma Salma
2020-05-19 08:13:28 

best


NovelPlus Premium

The best ads free experience