"Jangan main-main boleh tak?! This is not funny at all! Jerkah Yazid. Mahu sahaja dia melayangkan penumbuk ke wajah Naufal. Lelaki itu hanya tertunduk sambil menadah telinga. Apa sahaja pilihan yang dia ada?
"Kau kena tolong aku Long. Aku dah buntu. Kau jangan risau, aku akan uruskan segalanya." Buru-buru dia mengeluarkan sehelai kertas dari sakunya sebelum diberikan kepada Yazid yang sedang terpinga-pinga. Tanpa mengendahkan panggilan Yazid, Naufal terus berlari mendapatkan keretanya lalu meninggalkan tempat itu.
Yazid hanya mampu melihat kereta milik Naufal meluncur pergi meninggalkan perkarangan rumah Amran. Surat di tangan dipandang sepi. What should I do now?
"Anisa, senyum sikit. Nanti apa pula kata tetamu-tetamu dekat sini." Bisik Zida. Anisa mengangguk faham sebelum mengukir senyuman hambar kepada para tetamu yang sedang melihat ke arahnya.
Jantungnya berdebar hebat kala dirinya menjadi perhatian orang-orang di situ. Sehabis baik, dia cuba mengawal riak wajah agar tiada yang berburuk sangka terhadapnya.
"Haih, pengantin lelakinya mana? Saya ada majlis lain juga kena hadir lepas ni." Rungut Tok Kadi kepada Amran. Lelaki itu hanya mampu tersenyum bagai kerang busuk sambil mengusap tengkuknya. Dia melirik sekilas ke arah Husna, yang sedang terkumat kamit berbual bersama para tetamu di belakang.
"Mana pengantin lelaki?" Tok kadi menyoal lagi. Para tetamu mula berbisik sesama sendiri dengan hairan. Takkan pengantin lelaki lari pulak? Sementara Anisa dan Zida sudah panas punggung menanti di atas pelamin.
"Ada...ada! Pengantin lelaki ada." Suara serak itu muncul entah dari mana sehingga kesemua mata mula tertumpu ke arahnya. Yazid?! Anisa, Zida, Husna, Amran dan Kamil saling berbalas tatapan. Hairan dan tertanya-tanya tentang keberadaan Naufal yang sejak tadi menghilangkan diri. Menyorok ke dia? Atau memang betul-betul sudah lari? Berbagai macam persoalan mula melantun dalam fikiran masing-masing.
Malah, penampilan Yazid yang ganjil itu turut menjadi bahan perbualan antara tetamu. Apa punya fesyen ni, baju melayu putih, dipadankan dengan seluar jeans, sementara sampinnya pula berwarna merah jambu. Langsung tergeleng kepala tok kadi melihatnya. Macam-macam hal!
"Saya pengantinnya tok." Malu-malu dia mengambil tempat bertentangan dengan tok kadi. Anisa sudah terbuntang di atas pelamin. Apa yang sedang berlaku ni? Mana Naufal?
Yazid hanya mampu tersengih sumbing sambil menggaru tengkuk yang tidak gatal. Rasa kekok pula bila semua mata tertumpu ke arahnya sejak tadi.
"Eh, lain benor rupanya. Tadi bukan ke muka dia lain sikit?" Tok kadi mengerling ke arah Kamil, mencari kepastian. Pemuda itu langsung melarikan pandangan. Tak boleh harap punya budak! Malas berfikir panjang, tok kadi terus menghulurkan tangannya pada Yazid.
Anisa dan Zida sudah seperti cacing kepanasan, sekejap pandang ke kanan, sekejap pandang ke kiri. Tidak keruan jadinya. Husna pula sudah memicit-micit dahi yang sudah berdenyut gara-gara kejutan tidak disangka ini.
"Nama kamu apa?" Soal tok kadi dengan dingin. Macam-macam hal budak zaman sekarang. Yang nak kahwinnya orang lain, yang lafazkan akad nikahnya orang lain. Kutuknya dalam hati.
"Tengku Yazid bin Amran Khairudin" Jawabnya dengan tenang. Makin hairan jadinya Anisa. Orang yang sepatutnya nikah dengan aku hilang entah ke mana, lepas tu, nama bapa Encik Yazid ni pulak tersama dengan Naufal. Diaorang dua ni adik beradik ke? Kenapa aku boleh tak tahu? Mahu bertanya, namun tidak terluah. Segan dengan para tetamu yang masih memerhatikan majlis.
"Tengku Yazid bin Amran Khairudin, aku nikahkan dikau, dengan Nur Anisa binti Zamri, dengan mas kahwinnya seutas rantai emas."
"Aku..." Yazid gugup. Dan, sekali lagi dia menjadi perhatian orang ramai di situ. Makin riuh suara-suara sumbang mereka cerita sendiri.
"Nisa..." Zida cuba menenangkan Anisa yang kelihatan pucat.
"Eh, diaorang dua ni kena kahwin paksa ke?!" Naik seoktaf nada tok kadi. Amran sudah membatu umpama patung cendana di sebelah Kamil. Tidak berani membuka mulut. Kerana, dia sendiri tidak tahu apa yang sedang berlaku sekarang ini. Ke mana Naufal? Dan mengapa Yazid menggantikan tempatnya?
Husna pula sudah menggigil di tempat duduknya. Terlalu banyak insiden yang berlaku hari ini. Sepatutnya, Naufal yang berada di situ, namun sehingga sekarang, anaknya itu masih hilang.
Kejutan demi kejutan yang diterima, membuatkan nafas Husna mula sesak sebelum dia rebah di atas bahu seorang tetamu di sebelahnya. Beberapa orang wanita ligat mengipas wajah Husna sambil memanggil nama wanita tersebut. Haih, tambah lagi satu masalah...
"Boleh saya teruskan?" Yazid mengangguk perlahan. Dia menyambut semula huluran tok kadi.
"Tengku Yazid bin Amran Khairudin, aku nikahkan dikau, dengan Nur Anisa binti Zamri, dengan mas kahwinnya seutas rantai emas."
Yazid menarik nafas dalam, sebelum menoleh sekilas ke arah Zida. Wanita itu sedang tersenyum nipis ke arahnya.
"Aku, Tengku Yazid bin Amran Khairudin, terima nikahnya, Nur Anisa binti Zamri, dengan mas kahwinnya seutas rantai emas." Laungan sah daripada beberapa orang tetamu membuatkan Yazid berasa sedikit lega.
Pap! Bagaikan terjaga dari yang mimpi panjang. Anisa menoleh mencari Zida. Kesan tamparan pada lengannya diusap perlahan. Sakit!
"Termenung apa? Cepatlah tunjukkan jari kamu tu." Lantas Anisa menelan air liurnya sebelum menghulurkan tangan pada Yazid.
"Mana Naufal?" Bisik Anisa. Yazid menyarungkan cincin pada jari manisnya.
"Dia suruh bagi surat ni pada awak."
'Maafkan abang. Sekali lagi abang lukakan hati Anisa. Tapi abang percaya, Nisa akan bahagia bersama Yazid. Abang tak berani nak luahkan semua benda ni depan Anisa. Abang takut Anisa akan marah abang. Sekarang ni, abang dalam perjalanan ke kampung, untuk berjumpa dengan Hana. Abang tak nak sia-siakan 'insan kecil' yang sedang menghuni rahim Raihana, macam yang abang pernah buat pada arwah anak kita dulu. Anak abang perlukan abang. Maafkan abang sekali lagi. Abang sayang Anisa.' Petikan itu diakhiri dengan ucapan salam. Anisa meletakkan helaian kertas itu di atas meja sebelum menghalakan pandangan ke arah Yazid.
"I'm sorry. Saya tak tahu nak buat apa waktu tu. Saya cuba halang dia, but it's too late. Bukan niat saya..."
"Takpe. Saya faham." Jelas Anisa.
Share this novel