Bab 10: Masih Sayang

Romance Series 47385

Naufal mencari kedai makan yang berhampiran. Sejak pagi, dia tidak sempat mengisi perutnya kerana sibuk dengan urusan kerja.

Sejak disahkan menghidap gastrik, Naufal dinasihati untuk tidak mengabaikan waktu makannya dan perlu kerap mengambil ubat. Naufal hanya mampu mengeluh mengenangkan nasib dirinya. Haih, dulu elok-elok ada bini jagakan makan pakai, tapi gatal sangat pergi ceraikan. Dia mula merindui bekas isterinya. Entah di mana wanita itu berada sekarang.

Sambil mengawal stereng dan kelajuan kereta, Naufal memandang ke luar melalui tingkap keretanya. Terdapat beberapa gerai tepi jalan yang menjual goreng-gorengan dan salah satu daripada gerai di situ menarik perhatian Naufal, kerana menu yang dinyatakan di situ kelihatan lebih menarik berbanding gerai-gerai yang lain.

Lantas, dia memberikan signal ke kanan, lalu masuk ke lorong tersebut selepas memastikan ketiadaan kereta di belakangnya. Kereta diparkirkan di bawah pokok, sebelum dia berjalan ke arah gerai pilihannya tadi.

Senarai menu yang tercatat pada papan di hadapan gerai itu, dibaca sekali lagi. Nampaknya, gerai itu menjual variasi donut, pisang goreng, koci, lepat pisang, laksa, bihun sup, macaroni, ayam penyet, nasi lemak dan spaghetti. Kesemua makanan itu merupakan kegemarannya. Naufal hampir rambang mata, tidak tahu hendak memilih yang mana satu.

Setelah lama berfikir, akhirnya Naufal memutuskan untuk membeli sebungkus laksa dan donut sahaja. Dia perlu segera menelan pil gastriknya selepas ini.

Dia bergerak ke tengah gerai itu sambil memandang dulang-dulang berisi makanan yang tersusun kemas di atas sebuah meja yang panjang. Kelihatan seorang wanita sedang sibuk menggoreng pisang sambil membelakanginya. Pasti dia peniaga gerai ini. "Cik, saya nak laksa satu, dengan donut. Berapa?" Soal Naufal sambil menyeluk saku seluarnya untuk mengeluarkan not RM10.

"Kejap ya..." Tangan yang kotor itu lantas dilap pada kain yang tergantung di bawah meja. Dengan tenang, wanita itu menghampirinya.

"Nisa?!" Naufal tercengang seketika. Terkejut melihat bekas isterinya setelah hampir 2 bulan berpisah. Wajah Naufal berubah pucat. Dia tidak menyangka langsung, bahawa akan terjumpa Anisa di sini.

Sementara Anisa pula, cuba mengawal mimik muka agar kekal kelihatan tenang. Dia beriak biasa seakan tidak mengenali Naufal. Pesanan Naufal diambil lalu dimasukkan ke dalam sebuah plastik lalu dihulur kepada lelaki itu.

"8 ringgit." Kata Anisa tanpa memandang wajah sugul Naufal. Dia mengambil huluran Anisa lalu memberikan not RM10 kepada wanita itu.

Seusai menyerahkan baki wang tadi, Anisa terus kembali ke dapur dan meneruskan kerjanya tanpa mengendahkan Naufal. Lelaki itu masih tercegat di gerainya. Selang beberapa minit, Naufal akhirnya melangkah meninggalkan gerai itu dengan perasaan yang bercampur baur.

"Wanginya..." Plastik berisi kuah laksa itu dibawa ke hidung. Dia rindu air tangan Anisa. Bekas isterinya memang seorang yang pandai masak.

Wanita itu tidak pernah meninggikan suara, apatah lagi melawan perintahnya selama bergelar isteri. Segala keperluannya, disediakan dengan lengkap. Pulang sahaja ke rumah, makanan sudah siap terhidang di atas meja.

Keadaan rumah juga sentiasa bersih tanpa secalit kotoran. Dia kecewa kerana kini, Anisa bukan lagi miliknya. Tapi, dia sanggup lakukan apa sahaja untuk mendapatkan wanita itu kembali.

"Macam mana jualan Nisa hari ni? Semua okay?" Soal Zida sambil menghidangkan nasi dan beberapa lauk pauk lain di atas meja. Anisa melabuhkan punggung di salah sebuah kerusi di situ dengan senyuman tipis.

"Alhamdulillah, semuanya okay makcik. Ramai jugak pelanggan yang datang gerai tadi. Sampai tak menang tangan Nisa layan dia orang." Zida mengangguk sebelum mengambil tempat di hadapan Anisa.

"Makanlah dulu. Yazid dah makan tadi." Nasi dicedokkan ke pinggan Anisa, kemudian ke pinggannya pula.

"Encik Yazid tiada di rumah?" Bola matanya meliar memerhati sekeliling. Selalunya, pada waktu-waktu begini, Yazid akan bersandar pada bahu sofa sambil menatap tabletnya.

"Ada di bilik. Macam biasalah, sibuk dengan kerja." Anisa menggangguk faham.

"Mak cik, tadi kan, bekas suami Nisa ada datang gerai." Serta merta kunyahan Zida terhenti. Matanya dialihkan ke wajah Anisa.

"Dia nak apa? Macam mana dia tahu Anisa bukak gerai dekat situ?" Bertalu-talu soalan keluar daripada mulut Zida. Selama 2 bulan, Anisa menetap di sini, tidak pernah sekalipun, lelaki itu menghubunginya apatah lagi bertanya khabar.

Batang hidungnya hanya kelihatan pada hari penceraian mereka di mahkamah. Sekali pun dia tidak melihat wajah Anisa bahkan selesai sahaja urusan di mahkamah, dia terus pulang.

"Erm, rasanya dia tak tahu tu gerai Nisa. Mungkin dia singgah nak beli makanan. Masa dia tengok Nisa tadi, dia terkejut sangat." Terangnya sebelum menyuapkan makanan ke dalam mulut.

"Eloklah kalau dia tak ganggu kamu. Tapi mak cik masih tak sedap hati. Kamu hati-hati sikit dekat sana. Kalau ada apa-apa, terus call Yazid. Bekas suami kamu tu bukannya boleh percaya." Pesan Zida. Anisa mengangguk faham sebelum tersenyum nipis.

"Okay..." Rindunya pada Yati di kampung sedikit sebanyak terubat dengan adanya Zida. Berita penceraiannya telah diberitahu kepada Yati bulan lalu.

Pada mulanya, Yati berasa sedih, namun lama kelamaan dia cekalkan hati untuk menerima takdir yang sudah tertulis buat anaknya. Anisa tidak menceritakan punca mereka berdua bercerai. Khuatir akan menjejaskan kesihatan ibunya.

Perihal Raihana juga, dia rahsiakan daripada pengetahuan Yati. Dia hanya mengabarkan bahawa mereka berdua tidak lagi sehaluan dan memilih untuk berpisah secara baik. Punca keguguran juga dia rahsiakan daripada ibunya. Anisa memberikan alasan dia terlalu penat sehingga menyebabkan kandungannya lemah.

Walau masih tersisa keperitan angkara pengkhianatan Raihana dan Naufal, namun Anisa tetap tidak mahu apa-apa yang buruk menimpa mereka berdua. Mungkin, jodohnya dengan Naufal sudah tidak ada. Dia terima sahaja ketentuan ini dengan hati yang reda.

"Nak laksa dengan lepat pisang." Pagi-pagi lagi Naufal sudah terpacak di hadapan gerai Anisa dengan senyuman manisnya. Namun, senyuman itu terus sirna kala melihat layanan mesra Anisa pada beberapa orang pelanggan lelaki lain. Hatinya mula dibakar api cemburu.

"9 ringgit." Anisa menyerahkan semula baki RM 1 kepadanya sebelum meneruskan kerja. Naufal hampir putus asa dengan usahanya kerana sikap dingin Anisa. Wanita itu seakan tidak mengenali dirinya sama sekali. Naufal terus melangkah meninggalkan kawasan gerai itu dengan kecewa.

Apa lagi yang boleh aku buat supaya kau kembali semula ke pangkuan aku, Anisa?

"Aww, of course I will miss you too baby. You tahukan betapa sayangnya I pada you." Nada suara cuba dikawal demi menjaga hati orang tua itu. Raihana memandang sekilas tubuh lelaki itu sebelum mencebik. Hilang selera tengok keriput-keriput dan kedutan pada wajah tuanya. Perlahan, Raihana bangun dari katil sebelum pinggangnya dirangkul erat oleh lelaki itu.

"Then, janganlah balik. Stay here and temankan I..." Dia memandang wajah mulus Raihana sebelum mengusap lembut bibirnya. Ikutkan hati, dia mahu menerkam sekali lagi wanita bertubuh seksi itu.

"I wish I can. But I ada hal. Esok kita jumpa balik okay. Kita enjoy puas-puas. I janji." Raihana bingkas bangun sebelum mencapai beg tangannya lalu beredar dari bilik hotel itu dengan senyuman manis.

"Love you sayang..."

"Love you too baby..." Keluar sahaja dari situ, wajah manisnya tadi terus berubah kelat. Geram dan meluat kerana terpaksa melayan nafsu serakah lelaki tua keriput yang kekurangan stamina. Sehinggakan, dia terpaksa mengurut tubuh lelaki itu berulang kali sejak petang tadi.

"Eee, tua-tua pun, masih gatal! Dah dilayan sejak petang tadi kot, masih tak cukup-cukup! Ingat aku ni apa? Dahlah cepat pancut. Bayaran pun makin sikit sekarang ni." Rungutnya sebelum berjalan ke arah lif.

Nak mintak nafkah dengan Si Naufal tu, bukannya dia nak bagi. Setakat RM1000, apa je yang boleh aku beli. Cis! Nampaknya aku kena cari lagi pelanggan. Barang mekap aku pun dah nak habis. Bisiknya sambil melangkah masuk ke dalam perut lif tanpa menyedari, bahawa gerak gerinya sedang diperhatikan oleh seseorang dari jauh.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience