Tersentak Anisa akibat bunyi hentakan di belakangnya. Lantas dia menoleh mencari arah datangnya bunyi itu.
"Eh, Hana. Terkejut akak tadi. Kenapa? Hana nak apa-apa ke?" Soalnya dengan lembut. Tidak pernah sekali pun dia meninggikan suara ketika berbual dengan Raihana.
"Hana nak duit." Sepatah sahaja jawapan yang diberi, sehingga dahi Anisa berkerut. Kurang faham dengan tujuan permintaan adiknya.
"Duit? Hana nak beli apa-apa ke?"
"Hana dah dapat kerja di KL. Bulan depan masuk kerja. Jadi, Hana nak cari bilik sewa dulu." Terangnya dengan malas. Banyak tanya pulak...
"Iya? Alhamdulillah. Syukur Hana dah dapat kerja. Akak happy sangat." Raihana memutarkan bola mata sambil menayangkan reaksi meluat terhadap kata-kata Anisa. Loya tekak aku...tak payah nak buat baik sangatlah! Gerutunya dalam hati.
"Bila Hana boleh dapatkan duit tu?"
"Erm, Hana nak berapa?"
"RM3 000." Terbeliak mata Anisa. Tidak percaya dengan angka yang baru disebut oleh Raihana. Mak aii, banyaknya sampai beribu. Kalau seribu okay lagi, tapi ni dah sampai 3 ribu.
"Yelah, abistu makan pakai Hana dekat sana nanti macam mana? Hana kena kerja sebulan baru dapat gaji." Dengan lantang dia bersuara.
"Oh...okay-okay. Akak faham. Dalam minggu ni akak dapatkan ya. Hana cari bilik yang selesa dan dekat dengan tempat kerja." Ujarnya sambil tersenyum tipis. Bangga satu-satunya adik bakal menempuh alam pekerjaan.
Raihana terus mengangkat kaki dari situ tanpa menghiraukan Anisa yang masih berbicara. Takde masa aku nak dengar ceramah kau...menyampah!
Anisa mengiringi pemergian Raihana melalui ekor mata sambil menahan rasa kecewa. 'Mungkin adik ada hal kot, tu yang dia terburu-buru masuk dalam rumah.' Dia cuba fikir yang baik-baik. Tidak mahu berburuk sangka dengan satu-satunya adik yang dia punya, sehingga meretakkan hubungan antara mereka berdua.
*******
"Kamu bila pulak Nisa?" Jamilah bertanya. Fatihah dan Anisa yang sedang duduk bersimpuh di hadapannya, saling berpandangan sebelum Anisa melorekkan senyuman hambar.
"Insya Allah, kalau ada jodoh makcik." Terangnya dengan penuh sopan. Jamilah membalasnya dengan anggukan. Jauh di sudut hati, dia bersimpati dengan nasib Anisa. Sejak berumur 17 tahun lagi, gadis muda itu sudah rela membanting tulang empat keratnya untuk mencari nafkah demi kelangsungan keluarga.
Kini, usianya sudahpun menginjak 25 tahun, namun masih belum mendirikan rumah tangga. Gadis-gadis lain di kampung ini, sudah ramai yang berkahwin dan memiliki anak. Fatihah juga bakal menyusul dengan hari pernikahannya sebulan dari sekarang. Hari ini, majlis pertunangan anak keduanya diadakan secara kecil-kecilan sahaja di rumah mereka.
"Okaylah makcik, Teha. Nisa mintak diri dulu ya. Dah lambat nak ke warung. Nanti Pak Hamid tercari-cari pulak." Dia menyalam tangan Jamilah dan Fatihah sebelum melangkah ke arah motosikalnya. Dia perlu segera pulang ke rumah, dan menukar pakaian.
Semalam dia sudah berjanji dengan Hamid untuk membantunya memasak, kerana ada pihak syarikat dari bandar mahu mengadakan majlis makan malam di dewan penduduk pada malam ini. Tanpa menunggu lama, Anisa memecut motosikalnya ke rumah.
"Assalamualaikum pakcik. Maaf Nisa lambat. Baru balik dari rumah Teha. Pakcik dah sediakan bahan-bahan masakan?" Sling begnya digantungkan di atas rak dapur. Apron yang terletak di atas meja makan dicapai lalu disarungkan ke tubuhnya. Tanpa membuang masa, Anisa mula mengacau bahan di dalam kuali.
Menu yang dipesan oleh pelanggan pada malam ini sedikit mewah, tomyam ayam, ayam goreng berempah, nasi goreng dan sambal belacan. Lincah tangannya mencampur adukkan kesemua perasa ke dalam masakan. Sesekali dia mengerling ke arah jam dinding yang tergantung di tepi singki. Masih ada masa lagi. Sempat dia siapkan kesemua menu yang dipesan oleh pelanggan.
"Nisa balik dari majlis Teha ke?" Soal Hamid sambil membasuh sebuah dulang bersaiz sederhana besar. Dulang itu akan digunakan sebentar lagi untuk menghidangkan nasi goreng yang sedang dimasak oleh Anisa.
"Ha'ah pakcik. Oh ya, Teha dengan makcik Milah kirim salam." Ujarnya sambil mengacau nasi di dalam kuali.
"Waalaikummusalam. Haih, bukannya pakcik taknak pergi. Tapi, tulah. Customer ni dah order lama dengan pakcik. Kesian kalau nak tolak saat-saat akhir macam ni." Dulang yang basah itu dilap menggunakan sehelai tuala kecil.
"Takpe pakcik. Nisa dah bagitau kat makcik Milah dengan pakcik Dani. Dia orang faham." Nasi goreng yang sudah siap dimasak, kemudiannya dimasukkan ke dalam dulang tadi dengan tertib.
*******
"Hah, masukkan yang ini jugak dalam van." Arah Hamid kepada beberapa orang pekerjanya.
"Pakcik, nak Nisa ikut sekali ke?" Tangannya menghulurkan kunci kedai kepada Hamid.
"Boleh jugak, sebab kita kekurangan pekerja. Nanti tak cukup orang masa nak hidangkan makanan kat tetamu-tetamu tu." Anisa mengangguk faham lalu memutuskan untuk turut ikut bersama pekerja lain ke majlis itu.
Tanpa melengahkan masa, dia terus meloloskan diri ke tempat duduk belakang van tersebut. Seramai 5 orang pekerja termasuk Anisa berada di dalamnya dan van itu dipandu oleh Hamid menuju ke dewan penduduk.
*******
"Wei, awek cun bro! Tengoklah tu..." Bibir dijuih ke arah seorang pekerja katering yang sedang menyusun peralatan dan dulang-dulang berisi makanan di atas meja.
"Ada-ada jelah kau ni. Kat sini pun nak tunjuk perangai miang kau? Come on lah bro. Entah-entah bini orang. Beranak pinak dah. Budak-budak kampung ni, setahu aku, umur 17 dah kahwin selalunya. Mak bapak dia orang mana ada duit nak jaga dia orang ni lama-lama dekat rumah." Kata Rizuan sambil mengukir senyuman sinis ke arah Anisa. Bukannya dia tidak mendengar kata-kata yang kurang menyenangkan daripada lelaki-lelaki itu. Namun, demi menjaga air muka Hamid, dia berdiam diri sahaja. Tak guna cakap dengan orang-orang berfikiran kolot macam ni. Buang masa je!
"Ye, ye je kau ni Riz. Setahu akulah kan, gadis-gadis sunti kat kampung ni selalunya, dah pernah kena tebuk. Hahahaah...Yelah, miskin katakan. Tubuh sajalah yang mereka ada buat cari modal." Berdekah dua manusia yang tidak bermoral itu ketawa. Anisa sudah mengepal penumbuknya dengan geram. Menunggu masa untuk menyerang dua lelaki itu. Apa dia orang ingat, perempuan-perempuan dekat kampung ni takde harga diri? Takde maruah?
"Korang ni memang takde kerja? Atau saja buat-buat takde kerja? Atau memang meminta taknak bekerja..." Kehadiran seorang lelaki berbadan tinggi lampai dan sasa itu membuatkan kedua lelaki berkenaan menutup mulut. Masing-masing membisu mencari akal untuk melarikan diri daripada menjadi mangsa maki hamun lelaki itu.
"Tak...tak bos. Bukan macam tu. Kami nak rehat aje." Jawab Rizuan dengan gagap.
"Ooo, rehat... Rehat apa kalau mulut tu tak reti nak diam? Orang yang rehat ni selalunya sebab penat. Kalau penat, orang jarang berbunyi. Tapi korang ni, aku tengok makin bersemangat kutuk orang! Dah takde adab? Hina orang kampung macam tu? Korang ingat semua perempuan kat kampung ni apa? Murah?!" Bidas Naufal sambil mencerlung ke arah mereka berdua seperti harimau kelaparan.
Dari jauh Anisa hanya memerhati. Sakit hatinya sedikit berkurang. Ada juga orang yang sanggup mempertahankan dan membela nasib orang kampung seperti dirinya.
"Ma...maaf bos. Kami pergi sambung kerja dulu." Lelaki-lelaki itu lantas melangkah laju meninggalkan meja makan. Risau, makin lama mereka berada di situ, makin naik darah majikan mereka itu.
Naufal memang seorang yang angkuh dan tegas ketika berhadapan dengan pekerja yang bermasalah. Tiada kompromi baginya dalam hal-hal yang melibatkan kerja. Kalau rasa nak curi tulang, boleh bela dari company aku!
Sesi makan malam tiba juga pada akhirnya. Masing-masing sudah mengangkat piring dan beratur mengambil makanan. Sengaja Naufal merancang majlis yang kecil-kecilan seperti itu. Malah, golongan VIP yang hadir juga turut berdiri dan beratur bersama pekerja-pekerja yang lain. Tiada layanan istimewa.
Naufal melirik wajah gadis yang sedang sibuk mencedokkan kuah ke dalam mangkuk. Cantik, tanpa secalit solekan. Rambut panjang sehingga mencecah paras pinggang. Kening dan alis mata yang tebal. Bibir yang terbentuk sempurna bak delima. Anak mata yang jernih. Bentuk tubuh yang langsing. Tidak lepas dia menatap Anisa yang sedang sibuk menjalankan tugasnya.
"Terima kasih." Ucap Naufal dengan harapan Anisa akan membuka mulut. Namun hampa, ucapannya hanya dibalas dengan anggukan sahaja. Tiada senyuman pada wajah Anisa. Dengan langkah yang berat, Naufal kembali ke tempat duduknya sambil mengeluh dengan kecewa.
Setelah majlis tersebut tamat, Anisa dan pekerja-pekerja yang lain berkemas untuk pulang. Van yang membawa mereka berhenti di hadapan kedai Hamid.
"Dah pukul 11. Mesti mak risau." Dengan tergesa-gesa, Anisa menyarungkan topi keledarnya lalu menghidupkan motosikal. Sekali tendangan, motornya tidak hidup. Diikuti dengan tendangan kedua, masih sama. Dan begitu juga dengan tendangan yang ketiga dan seterusnya.
"Buat hal lah awak ni...Malam-malam macam nilah awak nak rosak. Takkan saya nak kena balik jalan kaki? Jauh kot. Dahlah kena lalu kat semak samun. Gelap pulak tu." Leternya seorang diri. Keadaan yang gelap membuatkan degupan jantung Anisa menjadi tidak teratur. Ya Allah, macam mana aku nak balik ni?
Selepas beberapa minit, jalan yang gelap gelita itu bertukar terang dengan kehadiran sebuah kereta dari belakang. Anisa mendongak dari atas motornya ke arah kereta tersebut.
"Eh, tu...tu macam..." Kereta yang dipandu dihentikan di hadapan Anisa. Tingkap di bahagian penumpang diturunkan.
"Awak tak balik lagi ke?" Soal Naufal. Hari dah gelap macam ni, masih tak balik-balik lagi? Takkan tunggu boyfriend kot. Jalan yang senyap sunyi itu dilirik sekilas lalu. Berani jugak perempuan ni.
Anisa hanya berdiam diri. Bukan apa, dia tidak suka menegur mana-mana orang asing lagi-lagi, orang lelaki. Dia berpura-pura sibuk menatal telefon Nokianya.
"Saya tanya ni...awak tak balik lagi ke? Bahaya duduk kat sini lama-lama. Gelap pulak tu?"
Ya, benar. Anisa mengakui kata-kata lelaki itu. Tapi, bukannya dia nak sangat duduk kat sana. Nak call Teha, kredit pulak takde. Meremang bulu tengkuknya tiba-tiba. Bola mata ralit memerhati keadaan sekeliling. Gulp...boleh tahan seram.
"Takpelah. Saya mintak diri dulu." Tingkap kereta dinaikkan perlahan-lahan...sebelum Anisa bersuara.
"Eh, tunggu-tunggu. Encik, nak ke mana?" Berkaca-kaca matanya. Sikit lagi nak menangis. Nampaknya, dia kena lupakan dulu prinsip hidupnya pada malam ini demi keselamatan diri.
"Saya nak balik ke homestay. Hujung sana." Jari telunjuk dihalakan ke hadapan. Anisa mengangguk. Ya, benar. Di hujung sana ada sebuah homestay.
"Oh, err..." Dia taknak hantar aku balik ke? Janganlah tinggalkan aku sorang-sorang kat sini.
"Awak tunggu orang?" Naufal sekadar bertanya.
"Eh, tak. Saya...motor saya rosak."
"Lah...habis tu? Takkan awak nak duduk sini sampai esok? Takde call family awak ke?"
"Takde. Phone saya takde kredit." Naufal terus menggelengkan kepala. Cuai.
"Okay..takpe. Kalau awak tak keberatan, saya boleh tolong hantarkan." Dia pun sudah penat dan mahu lekas pulang ke homestaynya untuk berehat.
"Err..."Masih dalam fasa berfikir. Susahnya nak buat keputusan.
"Jangan risau, saya bukan lelaki dayus. Ambik kesempatan kat orang yang lemah, lagi-lagi dengan perempuan. You can trust me."
Share this novel