"Nisa?! Oh Nisa!..." Tiada sahutan. Sambil terkumat kamit membebel memarahi si sulung yang hilang entah kemana, Yati menapak ke arah bilik anak bongsunya. Jam dinding dikerling sekilas lalu saat mendaki tangga kayu yang sudah reput dan menunggu masa untuk roboh.
Sah masih tidur lagi. Dengan hati yang panas, Yati memulas tombol pintu bilik si bongsu. Membulat matanya saat menyaksikan keadaan bilik yang seakan tongkang pecah.
Pakaian kotor berselerak di atas lantai. Buku-buku bertebaran di atas meja bacaan. Belum lagi pakaian di dalam almari, yang sudah terkeluar isinya sehingga tidak mampu dibezakan, mana satu pakaian yang masih bersih, dan yang mana satu pakaian yang sudah kotor.
Berangin satu badan dengan perangai tidak senonoh anak bongsunya ini. Ada sahaja ulah dan alasan yang diberi apabila disoal. Tubuh yang masih terbaring di atas tilam lantas dihampiri sebelum selimut lusuh yang menutupi kepalanya itu ditarik kasar.
Keadaan bilik yang tiba bertukar terang mengejutkan Raihana dari lena yang panjang. Perlahan-lahan dia membuka kelopak mata sambil merengus geram. Tidurnya terganggu. Kornea mata menangkap raut wajah yang cukup dikenali, siapa lagi kalau bukan ibunya.
"Ish, nak apa mak ni?! Orang nak tidur tahu tak...Penat!" Disambar kembali selimut yang berada dalam genggaman ibunya sebelum dia menyelubungi keseluruhan tubuh dan kepala dengan gebar tersebut.
Tiada langsung rasa hormat dalam diri terhadap insan yang sudah banyak bersusah payah demi membesarkan dirinya selama ini. Makan pakai segalanya ditanggung oleh Yati dan anak sulungnya, Anisa yang bekerja di warung Pak Hamid sebagai tukang masak.
"Bangun Hana, dah pukul berapa ni? Kamu masih tak insaf-insaf ya... Umur dah nak masuk 24, tapi masih berperangai macam ni. Solat pun tidak. Tolong mak dengan akak kamu dekat dapur pun tidak. Tahu tidur je dalam bilik. Cubalah bangun, tolong mak ni sikit. Takkan setiap masa mak nak kena mintak tolong daripada Anisa je. Dia pun penat jugak." Leteran ibunya tidak diendahkan.
Panas pula hati apabila dirinya dibandingkan dengan si kakak. Setakat rajin kalau bodoh, selekeh, tiada pendirian hidup, tidak guna juga. Jika mahu dibandingkan dengan dirinya yang sentiasa up-to-date, pandai bergaya, cantik, pandai, fasih berbahasa Inggeris, pendek kata, dia terlalu sempurna untuk menjadi seorang gadis kampung yang kolot seperti Anisa.
"Hana, bangun sekarang! Tolong mak masak kat dapur. Bangun sekarang!" Semakin diberi muka, semakin menjadi perangai kurang ajarnya. Selimut yang membaluti seluruh tubuh Raihana ditarik lalu dicampakkan ke atas lantai. Dengan berang, Yati terus menarik lengan anak bongsunya untuk segera bangun.
"Eee, apa mak ni! Anisa mana?! Kenapa Hana pulak yang kena tolong?!" Berdesing telinga Yati dengan tempikan Raihana. Tiada adab sungguh! Setahunya, dia membesarkan kedua anaknya dengan didikan agama dan akhlak yang cukup.
Tidak pernah diajarnya anak-anak menggunakan bahasa kasar seperti ini dengan orang tua apatah lagi melawan kata.Ini kalau orang lain dengar, mahunya tak kecoh satu kampung.
Sikap Raihana berubah 180 darjah sejak dia melanjutkan pengajian di Kuala Lumpur. Dia menjadi seorang gadis yang cepat marah, mudah melenting bila disoal sesuatu, suka guna kata-kata kesat apabila orang memberikan nasihat atau meminta pertolongan, dan apa yang paling menyayat hati Yati sebagai seorang ibu, anak bongsunya tidak lagi menjaga hubungan dengan tuhan. Pakaiannya juga sudah serupa tidak cukup kain. Bila ditanya, dibalasnya sebagai fesyen terkini.
Malu juga apabila nama Raihana sering menjadi bahan bualan orang-orang kampung di sini. "Belajar tinggi-tinggi, tapi tiada akhlak. Pakai baju tak cukup kain." Kata-kata sindiran itu masih menusuk lubuk hatinya kerana gagal membimbing anak sendiri. Berbeza sekali dengan si sulung, Anisa.
Sejak suaminya meninggal dunia 8 tahun yang lalu, Anisa yang memikul tanggungjawab untuk menjaga dan menyara keluarga mereka. Dia sanggup berhenti belajar demi memberikan peluang kepada Raihana kerana kesempitan hidup menyukarkan Yati untuk membiayai kos pembelajaran mereka berdua pada ketika itu.
Ketika di usia 17 tahun, Anisa sudah bekerja di warung Pak Hamid sebagai tukang masak. Dan dengan hasil gajinya, dia menguruskan perbelanjaan harian mereka anak beranak dan dengan duit itu jugalah dia menghantar Raihana melanjutkan pelajarannya ke Kuala Lumpur.
Anisa seorang yang lemah lembut, tidak pandai berbohong apatah lagi menyakiti hati mana-mana orang. Segala arahan dan nasihatnya, sering ditaati oleh anak sulungnya itu.
******
Muncung ditarik sedepa. Cemberut wajahnya kerana geram terhadap Yati yang memaksanya masak pagi tadi. Habis rosak kuku yang dijaganya selama ini. Dia menjeling sebal ke arah Anisa yang baru sahaja pulang dari kebun Fatihah.
"Tadi Anisa pergi mana? Lama mak cari tau..." Soal Yati sambil mengalihkan nasi goreng dari kuali ke dalam mangkuk besar. Mangkuk itu dibawa ke meja makan lalu diletakkan di situ.
"Anisa pergi kebun ayah Fatihah tadi. Kan Anisa dah pesan dekat mak masa sembahyang subuh. Mak lupa ya?" Tersenyum manis dengan gelagat ibunya yang sering terlupa banyak perkara sejak kebelakangan ini. Anisa menuangkan air kopi ke dalam cawan plastik sebelum menghulurkannya kepada Yati dan Raihana.
"Ya Allah, mak lupa!" Yati menepuk dahi sambil tertawa dengan kecuaian sendiri. Macam mana boleh terlupa ni?
"Takpe, jom makan dulu." Ujar Anisa sambil mengangkat kedua telapak tangannya lalu membacakan doa makan.
"Banyak ke hasil dari kebun bapa Fatihah tu?" Yati yang sudah habis makan terus bangkit dari kerusi lalu menuju ke arah singki untuk mencuci pinggan kotornya.
"Boleh tahan banyak mak. Tak menang tangan Nisa, Teha dengan pakcik Dani kutip buah durian kat dalam semak tadi. Banyak sangat sampai penuh dua guni." Balasnya sambil mengunyah makanan yang masih tersisa dalam mulut.
"Iya? syukur alhamdullilah. Rezeki Allah." Pinggan yang sudah bersih dibilas itu disusun di atas rak pinggan.
"Ya, mak. Kat belakang tu, ada buah-buahan yang pakcik Dani kirim untuk kita. Ada durian, langsat, manggis dengan rambutan. Buah duku tak masak lagi, kalau dah masak nanti, Teha kata dia hantar ke rumah." Jelas Anisa sambil melirik sekilas ke arah Raihana yang bermuram durja sejak tadi.
"Adik...adik okay ke? Muram je akak tengok. Adik ada masalah?" Soalnya, prihatin. Raihana sahajalah satu-satunya adik yang dia ada. Dan demi kebahagiaannya, dia sanggup mengorbankan apa jua.
"Merajuklah tu. Tadi mak paksa dia masak. Tu nasi goreng yang kamu makan tu, hasil air tangan dialah. Boleh pun masak. Saja malas nak masuk dapur. Beralasan. Panas katanya. Kat neraka lagi panas kalau ingkar cakap orang tua lagi-lagi mak sendiri." Yati sambung leterannya. Pedas sindiran yang dilontarkan kepada Raihana. Biar sedar diri sikit.
"Ya Allah, mak! Apa cakap macam tu. Tak baik tau. Sian Hana. Dia kan baru balik dari KL. Biarlah dia rehat." Anisa cuba meredakan keadaan. Wajah Raihana yang sudah kemerahan membuatkan Anisa menelan air liur. Bimbang kata-kata ibunya akan mengguris hati si adik.
"Mak tak payahlah nak kutuk adik sangat. Adik pun tak hingin nak duduk sini lama-lama! Rumah buruk macam ni, layak jadi reban ayam je! Eh, tak kuasalah Hana dengan kampung macam ni! Tak sabar rasanya nak kerja dekat KL. Kat sini semua benda dikongkongnya." Pinggan kaca yang masih terisi nasi goreng itu dihempas kuat di atas meja sebelum dia berlalu masuk ke dalam biliknya.
"Hana! Mak belum habis cakap lagi dengan kamu! Kenapa biadap sangat ni? Siapa ajar?!" Yati yang mahu mengejar langkah Raihana segera dihalang oleh Anisa. Lengan ibunya pantas ditahan sambil digelengkan kepala.
"Jangan mak. Biar dia tenangkan diri dulu. Hana tertekan tu. Mak sabar ya..." Pujuknya sambil mengusap lembut belakang Yati.
******
"Mak, nah." Dihulur beberapa kepingan not RM10 dan RM5 kepada Yati yang sedang melipat baju di dalam bilik. Wajah Yati yang terpinga-pinga membuatkan Anisa segera menarik tangan ibunya sebelum meletakkan gulungan duit tersebut ke dalam genggaman Yati.
"Eh, apa ni?" Yati cuba menolak duit itu tetapi ditegah oleh Anisa.
"Mak, ni upah Nisa kutip buah dekat kebun pakcik Dani tadi. Mak simpanlah. Buat belanja bulan ni. Kalau tak cukup nanti, Nisa topup balik lepas dapat gaji kat warung." Jelasnya sambil mengukir senyuman tipis.
"Ya Allah, Nisa. Duit yang kamu bagi pada mak bulan lepas tu pun, tak habis mak guna. Ni kamu bagi lagi. Nah, kamu ambil balik duit ni. Kamu simpan. Kamu tu dah 25, sepatutnya dah kahwin pun sekarang ni. Tapi sebabkan mak dengan Hana, Nisa terpaksa..." Anisa terus mencelah sebelum Yati meneruskan katanya.
"Mak, Nisa ikhlas. Mak dengan adik, keluarga Nisa. Kalau bukan Nisa yang tolong, siapa lagi? Mak jangan fikir yang bukan-bukan ya...pasal kahwin tu semua, bila dah sampai waktunya, Nisa akan kahwin. Mak janganlah risau." Kedua belah tangan ibunya digenggam erat.
"Nisa, maafkan mak...Sebab nak bagi hidup selesa dekat Hana, mak sampai abaikan keperluan kamu selama ni. Sampai pelajaran kamu pun, mak tak mampu nak tanggung."
"Mak, Anisa tak pernah langsung fikir macam tu. Anisa tak kisah pun. Lagipun Raihana tu kan adik Nisa." Anisa menepuk lembut belakang Hayati. Selama ini, tidak pernah walau sekalipun, dia mengungkit segala pergorbanannya demi keluarga. Dia sayangkan Yati dan Raihana lebih daripada dirinya sendiri.
Saya repub balik...nanti akan ada penambahan ayat/pembuangan ayat yg tidak perlu...dan mungkin juga akan ada penambahan chapter...happy reading kpd yg baru baca :)
Share this novel