"Tengku nak saya pusing ke belakang gerai burger tu ke? Dari sana lagi jelas kalau Tengku nak stalk Cik Anisa." Soal Kamil, pemandu Yazid. Yazid menggelengkan kepalanya. Perbuatan mereka tidak boleh diketahui Anisa.
Tempoh hari, Zida ada memberitahunya bahawa bekas suami Anisa sering berkunjung ke gerai wanita itu. Serta merta hati Yazid menjadi tidak tenang.
Dia yakin, Naufal pasti sedang merancang sesuatu untuk mendapatkan Anisa kembali. Dan dia tidak akan membenarkannya berlaku. Untuk itu, dia sanggup meninggalkan tugas di pejabat, semata-mata untuk mengintip keadaan di gerai Anisa.
Dari jauh, kelihatan Anisa sedang bersusah payah mengangkat bungkusan ais untuk diisi ke dalam balang air. Terus terdetik dalam hatinya untuk menghulurkan bantuan kepada wanita itu. Namun, belum sempat Yazid membuka pintu kereta, Kamil melarang.
"Eh, jangan bos! Bahaya. Nanti Cik Anisa tahu yang kita ni tengah intip dia. Saya taknak kena hempuk dengan kuali..." Yazid terpaksa melupakan hasratnya. Dia terus melonggarkan ikatan tali lehernya sebelum menghalakan pandangan ke arah Anisa.
"I think, this is the time. Harap dia tak halau aku lagi." Naufal sudah lama menunggu peluang seperti ini. Dia akan menggunakan kesempatan yang ada untuk mendekati Anisa dan memujuk wanita itu untuk kembali padanya semula.
Sejak tengah hari, dia bersembunyi di sebalik surau berdekatan gerai bekas isterinya. Dia memerhati dari jauh, Anisa yang sedang sibuk mengacau air dalam balang. Dahi wanita itu berkerut. Pasti kepenatan kerana mengangkat bungkusan ais sebentar tadi.
Cuaca pada hari itu juga sedikit panas. Rata-rata peniaga terpaksa menutup gerai mereka lebih awal berbanding biasa. Tinggal beberapa buah gerai sahaja lagi yang masih beroperasi termasuklah gerai bekas isterinya.
Jambangan bunga mawar yang hampir layu kerana cuaca panas itu dibawa ke hidung lalu dihidu. Bimbang harumannya hilang kerana terlalu lama berada di bawah cuaca yang panas.
Naufal menarik nafas lega saat haruman daripada bunga itu menusuk rongga hidungnya. Nasib baik masih wangi. Selepas betul-betul bersedia, Naufal keluar dari kawasan surau lalu menuju ke arah gerai Anisa bersama jambangan bunganya.
"Eh, bos! Tu macam..." Kamil menjuihkan bibirnya ke arah Naufal yang sedang menuju ke gerai Anisa.
Kaca mata hitam terus ditanggal lalu dicampakkan ke bawah. Yazid mula tidak senang duduk melihat kehadiran Naufal di sana. Apa yang dia nak lagi? Jambangan mawar dalam genggaman Naufal turut diperhati. Hatinya mula geram. Memang nak kena mamat ni!
"Kamil, start enjin. Pergi ke belakang pokok tu. Cepat." Arah Yazid. Kamil mengangguk faham sebelum menghidupkan enjin kereta sebelum bergerak ke arah sebuah pokok di tepi jalan.
Naufal menghampiri gerai Anisa sambil tersenyum penuh makna.
PINGGGG!!!
"Hoi!" Pekik Naufal. Jambangan bunga mawar terus terlepas dari genggamannya lalu terpelanting ke atas jalan. Habis berderai kelopak bunga-bunga mawar itu di atas jalan. Naufal mengetap rahangnya dengan geram sebelum menoleh ke arah pemandu yang hampir melanggarnya tadi.
"Hoi...hoi... Lain kali nak melintas tu, tengok kiri kanan, bukan main masuk je macam jalan bapak kau!" Bentak Yazid. Naufal segera menghampiri kereta Yazid sebelum menendang kuat tayar hadapannya.
"Apa masalah kau hah?! Kau memang sengaja nak cari pasal dengan aku kan? Keluar! Kau keluar sekarang!" Tengking Naufal tiba-tiba. Beberapa orang peniaga memandang ke arah mereka sambil berbisik.
Yazid buat-buat tidak tahu. Dia sudah terbiasa dengan situasi itu. Bukannya tidak pernah lalui sebelum ini. Lantas Yazid memberikan isyarat mata kepada Kamil untuk beredar dari situ sebelum diketahui oleh Anisa.
Kamil mengangguk faham sebelum memecut meninggalkan kawasan itu. Naufal hanya mampu memandang kereta Yazid meluncur pergi dengan ekor mata. Rasa bengangnya masih tersisa.
Dia berpusing semula melihat jambangan bunganya yang sudah rosak. Perlahan-lahan dia menunduk lalu mengutip satu-persatu kelopak bunga mawar yang gugur di atas jalan raya sebelum beredar dari sana. Mana mungkin dia menemui Anisa dalam keadaan seperti ini.
Sepanjang perjalanan Kamil tidak membuka mulut. Begitu juga dengan Yazid. Mereka dalam perjalanan ke pejabat. Ada urusan yang perlu diselesaikan. Hati Yazid juga jauh lebih tenang berbanding tadi. Dia yakin, pasti Naufal sudah beredar dari tapak perniagaan Anisa. Dia tersenyum lega.
"Tuan suka Puan Anisa ke?" Soal Kamil tiba-tiba. Air muka Yazid terus berubah. Terkedu apabila Kamil mengajukan soalan seperti itu kepadanya. Sejujurnya, dia tidak mempunyai jawapan yang tepat.
"Rasanya, tak." Yazid menjawabnya dengan tenang. Kamil tersenyum nipis mendengarnya.
"Tuan nak terus ke pejabat atau ke restoran untuk lunch dulu?" Yazid lantas menggelengkan kepala.
"Hah, baru tahu jalan pulang ke rumah? Dari semalam tak nampak batang hidung. Awak pergi mana?" Naufal meluru masuk ke dalam biliknya sebelum menghempas kuat pintu bilik berkenaan.
"Mesti pergi cari janda awak tu kan?! Apa special sangat dia tu sampai awak tergilakan dia? Apa saya ni tak cukup cantik ke pada mata awak?!" Pintu bilik diketuk bertalu-talu. Dia tahu bahawa suaminya sedang mencari Anisa.
"Bukak pintu ni Naufal! Bukak!" Bentaknya sambil menendang permukaan pintu dengan geram. Sakit hatinya belum reda sejak semalam. Lelaki itu tidak pulang semalaman. Panggilannya tidak dijawab. Mesejnya tidak dibalas. Dia diabaikan begitu sahaja.
"Tengah fikirkan apa tu..." Zida melabuhkan punggung di sebelah Anisa. Secawan kopi dihidangkan di atas meja.
"Takde apa. Saja ambil angin." Ujarnya sebelum menyisip sedikit air kopi yang masih panas itu.
"Betul? Kenapa mak cik tengok, kamu macam ada masalah je?" Soal Zida lagi.
"Betul. Nisa okay. Cuma..." Kata-katanya terhenti. Dia terus memusingkan tubuhnya lalu menghadap Zida.
"Makcik...sebenarnya tadi, bekas suami Nisa ada datang ke gerai. Tapi, waktu tu, Encik Yazid pun ada dekat sana." Terbuntang kedua biji mata Zida mendengarnya.
"Lepas tu, jadi apa? Diaorang bertumbuk ke?" Zida menjadi panik tiba-tiba.
"Diaorang bertengkar. Lepas beberapa minit macam tu, Naufal terus balik. Dia takde singgah ke gerai Anisa." Jelasnya sambil mengenggam erat jemari Zida.
"Oh..." Zida menarik nafas lega. Anisa mengangguk, mengiyakan penjelasannya tadi.
"Erm, makcik. Maaf, Nisa nak tanya sikit. Berapa umur Encik Yazid ya?" Zida tersenyum geli hati mendengar soalan itu.
"Kenapa? Dia nampak tua sangat ke?" Selorohnya.
"Eh, bukan! Saja, nak tahu."
"Dah masuk 30 lebih."
"Oh...jadi kenapa Encik Yazid belum berkahwin lagi?"
"Entahlah. Makcik pun tak tahu. Mungkin, dia tak suka pada perempuan."
"Betul ke ni makcik?!" Anisa terlopong sejenak.
"Makcik gurau ajelah. Encik Yazid kamu tu masih normal." Zida terkekek melihat reaksi Anisa. Wanita itu terlalu naif sehingga mempercayakan kata-katanya.
"Terkejut Nisa tadi..."
"Belum ada jodoh. Dia baik orangnya. Cuma, kasar sikit. Masa dia kecil, makcik yang jaga dia." Anisa memanggut beberapa kali.
"Oh. Maknanya makcik dah lama lah ya, kerja dengan Encik Yazid?"
"Lamalah juga. Dekat 20 tahun."
"Mana ibu dengan ayah Encik Yazid?"
"Diaorang dah lama berpisah. Waktu tu, Yazid masih kecil. Ayah Yazid, halau mak dia. Lepas beberapa tahun tinggal sebatang kara, mak Yazid pun meninggal dunia." Zida menjadi sebak mengenangkan kisah lama itu.
"Ya Allah..."
"Sejak tu, Yazid, tak rapat dengan ayah dia. Bercakap pun, macam dengan musuh." Anisa terdiam. Jadi, lelaki yang dihalau oleh Yazid tempoh hari itu, ialah ayahnya?
Share this novel