Hari yang semakin mendung membimbangkan Anisa. Dia memandang sepi lebihan kuih-muih yang belum habis terjual dengan kecewa.
Kalau saja cuaca pada hari itu sedikit baik, pasti sudah lama hasil jualannya habis terjual seawal jam 2 petang lagi. Namun, disebabkan hujan lebat yang turun tanpa henti sejak malam semalam, hampir kebanyakan peniaga di situ mengalami kerugian berlipat ganda.
Anisa dikira masih beruntung kerana ada beberapa pelanggan yang masih membeli kuih muih dan beberapa jenis makanan yang lain dari gerainya. Jika dibandingkan dengan peniaga lain, ada yang tidak terjual langsung jualan mereka.
Dia mendongakkan kepala, melihat keadaan langit yang beransur gelap. Cepat-cepat dia mengangkat beberapa buah batu bata dari luar gerainya, lalu meletakkan setiap satunya di atas meja dan penjuru khemah sebagai pemberat. Khuatir jika hujan semakin lebat dan muncul pula angin kencang, meja-meja serta khemahnya akan rosak atau bergerak ke tempat lain.
Dari jauh, Naufal memerhati gelagat Anisa yang sedang meletakkan batu bata di penjuru khemah gerainya. Tiba-tiba, angin menjadi semakin kuat sehingga beberapa khemah di situ bergerak ke jalan raya. Anisa buru-buru menutup bekas makanan sebelum menyusun bekas-bekas itu di satu sudut yang selamat.
Namun, ada beberapa lagi dulang berisi lauk di atas meja yang sama. Dia hanya mampu memandang sepi kala tidak memiliki tenaga kerja untuk membantunya pada detik-detik seperti ini. Dulang-dulang itu terlalu berat, dan mustahil Anisa dapat mengangkatnya seorang diri.
Dia berdecit kecewa sambil bercekak pinggang. Tiba-tiba, peniaga-peniaga di situ dikejutkan dengan laungan seorang lelaki, yang turut mencari rezeki di situ.
"Angin kuat! Angin kuat! Jaga barang masing-masing!" Lelaki yang menjual ais krim potong itu mengenggam kuat payung gerainya supaya tidak terbang dibawa angin. Peniaga-peniaga lain mula kalut meletakkan pemberat pada khemah dan ada yang cepat-cepat menutup periuk serta dulang makanan mereka.
Anisa menjadi tidak senang duduk. Dia perlu menahan meja-meja itu supaya tidak tumbang. Boleh rosak lauk-pauknya nanti. Matanya mula berkaca-kaca. Rasa terlalu penat kerana terpaksa menguruskan semuanya seorang diri.
Sedang dia berjuang sendirian, muncul tangan lain yang mengenggam kuat bucu salah sebuah meja di situ. Lantas, Anisa menoleh ke sebelah. Dia terkedu melihat kehadiran Naufal. Lelaki itu tersenyum nipis sebelum mengenyitkan mata pada Anisa. Wanita itu cepat-cepat melarikan pandangan. Apa dia buat di sini?
"Saya boleh uruskan. Awak baliklah dulu." Kata Anisa dengan dingin. Beberapa orang peniaga memandang ke arah mereka berdua. Naufal tidak berganjak, sebaliknya melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Dia mahu meluangkan masa bersama bekas isterinya.
"Abang nak tolong je. Tengok tu, peniaga lain semua ada pembantu, kecuali Nisa." Ujarnya dengan lembut. Sempat dia mencuci mata penampilan Anisa. Jandanya makin hari, makin lawa.
"Saya boleh buat sendiri. Awak baliklah. Saya okay." Dia tertunduk apabila ada mata-mata yang terhala pada mereka berdua. Pasti ada yang menyindirnya nanti. Sebelum ini, beberapa orang peniaga di situ, tidak suka terhadap Anisa kerana statusnya. Mereka hampir menghalau Anisa dari terus berniaga di tapak itu, namun, dengan izin tuhan, dia berjaya mengekalkan perniagaannya sehingga ke hari ini.
Dia berasa tidak selesa apabila terus diperhati oleh Naufal. Lantas, Anisa mencapai beberapa helai plastik kosong sebelum bergerak ke belakang gerai.
"Abang ada benda nak cakap dengan Nisa." Naufal menelan air liur apabila Anisa menjelingnya dengan tajam.
"Saya takde masa sekarang." Penutup dulang yang berisi kuih muih itu diangkat lalu diletakkan di tepi. Anisa terus memasukkan lebihan kuih muih itu ke dalam plastik. Baik aku sedekahkan aje lebihan ni pada sesiapa.
Lebih baik dia pulang sahaja. Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu ditambah pula dengan kehadiran bekas suaminya, membuatkan Anisa hilang mood untuk terus berniaga.
"Nah, tak perlu bayar. Saya sedekah." Salah sebuah plastik yang berisi kuih muih diserahkan kepada Naufal. Selebihnya nanti, dia akan membawa pulang dan mengagihkan kepada jiran.
"Eh, Nisa nak tutup gerai dah?" Soal Naufal dengan hairan. Masih terlalu awal jika Anisa ingin pulang. Anisa membalasnya dengan anggukan. Dia memasukkan plastik-plastik serta dulang ke dala. bonet keretanya.
"Nisa. Boleh kita bercakap sebentar. Abang janji, tak lama. Please..." Rayu Naufal tiba-tiba. Anisa mula menjadi serba salah untuk menolak permintaan lelaki itu. Dia berfikir sebentar sebelum bersetuju.
"Minumlah. Kenapa tak minum? Dulu masa mengandung, Nisa suka sangat minum air ni. Sampai paksa abang tengah-tengah malam, pergi belikan air ni untuk Nisa." Anisa tersenyum hambar sebelum memandang kosong bekas minuman dalam genggamannya. Mereka berada di tepi pantai.
Tidak semena-mena, jantung Anisa berdegup kencang kala Naufal menatapnya tanpa berkalih. Bekas minumannya dibawa ke riba lalu direhatkan di situ. Dia menggigit bibir bawah.
"Awak kata nak cakap sesuatu. Apa dia?" Soalnya tidak sabar. Pandangan Naufal terlalu menakutkan sehingga Anisa mahu cepat-cepat pulang.
"Abang nak rujuk balik dengan Nisa." Tiada reaksi pada wajah Anisa. Naufal terdiam.
"Kenapa tiba-tiba?" Pertanyaan Anisa memecahkan hening antara mereka.
"Abang nak hidup semula dengan isteri abang." Suaranya bergetar.
"Hana?" Naufal terus mengunci mulut. Menyusun diksi sebelum menceritakan hal sebenar kepada wanita itu.
"Abang dah ceraikan Hana." Lantas, Anisa menoleh ke arah Naufal dengan pandangan tidak percaya.
"Astaghfirullah al azim. Kenapa awak ceraikan Hana? Apa yang dah berlaku?" Matanya mula berkaca.
Anisa benar-benar terkejut. Selama ini, dia beranggapan bahawa adiknya sedang bahagia bersama Naufal. Ketika itu, Naufal menghulurkan sesuatu pada Anisa.
"Argh, apa ni?!" Dia terus menepis tangkal itu sehingga tercampak ke atas pasir.
"Raihana letak benda tu di bawah katil kita. Tangkal tu, untuk memisahkan kita berdua. Sebabkan sihir tu jugalah, abang benci pada Anisa." Jelasnya. Anisa terkedu mendengar kebenaran itu.
"Bagi abang peluang. Abang nak mulakan hidup baru dengan Nisa. Abang nak tebus kesilapan abang." Naufal menghulurkan tangannya ke arah Anisa. Wanita itu hanya mampu memandang sepi hulurannya.
"Nisa?" Anisa terus tertunduk.
"Maafkan saya. Saya dah terima pinangan orang lain." Jantung Naufal seakan direntap kuat.
"Si...siapa orang tu?" Soalnya tidak puas hati.
"Majikan saya." Ujarnya sebelum bingkas berdiri. Naufal turut bangun sebelum menghalang laluan Anisa.
"Anisa tipu kan? Kalau betul, siapa nama orang tu?" Nadanya naik seoktaf.
"Encik Yazid?" Naufal berpusing ke belakang saat Anisa berlari ke tempat parkir kereta.
"Kau..." Naufal mencerlung tajam wajah tenang Yazid. Buku lima dikepal erat.
"Saya minta diri dulu. Assalammualaikum." Anisa terus masuk ke dalam keretanya sebelum beredar dari situ.
"Jadi, ini rancangan kau? Rampas isteri..."
"Bekas isteri." Potong Yazid. Naufal meraup kasar rambutnya.
"Jangan ganggu dia lagi." Ujar Yazid sebelum meninggalkan kawasan itu.
"Biar betul? Janda ke yang nak kahwin dengan bos kita tu? Ingatkan taste bos kita tu tinggi. Tapi, bekas orang jugak yang dia cari. Apa dah takde anak dara lain ke dekat dunia ni?" Langkah Anisa mati saat terdengar sindiran sinis daripada beberapa orang staf di syarikat Yazid. Kepalanya lantas tertunduk malu. Matanya dipejam, nafas naik turun. Bibirnya bergetar.
Tadi, dia berura-ura mahu menghantarkan bekal kepada Yazid. Namun, semangatnya itu terus merudum kerana kata-kata itu. Dia terus memesongkan langkahnya ke arah seorang wanita yang sedang sibuk menaip sesuatu pada komputer ribanya. Beg kertas berisi bekal itu terus diletakkam di atas meja staf itu sebelum Anisa beredar dari situ.
Sejurus selepas keluar dari perkarangan syarikat Yazid, Anisa segera mengatur langkah ke sebuah stesen bas tidak jauh dari kedudukannya sambil menyeka air mata yang mencurah membasahi pipi mulusnya. Pandangan orang awam tidak diendahkan kerana waktu itu, dia benar-benar perlu meluahkan kesakitan yang sekian lama bertapak dalam hati. Bukan sekali dua dia dicemuh kerana statusnya, namun berkali-kali sehingga dia mula hilang sabar.
Anisa menatap sepi telefon bimbitnya yang sedang berdering. Terpapar nama Yazid yang menghubunginya berkali-kali. Mesej yang dihantar oleh lelaki itu juga hanya dibaca sekilas lalu tanpa dijawab. Dia mahu bersendirian seketika.
Matanya turun pada cincin bertakhta mutiara pada jari manisnya. Saat itu, air matanya mengalir lagi. Adakah dia mengambil keputusan yang salah? Dia menyoal dirinya.
Beberapa minggu yang lepas, Anisa menerima pinangan Yazid kerana berasa terhutang budi dengan lelaki itu. Bukan dia tidak pernah menolak atau lupa tentang statusnya, namun kerana desakan Yazid dan Zida, dia terima juga pada akhirnya. Sejujurnya, Anisa betul-betul rasa tidak layak untuk berdamping dengan seorang lelaki seperti Yazid. Dia bukan sesiapa, hanyalah seorang janda tanpa pendidikan. Dia orang miskin, sementara Yazid pula pemilik syarikat gergasi yang berjaya.
"Tapi, saya ni janda, Encik Yazid. Saya tak nak orang pandang remeh pada kita nanti." Ujar Anisa sambil meramas jari jemarinya. Dia langsung tidak mengangkat wajah, sebaliknya tertunduk menekur lantai.
"Who cares about your identity Anisa? Apa yang penting sekarang ni adalah kita. Saya dan awak yang bakal tempuh semuanya nanti, and not anyone else. Pasal status lama awak, I don't care at all. Apa janda-janda dekat dunia ni tak layak ke untuk hidup bahagia? Berkahwin semula? Rasa dicintai? Rasa dihargai?" Anisa terdiam seribu bahasa. Dia mati akal. Apa lagi alasan yang boleh dia cipta, supaya lelaki itu berubah fikiran? Akhirnya, dia terpaksa bersetuju dengan pinangan itu.
Lamunannya terhenti apabila telefon bimbitnya berdering. Anisa mengeluh sekilas sambil melihat skrin peranti itu. Naufal? Sejak pertemuan mereka di pantai tempoh hari, bekas suaminya tidak lepas dari menghubungi Anisa. Naik muak jadinya apabila terus diganggu oleh lelaki itu. Namun, hatinya terdetik untuk menjawab panggilan itu. Tanpa berfikir lama, Anisa terus melekapkan telefon bimbitnya pada telinga.
"Anisa, jangan buat abang macam ni, sayang. Give me an another chance, please. Tolong terima abang. Abang janji, takkan ulang kesilapan yang sama. Jangan...jangan buang abang. I really need you." Rayunya sambil teresak. Hati kecil Anisa terusik mendengar tangisan lelaki itu. Dia menggigit bibir bawahnya sebelum memutuskan panggilan. Dia seakan terperangkap antara dua lelaki itu.
Patutkah aku terima Naufal semula? Dan tolak pinangan Encik Yazid? Tapi, bagaimana dia mahu berhadapan dengan Yazid nanti? Dia juga berasa kasihan pada lelaki itu. Masakan dia mahu mempermainkan perasaan orang yang pernah membantunya di saat dia jatuh tersungkur.
Apa yang patut aku buat Ya Allah. Mampukah Encik Yazid menyayangi aku setelah kami menikah nanti? Lagi-lagi dengan status aku, sebagai seorang janda, sanggupkah dia menahan cemuhan dan sindiran orang luar nanti? Fikirnya.
SELEPAS 2 MINGGU.
"Saya terima." Lelaki itu terangguk ceria. Mulutnya tidak henti dari mengucapkan rasa syukur. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman. Namun, sebaliknya bagi Anisa. Dia serba salah kerana terpaksa menyakiti Yazid.
"Terima kasih sebab sudi terima abang semula, sayang." Anisa hanya membalasnya dengan senyuman hambar. Entah mengapa, dia tidak berasa gembira langsung dengan keputusan ini. Bolehkah dia hidup bahagia semula bersama Naufal?
Share this novel