Bab 2: Perkahwinan

Romance Series 47385

Mata Yati tidak lepas dari memerhatikan gelagat anak sulungnya sejak tadi. Pinggan yang telah siap dicuci itu diletakkan di atas rak pinggan lalu dengan perlahan dia menghampiri kedudukan Anisa yang sedang mengelamun. Bawang di atas papan pemotong tidak terusik walau seinci pun.

Gadis itu malah leka memikirkan sesuatu sehingga tidak menyedari kehadiran ibunya di situ. Yati mengulum senyuman tipis. Sepertinya, ada sesuatu yang sedang dipendam oleh anak sulung kesayangannya ini.

Kerusi meja makan bertentangan Anisa ditarik lalu dilabuhkan punggungnya. "Jauh termenung anak mak ni...Fikirkan apa?" Sebiji rambutan dari atas meja diambil lalu dikupas kulitnya sebelum isi putih jernih itu dimasukkan ke dalam mulut. Dalam menunggu jawapan daripada Anisa, sempat dia memuji kemanisan buah yang sedang dikunyahnya itu.

"Sedap ke mak?" Anisa yang baru menyedari kehadiran ibunya mula menghiris bawang tadi tanpa memandang ke arah Yati. Tertangkap mengelamun oleh mak sendiri, ialah satu perkara yang memalukan. Topik asal sengaja diubah supaya ibunya tidak bertanya lanjut.

"Kamu belum jawab soalan mak lagi. Kamu termenungkan apa? Sampai bawang kat tangan kamu tu pun, dah nak tumbuh akar. Sejak dua menjak ni, mak tengok anak mak ni, lain sangat. Nisa ada sorok apa-apa ke daripada pengetahuan mak?" Biji rambutan dibuang ke dalam bakul sampah di bawah meja, sementara isinya masih dikunyah lembut oleh Yati.

"Mana ada apa-apa mak. Nisa macam biasa je ni." Bohongnya. Aduh, gawat! Janganlah mak siasat lagi.

"Anisa, bukan sehari dua mak tengok kamu, dah 25 tahun ya. Luar dalam kamu mak tahu semuanya. Tak payah nak berahsia sangat dengan mak. Siapa orang tu?" Bukannya dia tidak nampak beberapa minggu yang lalu, Anisa pulang ke rumah menaiki sebuah kereta mewah.

Namun, dia tidak menyoal hal itu kerana pada keesokan harinya, Anisa sudah menjelaskan bahawa motosikalnya rosak di hadapan kedai Hamid, dan ada orang yang baik hati sudi menghantarnya pulang pada malam itu.

"Mak...mak jangan marah Nisa ya. Sebenarnya, Nisa...Nisa tengah berkawan dengan seorang lelaki ni. Mak ingat tak, kan hari tu Nisa ada cakap yang motor Anisa rosak dekat depan warung pakcik Hamid? Orang inilah yang tolong hantarkan Nisa." Terangnya sambil menelan air liur. Risau Yati akan mengamuk atau memarahinya kerana berkawan dengan lelaki tanpa pengetahuan.

"Ya, tahu. Mak pun ada nampak masa Nisa turun dari kereta orang tu. Kamu berdua dah berkawan berapa lama?" Bukannya apa, tak salah mahu berkawan, tetapi biarlah dengan orang yang boleh dipercayai."

"Dah dekat sebulan jugak mak. Dia ada cakap hari tu, nak kahwin dengan Nisa, cuma..." Tidak sanggup menyambung ayat seterusnya.

"Cuma kamu tak sampai hati nak tinggalkan mak sorang-sorang dekat sini? Macam tu?" Tebak Yati. Dia boleh mengagak alasan Anisa sering menolak permintaan untuk berkahwin selama ini. Tak lain tak bukan kerana dirinya dan Raihana. Anak sulungnya terlalu merisaukan keadaan mereka berdua sehingga sanggup mengorbankan masa depannya.

Anisa mengangguk lemah. Dia sedar sekiranya dia berkahwin dengan Naufal, pasti dia perlu berpindah ke Kuala Lumpur kerana lelaki itu menetap di sana. Mana mampu Anisa tergamak meninggalkan ibunya yang sudah tua keseorangan di sini. Adiknya, Raihana pula sudah ke Kuala Lumpur, untuk bekerja.

"Nisa, kamu tak perlu nak risaukan pasal mak ni. Tahulah mak jaga diri kat sini nanti. Tu, makcik Milah kamu ada, boleh tolong mak kalau ada apa-apa. Mak tak mahu hidup kamu musnah disebabkan mak. Mak nak tengok anak-anak mak ni bahagia."

"Mak, Nisa...Nisa tak boleh mak. Adik macam mana? Kalau Nisa takde, siapa yang nak bagi dia duit belanja?" Ya, dia tidak sanggup melihat adiknya kebuluran di sana kerana kekangan wang.

"Astaghfirullah, budak ni! Nisa, adik kamu tu dah kerja. Ada gajinya. Pandai-pandailah dia hidup. Lagipun dia dah besar panjang. Sampai bila kamu nak fikirkan dia, diri kamu tu, ada kamu fikir?!"

*******

Selesai sudah majlis pernikahan antara Anisa dan Naufal di kampung halaman. Dan atas permintaan Anisa juga, majlis mereka diadakan secara kecil-kecilan dan sederhana tetapi masih mengikut adat. Rata-rata tetamu yang hadir adalah penduduk dari kampung itu sendiri.

Anisa tidak mempunyai saudara mara. Yang ada pun, adik lelaki ibunya sahaja yang sudah lama berhijrah ke Singapura bersama keluarga. Sudah hampir 30 tahun, dia tidak pulang ke sini. Entah masih hidup ataupun tidak pakcik saudaranya itu.

Dari pihak Naufal pula, teman-teman rapat serta bapanya, Amran Khairudin yang hadir. Ibu Naufal, Husna pula, tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan. Begitulah menurut Naufal. Betul atau tidak, Anisa tidak pasti. Raihana juga tidak hadir dengan alasan sibuk bekerja dan tidak boleh mengambil cuti.

"Kenapa murung je ni sayang?" Nauful yang baru sahaja membersihkan diri menghampiri tubuh Anisa yang tersandar pada dinding.

Malam ini mereka akan tidur beralaskan tilam lama Anisa. Namun, Naufal tidak kisah asalkan dia dapat kahwin dengan Anisa, cinta hatinya. Tidak disangka, pertemuan yang singkat itu berjaya memupuk bibit-bibit cinta dalam diri mereka berdua sehingga membawa ke jinjang pelamin.

"Takde apa. Nisa cuma terkilan je sebab Hana tak datang majlis kita tadi. Dah sebulan dia duduk dekat sana, tak balik pun jenguk mak dengan Nisa dekat sini. Nisa rindu Hana." Naufal terus menarik tubuh Anisa ke dalam dakapannya. Kepala isterinya diusap lembut.

"Hana busy kot. Yelah, kan baru sebulan kerja di sana. Mesti susah dapat cuti. Nisa janganlah fikir yang bukan-bukan. Abang percaya, Hana pun mesti rindu dekat Nisa dengan mak. Dah jangan sedih-sedih ya...Malam ni kan malam perkahwinan kita." Jarinya menyeka lembut butir-butir air mata yang melekat pada pipi mulus isterinya.

Naufal mengambil kesempatan itu untuk menatap wajah yang sudah membuat dirinya tidak keruan sejak kali pertama mereka bertentang mata. Lama pandangan mereka bertaut sebelum Naufal menghampiri bibir Anisa dan melabuhkan sebuah kucupan halus pada bibir mungil itu.

********

"Nisa, panggil suami kamu turun. Mak dah siapkan nasi goreng dengan ayam goreng ni. Ada sambal ikan bilis lagi." Pesan Yati sebelum melabuhkan punggung di meja makan. Seusai solat subuh, dia sudah terpacak di dapur demi menyiapkan sarapan pagi yang kira agak mewah untuk anak menantunya.

Yati yakin, Naufal bukan calang-calang orangnya. Lihat gaya bapanya, Amran sahaja, Yati dapat mengagak keturunan dan pengaruh lelaki itu di luar sana.

Jenama kereta yang digunakannya sahaja sudah cukup membuatkan Yati malah seluruh orang kampung di sini mengesan bahawa Naufal memang orang berada. Jauh beza dengan keluarga mereka, yang masih menetap di rumah usang peninggalan arwah bapa mertuanya sekitar 50 tahun yang lalu.

Yati sedikit tersentuh dengan keperibadian menantunya. Lelaki itu jelas menyayangi Anisa dan menerima segala kekurangan mereka dengan ikhlas. Malah, sanggup bermalam di sini walaupun Yati sudah berkali berpesan kepada Anisa untuk membawa suaminya bermalam di hotel.

Keadaan rumah yang serba kekurangan membuatkan Yati risau tentang keselesaan Naufal. Namun, lelaki itu seakan mampu hidup di sini. Buktinya, awal pagi tadi, menantunya sanggup mandi air kolah yang sejuk tanpa merungut.

"Abang, jom sarapan." Lembut Anisa mengujarkan kata kepada Naufal yang baru sahaja menapak ke arah dapur. Peristiwa pada malam lalu membuatkan dia sedikit kekok untuk menentang tatapan Naufal. Malu dan segan menguasai dirinya pada saat itu.

"Kejap..." Langkah diatur ke meja makan bersama Anisa. Rangkulan pada pinggang isterinya dilepaskan setelah mereka sampai di meja makan.

"Duduklah Naufal, makan sarapan. Maaflah kalau ada kekurangan ya." Naufal tersenyum tipis sambil mengangguk.

"Takpelah mak. Ini pun dah kira cukup untuk saya. Wangi bau ayam goreng ni." Ayam goreng dari dalam mangkuk kaca diambil lalu diletakkan di atas piring Anisa dan diikuti pula ke atas piringnya.

"Bila Naufal nak balik ke Kuala Lumpur?" Soal Yati sambil mengunyah makanan.

"Oh, esok mak. Tapi Naufal cuti sampai hujung minggu ni. Naufal ingat nak bawak Anisa jalan-jalan dulu." Katanya sambil melirik ke arah Anisa sebelum masing-masing berbalas senyuman.

"Eloklah kalau macam tu. Dapatlah jugak Nisa ni merasa pergi jalan-jalan. Sebelum ni, dia sibuk dengan kerja sampai takde masa untuk diri sendiri. Tengoklah dalam almari dia, ada berapa helai je pakaian. Barang mekap pun dia tak beli langsung." Omel Yati. Dia kasihan melihat anak sulungnya yang sudah banyak berkorban demi keluarga. Sebagai ibu, Yati mendoakan agar jodoh antara anak menantunya kekal sehingga ke akhir hayat. Biarlah Anisa bahagia di sisi Naufal.

"Perkara tulah yang buat Naufal tersuka pada Nisa mak. Dia seorang yang sederhana dan rendah diri. Nisa tak pakai mekap pun, masih lawa dekat mata saya." Puji Naufal sebelum menoleh ke arah Anisa yang sudah menunduk malu.

Ya Allah, panjangkanlah jodoh antara anak menantu aku. Dan semoga ikatan perkahwinan mereka, kekal sampai bila-bila. Lindungilah Anisa semasa dia jauh daripada aku, Ya Allah. Hanya Kau tempat aku memohon. Doa Yati dalam hati.

Tiba-tiba sahaja dia berasa sebak kerana buat pertama kali, Anisa bakal berpisah daripadanya. Namun, kerana adanya Naufal di sisi Anisa, Yati berasa lega dan yakin bahawa anaknya akan bahagia di tempat baru nanti.

maaf lambat update...bab ni ada penambahan ayat sikit ye...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience