"Eh, janganlah main dekat sana, nanti kalau jatuh longkang kan susah." Leternya kepada beberapa ekor anak kucing yang sedang bermain di tepi longkang. Tangannya sibuk menyapu daun-daun kering yang bertebaran di atas tanah.
Sudah menjadi kebiasaan sejak beberapa bulan ini, membersihkan dan memastikan halaman rumahnya sentiasa dalam keadaan bersih dan ceria dengan warna-warni bunga-bungaan.
Sesekali tangan naik mengibas bawah tudung kerana panas. Anak tekaknya juga sudah kering. Keringat terasa melekit di seluruh badannya.
Sejak disahkan berbadan dua, Raihana sering merasa dahaga dan mudah letih. Air di dalam botol di atas pangkin dicapai lalu dipulas penutupnya sehingga terbuka. Bibir botol dibawa ke mulut dan isinya diminum rakus. Titisan air yang mengena pada dagu dilap dengan hujung kain tudung.
Bunyi deruman daripada enjin kereta membuatkan Raihana berpusing memandang ke arah jalan. Aik, siapa pulak yang datang petang-petang macam ni.
Mata dipicing sedikit bagi melihat gerangan yang berada di dalam kereta dengan jelas. Namun, pantulan daripada cahaya matahari, menyukarkan Raihana untuk mengecam gerangan yang berada di tempat duduk pemandu itu.
Masya Allah, awek mana pulak tu? Sejuk mata memandang. Bertudung litup sehingga menutup dada, wajah asli tanpa secalit solekan, lalu pandangan Naufal turun pula pada perutnya yang sedikit memboyot. Eh, ni janda aku! Astaghfirullah al azim, ingat perempuan mana tadi. Sambil mengukir senyuman semanis madu, Naufal melangkah keluar dari kereta.
"Siapa yang datang tu Hana?" Laung Yati dari dalam rumah. Sepertinya tadi dia terdengar bunyi deruman kereta di hadapan rumahnya.
"Err, entahlah mak. Tak kenal lah pulak kereta tu. Tak pernah tengok sebelum ni." Balas Raihana sambil berterusan merenung ke arah kereta tersebut.
"Eh, siapa pulak ni?" Soal Yati yang sudah terpacak di pangkin.
"Assalammualaikum." Terbuntang mata Raihana saat melihat susuk tubuh yang baru keluar dari kereta. Mulut yang hampir terbuka luas itu segera ditutup rapat. Menyedari pandangan Naufal yang melekat ke arahnya, Raihana cepat-cepat melarikan diri ke belakang rumah.
"Waalaikummusalam. Apa hajat kamu ke mari ni Naufal? Dah lama tak pulang ke rumah mak. Ni, takde ribut, takde hujan, bertandang ke sini. Ada apa-apa ke?" Pertanyaan bekas ibu mertuanya, membuatkan Naufal menjadi serba salah. Ya, sejak bercerai dengan Anisa, dia tidak pernah menjejakkan kaki ke rumah itu lagi, apatah lagi bertanya khabar.
Yati terdiam sejenak. Dia sudah tahu apa yang terjadi antara Raihana dan Naufal. Dia kira, lelaki itu masih baik kerana tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang atas perbuatan Raihana.
Sedangkan, dia sebagai seorang ibu, terasa mahu mengerjakan anak bongsunya itu cukup-cukup setelah Raihana menceritakan segala perbuatan jahatnya pada Anisa.
Namun, lama-kelamaan, Yati mampu memaafkan perbuatan Raihana. Cukuplah, kalau dia sudah sedar dan ingin berubah ke arah kebaikan. Cuma terkilan saat memikirkan keadaan yang terpaksa dilalui oleh anak sulungnya saat dilukai oleh orang-orang tersayang dan amat dia percayai.
"Err, Naufal ada hajat. Sebab tu Naufal ke mari." Dia menghampiri pangkin sebelum berdiri di situ.
"Hajat apa?" Yati mempelawa Naufal untuk duduk di pangkin sementara menunggu Raihana buatkan air.
"Hana, buatkan air. Lepas tu, bawa turun sekali kuih yang mak beli dengan Halimah tu." Pesannya sebelum menumpukan perhatian pada bekas menantunya semula.
"Hurm, macam ni mak. Naufal nak rujuk balik dengan Hana." Ujarnya sambil menatap wajah Yati yang sudah berkerut.
"Kamu pasti ke dengan keputusan kamu ni?"
"Saya pasti mak. Naufal yakin tu anak Naufal. Naufal tak nak pentingkan diri sendiri. Anak tu tak bersalah. Dia perlukan Naufal." Luahnya. Dulu dia pernah memberikan janji yang sama pada wanita itu sewaktu mengahwini Anisa, dan kini perkara itu berulang kembali.
"Naufal, nak minta ampun dengan mak. Naufal tak jaga amanah mak dengan baik. Naufal sia-siakan Anisa." Dia menunduk malu. Yati menggangguk perlahan. Tidak semena-mena air matanya jatuh ketika teringatkan nasib Anisa pada ketika itu.
"Cukuplah salahkan diri kamu tu. Semua orang ada silap masing-masing. Kalau Hana tak ganggu kamu, semua benda ni takkan pernah terjadi. Mak tahu kamu tak sengaja Naufal. Dah jangan menangis macam ni." Pujuk Yati sambil mengusap lembut bahu Naufal.
'Maafkan Hana. Kalau Hana tak ganggu hubungan abang dengan kakak, pasti abang sedang bahagia sekarang ni.' Dia bersembunyi di tepi pintu masuk. Dulang di tangan ditenung lama. Ikutkan hati dia tidak mahu bersemuka dengan Naufal, namun atas arahan daripada ibunya, dia terpaksa berjumpa dengan lelaki itu.
Dengan perlahan dia melangkah ke arah pangkin sebelum menghidangkan makanan. Naufal memerhatikan setiap gerak geri Raihana. Perubahan pada wanita itu cukup memeranjatkannya.
"Kamu tak bersiap lagi ke? Kejap lagi nak ke surau." Soal Yati sambil menghulurkan secawan teh kepada Naufal.
"Kejap lagi mak. Hana masuk dulu." Cepat-cepat dia berlalu meninggalkan mereka berdua di pangkin. Terasa malu mahu berlama-lamaan di situ, lagi-lagi dengan adanya Naufal.
"Ke surau?" Jam tangan dikerling. Baru pukul 2.30 petang. Nak buat apa ke surau?
"Ya, ke surau. Hana ada ajar budak-budak kampung ni mengaji. Ikutkan petang, tapi hari ni dia baru mula buat kelas tuisyen online. Jadi dia awalkan ke pukul 3. Jemputlah minum." Pelawa Yati lagi.
"Boleh Naufal cakap sebentar dengan Hana?"
"Sihat?" Naufal bersuara setelah sekian lama menyepi. Hana mengganggukkan kepala.
"Baby boy ke or baby girl?" Perut yang kian membesar itu ditatap Naufal.
"Baby boy." Balas Raihana.
"Bila start pakai tudung?" Dia cuba mengajak wanita itu berbual untuk membuang kecanggungan antara mereka.
"Dah lama. Nak masuk 6 bulan."
"Saya nak kahwin dengan awak." Raihana memandang hairan wajah tenang Naufal.
"Kak Anisa macam mana?! Cukuplah sekali saya hancurkan rumahtangga korang. Abang pergilah pujuk Kak Nisa. Kahwin balik dengan dia. Kalau abang nak, saya boleh terus terang dengan Kak Nisa. Semua ni salah saya. Berpunca disebabkan saya."
"Dia dah tahu. Dan, dia tak mungkin jadi milik saya lepas ni. She is already married to my brother." Ujar Naufal. Lama dia tenung wajah Raihana yang nampak lembut tanpa secalit mekap itu. Dulu, jarang sekali dia dapat melihat Raihana tanpa solekan tebal.
"Bi...bila?" Terbeliak matanya.
"Pagi tadi."
"Maafkan Hana. Kalau Hana tak ganggu..."
"It's already happened Hana. Tak guna asyik fikirkan hal tu lagi. No use. Sekarang kita semua kena move on. Demi anak kita." Masing-masing terdiam sejenak.
"So macam mana? Setuju tak jadi isteri abang?"
"Saya bukan perempuan yang baik. Awak tahukan saya pernah..."
"Itu masa lalu Hana. Abang pun ada masa lalu sendiri. Apa yang penting, diri kita yang sekarang. Hana pun dah berubah mencari reda Allah." Lambat-lambat Raihana mengangguk sambil tersenyum.
Share this novel