Wajah pucat lesu itu hanya mampu termenung sambil menyaksikan pemandangan di luar dari tingkap. Sesekali dia mengerling ke arah jam yang tergantung pada dinding bilik wadnya dengan seribu harapan. Orang yang dinanti-nanti masih belum kunjung tiba. Anisa melepaskan keluhan berat buat kesekian kalinya.
Sudah hampir pukul 2 petang. Sepatutnya dia sudah boleh pulang ke rumah sejak jam 10 pagi lagi. Berita kegugurannya cukup memberikan kesan trauma dalam diri Anisa. Dan insiden pahit yang penuh menjijikkan itu juga seakan merobek isi hatinya sehingga meninggalkan parut.
Kepercayaan yang dia letak sepenuhnya ke atas Naufal dan Raihana musnah sekelip mata. Dia mahu pulang ke rumah itu semula, dan membawa keluar barang-barangnya dari situ. Tidak sanggup bersubahat dengan manusia-manusia itu lagi.
Walaupun, dia tidak mempunyai siapa-siapa di bandar ini, Anisa percaya rezeki Allah itu cukup luas. Dia juga yakin bahawa dia mampu meneruskan hidup di mana-mana sahaja dengan izin-Nya.
Nafas ditarik lalu dihembus perlahan. Walaupun sudah berkali dia cuba menerima kenyataan, hatinya masih lagi tidak mampu bertenang setelah dipermainkan oleh orang-orang yang amat dia percayai, sehinggakan anaknya ikut terkorban angkara penganiayaan mereka. Kenapa tega sekali mereka menyakiti aku? Apa salah aku sampai dilayan sebegini rupa?
"Puan Anisa, maaf kami dah tak boleh benarkan puan tinggal di sini lagi. Risau terkena jangkitan sebab terdedah dengan udara yang tak sihat. Kat sini ramai pesakit, tak sesuai untuk orang yang tengah berpantang macam Puan Anisa, duduk lama-lama di sini. Lagipun, bilik ni akan digunakan untuk pesakit lain." Tegur seorang jururawat wanita yang berada dalam lingkungan 20-an. Di tangannya terdapat sebuah beg kertas yang tertera logo 'Sweet Donuts'.
"Baiklah cik. Maaf saya menyusahkan. Saya minta diri dulu ya. Assalammualaikum." Beg pakaiannya digenggam erat lalu dia menapak keluar dengan lemah menuju ke arah muka pintu.
"Eh, kejap puan! Terlupa pulak saya. Ini ada orang sedekahkan untuk puan. Dalam ni ada donut, dengan air. Nanti puan makanlah ya..." Pesan jururawat itu sambil menghulurkan beg kertas tersebut kepada Anisa yang kelihatan teragak-agak untuk menyambutnya. Siapa pulak yang bagi ni? Desis hatinya.
"Jangan risau puan. Orang tu sedekahkan untuk semua orang dekat wad ni. Tinggal lagi satu beg ni je, jadi saya bagi dekat puan. Ambiklah. Rezeki jangan ditolak." Jelasnya sambil tersenyum manis. Dia juga kasihan melihat keadaan Anisa.
Dia terdengar perbualan antara Naufal dan Husna tempoh hari. Memang spesies manusia yang tidak berhati perut!
Sejak petang semalam, batang hidung suaminya langsung tidak kelihatan di sini. Malah, panggilan daripada pihak hospital juga tidak terjawab sama sekali. Nasib sahaja bil rawatan Anisa sudah diselesaikan oleh Amran sebelum dia pulang semalam.
Setelah beberapa minit berfikir, Anisa akhirnya menerima huluran itu sambil membalas senyuman jururawat tersebut.
"Terima kasih nurse. Saya mintak diri dulu." Dia terus melangkah ke hujung koridor dengan pandangan yang kabur. Matanya berkaca-kaca menahan sakit hati. Selepas ini, dia perlu berhadapan dengan manusia-manusia yang sudah memusnahkan hidupnya. Kuatkah dia? Mampukah seorang Anisa berdiri teguh sendirian tanpa pertolongan sesiapa di bumi yang cukup asing ini?
Teksi yang baru sahaja menurunkan penumpang di hadapan hospital, ditahan oleh Anisa. Nasib sahaja dia masih menyimpan lebihan duit perbelanjaan di dalam poket bajunya semalam. Boleh digunakan sebagai tambangnya nanti.
Setelah memberitahu arah tujunya kepada pemandu berkenaan, Anisa terus mengunci mulut. Keperitan yang menjalar di lubuk hati, menganggu degupan jantungnya. Luka jahitan yang masih basah membuatkan Anisa merengus kesakitan. Mental dan fizikalnya sama-sama menderita angkara khianat.
Tidak semena-mena air matanya tumpah di hadapan pemandu teksi berkenaan. Sepatutnya dia berpantang bersama bayinya di kampung, ditemani oleh Naufal dan juga ibunya, Yati. Namun, kini semuanya sudah musnah.
Dia juga tidak mampu pulang semula ke pangkuan Yati. Pasti ibunya akan sedih jika mendapat tahu tentang perkara ini. Dia tidak mahu melihat Yati menangis. Perjalanan ini, merupakan pilihannya sendiri. Dia yang mahu berkahwin dengan Naufal, jadi mahu tidak mahu, dia perlu berhadapan dengan lelaki itu.
*******
Langkah kecil diambil kerana luka di bawah perutnya, masih terasa sakit. Dia langsung menuju ke bilik tidur Naufal. Anak matanya terhenti di satu sudut. Ada kesan darah yang sudah kering di atas lantai. Hatinya kembali sayu. Mengapa tiada yang membersihkannya?
Keadaan bilik yang sunyi sepi itu memudahkan Anisa untuk mengeluarkan barang-barang peribadinya. Selang beberapa minit, dia keluar semula sambil menjinjit sebuah bagasi dan sebuah beg tangan lusuh.
"Well, well, well. Look who is here. Finally, balik jugak ya. Tu, beg pakaian dekat tangan tu nak buat apa? Wait, wait...don't say, kau nak berambus dari rumah ni." Anisa bertambah berang melihat senyuman sinis Raihana. Walaupun sukar, dia tetap memujuk dirinya untuk kekal bersabar. Tidak guna dia membuang tenaga dengan bertengkar dengan orang seperti itu. Tidak mendatangkan apa-apa faedah pun.
Tanpa mempedulikan renungan tajam Raihana, Anisa meneruskan langkahnya ke muka pintu. Belum sempat dia memegang tombol pintu, kedengaran suara Naufal dari dalam bilik Raihana.
"Baby, where are you? Kata nak sambung lagi tadi. There you are...Beb..." Langkahnya terus mati. Dia terkedu melihat Anisa. Nasib dia sempat melilitkan tuala ke pinggangnya sebelum keluar dari bilik tadi.
"Bie...cepatlah cakap! Tepati janji you pada I. Now, you choose, you nak I ke or perempuan bodoh ni!" Rengek Raihana.
"Baby, of course I nak you." Raihana terus menarik wajah Naufal sebelum mengucup bibir lelaki itu di hadapan kakaknya. Anisa terus memalingkan wajahnya. Hatinya sakit melihat kelakuan mereka. Jijik!
"Nur Anisa binti Zamri, aku ceraikan kau dengan talak 1. Now, please get lost from my house!" Dengan angkuh, Naufal menuturkan lafaz cerainya kepada Anisa.
"Tapi, kenapa abang? Apa salah Nisa...sampai abang layan Nisa macam ni? Dan kenapa dalam ramai-ramai perempuan, mesti adik Nisa yang abang nak?!" Air mata yang ditahan sejak tadi akhirnya tumpah jua. Dia cuba menjadi kuat, namun dia gagal. Hatinya benar-benar hancur ketika itu. Perempuan mana sanggup melihat dirinya dicurangi?
"Do you wanna know why? Because she is perfect! Dia boleh gembirakan aku. Cantik, and educated. Bukan macam kau! Selekeh 24 jam, tak pandai layan aku. Makin lama, makin muak aku tengok muka kau!" Tengking Naufal. Pandangan Anisa terpaku pada wajah lelaki itu.
"Dulu, abang yang larang Nisa untuk berdandan di rumah. Abang cakap Nisa tak perlukan solekan, Nisa dah cukup cantik di mata abang. Kenapa abang berubah sampai macam ni sekali?"
"Eh, perempuan! Kau tak faham bahasa ke hah?! Dah orang taknak dekat kau, berambus jelah. Terpacak lagi kat situ buat apa?!" Sergah Raihana tiba-tiba.
"Akak tak sangka Hana sanggup tikam akak dari belakang. Akak terlalu percayakan Hana selama ni. Sampai akak sanggup korbankan masa muda akak demi nak bagi kesenangan untuk Hana...Tapi, ini yang Hana balas pada akak?! Apa salah akak pada Hana?" Sukar rasanya untuk menerima kenyataan yang satu ini. Adik sendiri menghancurkan rumah tangganya.
"Salah kau, sebab jadi kakak aku. Eew, aku gelilah nak gelar kau sebagai kakak! Level kau dengan aku tak sama...And for your kind information, duit yang kau bagi dekat aku selama ni, bukannya cukup pun untuk perbelanjaan aku. Aku terpaksa cari jalan lain untuk cari duit. So, tak payahlah kau nak buat-buat baik di sini. Sila berambus!" Jari telunjuk dituding ke arah pintu masuk.
"Bahagiakan adik saya. Jangan ulang kesilapan yang sama. Jangan sakiti dia dan cepat-cepatlah kahwin. Jangan terus bergelumang dengan maksiat. Saya takkan muncul depan korang lagi. Halalkan makan minum saya selama saya bergelar isteri awak. Dan maaf, jika saya ada salah silap dengan awak selama ni. Saya doakan kamu berdua bahagia. Assalammualaikum." Dia terus keluar dari rumah bekas suaminya dengan tangisan.
Share this novel