TERASA lemah kaki Arisya saat kereta sudah berhenti di hadapan pintu pagar rumah keluarga Mikaeyl. Semalam, waktu Mikaeyl beritahu mahu membawanya berjumpa mamanya, dia sudah terasa mahu pengsan akibat terlalu gementar. Pelbagai alasan Arisya bagi tapi satu pun dia tak layan.
Gila tak berdebar nak jumpa bakal mak mentua?
Mikaeyl kata sekadar nak tunjuk muka. Makan sama-sama. Lepas itu, baliklah.
'Senang betul dia cakap. Keluarga dia sendiri, bolehlah buat selamba kan. Aku yang nak kena menghadap keluarga dia. Dahlah tak pernah jumpa. Pernah tengok dalam gambar je.' bisik Hati Arisya
Itu pun hasil carian Google semalam. Puas jugalah dia jadi Dektektif Conan menyiasat latar belakang dan biodata ahli keluarga Mikaeyl yang selama Ini langsung tidak diambil tahu.
"Kau okey tak ni?" soal Mikaeyl.
'Okay? Dia tanya aku okay?' soal hati Arisya.
Arisya berpaling ke sisi dan mengukir sengihan. Perlahan lahan dia mengangguk walaupun sebenarnya dia KO. Takkan Mikaeyl tak nampak yang muka dia dah pucat lesi? Huh?
"Kalau kau rasa tak selesa, kita boleh balik. Aku dah cakap kan, aku tak paksa. Masa kahwin nanti pun boleh jumpa." sambung Mikaeyl.
"Eh, taklah. Aku okey aje. Jomlah." balas Arisya.
Kali ini, dia mengukir senyuman lebar dan ikhlas. Takut memanglah takut. Tapi, tak adalah sampai mengada-ada tak nak masuk ke dalam. Kalau bukan sekarang, bila lagi nak jumpa? Bila lagi nak kenal dengan keluarga Mikaeyl, kan?
"Betul ni?" soal Mikaeyl.
Arisya senyum lagi dan mengangguk yakin.
"Tapi, muka aku okey tak? Baju dengan tudung aku tak nampak serabai, kan? Make-up tak tebal, kan? Risaulah aku, kalau mama kau tak berkenan dengan gaya aku ni." balas Arisya.
"Kau selekeh pun aku tetap sayang, Arisya."ujar Mikaeyl dan mengeyit mata.
Arisya tarik muka. Dia mengepal penumbuk dan buat gaya mahu menumbuk wajah Mikaeyl. Orang serius, dia main-main pula. Tubuh ditundukkan sedikit dan memeriksa wajahnya pada cermin pandang sisi kereta.
'Okeylah kan? Tak ada gaya akan dibenci bakal mertua, kan?'Soal Arisya dalam hati.
Mikaeyl mengukir senyuman melihat kesayangannya itu.
"Kau selalu sempurna dan cantik di mata aku, Alya Arisya Maisarah. Pandangan orang lain tak penting pun." ujar Mikaeyl
Arisya tersenyum lebar. Alah, manisnya ayat. Boleh kena diabetes!
"Mestilah aku kena nampak elok depan bakal mak mentua. Memberi impresi yang baik waktu pertemuan pertama itu sangat penting ya, untuk menambat hati mak mentua. Kau apa tahu?"soal Arisya.
Mikaeyl sekadar tayang muka tiada perasaan. Mama tak akan kisah pun. Dia pasti.
Melibat perubahan air muka Mikaeyl, Arisya menyedari yang dia dah tersilap cakap. Itulah, kau banyak bunyi sangat kenapa? Bukannya kau tak tahu hubungan Mikaeyl dan mama dia macam mana.
Senyumannya dimaniskan, memandang Mikaeyl.
"Okey, jom kita turun. Semoga aku tak buat benda pelik-pelik yang memalukan diri dan memalukan kau di depan keluarga kau nanti. Amin ya rabbal alamin." ucap Arisya sambil menadah tangan berdoa.
Tindakannya itu membuatkan Mikaeyl tertawa dan menggeleng. Tapi, dilayan jugalah berdoa bersama-sama Arisya. Setelah itu, mereka turun dari kereta dan bersama-sama masuk ke dalam.
Sebaik pintu terkuak, mereka berdua disambut oleh seorang wanita warga Indonesia. Pembantu rumah mungkin, getus hati Arisya.
Penuh berhati-hati Arisya menjaga langkahnya masuk ke dalam rumah. Dalam hati, sudah menggunung rasa kagum melihat rumah yang gah bagai istana itu. Sepuluh kali ganda besarnya daripada rumahnya sendiri.
Tak dinafikan, keluarga Mikaeyl memang betul-betul kaya.
"Hah, dah sampai pun bakal kakak ipar Qi. Cantiknya Kak Arisya ni. Patutlah Abang Kyle terpikat."
Sapaan itu membuatkan wajah Arisya merona merah. Gila betullah. Baru bersua tak sampai sesaat dah kena puji. Budak mulut manis ni, mesti adik Mikaeyl, Baihaqi Shahfitri. Antara instafamous dan blogger yang terkenal dengan cerita travelognya mengelilingi dunia Fresh graduate dalam bidang perniagaan, sama bidang macam Mikaeyl.
Haa, itu maklumat yang dia berjaya Google semalam.
"Siapa nama tadi?" sapa Datin Ainan
Arisya tersenyum. Tangan dihulur kepada wanita itu dan dikucup penuh hormat sebelum bersuara.
"Arisya, Datin. Alya Arisya Maisarah."
Datin Ainan mengangguk dan mengukir senyuman yang dibuat-buat.
"Saya ada buat kek coklat dan Redvelvet. Tak tahulah rasanya macam mana. Harap kena dengan cita rasa Datin dan keluarga." ucap Arisya sambil menghulurkan beg kertas di tangannya.
Datin Ainan tidak menyambutnya. Sebaliknya, menjeling kepada bibik agar mengambil huluran Arisya itu.
Arisya sekadar tersenyum nipis dan mengucapkan terima kasih kepada bibik.
Datin Ainan kemudiannya menarik Arisya untuk duduk bersamanya. Mikaeyl menurut dan melabuhkan punggung di sofa bertentangan dengan Mereka berdua. Diikuti dengan Baihaqi yang mengikuti langkah abangnya. Tersenyum-senyum dia memandang Mikaeyl dan giat mengusik Mikaeyl dalam diam.
Mikaeyl tayang muka tiada perasaan dan menyiku adiknya. Malas mahu melayan Baihaqi. Matanya tertancap kepada Datin Ainan dan Arisya. Entah mengapa, dia dapat merasakan aura senyuman yang wanita itu ukirkan hanyalah sebuah lakonan.
"Kita duduk berbual dululah. Bibik tengah siapkan makanan dekat dapur tu." ucap Datin Ainan.
"Eh, ya ke? Tak apalah kalau macam tu. Arisya pergi dapur tolong apa yang patut, ya. Segan pula jadi tetamu tak buat apa-apa." balas Arisya dan bangkit.
"Wah, bagusnya. Ini baru betul calon menantu mithali." Baihaqi bersuara. Kening diangkat-angkat memandang Mikaeyl.
"Isy, Qi ni, suka nak mengusik. Tak apa, Arisya. Semua dah siap pun. Tinggal nak makan aje. Bibik boleh buat. Tak payah nak susahkan diri. Kita kan belum berkenalan lagi. Nak tahu juga bakal menantu saya ni, macam mana orangnya. Apa rahsianya sampai berjaya memikat hati Mikaeyl ni, kan?" ujar Datin Ainan.
Arisya sekadar tersenyum. Nak buat macam mana, kalau dah tak diizinkan. Terpaksalah dia duduk kembali. Matanya mengerling Mikaeyl yang hanya berdiam dari tadi. Bila mata mereka bertembung, senyuman mereka berbalas. Walaupun nyata senyuman yang dilakar lelaki itu nampak hambar dan dibuat-buat.
Arisya perasan sejak masuk ke rumah ini, tiada lagi secebis senyuman yang terukir di bibir Mikaeyl. Lagi-lagi bila matanya terarah kepada Datin Ainan. Jadi sebak pula hati Arisya melihat situasi ini. Rasa macam melihat Mikaeyl yang dulu. Tiada perasaan dan wajah beku serta tegang ditayang.
Mikaeyl nampak macam marah sangat dengan Mama dia. Entah apa yang difikirkannya sekarang.
SETELAH selesai makan, Arisya terus mengemas meja dan membantu bibik mencuci pinggan. Walaupun berulang kali bibik menghalang, dia buat pekak saja.
Banyak cantik nak bersenang-lenang Sudahlah datang tadi semuanya sudah tersedia. Takkan dah sudah makan, nak duduk menternak lemak lagi.
Mujurlah Datin Ainan naik ke atas sekejap. Kalau tidak, pasti dia akan dihalang dan tidak diizinkan untuk membantu.
Mikaeyl pula, sedang menerima panggilan berkaitan kerja tadi. Nampak macam naik ke atas juga tadi. Senang sikitlah dia nak menempek di dapur ini buat kerja tanpa diganggu.
"Akak mesti selalu buat kerja rumah, kan? Tak nampak kekok pun masuk dapur. Pandai Abang Kyle cari calon isteri. Mesti pandai masak juga, kan?" soal Baihaqi yang tiba-tiba muncul di sisinya.
Arisya sekadar tertawa kecil
"Mana ada. Biasa-biasa ajelah. Orang perempuan memanglah kena pandai buat kerja rumah. Kalau tidak nanti, kena cop pemalas. Bakal suami pun lari." seloroh Arisya.
Baihaqi memetik jarinya.
"Tepat sekali, kak. Tapi, mama tak pandai ke dapur. Masak jauh sekali. Kalau mama masak, kena mengucap dulu sebelum makan. Takut mati terus nanti." balas Baihaqi.
Bulat mata Arisya memandang Baihaqi. Selamba gila dia kutuk mak dia macam tu. Mujurlah hanya mereka berdua bersama bibik yang ada di situ. Kalau Datin dengar, matilah.
"Tak baik cakap macam tu. Kecil hati mama Baihaqi kalau dengar. Air tangan ibulah yang paling sedap di dunia tahu?" balas Arisya.
Baihaqi tersengih.
"Gurau ajelah, kak. Mama walaupun tak pandai masak, mama pandai buat kek dan puding caramel. Satu hari nanti, akak kena cuba kek lobak yang mama buat. Sedap gila." ujar Baihaqi, memuji mamanya.
Arisya mengukir senyuman.
"Insya-Allah. Kalau ada rezeki akak."
Baihaqi mengangguk. Dia membantu Arisya mengelap pinggan yang sudah dibasuh. Sambil-sambil itu kepalanya mencari topik untuk dibualkan sementara ada peluang bermesra dengan Arisya.
Nanti, Mikaeyl dah turun, pasti abangnya itu akan menghalangnya daripada berbicara dengan Arisya. Takut sangat kalau dia cakap yang bukan-bukan dengan bakal isterinya ini. Risau tak bertempat. Eh, cemburu tak bertempat.
"Tapi, tadi akak makan sedap tak?" soal Baihaqi
Arisya berpaling memandang Baihaqi. Kemudian, dia mengangguk berteman senyuman.
"Sedap. Lagi-lagi sambal udang petai tu. Sampai tak sedar akak makan bertambah tambah Hilang terus malu dan konon-konon nak jadi ayu." balas Arisya.
Baihaqi ketawa senang. Kembang semangkuk hidungnya dipuji begitu.
"Hah, nasib baik cakap sedap. Qi yang masak tu. Bila-bila akak rasa nak makan macam tu lagi, beritahu aje. Qi boleh Masakkan." ujar Baihaqi.
Arisya menjongket keningnya. Wah, hebat!
Tapi, betul juga. Itu satu lagi kebolehan Baihaqi yang dia terlupa. Baihaqi pandai dan gemar memasak. Selalu juga adik lelaki Mikaeyl ini memuat naik gambar dan resipi masakannya di laman Instagram. Memang sangat berbakat.
"Insya-Allah. Nanti kalau akak request, jangan buat-buat lupa pula, ya? Akak tuntut sampai dapat." seloroh Arisya.
Baihaqi tersengih
"Insya-Allah. Kalau ada rezeki dan panjang umur, Qi akan tunaikan. Nanti akak dah kahwin dengan Abang Kyle, bolehlah kita bergabung skil memasak. Baru seronok nak masuk dapur. Qi asyik masak seorang diri aje. Bosan tahu tak?" balas Baihaqi.
"Itu tandanya, kena cari peneman. Masak sama-sama dengan isteri, barulah seronok. Sweet giteww, kan?" usik Arisya.
Terlepas ketawa Baihaqi mendengar usikan Arisya itu.
"Kalau jumpa yang manis dan baik macam akak sekarang juga Qi kahwin. Tak tunggu-tunggu dah." jawab Baihaqi.
Sekali lagi Tawa Arisya meletus mendengar jawapan itu. Memang mulut manis betul budak seorang ini. Mujurlah abangnya dah buat Arisya jatuh cinta. Kalau tidak, boleh cair juga dengan Baihaqi ni.
Arisya menggeleng dan menyambung tugasnya membasuh pinggan. Buat seketika, suasana bertukar sepi antara mereka yang fokus dengan tugas masing masing.
"Kak." panggil Baihaqi.
Arisya berpaling memandang Baihaqi.
"Ya?"
Baihaqi memandang Arisya sekilas dan mengukir senyuman. Kemudian, matanya dilarikan daripada memandang Arisya. Matanya kembali fokus pada kain lap dan pinggan mangkuk di hadapannya.
"Akak sayangkan Abang Kyle?"soalnya.
Dahi Arisya berkerut. Soalan apa tu? Kalau dia tak sayangkan Mikaeyl, buat apa dia nak datang sini?
"Abang Kyle sayang sangat dengan akak, tau. Tak pernah Qi tengok dia bahagia macam ni. Kalau dia perlu pilih antara keluarga dan akak, rasanya dia akan pilih akak. Sebab akak yang selalu memahami dia dan mampu buat dia gembira." ucap Baihaqi dengan suara yang bergetar.
Sekali lagi dahi Arisya berkerut seribu.
"Ada pula cakap macam tu. Mengarut aje Baihaqi ni. Korang wujud dulu dalam hidup Mikaeyl sebelum akak. Mesti lah dia pilih korang. Mana boleh bandingkan. Dah terang-terang dia akan pilih korang." balas Arisya.
Baihaqi sekadar tersengih. Lama berdiam, dia
kembali bersuara.
"Boleh tak akak janji dengan Qi satu benda?"
"Apa dia?" soal Arisya.
"Janji akan bahagiakan Abang Kyle dan gembirakan dia selalu? Sentiasa ada di sisi dia waktu senang mahupun susah?" soal Baihaqi.
Soalan yang lebih kepada mengharap itu, kedengaran serius dituturkan dari mulut lelaki itu Membuatkan ada perasaan halus yang menyentuh hati Arisya. Terasa berat mendengar harapan itu.
Saat tiada jawapan balas daripada Arisya, Baihaqi berpaling. Mata mereka bersatu dan bibir Baihaqi menggarit senyuman.
"Akak tak perlu janji. Qi yakin Abang Kyle akan selalu bahagia dan gembira. Asalkan akak ada di sisi dia." ucap Baihaqi.
Mendengar kata-kata Baihaqi itu, bibir Arisya mengukir senyuman nipis. Perlahan-lahan dia mengangguk.
"Insya-Allah, kalau diizinkan Allah. Akak pun nak hidup bahagia dengan Mikaeyl. Baihaqi doakan kami, ya?" balas Arisya.
Baihaqi tersenyum dan mengangguk.
"Sentiasa, kak. Akak jangan risau. Kalau Abang Kyle tak layan akak dengan baik dan sakitkan hati akak, Qi orang pertama yang akan tumbuk muka dia sampai bersepai semua gigi." jawabnya.
Kata-kata Baihaqi itu, membuatkan Arisya tertawa.
"Kau ulang balik ayat kau tadi? Bersepai gigi? Sebelum kau sepaikan gigi aku, merah sini aku nak sepaikan gigi kau dulu." ujar Mikaeyl yang baru tiba dari arah belakang.
Dia merangkul leher Baihaqi dan menguncinya kemas. Kemudian, sebelah tangannya lagi mencubit pipi adiknya itu sehingga merah. Sampai Baihaqi terjerit kesakitan, barulah dia lepaskan. Puas hati!
"Sakitlah, gila! Nasib baik Kak Arisya ada tau. Aku tak nak jatuhkan air muka kau aje. Depan dia bolehlah kau tunjuk hebat lagikan macho!" rungut Baihaqi sambil menggosok pipinya yang perit.
Arisya tertawa lagi dan menggeleng. Seronok melihat keakraban dua beradik itu.
Mikaeyl walaupun nampak dingin dan beku, tapi Arisya tahu dia seorang abang yang penyayang. Sejak sampai di rumah Mikaeyl tadi, dua beradik ini memang mesra antara satu sama lain walaupun mempunyai watak dan elemen yang berbeza. Eh, macam Boboiboy pula.
Yelah, Mikaeyl ni...jenis yang tak berapa nak melayan. Tapi, Baihaqi jenis suka mengacau. Jadi, bergaduh manjalah mereka berdua. Sebab itu, Arisya mudah terhibur dengan gelagat gedik dua beradik itu.
Usai bergurau dengan Baihaqi, dia mendapatkan Arisya.
"Jom, balik. Aku ada kerja." ujar Mikaeyl.
Arisya yang sudah selesai membasuh pinggan, berpaling. Keningnya bercantum. Serba salah pula bila Mikaeyl mengajaknya balik. Cepat sangat. Tak sempat lagi Arisya nak berbual dengan Datin Ainan. Apa pula kata orang tua Mikaeyl nanti? Takkanlah datang setakat nak makan saja. Nanti tak pasal-pasal di Cop ambil kesempatan dalam kesempitan.
"Aku tak sempat sembang lagi dengan mama kau. Nampak macam tak ada adab pula kalau aku terus balik." bisik Arisya.
Mikaeyl menarik nafas panjang. Bukan dia tidak mahu berlama-lama di sini. Tapi, hatinya sedang sakit. Daripada rasa sakit ini beralih kepada Arisya pula, lebih baik mereka beredar.
Perasan akan perubahan wajah Mikaeyl itu, Arisya jadi serba salah. Dia tahu, Mikaeyl tidak selesa berada di rumah sendiri. Mungkin, konflik bersama ibunya belum selesai.
Baihaqi menjeling abangnya itu. Kemudian, dia tersenyum.
"Tak apalah, Kak Arisya. Nanti kalau ada masa, boleh datang lagi. Kak Arisya cakap aje nak makan apa, Qi boleh masakkan. Biasalah Abang Kyle ni... 24 jam ada kerja. Mama pun dah faham." ujar Baihaqi.
Arisya mengeluh perlahan. Dia mengelap tangannya yang basah pada kain tuala kering Senyuman diukirkan kepada Baihaqi sebelum kembali memandang Mikaeyl.
"Aku pergi jumpa mama kau dulu. Tunggu sekejap."
Mikaeyl menggeleng dan menahan.
"Tak payahlah. Mama dah masuk bilik. Aku dah cakap nak balik tadi. Tak payah kacau dia nak berehat." balasnya.
"Tapi, Mikaeyl..."
"Arisya, please. Aku banyak kerja ni. Jangan lengahkan masa aku. Kita balik sekarang." ujar Mikaeyl. Nadanya juga sudah berubah serius.
Kemudian, dia terus berlalu dan keluar dari ruang dapur.
Tindakan itu, membuatkan Arisya terpinga-pinga seketika.
'Mikaeyl baru lepas marah aku ke?' soalnya dalam hati, polos.
'Tiba-tiba dia rasa sentap. Apa masalah dia ni? Period ke? Salah ke, aku nak jumpa mama dia sekejap? Sekadar nak minta diri saja pun. Itu pun nak marah ke? Tak faham betul aku. Nak aku dicop tak ada adab ke?' omel Arisya lagi.
"Kak, pergilah. Abang ada hal penting agaknya tu. Sebab tu dia nak cepat. Tak apa. Nanti Qi begitahu mama. Jangan risau."
Arisya sekadar mengukir senyuman nipis.
"Tapi, akak rasa tak sedap pula nak balik macam tu aje."
"Tak apa. Abang Kyle kalau hal kerja, memang macam tu. Tak suka lambat-lambat. Pergilah." Baihaqi meyakinkan Arisya.
Arisya mengeluh perlahan.
"Akak minta maaf ya, Baihaqi. Kirim salam dekat Datin. Cakap dengan Datin, Kak Arisya minta maaf sangat-sangat." balas Arisya.
Kemudian, dia terus mencapai beg tangannya di depan dan mendapatkan Mikaeyl yang sudah menunggu di dalam kereta.
Tak sampai beberapa saat, kereta terus meluncur keluar daripada kediaman itu, tanpa ada bicara antara mereka berdua. Sama-sama sedang melayan perasaan marah dalam hati. Memilih untuk berdiam sebelum tercetusnya pergaduhan antara mereka.
Huhuhu akhirnya sempat juga menaip 2323 perkataan. Haaa Daebakk tak? Sama kan nombor dia...Hehe...
Share this novel