[ LCTAM | BAB 44 ] { AISKRIM }

Romance Series 31300

PINTU Bilik diketuk perlahan. Setelah diberi keizinan untuk masuk, dia memulas tombol pintu itu. Langkahnya diatur mendekati mama nya, yang sedang leka menonton televisyen. Punggung dilabuhkan di sofa, bersebelahan mama nya.

"Kyle dah balik. Dia ada kerja." ujar Baihaqi.

"Hmm" balas Datin Ainan acuh tak acuh.

"Patutlah Abang Kyle selalu tak balik sini. Datang sini, layanan macam hamba diberi. Bila mama nak berubah, ma? Mama memang tak boleh nak layan Abang Kyle baik-baik?" soal Baihaqi tiba-tiba.

Dahi Datin Ainan berkerut. Huh.

"Qi cakap apa ni? Mama tak faham lah. Apa salah mama? Apa yang mama dah buat? Cuba jelaskan." balas Datin Ainan.

"Mama ingat Qi tak dengar ke apa yang Mama cakap dengan abang Kyle? Nasib baik Qi yang dengar. Kalau Kak Arisya dengar? Terasa dia nanti bila mama cakap macamtu." ujar Baihaqi lagi.

Kemudian, dia menekup mukanya. Hatinya dihimpit rasa kesal. Dugaan...

Mendengar bicara Baihaqi, Datin Ainan memgeluh dan berpaling memandang Baihaqi.

"Qi...salah ke apa yang mama cakap tadi? Mikaeyl tu...CEO syarikat kita dan antara bilionaires yang memegang saham yang tinggi di Syarikat-syarikat lain. Dia juga terkenal dan popular di Negara kita. Mana mama nak letak muka kalau orang tahu yang dia bakal berkahwin dengan budak kampung yang tidak berpendidikan? Tak ada ijazah dan kelulusan? Malu lah mama nanti." balas Datin Ainan.

Baihaqi tersenyum sinis.

"Mama lebih pentingkan air muka mams daripada kebahagiaan anak sendiri? Apa yang tak kena dengan Kak Arisya tu? Semata-mata sebab dia cuma ada SPM, mama nak pandang hina pada dia? Penting sangat ke ijazah tu, mama? Boleh bagi kebahagiaan? Boleh bagi kepuasan?" soal Baihaqi.

"Qi tak faham. Kita ada rakan bisnes yang besar, Qi. Hubungan dengan mereka sangat penting In bukan tentang air muka mama semata-mata, Ini tentang bisnes kita. Mama bukannya tak izinkan lansung mereka berkahwin. Mama suruh tangguhkan dan minta si Arisya tu sambung belajar. Ada pendidikan dan kerjaya yang bagus. Biar setaraf dengan Mikaeyl Mama tak nak nama keluarga kita busuk disebabkan status diri Arisya." kata Datin Ainan.

"Kalau dia tak mahu, apa susah? Mama boleh saja carikan perempuan lain kalau dah kemaruk sangat nak berkahwin. Banyak lagi perempuan yang setaraf kita dan sejuta kali lagi cantik daripada si Arisya tu. Lagipun, ramai saja kawan mama yang nak anak diaorang kahwin dengan Kyle."ujarnya lagi

Baihaqi pejamkan matanya erat. Sabar Qi, sabar.

"Kyle cuma nak kahwin dengan orang yang dia sayang, ma. Benda tu bukan satu kesalahan. Kak Arisya tu baik dan berbudi pekerti. Mama pun tengok sendiri macam mana dia hormat mama dan ringan tulang nak buat kerja. Pandai bawa diri walaupun kita baru berjumpa. Mama ingat senang nak jumpa perempuan macam kak Arisya tu?" soal Baihaqi.

"Anak anak kawan mama yang belajar tinggi dan bergaya tak sudah-sudah tu, entah-entah nak masak nasi pun tak pandai. Adab dengan orang tua apatah lagi. Mama lupa macam mana sombongnya dia orang masa jumpa mama? Ada ijazah tahap ke langit biru pun kalau perangai macam sampah, tak ada gunanya, ma" ujarnya lagi.

Datin Aman memandang anaknya, geram.

"Jaga sikit mulut tu, Qi. Mama dah kata, Qi takkan faham. Jangan nak masuk campur tentang hal ini. Mama tak suka" ujarnya.

"Memang Qi tak faham. Sampai bila-bila pun Qi takkan faham dengan cara pemikiran mama. Mama tak nampak ke Kyle tengah bahagia? Seumur hidup, baru kali ini Qi nampak senyuman Kyle ikhlas dan tanpa perlu dipaksa. Benda yang tak mampu dia buat depan kita dan ia hadir bila adanya Arisya dengan dia."

"Boleh tak, ma... sekali ini saja. Beri peluang pada Kyle untuk cari kebahagiaan dia sendiri? Cukup cukuplah mama layan dia macam dia tak ada hati dan perasaan. Tolong pandang Kyle sebagai seorang anak yang mama lahirkan daripada rahim mama sendiri. Terima dan hormat pilihan hati dia dan doakan yang baik baik buat hubungan mereka. Boleh tak, ma?" pinta Baihaqi.

Datin Ainan merengus kasar. Dia tidak peduli jika Mikaeyl mahu berkahwin. Bukan urusannya. Tapi, calonnya mestilah yang tepat. Ini tidak, budak dari ceruk kampung itu juga yang mahu dipilih. Memalukan!

"Kalau mama masih dengan pendirian mama, Jangan terkejut kalau mama hilang dua anak sekaligus." ugut Baihaqi.

Kakinya terus diatur meninggalkan Datin Ainan yang Sedang tersentap pada tika itu. Sekurang-Kurangnya hati dia tak lah sakit sangat. Sebab dia dah luahkan apa yang terbuku dihatinya sekaligus memihak kepada Mikaeyl.

Bukan niatnya untuk bersikap kurang ajar dan hilang hormat kepada ibu sendiri. Tapi, kata-kata dan hinaan yang mamanya lemparkan kepada Mikaeyl, benar-benar membuatkan dia rasa kecewa. Seolah-olah abangnya itu tidak punyai hati dan perasaan.

Melihat sikap mamanya itu membuatkan dia menyesal meminta Mikaeyl pulang ke sini dahulu. Dia cuma mahukan abangnya kembali ke sisi dan hidup bahagia seperti sebuah keluarga.

Tapi, dia silap. Mama tetap mama. Tiada apa yang berubah.

Apa yang berlaku, sudah tidak mampu diubah. Kesalnya tidak akan mampu memulangkan kebahagiaan Mikaeyl yang telah digadai keluarganya sendiri.

'Apa pun yang terjadi, aku tetap bersama kau, Kyle. Maafkan aku sebab tak mampu buat apa-apa. Maafkan aku sebab kau selalu telan segala sakitnya seorang diri' bisik hati Baihaqi bersulam penyesalan yang menggunung dalam hatinya.

MIKAEYL melonggarkan butang baju kemejanya di bahagian atas. Rasa marah yang dipendam dari tadi membuatkan seluruh tubuhnya menjadi tidak selesa. Getar tangannya kian menjadi-jadi. Renik peluh kian lebat membasahi dahinya. Deruan nafas juga seolah-olah sukar untuk diatur rentaknya.

Stereng digenggam kemas, cuba mengawal emosinya. Tidak mahu melepaskan marahnya kepada orang yang salah. Berharap agar dirinya dapat ditenangkan segera. Tadi pun, dia sudah terlepas memarahi Arisya.

Sungguh, dia tidak sengaja. Menyesal kerana Arisya menjadi mangsa. Tidak berfikir sebelum bercakap.

Arisya sekadar berdiam di sisi Mikaeyl. Hatinya sedang sakit dan marah juga. Tapi, melihat keadaan Mikaeyl sekarang ini, dia tahu apa yang dirasakan oleh lelaki itu, jauh lebih teruk. Mulut rasa hendak dibuka, bertanya kenapa, tapi tiada patah kata mampu diucapkan.

Ada apa-apa yang berlaku ke antara Mikaeyl dan Datin Ainan, tadi? Mungkin Datin Ainan ada cakap apa-apa yang membuatkan Mikaeyl marah hingga begini sekali. Tadi, mereka berdua naik ke atas. Mungkin waktu itulah berlaku sesuatu.

Apa ya?

Arisya tersentak. 'Atau... sebab aku? Datin Ainan ada cakap apa-apa tentang aku? Mungkin, Datin tak suka aku. Sebab itu Mikaeyl tak benarkan aku naik berjumpa mama dia? Mikaeyl tak nak aku kecil hati?' Arisya membuat andaian sendiri.

Dia sebenarnya tak terkejut pun kalau betul Datin Ainan tak sukakannya sebagai calon menantu. Daripada cara wanita itu menyambutnya tadi, dia sudah tahu. Apatah lagi bila wanita itu bertanya soal Pendidikan dan kerjayanya. Bila dia menjawab dengan jujur, wajah Datin Ainan berubah.

Sifat seorang ibu, biasalah. Pastilah mahu yang terbaik buat anak-anaknya. Kalau boleh, biarlah pasangan anak-anaknya yang cemerlang jua.

Arisya serahkan semuanya pada takdir. Jika ada jodoh mereka, insya-Allah. Kalau memang tiada jodoh antara mereka, sekuat mana digenggam pun, akan terlepas juga nanti. Usaha sudah dibuat. Lebih baik bersabar dan menunggu saja takdir yang Allah dah susun buat mereka berdua.

"Boleh tak kita berhenti dekat masjid sekejap? Dah nak masuk waktu asar ni. Alang-alang dah dekat dengan masjid tu." Arisya bersuara.

Mikaeyl berpaling sekilas. Tiada balasan.

"Marah itu penawarnya sabar. Tapi, kalau kau tak mampu nak lakukan itu sekarang, solat dan mengadu dengan Allah adalah cara paling tepat untuk hilangkan rasa penat dan marah. Aku tahu kau tak ada hal penting pun yang nak dikejar. Kita berhenti solat kejap. Boleh, kan?" pinta Arisya.

Mikaeyl menghela nafas perlahan. Rasa ditampar dengan kata-kata Arisya itu. Tanpa kata, dia memberi signal ke lorong kiri dan kereta terus membelok ke simpang menghala ke masjid. Setelah kereta berhenti di kawasan parkir, dia terus turun dan berlalu masuk ke dalam masjid tanpa bersuara.

Arisya sekadar mengukir senyuman nipis. Turut sama mengatur langkah menuju ke arah yang sama. Dia juga perlu tenangkan diri yang terlajak menyimpan marah tadi.

ARISYA terjengah-jengah dari pagar kecil ruang luar masjid. Mahu melihat sama ada Mikaeyl sudah selesai solat atau belum. Sambil itu, matanya menjeling pak cik yang sedang duduk berehat di bawah pokok di dalam kawasan masjid ini juga. Harap-harap pak cik tu tak gerak dulu.

Sebaik kelibat Mikaeyl sudah muncul, Arisya terus berlari ke arah pak cik tadi. Tersegih dia memandang pak cik itu yang terkejut dengan kemunculannya yang tiba-tiba.

"Pak cik, nak aiskrim potong coklat ni dua." ucap Arisya.

Pak cik itu mengukir senyuman dan mengangguk. Dia bangun dari kerusi dan menghampiri peti kecil di atas motosikalnya. Dua potong aiskrim coklat dihulurkan kepada Arisya.

"Dua ringgit, nak." ujar pak cik itu.

Arisya menghulurkan not berwarna hijau kepada pak cik itu.

"Tak apa, pak cik. Bakinya simpan je." balas Arisya.

"Banyak sangat ni, nak..." balas Pak Cik itu.

Arisya tersenyum. "Tidak mengapa, pak cik."

"Segan pak cik macam ni. Alhamdulillah, syukur rezeki Allah. Ambillah sikit jajan ni, nak. Buat kudap kudap sedap juga. Pilihlah nak yang mana."

"Eh, tak payahlah pak cik. Saya ikhlas"

"Pak cik pun ikhlas. Ambillah."

Sekali lagi Arisya mengukir senyum. Dia mencapai satu peket kacang paling kecil yang berharga 30 sen.

"Saya ambil yang ini saja. Terima kasih ya, pak cik. Saya gerak dulu. Hati-hati bawa motosikal, ya. Assalamualaikum." pesan Arisya sebelum berlalu.

Langkah diatur ke arah Mikaeyl yang sedang menunggunya di sisi kereta yang diparkir di luar pagar masjid. Tersenyum dia tatkala melihat wajah lelaki itu tidak tegang seperti tadi. Air mukanya sudah nampak tenang dan tidak serabut.

"Orang kata, kalau nak sejukkan hati, kena makan aiskrim. Nah, aku belanja." ucap Arisya.

Mikaeyl sekadar tersenyum kecil dan menyambut huluran itu.

"Nak duduk sana kejap, boleh?" soal Arisya.

Langkah kakinya diatur menuju ke arah taman rekreasi berhadapan dengan masjid itu tanpa menunggu persetujuan daripada Zuhayr. Sekali-sekala buat kepala sendiri, apa salahnya. Tadi, dia elok saja menurut Mikaeyl, kan? Sekarang, Mikaeyl kena lah ikut dia pula.

Lega bila Mikaeyl ikut sama menuruti langkahnya. Kalau dalam keadaan Mikaeyl masih marah tadi, pasti Mikaeyl akan buat tak kisah dan tinggalkan saja dia seorang diri di sini.

Buat seketika, masing masing berdiam. Menikmati aiskrim potong itu dan memerhati orang sekeliling yang sedang beriadah. Ada yang datang bersama keluarga dan yang bersendirian.

Mikaeyl merenung wajah tenang Arisya. Senyuman yang meniti di bibir Arisya, membuatkan Mikaeyl rasa terpukul. Arisya sedikit pun tidak melenting apatah lagi merajuk dengannya. Kalau perempuan lain, mungkin sudah tarik muka akibat dimarahi tanpa sebab tadi. Tapi, tengoklah Arisya. Boleh duduk selamba makan aiskrim, macam tak ada apa-apa yang berlaku.

"Arisya." panggil Mikaeyl.

"Hmmm?" Arisya berpaling.

Dia pandang Mikaeyl dengan batang aiskrim yang dikepit di bibirnya. Tertawa Mikaeyl melihat rupa Arisya. Tisu dihulurkan kepada gadis itu dan menunjukkan Arisya tempat yang comot.

"Macam budak kecil makan aiskrim" tegur Mikaeyl

Arisya tersengih. Dia mencapai tisu dari tangan Mikaeyl dan mengelap bibirnya. Betullah, comot. Buat malu saja.

"Aku minta maaf sebab emosi sangat tadi. Tak sengaja tinggikan suara pada kau." sambung Mikaeyl.

Arisya menjeling Mikaeyl.

"Kalau minta maaf tu, maksudnya kau menyesal dan takkan buat lagi. Yakin ke, takkan buat lagi?" bidas Arisya.

Mikaeyl mengeluh perlahan.

"Insya-Allah." balasnya, ringkas.

Arisya tertawa kecil.

"Tak payahlah serius sangat."

Mikaeyl sekadar memandang Arisya dengan wajah bersalah. Arisya melepaskan keluhan panjang.

"Aku rasa, tadi tu macam wake up call untuk aku. Kita memang belum kenal betul-betul antara satu sama lain, kan? Mungkin ini tandanya aku kena biasakan diri dengan sifat garang kau. Tersalah petik suis, boom! Terus lava gunung berapi akan meletus. Okeylah tu. Dah kahwin nanti, tak adalah aku terkejut sangat." ujar Arisya.

Berubah riak Mikaeyl mendengar kata-kata
Arisya itu.

"Arisya, aku betul-betul minta maaf. Memang bukan salah kau pun, tadi. Aku yang emosi sangat. Aku tahu kau cuma..."

Tawa Arisya meletus sebelum Mikaeyl sempat menghabiskan bicaranya. Lucu hatinya melihat wajah Mikaeyl yang penuh bimbang itu.

"Alah, aku gurau ajelah. Biasalah tu. Aku pun selalu marah adik-adik aku kalau jenis tak faham bahasa. Cakap sekali tak faham. Cakap dua kali tak nak dengar. Harimau jadian mengaum lah." seloroh Arisya.

Mikaeyl sambut gurauan Arisya dengan tawa kecil.

"Samalah macam tadi. Aku patutnya faham bila kau ajak aku balik. Boleh pula aku banyak soal, kan? Memang patut pun kau marah. Aku pun salah, Mikaeyl. Tak perlu kau nak salahkan diri sendiri pasal hal remeh tu, okey?" sambung Arisya.

Keluhan berat terbit dari bibir Mikaeyl. Walaupun Arisya tidak menyalahkannya, hatinya masih berat untuk menerima. Pasti jauh di lubuk hati Arisya, sedang berkecil hati kepadanya. Cuma, Arisya tak mahu tunjuk. Macam selalu. Macam dulu-dulu.

"Tapi, boleh aku tahu kenapa? Kau selisih faham dengan mama kau ke? Pasal aku eh? Mama kau, tak suka aku?" soal Arisya.

Dia berhak tahu kalau masalah yang tercetus jika berpunca daripada dirinya.

Mikaeyl sekadar tersenyum hambar dan menggeleng.

"Taklah. Bukan pasal kau. Biasalah, hal kerja. Aku dengan mama memang selalu tak sependapat." selindung Mikaeyl.

Arisya mencebik.

"Yalah tu."

Sekali lagi Mikaeyl tersenyum.

"Betul."

Kemudian, dia tunduk Menggigit batang Aiskrim. Mengawal riak mukanya yang berubah keruh agar tidak dapat dibaca Arisya.

Arisya mengerling Mikaeyl.

'Mujurlah kau CEO, Mikaeyl. Bukannya seorang pelakon. Kalau tidak, buat rugi duit company saja. Tak pandai langsung nak berlakon.'bisik Arisya dalam hati.

"Aku nak main belon sabun tulah. Syok betul aku tengok budak tu tiup dari tadi. Kau agak-agak, malu tak kalau aku nak main?" soal Arisya sambil tersengih.

Mikaeyl tertawa mendengar soalan Arisya itu.

"Taklah. Kan ramai orang tengah main tu. Kau nak ke? Aku pergi belikan kejap." balas Mikaeyl.

Arisya balas dengan gelengan dan menahan
Mikaeyl.

"Kau duduk aje sini. Aku pergi sendiri. Tapi, nanti kita main sama-sama tau. Tak adalah aku malu sangat." ujar Arisya seraya bangkit.

Sekali lagi Mikaeyl tertawa dan menggeleng. Ada saja gelagat comel Arisya yang menghiburkan hatinya. Melihat keceriaan Arisya itu, hati Mikaaeyl sekali lagi terusik. Andai saja Arisya mendengar kata-kata mamanya tadi, masih bolehkah dia tersenyum seperti ini?

Biarlah ditelan segala kata-kata dan hinaan itu sendiri. Arisya tak bersalah. Hanya Datin Ainan yang buta dalam menilai hati manusia. Hidupnya terlalu dibayangi dengan keangkuhan, hingga lupa menjadi manusia yang berperasaan dan berperikemanusiaan.

"Kyle patutnya bersyukur, mama dah bawa Kyle keluar dari ceruk kampung tu. Merasa hidup dalam kemewahan dan kesenangan. Kalau tidak, sampai bila-bila Kyle akan hidup merempat dan susah dekat sana. Kyle nak hancurkan semuanya dan malukan mama semata mata sebab cintakan perempuan kampung tak ada kelulusan tu? Bukalah mata tu, Kyle. Jangan jadi anak yang tak sedar dek untung. Kalau bukan sebab mama, kamu takkan berada di tempat kamu berdiri sekarang."

Mikaeyl pejamkan matanya erat. Kata-kata Datin Ainan kembali memenuhi ruang fikirannya. Dia tertawa sinis. Kalau tadi, dia marah saat mendengar kata-kata itu, tapi kali ini ia terasa lucu.

Mungkin Datin Ainan terlupa. Siapa yang sedang membantu siapa sebenarnya. Siapa yang bersusah payah dan berpenat lelah membangunkan semula legasi kesayangannya itu yang hampir ranap 10 tahun dahulu.

Kyle boleh tinggalkan semua ini kalau Kyle mahu, mama. Kyle boleh. Tapi sebab sayangkan mama dan Baihaqi, Kyle bertahan. Sebab amanah arwah ayah untuk bahagiakan mama, Kyle telan semuanya.

Arisya memerhati Mikaeyl dari jauh. Lepas dia bangun tadi, Mikaeyl terus tenggelam dalam lamunan.

Kalaulah aku dapat selami hati kau, Mikaeyl. Aku akan bawa keluar semua kesedihan kau dan buang ia jauh-jauh. Aku tak suka sebab ia dah rampas senyuman dan kebahagiaan kau.

Alhamdulillah...sempat juga menaip walaupun harini tersangatlah busy. Kikiki Selamat membaca!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience