'YUFA'
Desis hati Shariq saat matanya terpandang satu figura yang sedang berjalan tidak jauh darinya. Serta-merta langkahnya yang tadinya laju, terhenti. Bibirnya pula mula menguntum segaris senyuman lalu dia mendongak dan memandang ke belakang
"Teguh Holding? Yufa kerja kat sini?" Shariq bersoal sendirian. Tiba-tiba saja hatinya berasa gembira.
"Nak tegur ke, tak?" Shariq mula terasa berdebar seakan itulah pertama kali dia bertemu Yufa.
"Okey, tegur jelah... alang-alang dah datang sini." Tanpa membuang masa, Shariq mengatur langkah ke arah figura itu.
Tatkala semakin mendekat, sekali lagi kakinya terhenti. Tubuhnya pula kaku. Mata memandang tepat ke arah Yufa dan seorang lelaki yang tiba-tiba datang menyapa Yufa dengan sapaan kejutan. Sementara, Yufa terus ketawa ceria. Malah, menepuk dengan mesra lengan lelaki itu.
Liur ditelan. Pahit rasanya secara tiba-tiba. Senyuman yang tadinya mekar, mula memudar perlahan-lahan. Senyuman tawar pula yang menghiasi bibir.
Tiba-tiba dia teringat bicara Puan Wardah ketika pagi hari raya tempoh hari.
'...rasanya Yufa dah jumpa pengganti kamu.'
Shariq memesong langkahnya ke arah kereta semula. Sebaik saja punggung mencecah kusyen kereta, telefon pintarnya terus dikeluarkan. Nombor Izz terus didail.
"Hello, Izz..." Shariq menyapa terlebih dulu dan berdehem bagi membetulkan kotak suara.
"Ha, kenapa dengan kau ni? Lain macam je bunyi." Izz membalas di corong telefon.
"Yufa. . aku jumpa Yufa kat Teguh Holding." Shariq beritahu dengan sedikit gementar.
"Ya... lepas tu?" Izz menanti sambungan Shariq.
"Kau tahu?" tanya Shariq penasaran. Dari nada Izz, langsung sahabatnya itu tidak terkejut.
"Kau tegur dia?" Izz membalas soalan, tanpa menjawab soalan Shariq.
"Tak. Aku ternampak..."
"Ya, Riq... aku tahu Yufa kerja kat situ." Perlahan Izz melepaskan keluhan.
"Kenapa kau tak beritahu aku?" Suara Shariq mula berubah.
"Kalau aku beritahu, kau nak buat apa?" Izz menyoal lagi.
"Ak... Aku..."
"Riq, aku tak ada hak untuk beritahu kau sebab Yufa bukan staf aku dan tu dah langgar hak dan privacy dia. Aku ni orang luar, jadi lebih baik kau tahu sendiri berbanding orang yang beritahu kau. Bukannya aku tak nak tolong, tapi benda ni akan jadi lebih keruh kalau ada campur tangan orang lain." jelas Izz nada tenang.
"Ya, aku faham." Shariq mengangguk sendiri.
"Kalau kau betul-betul nak, dan hati kau masih sayangkan dia... tanya hati, apa yang perlu kau buat?"
"Aku..." Shariq tergagap.
"Sebenarnya jalan tu dah ada... kau ada peluang untuk dapatkan dia semula. Tapi, kau kena korbankan sesuatulah." ujar Izz.
"Maksud kau?"
"Tanya diri kau, Riq... sebab kau je yang tahu jawapannya."
"Aku nak buat apa?" tanya Shariq seperti orang bodoh.
"Terpulang. Tapi, macam aku cakap tadi. Jalan tu dah ada dan peluang tu pun dah terbuka sikit. Cubalah kau cari."
Shariq diam, berfikir.
"Rugi tak guna peluang yang ada, Riq." Izz sengaja mengapikan Shariq.
"Kau ni, kan...."
"Semoga berjaya!"
PULANG dari kerja, Shariq terus memandu ke destinasi yang sudah direncanakan dari awal tadi. Sempat juga dia singgah membeli buah-buahan di tepi jalan, sebelum meneruskan perjalanannya.
Tiba saja di rumah teres keluarga Yufa, Shariq terus melangkah keluar dan memberi salam. Tidak lama kemudian, salamnya dijawab Puan Wardah.
"Waalaikumusalam. Masuklah Shariq." pelawa Puan Wardah mesra.
"Terima kasih, mama." ucap Shariq sambil menyalami tangan Puan Wardah dengan hormat.
"Baru balik kerja ke kamu?" tanya Puan Wardah.
"Ya, ma... baru balik kerja. Singgah sini kejap. Ni, saya belikan buah." Shariq tersenyum tenang sambil menghulur beg plastik kepada Puan Wardah.
"Buat susah kamu aje. Kamu duduklah dulu, mama buatkan air... nak panggil ayah kamu juga." Puan Wardah bingkas bangun dan menuju ke dapur.
"Abang..."
Terdengar Puan Wardah melaung suaminya. Tersenyum nipis Shariq mendengar. Sememangnya dia sukakan keluarga Yufa, terutama Puan Wardah, kerana tidak pernah membenci dirinya.
Namun, kerana keluarga ini juga dia terpaksa mengambil sebuah keputusan yang sangat sukar dalam hidup. Dan, kehilangan seorang isteri.
Senyuman diukir tatkala melihat gambar keluarga Yufa. Mungkin itu gambar terbaru keluarga bekas isterinya ini. Tampak sentiasa bahagia seperti selalu.
"Shariq..."
Lamunan Shariq terus berterbangan saat terdengar namanya diseru. Dia terus mendongak dan bangkit dari duduk.
"Maaf, ayah... leka sikit." Shariq terus mendapatkan Encik Safwan yang bertongkat.
"Sempat lagi kamu mengelamun." Encik Safwan ketawa kecil lalu menepuk bahu bekas menantunya dengan perlahan.
Shariq turut ketawa kecil, menutup rasa malu. Setelah Encik Safwan berlabuh, dia turut melakukan perkara yang sama.
"Kerja kuat sangat kamu ni. Susut sikit badan kamu." Encik Safwan menegur sambil memandang Shariq.
"Ye ke?" Shariq membelek tubuh sendiri, seraya membalas menyambung. " Tak adalah, ayah... biasa je."
"Kamu mana perasan, sebab badan kamu... ayah ni perasanlah perubahan tu." pangkah Encik Safwan
"Macam tu..." Shariq ketawa sambil menggaru kepala yang tidak gatal.
Encik Safwan hanya menggeleng kepala. Seketika kemudian, Puan Wardah datang sambil membawa dulang.
"Minum, Riq." pelawa Puan Wardah, sebelum berlabuh menyertai.
"Terima kasih. Ayah, mama pun minumlah." ucap Shariq.
"Kita pula, kamu ni.."
"Aku dah agak kau datang."
Tiba-tiba ada suara mencelah bicara Puan Wardah.
"Yufa." Encik Safwan terus menegur.
Shariq terus mengukirkan senyuman dan memandang Yufa dengan tenang. Lalu, dia berdiri.
"Duduklah, minum." Shariq mempelawa.
Kening Yufa terangkat. Dia memandang Shariq dengan penuh kebencian. Pura-pura baik konon.
"Ni rumah kau ke?" Yufa memeluk tubuh sambil merenung tajam.
"Yufa, cakap elok-elok sikit. Shariq ni tetamu." Encik Safwan menegur agak tegas kali ini.
"Orang macam ni, tak layak dihormati walaupun hanya sebagai tetamu." tutur Yufa dengan gigi yang diketap kuat menahan rasa marah.
"Ya, abang tahu abang salah dengan Yufa. Tapi, abang datang sini untuk melawat mama dengan ayah. Abang masih hormat mama dengan ayah macam mana abah dan ibu abang juga." Shariq membalas dengan tenangnya.
Makin naik kening Yufa, bersama senyuman sinis. Lalu, dia ketawa dengan tawa yang dibuat-buat. Dia rasa kelakar dengan bicara Shariq. Geli anak telinga dia dengar.
"Kita ni dah lama bercerai. Tolong sedar sikit diri kau tu. Mama, ayah tu.. mama, ayah aku... bukannya kau. Kau tak perlu datang ziarah pun, mama dengan ayah aku sihat je. Aku bolehlah jaga mama ayah aku sendiri. Kau tak perlu tunjuk sikap terlebih prihatin kau tu sangat. Dramalah!"
Perlahan Shariq melepaskan keluhan dalam. Senyuman masih diukir.
"Shariq, duduklah... minum. Yufa, kamu tu pergilah naik... baru balik kerja, kan. Tak elok kalau kamu nak ajak Shariq bergaduh lewat petang macam ni." Encik Safwan terus menyuruh. Sia-sia juga jikalau dia nak menegur pun.
Mendengar saja bicara Encik Safwan terus membuatkan senyuman Shariq melebar. Kaca mata di atas hidungnya terus dibetulkan dan mengenyit sebelah mata kepada Yufa.
"Okey!" Wajah Yufa serta-merta berubah merah padam. Dia tahu, Shariq sedang bersorak kemenangan. Tanpa membuang masa, dia terus berlalu.
Shariq kembali duduk dan menahan tawa. Dia tertunduk dan tersenyum kecil. Untuk menutup rasa hatinya, cawan air teh terus dicapai dan disisip perlahan.
"Maaflah dengan perangai Yufa." ucap Encik Safwan serba salah.
"Tak apa, ayah... saya faham. Yufa masih bencikan saya."
"Jangan ambil hati ya. Datang je, mama ada... ayah pun ada." ujar Puan Wardah pula.
Shariq mengangguk.
"Saya harap, saya boleh datang lagi lepas ni.
"Datanglah. Pintu rumah ni, sentiasa terbuka untuk kamu." ucap Encik Safwan ikhlas.
Senyuman Shariq terus melebar. Adakah ini peluang keemasan?
Share this novel