PUAN Wardah yang sedang menyediakan bahan untuk memasak, Yufa pandang sekilas. Ada sesuatu yang bermain di fikirannya sejak kebelakangan ini. Tambahan lagi, melihat layanan Puan Wardah pada Shariq seakan tiada apa-apa yang berlaku diantara mereka.
"Mama," Yufa menyeru perlahan. Mencari ayat yang sesuai untuk dituturkan.
"Ya?" Puan Wardah menoleh sekilas ke arah anaknya.
"Yufa nak tanya ni..."
"Tanya ajelah. Sejak bila kamu ambil masa sebelum bertanya ni?" Puan Wardah menegur terlebih dulu.
"Hesy, mama ni... perli orang pula." Yufa berdecit kecil.
Puan Wardah ketawa kecil. Dia kenal benar anaknya yang seorang ini. Bukan selalu bernada serius jika tiada sesuatu yang penting.
"Kamu nak tanya apa?" tanya Puan Wardah bernada lembut.
"Lelaki tu selalu datang sini ke?" tanya Yufa tanpa menyebut nama Shariq.
"Lelaki mana?" Puan Wardah memandang Yufa dengan tepat. Sedangkan dia sudah tahu, siapa lelaki dimaksudkan si anak.
"Shariq. Kerap ke dia datang sini masa Yufa tak ada kat rumah?"
"Tak adalah kerap sangat, tapi adalah seminggu sekali dia datang jengok mama ayah masa kamu tak ada." jawab Puan Wardah dengan jujur. Tiada apa yang harus dia sorokkan dari Yufa jikalau anaknya sendiri sudah tahu.
Yufa terkesima. Seminggu sekali?
Wah, dia rasa seperti nak terbakar. Panas membahang mula terasa. Ada agenda apa pula lelaki itu datang ke rumahnya?
"Apa lagi yang dia nak, ma? Tak cukup lagi ke apa yang dia dah buat pada Yufa lima tahun lepas?" Perlahan Yufa melepaskan keluhan.
Tangan yang basah dilap pada tuala bersih dan berjalan ke meja makan. Kerusi di hadapan Puan Wardah ditarik lalu dia berlabuh. Dia mahu mendengar jawapan yang lebih jelas.
"Shariq dah menyesal, Yufa." Puan Wardah membalas.
"Menyesal tak menjamin boleh membetulkan keadaan ke asal. Sakit yang Yufa rasa masih terasa hingga sekarang, ma... setiap kali Yufa ingat, Yufa rasa Yufa tak dapatkan maafkan dia." luah Yufa sehingga berkerut mukanya.
Puan Wardah membuang pandang ke wajah kecewa Yufa. Jelas sekali anaknya itu memendam duka di dada. Bertahun lamanya. Sungguh hatinya berasa sayu dan sedih.
"Mustahil mama dah lupa apa yang pernah dia buat, kan." Yufa memandang wajah Puan Wardah yang sayu. Dia tahu mama mengerti apa yang dia luahkan.
"Mama tak pernah lupa. Tapi, mama tak nak hati mama terus menerus marahkan dia. Mungkin masa tu Shariq terlalu ikut kata hati dia, sebab tu sekarang dia dah menyesal dengan apa yang dia dah buat."
"Ikut kata hati sampai dia sanggup campak Yufa, sedangkan masa tu dia tahu Yufa sangat perlukan dia. Tapi, sebaliknya pula yang dia berikan pada Yufa. Sakit, ma... sakit." Yufa memukul dada sendiri, menunjukkan dia benar-benar berasa sakit dengan kejadian lima tahun lalu. Biarpun sudah bertahun, rasa itu seakan baru semalam ia terjadi. Pertemuan semula dengan Shariq benar-benar merobek jahitan luka lama.
"Mama sangat faham perasaan kamu. Tapi, apa yang kamu nak mama lakukan setiap kali dia datang sini? Halau dia ke?" Puan Wardah menyoal.
"Kalau perlu halau ajelah, ma... datang sini pun menyemak aje. Buat apa lagi dia datang sini sedangkan Yufa dengan dia dah lama tak ada apa-apa. Muaklah tengok tak bersalah dia tu." Yufa terus menyandar dan memeluk tubuh. Masih tak puas hati dengan kedatangan Shariq yang kerap.
"Puas dah mama dengan ayah halau dia dulu, tapi masih lagi macam tu. Sudahnya mama biarkan aje sebab mungkin dia dah betul-betul menyesal dengan apa yang dia dah buat dulu. Tak gamak mama nak halau dia banyak kali. Mama anggap dia macam anak dah sebab dia pernah jadi sebahagian dari keluarga ni." tutur Puan Wardah.
Yufa memandang Puan Wardah sebarang kata. Kenapalah hati mama ni sangat lembut?
"Yufa, walaupun kamu dengan Shariq tu bekas suami isteri tapi, mama dengan Shariq tak ada istilah bekas. Tetap macam anak, Yufa. Macam mana mama nak halau dia lagi?" Puan Wardah menyambungnya bicara lagi.
"Tapi, Yufa tak suka dia datang sini. Buat baik bagai macam tak ada apa-apa pernah jadi. Macam mana kalau Hanif tahu? Apa Yufa nak jawab kat dia?" Yufa mendengus dalam diam. Dia tak suka Puan Wardah membela Shariq.
"Jawab ajelah Shariq tu anak angkat mama ayah." Mudah Puan Wardah memberi jawapan. Sambil tangannya kembali mengupas bawang.
"Hah?" Melongo Yufa mendengar. Aku tak salah dengar ke?
"Anak angkat mama ayah." Puan Wardah mengulang jawapan.
"Mama ni biar betul?" Serta-merta duduk Yufa berubah tegak.
"Apa pula yang tak betulnya, betullah. Shariq memang dah tak ada ikatan dengan kamu, tapi ikatan mama ayah dengan si Shariq tu tetap seperti ibu bapa dan anak. Takkan mama ayah nak halau Shariq setiap kali dia datang sini semata-mata kamu dengan Hanif." balas Puan Wardah.
"Mama tak fikir ke perasaan Hanif, perasaan Yufa? Yufa ni anak mama, bukannya jantan tak guna tu!" Sungguh Yufa terkejut dengan balasan Puan Wardah.
"Yufa." Puan Wardah menegur. Tepat memandang wajah Yufa.
"Tak betul ke apa yang Yufa cakap? Jelas sangat mama bias dengan lelaki yang dah hancurkan hidup anak mama ni. Bila Yufa hentam lelaki tu, mama back up. Siapa anak mama sekarang ni? Yufa ke Shariq?" Kali ini Yufa betul-betul tak puas hati. Rasa macam dah anak tiri pula.
"Dua-dua anak mama. Mama dah cakap kan, Shariq tu mama dah anggap macam anak." Puan Wardah mula bertegas.
"Mama kan..." Yufa hilang kata. Kepalanya digeleng tak percaya.
"Hanif masih tak tahu kan siapa Shariq tu, jadi beritahu ajelah Shariq tu anak angkat mama dengan ayah. Mama yakin Shariq takkan ganggu hubungan kamu dengan Hanif."
Yufa menggeleng kepala. Sukar untuk dia percayai kata-kata Puan Wardah kali ini kerana dia merasa perkara yang sebaliknya.
"Kalau dia ganggu juga?"
"Mama sendiri yang akan cakap dengan Shariq."
"Yufa tak tahulah nak cakap apa dengan mama ni. Mama..."
"Assalamualaikum."
Bicara Yufa terhenti tika mendengar suara memberi salam. Dalam geram, dia menghentak kaki di bawah meja dan bangun dari kerusi.
"Waalaikumusalam." Yufa menyahut sambil menuju ke ruang tamu.
"Nah, ayah beli nenas. Mama kamu cakap nak masak pajeri nenas esok." Encik Safuan menghulurkan bungkusan kepada Yufa.
"Ha'ah." Yufa menyambut. Daun pintu yang terbuka terus ditutup.
"Eh, kenapa kamu tutup pintu? Shariq ada kat luar tu. Panggil dia masuk." Encik Safuan terus menoleh dan menegur.
"Apa? Shariq?"
"Yelah, Shariq... ayah terserempak dengan dia kat kedai tadi. Ayah ajak dia datang sinilah, makan tengahari sama-sama." jelas Encik Safuan.
Yufa rasa nak menyumpah seranah saja. Kenapa dua tiga hari ini hanya nama Shariq yang menyapa halwa telinga? Tak cukup dengan itu, tuan badan turut muncul di hadapan matanya.
"Ayah ajelah yang panggil. Yufa nak ke dapur." Tanpa membuka pintu kembali, Yufa terus berjalan ke dapur. Sebalnya rasa. Geram hingga dia hilang kata-kata.
"Budak bertuah ni..."
***
FLASHBACK
"Abang janji, abang takkan sia-siakan Yufa. Abang juga janji, abang akan setia hingga hujung nafas." ucap Shariq seusai majlis akad nikah mereka.
"Kenapa tiba-tiba awak gelar diri abang?" Ketawa Yufa mendengar kata ganti yang digunakan Shariq.
Shariq turut ketawa lalu tersengih. Yufa di hadapannya direnung penuh kasih.
"Mestilah.. sebab abang dah janji dengan diri sendiri, abang akan gunakan Abang sebaik aje lafaz akad kita."
"Alahai, berjanji pula dia. Awak tak rasa tua ke, gelar diri macam tu?" tanya Yufa.
"Tak adalah sebab ramai aje yang guna."
"Kalau saya tak nak panggil abang?" Yufa mendengar.
"Okey aje, tak ada masalah." Tenang Shariq berkata.
"Sebab saya nak panggil awak... husbaby." kata Yufa lalu mengenyit mata.
Shariq terkedu sebelum wajahnya bertukar kemerahan. Begitu manis panggilan itu di telinganya. Wajahnya yang merah membuatkan Yufa ketawa kuat.
"Tak tahu pula suami kita ni pemalu." Yufa mengusik lalu mengenyit mata beberapa kali lagi.
"Aduh, luruhlah jantung saya..." Shariq menutup wajah dengan sebelah tangannya.
Makin kuat Yufa ketawa. Melihat Yufa yang ketawa dan gembira membuatkan hatinya senang dan lapang. Tiada yang lebih gembira hatinya selainkan melihat keceriaan di wajah itu.
END FLASHBACK.
Maaf atas segala kekurangan dalam cerita ni❤️
Share this novel