***
"YUFA Dalila... mulai hari ni, Yufa bukan lagi isteri abang."
"Ap... apa abang cakap?"
"Abang ceraikan Yufa dengan talak satu. Jelas?"
"Shariq!"
"Apa salah Yufa? Kenapa abang ceraikan Yufa?"
"Abang bosan. Abang rasa abang nak hidup single semula macam dulu. Rupanya abang masih belum bersedia dengan komitmen. Lagipun, abang masih study jadi abang nak kejar cita-cita abang dulu. Lepaskan Yufa adalah jalan yang terbaik dalam hidup abang."
"Astaghfirullah. Apa yang kamu sedang fikir ni, Shariq? Kamu dah hilang akal ke? Yufa tu baru aje lepas keguguran. Dan, kamu pula ceraikan dia. Ya Allah, apa dah jadi dengan kamu ni?"
"Abang, tolong jangan ceraikan Yufa. Tolong tarik balik ucapan abang tadi tu. Abang, tolonglah.. Yufa tak nak diceraikan. Yufa sayang abang. Yufa sayang perkahwinan kita. Abang..."
***
LAFAZ cerai yang lahir dari bibirnya lima tahun lalu seakan sedang diulang tayang. Riak wajah Yufa yang dibasahi air mata ketika itu membuatkan dia memejam mata waktu kini.
Tiada apa yang mampu dia lakukan lagi. Dia tidak mampu mengundur masa. Namun, jauh di sudut hati dia tidak menyesal dengan keputusan yang telah dibuat. Tetapi, hanya ralat kerana terpaksa memilih.
"Maafkan abang, Yufa..." bisik Shariq sendirian. Tubuh disandar di dada sofa.
"Apa khabar Yufa sekarang?" Shariq bersoal jawab lagi walaupun dia sendiri sudah tahu.
Dihalau ketika menziarah ibu mentuanya beberapa minggu lalu membuatkan Shariq tergelak sendiri. Garangnya Yufa. Jauh berbeza berbanding Yufa yang dia kenali lebih lima tahun lalu.
"Waktu mampu merubah manusia, Shariq. Lagi-lagi kau dah berikan dia sebilah belati. Mahunya tak si Yufa tu berubah. Segalanya berpunca dari kau." Shariq menyedarkan diri sendiri tentang hakikat itu.
"Abang nak pulihkan semula hubungan kita..." gumam Shariq sambil berfikir.
"Tapi, nak ke Yufa? Yufa nampak dah benci aku." Shariq terus meraup wajah. Berserabut pula dia berfikir.
"Yufa Dalila binti Ahmad Safwan..." Shariq menyeru nama penuh Yufa pula.
Semangat yang sedikit berkobar-kobar seketika tadi tiba-tiba layu secara perlahan-lahan. Dia tersenyum kelat. Mustahil untuk dia memiliki Yufa semula jika terdapat halangan yang sudah jelas sejak dari mula.
"Shariq Faiyaz bin Idris!"
Shariq terus panggung kepala. Mukanya berkerut. Seketika sel otaknya seakan sedang berhubung sebelum segala tentang Yufa berterbangan pergi.
"Izz?" Shariq berkelip-kelip
"Ya, aku Izz... bos dan kawan kau. Kau ni dah kenapa? Dari tadi aku tercegat kat sini, kau tak sedar ke?" ujar Izz lalu menggeleng kepala.
"Eh, bila kau masuk?" Shariq terus garu kepala sambil melihat pintu dan Izz silih berganti.
"Astaghfirullah," Izz terus beristighfar.
Tanpa membuang masa, dia berlabuh di hadapan Shariq. Air dalam gelas di atas meja dituang sedikit ke atas telapak tangan dan memercik ke arah Shariq.
"Woii... apa salah aku?" Shariq terkejut dengan perbuatan Izz.
"Ni baru air aku percik kat kau, belum lagi aku simbah terus." Izz berkata sinis.
"Apahal kau ni?" Shariq terus mengelap wajah dengan muka tak puas hati.
"Aku ketuk pintu sampai sakit tangan aku ni. Berdiri pula kat depan kau dah dekat lima minit. Kau tanya aku, apa salah kau? Kau rasa?" Izz terus bersandar sambil tangan di dada. Berpeluk tubuh. Matanya tepat merenung wajah Shariq.
Shariq terus menggaru kepalanya lagi. Lalu, dia tersengih melihat wajah serius Izz. Boleh tahan serius wajah sahabatnya yang seorang ini.
"Aku nak dengar jawapan, bukannya nak tengok kau tersengih-sengih." kata Izz.
Shariq tergelak. Tubuhnya terus ditegakkan. Lengan diatas lutut dan tangan terus saling menggenggam.
"Janda aku dah balik."
"Janda kau? Yufa?" Kedudukan Izz juga dah berubah tegak. Terkejut dengan berita yang baru disampaikan Shariq.
"Yelah, Yufa. Berapa orang janda yang aku ada?" Shariq terus menempelak.
"Manalah tahu kau banyak janda." Izz terus ketawa kuat.
"Baik kau berhenti gelak sebelum aku simbah kau dengan air ni." Shariq terus mengugut.
"Relaks, bro... kau ni apahal, janganlah emo. Aku gurau je kut." kata Izz tenang. Tawanya masih kedengaran.
Shariq menghembus nafas dengan kuat.
"Riq, apa lagi... masuklah jarum balik." ujar Izz kemudiannya.
"Kalaulah sesenang tu..." keluh Shariq.
"Kau masih fikir benda yang sama ke?" Izz kembali serius.
"Sampai sekarang aku masih fikir benda yang sama." akui Shariq lalu mengeluh lagi.
"Bincang elok-elok kalau kau betul-betul mahukan Yufa semula."
"Tapi, Yufa... nak ke dia?" Shariq bersoal pula.
"Hati perempuan macam kerak hati. Lama-lama cairlah."
Spontan Shariq tersenyum sinis sambil menggeleng kepala.
"Kalau hati perempuan dah tawar, kau usahalah macam mana pun... dah tak ada guna. Hati perempuan akan jadi sekeras batu. Sebab luka yang dah aku berikan tu." balas Shariq.
"Tu betul. Ambil pengajaran dari pengalaman aku dengan isteri akulah. Bukan senang nak pujuk hati perempuan ni." Izz mengangguk. Dia faham apa yang dikata Shariq.
"Lagipun dah lama, lima tahun dah. Mustahil dia masih ada perasaan sayang pada aku lagi. Mungkin yang ada di hati dia, hanya satu iaitu... benci." Shariq senyum tawar. Satu hakikat yang harus dia telan. Kebencian Yufa padanya.
"Kesilapan lalu tu kau boleh betulkan. Janji jangan ulang lagi." tutur Izz.
"Boleh. Tapi, ada ke peluang untuk aku? Yufa nak berikan aku peluang kedua ke?"
Izz terkelu. Dia tiada jawapan pada pertanyaan Shariq.
"Belum tentu aku akan dapat peluang kedua dari Yufa. Dari sinar mata dia pun aku dah tahu, dia bencikan aku." Shariq menyambung.
"Kau dah jumpa dia ke?"
"Dah. Masa hari raya hari tu."
"Macam mana dah sekarang? Makin cantik?" Izz cuba mengorek cerita.
"Alhamdulillah, dia nampak sihat. Cantik tu... masih cantik seperti dulu. Lagi cantik rasanya sebab dah pandai make-up. Nampak lebih matang, dah hilang dah muka kebudak-budakan dia tu. Nampak garang..." ujar Shariq dengan senyuman yang tak lekang. Tambahan lagi apabila garangnya muka Yufa ketika menghalaunya tempoh hari.
Izz turut tersenyum tatkala melihat senyuman Shariq yang melebar saat ditanya tentang Yufa. Tampak jelas disebalik sepasang mata itu riak kegembiraan.
"Kau masih sayangkan dia? Cinta dia?" Izz bertanya sedikit perlahan.
Perlahan-lahan senyuman Shariq memudar dan bertukar senyuman tawar. Dia tunduk sedikit.
"Kau masih berharap pada Yufa ke?" Izz terus bertanya lagi.
Teragak-agak Shariq menggeleng kepala. Dia panggung kepala semula dan senyum lebih yakin.
"Ada apa kau masuk bilik aku ni?" Shariq terus mengubah topik.
"Aku nak suruh kau hantar surat ni. Surat ni penting." Izz terus meletak sepucuk surat ke atas meja.
"Kat mana?"
"Teguh Holding."
"Okey, boss."
Share this novel