Yufa - 10

Short Story Completed 25775

GUNDAH gulana Yufa dibuatnya apabila teringat kembali kejadian di rumahnya hujung minggu lalu. Hingga ke hari ini, tiada sebarang panggilan mahupun mesej dari Hanif. Hanif berkecil hati ke sebab dia merahsiakan semua ini?

Dia benar-benar buntu bagaimana hendak berhadapan dengan Hanif dan menjelaskan semua. Dia sedar salahnya juga kerana merahsiakan status dirinya. Tapi, nak buat macam mana, nasi dah menjadi bubur. Hadap sajalah.

Yang pasti sekarang, dia harus mencari Hanif dan menjelaskan segalanya. Hingga ke saat ini, dia masih dihambat dengan rasa bersalah kerana tak jujur dari awal perkenalan mereka. Tapi, dia juga berhak untuk berahsia kan.

"Serabut kepala aku." Yufa meraup wajah perlahan. Letih memikirkan tentang Hanif.

Telefon pintar di atas meja terus dicapai dan nombor Hanif dicari. Berdebar-debar dadanya untuk menghubungi lelaki itu tetapi dia tiada pilihan. Dia tidak mahu terus berasa begini, rasa tak tenang.

Tanpa membuang masa, skrin telefon pintar itu disentuh. Nombor Hanif dipanggil.

"Ehem, hello..." Yufa berdehem kecil tatkala panggilannya dijawab.

"Ada apa?" Suara Hanif mendatar bertanya.

"Err... awak, saya nak jumpa." Yufa terus beritahu niatnya.

Diam, hanya dengusan perlahan yang kedengaran.

"Awak, saya akan jelaskan semuanya pada awak."

"Ayah awak dah beritahu segalanya pada saya."

"Sejauh mana?"

Diam lagi. Hanif mengambil masa yang lama untuk menjawab.

"Awak, saya nak tahu sejauh mana awak tahu tentang masa lalu saya. Saya juga nak tahu macam mana ayah jelaskan pada awak."

"Saya sibuklah, Yufa."

"Awak, pleasee... dengar penjelasan saya dulu. Saya ada alasan sendiri kenapa saya rahsiakan semua ni daripada awak." minta Yufa bersungguh. Dia tidak mahu hubungannya dengan Hanif terlerai begini saja tanpa dia menjelaskan alasannya.

"Jelaskan je sekarang."

"Tak nak. Saya nak jumpa awak, saya nak jelaskan di depan awak... mata awak, baru saya puas hati. Please, Hanif...."

Hanif mengeluh dalam. Dia juga buntu memikirkan tentang mereka. Tapi, mendengar rayuan Yufa membuatkan hatinya berbelah-bahagi. Jauh di sudut hati, dia rindukan wanita itu.

"Okay, baik... kat mana nak jumpa?"

Jawapan Hanif membuatkan Yufa tersenyum lebar. Dia tahu hati Hanif tidaklah sekeras mana.

"Tempat biasa."

"Okey."

***

HANIF menatap wajah Yufa yang masih diam membisu di hadapannya. Sementelah Yufa sudah salah tingkah. Sambil-sambil dia mencari idea.

"Kata nak jelaskan." kata Hanif. Dia terus bersandar dan berpeluk tubuh. Jelas ketegasan di riak wajahnya.

Yufa berdehem kecil. Senyuman diukirkan untuk Hanif. Cuba menyejukkan hati lelaki itu. Harap-harap berjayalah. Di dalam hati macam-macam doa yang dibacanya. Semoga Hanif lembut hati.

"Saya minta maaf sebab merahsiakan semua ni daripada awak. Saya tak ada niat pun nak menipu awak atau apa, tapi saya tak ada pilihan lain. Saya juga malu dengan status saya... janda. Apatah lagi diusia yang sangat muda tapi dah diceraikan suami. Perkahwinan saya gagal ketika di usia saya masih belasan tahun." Yufa bermukadimah. Perkataan Janda membuatkan senyuman Yufa tawar. Dia malu dengan status dirinya sendiri.

Hanif sekadar mengangguk dan membisu. Tahukah Yufa bahawa dia sangat terluka dengan apa yang dia dengar? Selama ini dia ditipu. Ya, dia rasa tertipu. Bukan sekejap tapi bertahun.

"Saya nak tahu sejauh mana ayah beritahu awak? Apa lagi yang ayah beritahu?" tanya Yufa ingin tahu. Sudah berhari dia penasaran dan berperang dengan perasaan sendiri.

"Ayah awak beritahu saya yang awak pernah berkahwin lima tahun lalu dan bercerai. Ayah awak juga beritahu, siapa suami awak."

Yufa menelan liur. Perkara itu yang dia takutkan. Hanif tahu tentang Shariq. Kalau boleh, dia tak mahu Hanif siapa bekas suaminya.

"Shariq." Senafas Hanif menyebut dengan renungan tepat ke dalam mata Yufa.

Dada Yufa berdegup laju. Dia mula berpeluh di dalam kedinginan penghawa dingin. Tangannya tiba-tiba bertukar sejuk.

"Lelaki yang awak kata lelaki tak betul tempoh hari tu rupanya bekas suami awak. Tak sangka saya ditipu oleh wanita yang saya sayang selama ni." jelas Hanif bernada kecewa. Senyuman sinis turut terukir di bibirnya. Ingin saja dia melepaskan rasa kecewanya selama ini, tapi ditahan.

Yufa terus menunduk. Jari jemari tangan kiri dan kanan mula bertaut. Kesal dan bersalah dengan Hanif.

"Saya tahu saya salah, saya akui salah saya kerana dah menipu awak. Tapi, saya betul-betul buntu masa tu dan saya nak lari dari Shariq. Jadi, saya terpaksa menipu awak." Yufa hela nafas berat.

"Kalau awak jelaskan pada saya dari awal, perkara ni takkan berlaku. Saya malu dengan ayah awak sebab saya tak tahu sejarah awak sedangkan kita dah lama kenal. Sekali pun awak tak pernah cuba untuk beritahu saya perkara sebenar. Saya rasa macam orang bodoh!" luah Hanif. Nada suaranya ditahan. Gusar dia melepaskan kemarahan di tempat umum.

"Saya betul-betul minta maaf." Yufa angkat kepala dan menatap wajah bersih Hanif. "Saya akui saya silap sebab tak jujur."

"Jadi sekarang ni, saya nak dengar semuanya dari awak sendiri." Hanif menuntut penjelasan.

Nafas digali dalam-dalam dan dihembus perlahan. Cuba menenangkan diri. Dia tak mahu salah bertutur.

"Saya takut nak beritahu awak yang saya ni seorang janda. Takut dengan penerimaan awak tentang status saya. Saya bukan anak gadis dara macam orang lain yang sebaya dengan saya, tapi sebaliknya. Saya malu nak berhadapan dengan masyarakat jadi saya memutuskan nak rahsiakan tentang status saya. Awak sendiri tahu, penerimaan masyarakat pada status janda ni macam mana, jadi disebabkan tulah saya jadi takut. Sejujurnya saya tak percayakan lelaki sejak saya bercerai, tapi awak dah buka hati saya untuk percayakan awak. Cuma saya masih belum berkesempatan nak beritahu perkara yang sebenar."

"Awak masih ada perasaan pada bekas suami awak tu?" tanya Hanif. Dia benar-benar ingin tahu kenyataan yang satu itu.

"Sejak saja dia ceraikan saya selepas saya keguguran, hati saya dah mati untuk dia." Yufa senyum nipis. Kalau boleh dia tak nak lagi ingat peristiwa menyakitkan itu tapi demi sebuah kejujuran, dia terpaksa mengungkitnya kembali.

"Habis tu, kenapa dia selalu ganggu awak? Dia masih ada perasaan pada awak ke?" Hanif terus bertanya lagi.

"Saya dah tak ambil tahu lagi pasal dia, lagi-lagi perasaan dia. Bagi saya tu semua dah tak penting, dah terlambat untuk dia kalau dia menyesal sekalipun. Sebab saya pun dah ada awak kan." Yufa tersenyum lalu tertunduk. Malu nak mengakui perasaannya pada Hanif. Lelaki yang selalu membuatkan dia rasa selesa dan dihargai.

Hanif menyimpan senyum. Jelas wajah Yufa yang memerah. Hampir seminggu dia menanti panggilan dari Yufa untuk dia mendengar kebenaran itu dari Yufa sendiri dan akhirnya hari ini dia berasa lega. Jawapan Yufa menggembirakan hatinya.

"Hanif, tolong maafkan saya." Redup mata Yufa menatap Hanif.

"Saya akan maafkan awak. Tapi, dengan syarat," Hanif berubah tegak kedudukannya.

"Apa syarat awak?"

"Kahwin dengan saya."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience