Yufa - 16

Short Story Completed 25775

[FLASHBACK]

"SHARIQ, mama letak makanan atas meja dapur ni ya. Nanti sebelum kamu pergi hospital ambil makanan ni dulu." pesan Puan Wardah yang sedang sibuk di dapur itu.

"Baik, mama. Saya naik atas kejap, nak ambil barang-barang Yufa."

"Yelah."

Setelah meminta diri, Shariq terus bergegas naik ke atas. Risau meninggalkan Yufa sendirian di hospital. Lalu, segala keperluan yang diperlukan dimasukan ke dalam beg begitu saja.

Kakinya terus diayun menuju ke dapur. Hampir dia terlupa makanan untuk isterinya itu. Namun, langkahnya tiba-tiba mati apabila mendengar kekecohan di dapur.

"Aku tak kira! Aku nak budak hingusan tu ceraikan Yufa. Budak tak guna. Budak tak ada masa depan. Tengoklah apa dah jadi dengan Yufa tu, keguguran! Semuanya gara-gara si Shariq tu tak reti jaga. Bini sorang pun tak reti nak urus."

Tersentak Shariq mendengar. Kepalanya terus ditunduk menekur lantai.

"Apa abang ni? Yufa tu keguguran sebab jatuh, bukannya sebab Shariq. Saya tengok elok je Shariq tu jaga anak kita. Kat mana yang tak retinya?" Puan Wardah menggeleng kepala dengan perangai suaminya. Tak sudah-sudah hendak menyalahkan Shariq.

"Awak ni bela sangatlah budak tak ada masa depan tu. Kalau dia reti jaga mesti dia tahu yang Yufa nak sambung belajar tapi tengoklah sanggup pula anak awak tu belajar setakat STPM je semata-mata nak tumpu jadi isteri. Apa yang dia dapat jadi isteri sepenuh masa pada suami yang macam tu? Bukan boleh bagi dia kemewahan pun. Hidup pun ibarat kais pagi, makan pagi... ada hati nak sara anak kita. Memang dari awal lagi saya tak berkenan dengan budak tu tapi anak awak tu gatal sangat nak kahwin. Sekarang ni rasalah hidup susah. Nak hidup berdikari di rumah sendiri pun belum tentu lagi. Sudahnya sampai ke tualah macam tu... hidup merempat kat rumah mak bapak." ujar Encik Safwan bertalu-talu.

"Astaghfirullah... abang ni. Budak-budak tu baru aje beberapa bulan kahwin, nanti pandai-pandailah diorang tu hidup di rumah sendiri. Abang tak tengok ke si Shariq tu bertungkus lumus kerja part time sini sana sambil belajar sebab nak sara kehidupan diorang suami isteri. Sepanjang Yufa tu jadi isteri, tak pernah sekali pun dia minta duit kat saya ni lagi. Tu tandanya cukup duit yang Shariq bagi kat dia." Puan Wardah terus membela lagi.

"Apa yang awak tahu sangat? Mula-mula ni memanglah cukup. Nanti masa depan belum tentu cukup. Silap hari bulan mati kebulur anak awak tu kalau terus hidup dengan budak tu. Sia-sia aku hantar belajar tinggi-tinggi tapi akhir sekali berhenti sebab termakan kata-kata budak tu. Apalah yang dah budak tu racun fikiran Yufa tu sampai tak reti nak berfikir? Sanggup tak sambung belajar. Tapi, budak tu pandai pula sambung belajar. Yang Yufa ni disuruh berhenti. Kat situ pun dah nampak, budak tu tak layak jadi ketua keluarga apatah lagi jadi suami anak kita."

"Ya Allah! Abang ni... tu keputusan Yufa sendiri, Yufa sendiri yang bagitahu saya yang dia memang nak belajar setakat STPM aje."

"Tulah yang aku kata, bazir duit aku aje hantar belajar tinggi-tinggi kalau satu sen pun aku tak dapat merasa balasan anak sendiri. Kalau tahu macam ni baik tak payah bagi belajar dari kecil. Senang!"

"Istighfar, abang... kalau Yufa tahu bencinya abang pada suami dia, mesti kecil hati."

"Eh, baguslah kalau tahu. Senang sikit aku nak pisahkan diorang. Buat apa pura-pura suka sedangkan hati aku ni sakit tengok anak aku jadi penggangur. Gelap masa depan. Cuba awak tengok anak jiran sebelah ni, tinggi anak dia belajar sampai menara gading... banggakan mak bapak dengan ijazah, master, PHD. Jadi doktor, lawyer... cikgu. Semua tu cerah masa depan, senang hidup mak bapak dia nanti. Tapi, yang kita ni terbalik. Nampaknya sampai ke tualah kena kerja. Anak pun tak mampu sara. Yelah, suami anak kita pun tak mampu sara anak kita, ni kan pula nak tambah sara kita ni lagi. Jauh sekalilah." Encik Safwan mencebik benci.

"Sudah-sudahlah tu, abang... dengar dek Shariq, terasa dia nanti." Malas pula Puan Wardah melayan perangai suaminya itu. Tak pernah puas hati dengan Shariq. Ada saja yang tak kena di mata.

"Nilah awak, terlalu ambil ringan tentang masa depan anak-anak. Sebab tu masa Yufa tu gatal nak kahwin, awak iyakan aje. Tak fikir masa depan si Yufa tu nanti bersuamikan budak tak ada masa depan." Pedas Encik Safwan menyindir.

"Apa pula yang tak ada masa depannya?
Shariq tu sambung belajar, abang... nanti eloklah tu dia dapat kerja yang lagi bagus. Mampu aje sara anak kita tu. Abang jangan risaulah." Penat benar nak fahamkan suaminya ini. Semuanya serba salah.

"Bagus apanya kalau sekarang ni pun jadi tukang kebun. Itu jelah yang mampu dia buat, benda lain tak retinya."

Dalam Shariq menghela nafas. Salahkah dia berkerja hanya sebagai tukang kebun? Begitu hinakah pekerjaannya itu?

"Dia belum habis belajar lagi, nanti dah habis mesti dapat kerja lagi elok." pangkah Puan Wardah geram.

"Tak nampak jalannya ke arah tu. Mimpi jelah awak nak tengok menantu kesayangan awak tu macam menantu kawan-kawan awak yang lain." cebik Encik Safwan. Ketawa sinis turut disertakan.

Dengan semangat yang kuat, Shariq menerus langkah. Bibirnya ukir senyuman manis. Cuba menyembunyikan rasa hati yang sebenar. Tenangkan diri.

"Ayah, saya yakin saya mampu jaga Yufa. Ayah jangan risau, saya akan cari kerja yang lebih baik bila saya dah berjaya nanti." tutur Shariq bersama tekad di hati. Kata-kata hinaan itu akan dia jadikan satu pembakar semangat.

Terkesima Puan Wardah di tempatnya. Tak disangka perbualan mereka didengari Shariq. Rasa belas serta-merta tumpah sebaik saja memandang air muka menantunya itu.

"Apa kau cakap? Mampu sara?" Encik Safwan meledakkan tawa. Kelakar dengan kata-kata Shariq.

"Ya, ayah... saya yakin saya mampu. Saya akan buktikan. Saya juga akan pastikan Yufa sambung belajar semula." Shariq menabur janji.

"Tak payah kau berjanjilah. Selagi kau jadi suami anak aku, selagi tu anak aku takkan sambung belajar. Jadi cuma satu aje jalan penyelesaian iaitu ceraikan anak aku!"

Shariq terpempan. Kata-kata Encik Safwan membuatkan dia hilang kata-kata. Kelu untuk membalas.

"Abang! Ya Allah, abang ni dah gila ke? Sanggup abang nak musnahkan masjid anak sendiri?" marah Puan Wardah. Kali ini dia benar-benar kecewa. Tegar suaminya meminta sendiri di depan Shariq.

"Awak diam. Jangan masuk campur." Encik Safwan mengerling tajam.

"Sudah! Shariq, ambil ni makanan Yufa. Lebih baik kamu pergi hospital teman Yufa. Jangan balik sini selagi mama tak call kamu." Dengan pantas Puan Wardah mengambil bekas makanan mangkuk tingkat dan dihulur secara paksa kepada Shariq. Dia menolak tubuh menantunya itu pergi keluar dari dapur.

Dengan lemah lutut, kakinya melangkah jua meninggalkan dapur itu.

"Jangan dengar cakap ayah kamu ni, dia tak sedar apa yang dia cakap. Kamu jangan ambil hati ya."

...

"Kamu ni ke mana, Shariq? Yufa tu tercari-carikan kamu." tegur Encik Idris dengan gelengan kepala. Dia menghampiri anaknya yang sedang duduk di bangku sambil menunduk.

"Teruk sangat ke Riq ni, abah?" Shariq menyoal. Dia mula hilang keyakinan diri. Bagaimana nak dia pertahankan rumah tangganya?

"Teruk macam mana?" tanya Encik Idris tak mengerti.

"Riq ni memang tak ada masa depan ke? Masa depan Riq kelam ke, abah? Teruk sangat ke Riq ni?" Matanya mula terasa pedih. Tak mampu lagi mengangkat wajah.

"Kenapa kamu cakap macam ni, Shariq? Siapa pula yang tentukan masa depan kamu?" Encik Idris menepuk-nepuk bahu anaknya.

"Riq tak reti jaga isteri, abah." Shariq menekup muka. Cengengkah kalau lelaki menangis?

"Dah, tak payah dengar cakap orang."

'Riq tak dengar cakap orang, abah... Riq dengar bapa mentua Riq sendiri cakap macam tu. Dia bukan orang lain.' Kata-kata itu hanya mampu terluah dalam hati.

"Pergi tengok Yufa. Kesian Yufa cari kamu dari tadi. Abah nak ke tandas sekejap." tutur Encik Idris seraya bangun dan berlalu pergi.

Wajah yang kusut, Shariq usap berkali-kali. Fikirannya mula berserabut. Pelbagai perkara yang bermain di fikirannya. Apatah lagi dengan kata-kata Encik Safwan yang masih tergiang-giang di telinga.

Dengan langkah longlai dia membawa langkah ke bilik wad Yufa. Di pertengahan jalan, bahunya ditepuk dahi belakang. Dia terus menoleh dan terpaku. Sejak bila pula Encik Safwan datang?

"Fikir dulu sebelum bilik wad anak aku tu. Kau tahu tak, kau pun belum tentu mampu bayar bil hospital ni. Tu pentingnya pelajaran. Bila sakit ni semestinya nak duduk di wad yang selesa dan aman, bukannya wad yang bersesak dengan orang ramai, yang panas tu. Semua ni pun harap aku juga yang bayar. Nak harap kau... habuk ajelah."

Shariq telan liur.

[END FLASHBACK]

***

"MENUNG jauh nampak." Izz menegur. Bahu Shariq ditepuk bagi menyedarkan sahabatnya itu kembali ke alam nyata.

Shariq terus melemparkan senyum. Dia bersandar santai sambil tangannya mengemas meja yang agak bersepah.

"Hujan-hujan ni sedap layan perasaan." katanya lalu ketawa kecil.

"Sampai aku masuk pun kau tak sedar." Izz geleng kepala. Dia berlabuh di hadapan Shariq.

"Tulah, lama juga aku layan perasaan dengan otak aku ni." Shariq membuang pandang ke arah tingkap yang agak berkabus.

"Setiap kali aku masuk bilik kau, mesti kau termenung. Makin kerap termenung lepas kau terjumpa bekas isteri kau tu semula." ujar Izz. Dia perasan perkara yang satu itu.

"Entahlah, Izz... aku teringat kisah dulu-dulu pula. Mungkin ni salah satu proses untuk move on kut." balas Shariq. Dia akan belajar melepaskan.

"Aku pun jadi teringat juga. Aku ingat lagi, kau datang rumah parents aku, dengan pakai pakaian lusuh minta kerja. Terkejut juga bapak aku masa tu sebab kau anak muda kan, tapi datang minta kerja sampai kau tak kisah kerja apa sekali pun. Jadi disebabkan rasa kesiankan kau dan kebetulan juga, Pak Mail pun dah tak berapa larat nak urus taman dan kawasan kat rumah tu, bapak aku ambil kau jadi tukang kebun. Gigih pagi-pagi kau datang naik skuter lagenda kau tu. Memang nampak kau bersungguh-sungguh." Izz turut teringat kisah lama juga.

Itu kali pertama mereka berjumpa. Walaupun jarak usia yang agak jauh, tapi mereka bersahabat. Dia suka dengan sikap jujur dan bersungguh Shariq ketika itu.

"Skuter tu mahal tahu tak? Banyak memori yang tersimpan. Tu motor pertama aku beli lepas kahwin, tu pun motor secondhand aje tapi penuh dengan nostalgia. Sampai sekarang masih elok." ujar Shariq lalu ketawa sendiri.

Izz turut ketawa. Dia mengangguk-angguk. Dia tahu semua itu. Kenangan yang tak mampu dijual beli.

"Okey, sebenarnya aku masuk bilik kau ni... aku nak serahkan ni kat kau." Izz menolak sampul ke hadapan Shariq.

"Benda apa ni?" Shariq berubah serius.

"Identiti Hanif. Aku rasa kau akan gembira." Izz mula senyum dengan penuh makna.

"Aku akan gembira?"

"Yup!"

"Kenapa pula?"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience