Yufa - 12

Short Story Completed 25775

"ABAH dari mana ni?" tegur Afsha yang sedang mendodoi tidur anak kecilnya.

"Dari rumah Che Wan." ujar Encik Idris seraya berlabuh di sofa bersebelahan Shariq. Kopiah di kepala ditanggal dan diletak ke tepi.

"Che Wan?" Berkerut dahi Afsha sambil bertanya. Terlupa sekejap, siapa Che Wan yang disebut abah.

"Che Wan, ayah Yufa."

"Oh, terlupa pula." Afsha tersengih. Maklumlah adiknya dah lama bercerai, jadi nama mak ayah Yufa pun dia turut terlupa.

"Kamu tak pergi?" Encik Idris menepuk paha Shariq di sebelah.

"Pergi mana?" tanya Shariq. Dari tadi dia penasaran tapi berat mulut hendak bertanya.

"Che Wan tak panggil kamu?" Encik Idris membalas soalan.

"Panggil," Perlahan Shariq menjawab. Sebuah keluhan dilepaskan.

"Lupakanlah. Belajar ya." tutur Encik Idris. Bahu tegap anaknya ditepuk-tepuk. Memberi sedikit kekuatan yang tak seberapa.

"Ada apa sebenarnya ni, abah?" Afsha yang terpinga-pinga dengan topik yang disembang terus mencelah. Nampak sendu saja dua beranak itu.

"Yufa dah bertunang." beritahu Encik Idris senada.

Anak mata Afsha terus memesong ke wajah Shariq. Patutlah adiknya ini hanya diam membisu dari tadi. Rupanya sedang patah hati.

"Dah sampai jodoh kan," Afsha cuba menceriakan suasana.

"Kamu dah lakukan yang terbaik, Shariq... tak perlu dikesalkan. Sekarang ni biarlah Yufa cari kebahagiaan dia sendiri. Lepaskanlah Yufa ya, nak." Sebak hati Encik Idris bertutur. Dia tahu hati anaknya terluka dalam setelah apa yang berlaku.

Shariq terus tunduk dan mengesat air mata di tubir. Dia berdehem kecil. Senyum, itu yang mampu dia lakukan. Berikan semangat untuk diri sendiri.

"Dah, abah... Riq dah lepaskan dia. Riq pun dah tak nak ingat dah pasal dia." Shariq ukir senyuman lebar. Walaupun hatinya juga rapuh. Siapa kata lelaki sentiasa kuat? Lelaki cuma pandai merahsiakan saja.

"Kumpul duit banyak-banyak, cari orang lainlah." kata Afsha ketawa sendiri. Air mata dilap dengan hujung baju T yang dipakai. Tak menduga adiknya akan menangis kerana seorang perempuan.

"Tak naklah, malas nak cari. Lebih baik aku kumpul duit pergi holiday." Shariq membalas, cuba berlagak tenang.

"Lebih afdal kamu pergi Mekah dulu." sampuk Encik Idris.

"Ops!" Afsha ketawa kuat apabila abah mengenakan Shariq.

"Yelah, pergi Mekah dululah." Shariq garu kepala yang tak gatal.

"Lepas ni kau makin ada banyak masa jaga anak-anak akulah. Tak payah disibukan dah pasal janda kau tu lagi." Afsha menepuk tangan. Sengaja mahu menghiburkan hati adiknya itu.

"Kau ingat aku ni baby sitter ke nak jaga anak-anak kau 24 jam? Bagi bapak diorang yang jagalah." Laju Shariq membalas. Gurau kasar.

"Bapak diorang belum nampak jalan balik lagi. Nun... di Lubnan sana, tahun depan baru nampak batang hidung. Kau ni pun dengan aku pun nak berkira. Nanti aku bagi upahlah. Kau nak apa, nanti aku beli."

Encik Idris hanya menggeleng kepala dengan karenah anak-anaknya ini. Dah besar panjang pun tetap bergaduh manja. Ada saja topik nak bergurau. Kalau orang luar dengar mesti kasar bunyinya tapi bagi dua beradik itu, dah terbiasa.

"Yelah, aku jaga. Nanti aku bawa Rizqi tu ke ofis aku, sebab nak mudahkan kerja kau. Kesian pula aku tengok terkial-kial nak kawal Rizqi."

"Ha, tu baru namanya adik aku." Afsha ketawa besar. Untung-untung Shariq ringankan bebanannya.

"Hei, kau ni ketawa dah macam mak lampir aku tengok. Kau nak bekas operation tu terbuka ke?" Agak keras Shariq menegur. Risau juga kakaknya yang seorang ini.

"Tak adanya, dah kering pun. Kau je yang risau melebih, kalah laki aku." Afsha mencebik. Tapi di sudut hati dia bersyukur dikurnia adik sebagus Shariq. Sangat prihatin keadaan dirinya.

"Risaulah, bentan pula karang... tak pasal kena tahan wad. Alih-alih aku juga yang ibu salahkan sebab tak jaga kau dalam pantang. Kalah laki orang." Selamba Shariq membalas.

"Hei, Riq... kira okeylah ni, praktis. Nanti mana tahu kau akan kahwin lagi, senang tau... kau dah tahu selok belok perempuan bersalin ni. Ini tak boleh, itu tak boleh." Afsha menaikkan ibu jarinya tanda bagus.

"Banyaklah kau nak bodek aku." Shariq tayang muka menyampah. Afsha kalau jual minyak memang nombor satu.

Afsha ketawa lagi.

"Dah-dahlah tu bergaduh. Ibu kamu mana?" Penat menjadi pendengar, Encik Idris mencelah.

"Ada kat dalam bilik, solat zohor kut." jawab Afsha.

"Kamu dah solat belum?" Encik Idris menegur Shariq.

"Dah. Ni Riq nak keluar kejap, ada hal."

"Ha, sebelum keluar tu mandikan anak aku dulu." Afsha sudah tersengih.

"Anak mana satu?" Malas Shariq bertanya. Lagi-lagi dia yang kena.

"Rizqi dengan mek kecik nilah."

"Kau ni, kan... nasib baik kau kakak aku." Dengan malas Shariq bangun. Anak saudaranya yang baru berusia dua minggu diangkat dengan perlahan. Pipi gebu itu dikucup. Wangi.

"Wangi dah anak kau ni, tak payah bagi mandilah."

"Banyaklah kau!"

Shariq ketawa sebelum menjalankan rutin hariannya sejak kakaknya berpantang. Kalau tak menolong, habis nanti dia kena serbu dengan Puan Husna. Kena cop baloq liat pula.

***

"LAMBATLAH kau ni, dekat setengah jam aku tunggu." Izz merungut. Shariq bila berjanji boleh tahan. Janji jam melayu.

"Aku urus anak-anak aku dulu." jawab Shariq sambil menarik kerusi dan duduk.

"Sejak bila kau ada anak-anak?" Izz dah mula ketawa.

"Anak-anak saudara aku. Tapi tetap anak juga. Kenalah jaga, bapak diorang tak ada." ujar Shariq setelah memesan minuman.

"Yelah, jaga keamanan negara. Kau pun kena berkorban juga." tutur Izz memahami tugas abang ipar Shariq sebagai tentera itu.

"Eh, asal kau nak jumpa aku hari ni? Macam tak boleh tunggu esok aje. Kat ofis pun boleh jumpa." Izz terus bertanya lagi. Pelik juga Shariq menghubungi hendak berjumpa, seakan ada perkara penting.

"Yufa dah bertunang dengan lelaki yang aku bagitahu kau tu. Hanif." beritahu Shariq tenang.

"Tunang hari ni?" Izz angkat kening.

"Ya, hari ni. Pagi tadi." Shariq angguk. Ah, dia tak nak ingat lagi. Hanya sakit saja yang dia dapat.

"Jadi sekarang ni, kau nak buat apa?" tanya Izz ingin tahu. Riak wajah Shariq tak menggambarkan apa-apa. Hanya tenang.

"Aku nak tahu pasal Hanif. Aku nak selidik pasal latar belakang dia." Shariq memberitahu niat asalnya.

"Kenapa? Kau tak percayakan lelaki tu ke?" Izz bertanya lagi. Makin serius jadinya.

"Aku ragu-ragu. Betul ke Hanif tu nak Yufa bersungguh-sungguh?"

Izz hela nafas. Shariq terlalu risaukan Yufa sampai masa depan bekas isterinya itu pun diambil tahu.

"Kalau diikutkan, kau dah tak ada hak ke atas Yufa tu. Lagipun diorang tu dah pun bertunang. Apa yang boleh kau buat? Putuskan pertunangan diorang? Macam tu?"

"Aku tak adalah sampai berniat nak putuskan pertunangan diorang tu. Cuma aku nak tahu latar belakang Hanif tu je. Lelaki yang baik ke? Mampu jaga dia ke?"

Tergelak Izz mendengar. Shariq benar-benar risaukan Yufa seolah-olah Yufa bawah tanggungannya.

"Kau tu baik sangat ke?"

"Aku tak cakap aku baik. Aku pun jahat, buat dia macam-macam. Aku sedar tu khilaf aku. Jadi aku tak naklah dia dapat suami yang tak bertanggungjawab macam aku ni, ibarat pisang berbuah dua kali." Shariq hanya senyum nipis. Berat sebenarnya untuk melepaskan nama seorang wanita dari hatinya. Tapi, dia harus sedar di mana kedudukannya.

"Aku fahamlah, Riq. Jadi kau nak tahu tentang latar belakang si Hanif tulah."

"Ya. Sebab tulah aku ajak jumpa, sebab aku nak minta tolong kau." Shariq tersengih.

"Okey, boleh. Nanti aku suruh isteri aku tanya Fira. Senang kut nak korek. Harap-harap Fira tu bagi kerjasamalah. Walaupun benda ni boleh melanggar hak privacy orang." Izz mula merancana agenda mereka.

"Tapi masa depan Yufa pun penting juga. Takut dia tersalah pilih."

"Kau ni risau betul janda kau tu kan. Kenapalah dia tak nampak kau ni, Riq?" Izz menggeleng kepala.

"Mana nak nampak, aku dah pernah butakan dia."

"Kau ni ada peluang untuk dapatkan dia tapi kau sia-siakan peluang tu. Rasanya dah banyak kali aku cakap benda ni, kau ada peluang. Andai dia tahu apa yang kau dah buat selama ni, aku yakin dia akan terima kau semula. Tapi sayang, kau tak gunakan peluang tu." tutur Izz. Sedikit kesal dengan sikap Shariq yang satu itu. Sengaja lepaskan peluang yang ada.

Hanya segaris senyuman yang diukir Shariq. Apalah sangat yang dia lakukan jika nak dibanding dengan kelukaan yang dia beri. Melihat kesusahan Afsha lalui masa berpantang tanpa suami membuatkan dia tersentak.

Bukan senang untuk menguruskan diri. Dia pernah melihat Afsha menangis selepas melahirkan kerana sakit. Dirasanya itu juga kesakitan yang sama yang ditanggung Yufa lima tahun lalu. Tapi dia tetap tegar meninggalkan.

"Tak berbayar. Apa yang aku buat selama ni masih belum mampu membayar segala dosa aku pada dia. Tak terbanding langsung." Senyuman Shariq mula tawar. Sekarang dia rasai balasan. Sakit yang dirasai Yufa sudah berbalik kepadanya. Adil.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience