Yufa - 17

Short Story Completed 25775

"YUFA!"

"Yufa!"

Dengan pantas Hanif terus melelar tangan Yufa yang terus berjalan tanpa mempedulikan laungannya. Kini dia menghalang jalan Yufa. Berdiri di hadapan wanita muda itu.

"Apa awak ni?" Yufa terus merungkai pautan Hanif yang agak kejap itu.

"Kenapa saya panggil awak buat tak tahu aje?" tanya Hanif dalam nada tak puas hati.

"Saya penat, saya nak pergi rehat cepat. Lagipun tak manis kalau ada orang pandang-pandang kita." ujar Yufa. Keadaan di sekeliling mereka dipandang sekilas.

"Saya nak ikut awak rehat." kata Hanif kembali memaut tangan Yufa. Cuba menarik supaya mengikutnya.

"Saya dah janji dengan kawanlah." Yufa terus merentap pautan Hanif. Dia keraskan kaki.

"Dengan siapa?" Hanif terus cekak pinggang. Bengang dengan penolakan Yufa.

"Kawan sayalah, Ivy... dengan siapa lagi."

"Tipu. Awak nak keluar rehat dengan duda awak tu kan." Hanif mula menuduh.

Yufa memaku pandang ke wajah Hanif. Dahinya berkerut.

"Awak ni dah kenapa? Sesuka hati awak je nak menuduh saya. Bila masa pula saya nak keluar dengan bekas suami saya?" tanya Yufa tak puas hati. Main tuduh je, panas pula hati ni.

"Awak ingat saya tak tahu ke awak keluar dengan duda awak tu minggu lepas? Jangan nak berahsialah." getus Hanif juga tak berpuas hati. Dia bukannya bodoh sehingga tidak tahu apa-apa.

"Cakap tu baik-baik sikit, tunjukkan bukti pada saya, bila masa saya keluar dengan Shariq." Yufa cuba berkompromi. Cuba sabarkan hati mula terasa panas.

"Tak perlu bukti, saya nampak dengan mata kepala saya sendiri. Awak keluar dari kereta dia masa saya ke rumah awak. Bukti apa lagi awak nak saya tunjuk?" Hanif membulatkan mata seakan mencabar.

Dahi Yufa kian berkerut. Wajah Hanif dipandang dengan pandangan tak percaya.

"Saya tak keluar dengan dialah. Dia yang tumpangkan saya balik." Yufa turunkan nada.

"Samalah tu. Awak pergi mana sampai dia tumpangkan awak? Awak sedar tak awak tu tunang saya? Bakal isteri saya!" Suara Hanif kian bertegas.

"Saya sedar saya tunang awak, saya ingat perkara tu. Saya tak keluar jumpa dia pun tapi saya ada hal mustahak dengan keluarga dia." Yufa membela diri. Bukannya dia saja-saja pergi rumah keluarga Shariq.

"Samalah tu. Jumpa juga... lepaskan rindu kan." Nada Hanif bertukar sinis.

"Hah? Awak sedang tuduh saya ke ni?" Yufa bertentang pandang. Makin mendidih darahnya dengan tuduhan melulu Hanif.

"Tak, saya tak tuduh sebab memang betul kan. Awak tu rindukan bekas suami awak tu lagi, jantan tak guna tu! Sebab tu awak pergi rumah keluarga dia kan. Lepaskan rindu kat rumah dia!"

Pang!

Satu layangan terus Yufa lepas ke pipi Hanif. Rasa meluap-luap panas hatinya mendengar tuduhan Hanif yang bertalu-talu dan tak berasas. Bengang juga telinga.

Hanif tergelak selepas merasa tamparan sulung dari Yufa.

"Jadi betullah... hati awak goyah selepas jantan tu datang balik dari hidup awak kan." kata Hanif dengan sisa tawa.

Yufa merengus kasar.

"Saya dah cakap kan tadi, saya jumpa keluarga dia sebab ada hal mustahak. Tapi, awak tuduh saya jumpa dia... lepaskan rindu bagai dengan dia. Awak ingat saya ni tak ada maruah ke sampai tak sedar siapa diri saya ni? Nak bercakap tu biar berlapik sikit, Hanif. Jangan sampai pertunangan kita putus hari ni." Yufa mengendurkan suara. Dia tak mahu amarahnya terbawa-bawa di tempat awam begini. Dia tak mahu tangannya melayang untuk kali kedua.

"Nope! Saya tak izinkan awak putuskan pertunangan ni. Saya tak nak hubungan kita hancur disebabkan duda gila talak awak tu. Siap! Saya akan berikan dia perhitungan." kata Hanif berbaur nekad. Kedua belah tangannya mula dikepal.

"Awak nak buat apa?" Yufa telan liur, gusar.

Hanif senyum sinis. Wajahnya terus dirapatkan dengan wajah Yufa. Hanya beberapa inci yang memisahkan.

"Saya takkan biarkan awak lepas dari genggaman saya, sayang." usai kata Hanif terus berlalu.

Yufa pegun. Berderau pula darahnya mendengar kata-kata Hanif.

***

"YUFA, mama ayah nak cakap sikit." Puan Wardah memanggil tika melihat anaknya itu turun dari atas.

"Nak cakap apa?" Yufa menyoal malas. Tapi, kakinya tetap melangkah ke ruang tamu itu.

"Duduklah dulu." tutur Puan Wardah menepuk tempat bersebelahan dengannya.

"Ada apa?" Yufa terus bertanya sejurus berlabuh. Belakangnya disandar. Mama ayah dipandang sekilas.

"Petang tadi keluarga Hanif datang," Encik Safwan memulakan kata.

"Datang buat apa?" Yufa terus duduk dengan tegak. Tiba-tiba dia rasa tidak enak.

Encik Safwan memandang Puan Wardah dan mengisyaratkan isterinya saja yang berterus-terang.

"Hanif nak percepatkan pernikahan kamu dengan dia." beritahu Puan Wardah.

"Hah? Bila?"

"Hujung minggu ni kamu dengan dia akan bernikah. Hanif cakap dia tak nak tangguh lagi. Lagipun semua dokumen dah siap kan, jadi sebab tu dia nak percepatkan terus. Kebetulan ada kekosongan hujung minggu ni."

"Tapi, Yufa tak buat apa-apa persiapan lagi? Kenapa Hanif tak bincang dengan Yufa dulu?" Yufa terus mendengus. Dia betul-betul tak puas hati dengan Hanif saat ini. Ada apa hendak digesakan sangat?

"Keluarga Hanif kata buat yang wajib dulu, majlis tu kemudian. Keluarga Hanif pun bersependapat dengan Hanif. Dahulukan yang wajib." tutur Encik Safwan.

"Kenapa nak tergesa sangat tanpa berbincang dengan Yufa? Serabutlah macam ni. Banyak benda nak kena fikir. Akad nikah pun kena juga buat persiapan. Terlalu drastiklah semua ni." Yufa terus meraup wajah.

"Mama rasa bagus juga pernikahan dipercepatkan. Mungkin Hanif takut kehilangan kamu." ujar Puan Wardah.

"Kejap, Yufa nak naik atas... nak call Hanif." Yufa terus angkat punggung dan berlalu.

Telefon pintar terus dicapai dan nombor Hanif terus didail. Hampir hilang sabar pula dia dengan perangai Hanif yang satu ini. Tak menyempat. Sudahlah tadi menuduhnya sesuka hati. Dan sekarang pula nak nikah pun tergesa-gesa.

"Hello, Hanif... betul ke awak nak percepatkan pernikahan kita?" Yufa terus menyoal sebaik saja panggilannya dijawab.

Hanif hanya ketawa di corong telefon.

"Hanif, saya serius ni." getus Yufa.

"Ya, sayang... saya pun serius. Memang saya nak percepatkan pernikahan kita. Kalau lagi lambat, lagi banyak peluang duda awak tu ganggu awak. Awak tu tunang saya. Jadi sebelum saya hilang sabar, saya rasa saya patut percepatkan pernikahan kita. Lagi cepat lagi bagus. Kalau boleh esok pagi juga saya nak nikah dengan awak." ujar Hanif tegas.

"Banyak persiapan yang kena buat, tahu tak? Benda ni terlalu cepat. Saya tak setuju." putus Yufa.

"Saya tak nak dengar lagi alasan awak. Setuju ke, tak setuju ke... kita tetap nikah hujung minggu. Awak ni jangan degil boleh tak? Ikut ajelah, jangan banyak complain." Suara Hanif sudah kedengaran berangin.

Terkesima Yufa mendengar. Tak pernah Hanif bersikap begini. Kenapa pula tiba-tiba berubah?

"Kalau macam nilah perangai awak, lebih baik tak payah nikah."

"Sayang, saya ni nak menghalalkan awak. Nak jaga awak dari lelaki tu. Saya rasa ni adalah jalan terbaik untuk kita. Dengan ni juga bekas suami awak takkan ganggu awak lagi. Saya cuma nak lindungi awak aje." Suara Hanif berubah kendur. Cuba memujuk Yufa.

"Ya, saya tahu saya faham niat awak. Tapi, berapa kali saya nak cakap, dia dah tak ganggu saya lagi. Jadi tak perlu percepatkan pun. Saya ni apa pun belum prepare lagi."

"Sempat aje kalau nak prepare. Esok kita ke butik cari baju nikah. Berapa pun harga saya akan bayar asalkan pernikahan kita minggu ni tetap berjalan. Okey, sayang. Kita nikah minggu ni, okay." Hanif masih cuba berlembut lagi.

Nafas berat Yufa lepaskan. Minggu ni dia akan terkejar-kejar masa. Dia takkan ada banyak rehat. Kenapa perlu dipercepatkan sedangkan tarikh sebenar dah ditetapkan? Dia masih tak faham. Apatah lagi gunakan Shariq sebagai alasan dirasa tak masuk dek akal.

"Ikut suka awaklah. Saya penatlah nak bertekak dengan awak."

"Macam tulah sayang saya, dengar cakap saya. Nanti lepas kahwin, awak tetap kena patuh dengan saya kan." Senang hati kedengaran pada suara Hanif. Dia suka dengan sikap mengalah Yufa.

Yufa lepas keluh. Adakah dia sudah salah pilih?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience