"TAK sedap telinga ibu ni dengar,"
Shariq yang sedang menonton tv terus mengalih pandangan ke arah Puan Husna. Menunggu bicara ibunya itu disambung. Mulutnya hanya dikunci daripada bertanya.
"Apa yang tak sedapnya ibu?" Afsha menyambut bicara. Hairan apabila ibunya tiba-tiba berkata begitu.
"Tu... adik kamu tu dah melampau." Puan Husna memuncung bibir ke arah Shariq yang hanya diam membisu.
Afsha menoleh ke arah Shariq, kemudian memandang ibunya semula. Cuba memahami. Tak ada angin, tak ada ribut tiba-tiba ibunya berangin pelik.
"Apa yang kau buat, Riq?" Afsha bertanya Shariq.
"Mana ada buat apa." jawab Shariq senada.
"Tak buat apa? Yang kamu tergilakan janda kamu balik tu tak ada apa ke?" Suara Puan Husna mula berubah tegang.
Shariq telan liur. Matanya kembali dialih ke arah skrin tv. Namun, telinga menanti dengar.
"Gilakan janda?" Mata Afsha terbuntang memandang Shariq. Terkejut. "Kau gilakan Yufa balik ke? Dah jadi gila talak?"
"Bukanlah." Shariq menafi perlahan.
"Apanya yang bukan Shariq kalau dah berkali-kali benda tu singgah ke telinga ibu ni. Kamu ni tak reti tahu malu ke pergi ulang alik ke rumah janda kamu tu, hah?" Puan Husna mula duduk dengan tegak. Tak puas hati dengan sikap anaknya yang seorang ini.
Shariq menunduk. Perlahan dia melepaskan keluhan.
"Kalau berita ni sampai ke telinga abah kamu, memang kamu kena ni. Sengaja nak memalukan keluarga agaknya." Puan Husna terus membebel. Sakit telinganya mendengar jiran-jiran di taman perumahan mereka membawa khabar yang kurang enak. Sudahnya, yang malu mukanya.
"Kau buat apa?" tanya Afsha pula. Nadanya lebih tenang berbanding Puan Husna. Benar-benar penasaran dengan apa yang dilakukan sang adik.
"Mana ada buat apa, orang pergi sana tolong mama ayah Yufa aje." Shariq menjelaskan keadaan.
"Tolong apanya kalau hari-hari perginya." Puan Husna menyindir geram.
"Kejap, ibu... kita bincang elok-elok. Sha risau benda ni kalau abah dapat tahu. Lagi masalah besar yang akan datang." Afsha cuba menenangkan Puan Husna.
"Kamu cakaplah dengan adik kamu tu, ibu dah penat dengan dia. Tak habis-habis nak malukan keluarga dengan ulah dia tu. Sedar sikit diri kamu tu, Shariq... kamu tu dah besar panjang, dah pandai fikir mana baik mana buruknya tapi yang buruk tu juga yang kamu buat. Dulu malukan ibu nak kahwin dengan Yufa masa sekolah, dengan duit satu sen pun tak ada nak tanggung anak orang dia dah tak peduli. Lepas tu ceraikan pula si Yufa tak sampai setahun kahwin, cerai pula waktu lepas keguguran dengan alasan nak enjoy dulu. Dan sekarang ni tergilakan balik si Yufa tu, hari-hari ulang alik ke sana tak kira pagi petang malam. Kamu ni kan, Shariq... buat benda tak pernah nak fikir baik buruknya dulu. Semuanya ikut kepala kamu aje." Puan Husna teruskan membebel.
"Ibu, dahlah tu mengungkit... benda dah lepas, dah lama pun. Sekarang ni kita bincang isu yang sedang berlaku ni sebelum sampai ke pengetahuan abah." ujar Afsha cuba menenangkan keadaan.
"Kamu bincanglah dengan adik kamu tu, ibu tak nak." tutur Puan Husna sebelum bangkit dan terus berlalu menuju ke kamar. "Budak yang tak pernah nak mendengar kata. Dari kecil sampai ke besar selalu timbulkan masalah...."
Sayup-sayup telinga Shariq mendengar ungkapan itu sebelum ianya senyap di sebalik pintu. Dia hanya melihat dengan ekor mata.
"Kau buat apa, Shariq?" Afsha kembali bertanya.
"Salah ke aku suka dia lagi?" Shariq menjawab sambil mengangkat kepala semula.
"Tak salah tapi tu janda kau. Dulu sebelum Yufa tu balik bolehlah kau tolong mak bapak dia, tapi masalahnya sekarang ni dia dah balik. Jadi kau dah tak perlu ke sana lagi. Kau sendiri nampak kan macam mana ibu angin bila dapat tahu benda ni. Boleh memalukan keluarga, Riq." Ingin sekali Afsha bertegas tetapi apabila melihat wajah sugul Shariq, belas pula hatinya.
"Aku tak sengaja ceraikan dia dulu. Aku terlalu marah sampai aku tak dapat control perasaan aku."
"Tu cerita lama. Menyesal pun dah tak ada gunanya lagi. Kau kena ingat, kau tu dah lama ceraikan Yufa... kau kena terima hakikat yang tu." Afsha mula bertegas.
"Aku nak Yufa balik... aku masih sayangkan dia." Shariq meraup wajah dengan kesal.
Perlahan Afsha mengeluh. Dia kenal benar adiknya ini. Bukan senang adiknya ini hendak mengaku perasaan sendiri di hadapannya, apatah lagi dengan membuat kerja gila dan tebalkan muka.
"Kalau kau beritahu perkara sebenar, akak rasa Yufa mungkin boleh terima kau semula."
Shariq pantas menggeleng kepala. Tak mungkin dia beritahu perkara sebenar kepada Yufa.
"Benda dah lepas."
"Nilah masalah kau, mengalah! Kau sebagai lelaki dan suami sepatutnya berjuang demi rumah tangga kau sendiri. Tapi ni tak, diikutkan cakap orang sampai Yufa bencikan kau. Kau tu acah nak berlagak hero, tapi hati tu tak tahan dengan kebencian Yufa." getus Afsha tak puas hati pula dengan tindakan Shariq dulu. Tak fikir panjang.
"Akak tak faham." keluh Shariq mula berserabut.
"Apa yang akak tak faham? Akak yang tak faham atau kau yang rumitkan keadaan?" Geram betul Afsha dengan perangai adiknya yang seorang ini. Lemah.
"Akak tak faham." balas Shariq sekali lagi.
"Kau yang rumitkan keadaan jadi kau nak salahkan orang sebab tak faham? Hei, Shariq... kalau kau bincang dengan si Yufa tu dulu, tak adanya kau kena ceraikan dia. Tapi, kau ni bodoh... ikut aje apa orang kata." Bercakap dengan Shariq memang buat dia hampir hilang sabar.
"Iya, salah aku dengar cakap orang. Salah aku tak bagi Yufa peluang. Salah aku... aku sedar." Shariq terus meraup wajah. Menyesal.
"Akak sarankan lupakan jela Yufa tu. Dah tak ada peluang untuk kau dapatkan dia semula."
Shariq pandang Afsha tak berkelip. Sedikit terkedu dengar kata-kata itu.
"Apa? Tak betul ke apa akak cakap? Kau tak ada peluang pun, sebab kau dah pun kalah sebelum berjuang!"
"Akak, kau downkan aku." keluh Shariq. Ada kakak pun tak membantu dia.
"Akak bukan downkan kau, tapi kaulah kena naikkan semangat diri sendiri lepas dengar apa yang akak dan ibu kata." cantas Afsha laju.
"Cakap senanglah."
"Riq, kalau kau bersungguh nakkan Yufa tu balik, buatlah cara yang betul... bukannya macam ni, yang jadi buah mulut orang. Kau kena fikirkan air muka keluarga juga terutama abah dengan ibu. Akak faham perasaan kau Riq tapi, kau jangan lupa Yufa tu janda kau, bukannya bekas tunang ke apa."
Jeda.
"Hati manusia ni, Riq... boleh berubah bila dah sakit dan kecewa yang sangat dalam. Mungkin kau masih sayangkan dia tapi belum pasti dia masih sayangkan kau juga. Ni realiti, berpijaklah pada bumi yang nyata dan kau juga kena terima kisah kau dengan dia dah jadi sejarah. Nak, tak nak kau pun kena move on." Afsha sudahi kata-katanya.
"Tak apalah, aku dah ada plan sendiri." ujar Shariq tiba-tiba dan terus bangun dari duduk.
"Kau nak buat apa?" Afsha mula penasaran. Jangan adiknya ini buat perkara yang bukan-bukan sudahlah.
"Rizqi mana?" tanya Shariq. Matanya mula mencari Rizqi, anak buahnya.
"Kau nak buat apa dengan anak aku tu?" tanya Afsha lagi. Kali ini lebih kalut. Kenapa mesti Rizqi tersangkut juga?
"Adalah. Rizqi!"
Maafla, hambar sikit..
Share this novel