PROLOG

Short Story Completed 25775

"YUFA Dalila... mulai hari ni, Yufa bukan lagi isteri abang."

Terpana. Kaku Yufa di tempat duduknya. Terhenyak dengan bicara tenang dan lancar yang baru saja disebut sang suami.

"Ap... apa abang cakap?" Yufa menyoal gagap sambil mengangkat punggung dan menghampiri suami yang sedang berdiri menghadapnya. Air wajah itu hanya tenang bersahaja seperti biasa.

"Abang ceraikan Yufa dengan talak satu. Jelas?"

"Shariq!"

Bergema satu suara di belakang Shariq dengan penuh rasa terkejut dan tergamam. Lafaz yang bukannya bahan untuk dibuat satu permainan.

Tenang Shariq menoleh ke belakang. Kemudian, pandangannya kembali dikalih ke hadapan. Merenung wajah Yufa yang kini sudah dibasahi air mata.

"Apa salah Yufa? Kenapa abang ceraikan Yufa?" Perlahan-lahan Yufa menapak ke arah Shariq. Air mata yang berlinangan hanya dibiarkan ia mengalir.

"Abang bosan. Abang rasa abang nak hidup single semula macam dulu. Rupanya abang masih belum bersedia dengan komitmen. Lagipun, abang masih study jadi abang nak kejar cita-cita abang dulu. Lepaskan Yufa adalah jalan yang terbaik dalam hidup abang." Shariq menutur kata dalam nada tenangnya. Malah, air mata yang mengalir lebat di pipi Yufa langsung tidak mencuit hati lelakinya.

"Astaghfirullah. Apa yang kamu sedang fikir ni, Shariq? Kamu dah hilang akal ke? Yufa tu baru aje lepas keguguran. Dan, kamu pula ceraikan dia. Ya Allah, apa dah jadi dengan kamu ni?" Marah Encik Idris menyambung langkahnya yang terhenti sebentar tadi dan berjalan ke arah Shariq.

"Abang, tolong jangan ceraikan Yufa. Tolong tarik balik ucapan abang tadi tu. Abang, tolonglah... Yufa tak nak diceraikan. Yufa sayang abang. Yufa sayang perkahwinan kita. Abang...." Yufa terus menjatuhkan lututnya di hadapan Shariq dan memeluk erat kaki itu. Dia tidak sanggup kehilangan Shariq dan tak mampu membayang hidupnya tanpa Shariq.

Tubuh Shariq dikeraskan. Namun, matanya tetap melorot jatuh ke wajah Yufa yang sedang mengongoi. Lalu, dia berganjak ke belakang dengan agak kasar sehingga terlepas pegangan Yufa pada kakinya.

"Abang..." Yufa mendongak memandang wajah Shariq yang mula berubah beku dan dingin. Begitu juga sinar mata itu padanya. Tiada lagi pandangan penuh kasih sayang daripada seorang suami.

"Lepas Yufa keluar dari hospital ni nanti, kita uruskan urusan kita di mahkamah. Abang tak nak tanggung beban lagi." kata Shariq lalu mengalihkan pandangannya kembali. Tidak lagi memandang Yufa.

Terpempan Yufa mendengar. Air mata yang sediakala deras mengalir, kini terasa makin deras dan hangat. Beban? Selama ini, dia hanyalah satu beban?

"Kamu betul-betul dah hilang akal, Shariq!" Encik Idris mula menjerkah dalam nada tertahan. Kecewa dengan keputusan dan bicara yang diputuskan anaknya sebentar tadi.

"Riq bosan dengan perkahwinan ni, abah. Riq nak hidup bebas tanpa terikat dengan sesiapa lagi. Riq ada cita-cita dan Riq nak berjaya. Riq tak nak ada sesiapa lagi yang menjadi penghalang Riq. So, fullstop!" Shariq mula berkata dengan tegas. Wajah Encik Idris yang tegang dia pandang berani.

"Jadi, selama ni Yufa hanyalah satu beban pada abang?" Bergetar suara Yufa bertanya. Dengan sisa kudrat, dia bangkit semula dan berdiri tepat di hadapan Shariq. Kuat dadanya berdegup saat ini. Sentap dengan bicara Shariq.

"Ya! Dah lama saya nak cakap perkara tu pada awak, tapi awak pula mengandung. Jadi, sekarang adalah masanya saya lepaskan awak sebab saya nak hidup saya yang dulu." Tanpa menunggu lama, Shariq membalas. Tanpa sebarang riak wajah kasihan di situ. Malah, tiada lagi kata ganti nama mereka.

Tak terasa Yufa menelan liurnya dengan bicara Shariq yang kedengaran bangga. Malah, tanpa sedikit pun memikirkan hati serta perasaannya.

Ditambah lagi, dalam keadaannya yang baru selepas keguguran. Kejamnya Shariq pada pandangannya saat ini. Tiada belas ehsan.

"Baiklah, kalau tu keputusan abang... Yufa cuba terima dengan hati yang terbuka. Terima kasih sebab dah jujur dengan Yufa. Dan, sangat-sangat terima kasih sebab ceraikan Yufa." ungkap Yufa dengan bibir bergetar dan air mata yang tidak mahu berhenti mengalir.

Biarlah. Kerana dia akan pastikan ini adalah air mata terakhir yang telah dia bazirkan ia mengalir hanya kerana seorang lelaki di hadapannya ini.

Jika Shariq bertekad dengan keputusan itu, dia juga sama. Dia juga akan bertekad dengan keputusan hati yang mula dia rangka dan bulat disaat ini.

Jika Shariq tidak lagi memerlukan dia sebagai isteri, dia juga tidak memerlukan Shariq sebagai suami. Jika orang sudah tidak sudi, mengapa dia harus berhegeh lagi.

Menggeleng kepala Encik Idris dengan keputusan drastik dari anaknya. Hatinya tumpah kasihan pada Yufa. Pucat dan kagetnya wajah Yufa memecah rasa hati tuanya. Anaknya benar-benar hilang akal kewarasan.

Sebaik saja Yufa menyelesaikan kata, Shariq terus mengangkat kaki dan meninggalkan bilik persendirian itu tanpa sedikit pun dia menoleh lagi. Kini, ikatan yang dibina hampir setahun terlerai dengan tenangnya. Dia tidak akan dibebani sebarang bebanan lagi. Cukup setakat ini, mereka menjadi suami dan isteri.

Happy Reading✨❤️

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience