Yufa - 9

Short Story Completed 25775

ATAS bawah. Bawah atas. Tak berkelip mata Encik Safwan memandang Hanif sehingga lelaki itu tidak senang duduk. Liur sudah ditelan berkali-kali dengan perasaan gementar.

"Ayah, tak payahlah pandang Hanif macam tu." Yufa menegur. Naik segan pula dia dengan Hanif apabila ayahnya memandang begitu. Macam tak puas hati.

Sementara Hanif terus memandang Yufa. Dalam hati Tuhan saja yang tahu. Berdoa agar cepat masa berlalu. Dia benar-benar tidak tahu apa yang harus dilakukan.

"Kenapa, tak boleh ke?" Encik Safwan membalas soalan.

"Tak adalah." Yufa pantas geleng kepala. Haish.

"Nak dijadikan suami kenalah tilik betul-betul, bukannya sekadar sedap mata memandang aje." kata Encik Safwan. Si anak dipandang.

"Ya." Yufa mengangguk. Akur. Dia menunduk sedikit kepalanya. Kekoklah pula.

"Lebih baik kamu pergi tolong mama kamu kat dapur tu, ada juga manfaatnya berbanding kamu duduk kat sini," kata Encik Safwan sambil memandang serius pada si anak.

Yufa dah menelan liur. Tegas pula ayah kali ni, di depan Hanif pula tu. Risau pula dia. Teragak-agak juga dia nak bangun.

"Apa lagi, cepatlah." Encik Safwan terus menggesa tatkala melihat Yufa seakan keberatan.

Hanif terus berdehem mendengar nada suara Encik Safwan. Serius lain macam.

"Baik, ayah." Yufa bergegas bangun dan berlalu ke dapur. Tak lagi menoleh.

Sebaik saja kelibat Yufa hilang di ruangan dapur, Encik Safwan terus memandang Hanif semula. Dia mula duduk bersandar dan diam seketika. Ini masanya untuk dibuat uji selidik.

"Macam mana kamu kenal Yufa?" Encik Safwan memulakan soalan.

"Kami satu kolej dulu, Yufa tu junior saya." jawab Hanif dengan dada berdegup kencang.

"Macam tu aje?"

"Ya, macam tu aje kami kenal... kemudian kami kawan biasa dan makin lama makin rapat." Hanif mengukir senyuman. Terasa sangat janggal tetapi dia cuba mengawal keadaan diri.

Encik Safwan mengangguk, mengerti. Gelas air oren dicapai dan diteguk. Di dalam kepala otaknya penuh dengan soalan yang ingin ditanya. Gelas kembali diletaknya.

"Mak ayah kamu tahu kamu berkawan dengan Yufa?" Soalan yang sangat penting ditanya. Kali ini nada Encik Safwan lebih serius kerana dia mahu memastikan anaknya benar-benar memilih calon yang tepat.

Terkedu seketika Hanif dibuatnya. Tak terduga soalan itu akan ditanya.

"Err... err... sejujurnya belum tahu lagi." Tergagap Hanif menjawab.

"Belum tahu lagi?" Encik Safwan mengulangi ayat.

"Ya." Hanif kian gementar.

"Bila nak beritahu?"

"Se... secepat mungkin."

Encik Safwan mengangguk lagi. Riak wajah Hanif dan bahasa tubuh anak itu diperhatikan dalam-dalam.

"Yufa tu dah lama beritahu pak cik dengan mama dia yang dia berkawan dengan kamu. Cuma tak dibawa datang ke sini aje untuk kenalkan kepada kami." tutur Encik Safwan lalu mengeluh dalam.

"Saya tahu, pak cik... saya sedar, tapi masa tu saya masih belum bersedia lagi." Perlahan Hanif membalas kerana dia sedar itu salahnya.

"Tentang mak ayah kamu tu, seeloknya secepat mungkin kamu beritahu sebab kamu berdua pun dah lama berkawan kan. Tapi, pak cik nak tanya kamu... kamu betul-betul serius ke dengan Yufa?" Encik Safwan terus menduga lagi.

Hanif terus membetulkan duduknya agar tampak lebih yakin dan bersemangat. Dia cuba menenangkan rasa gementarnya.

"Pak cik, saya betul-betul serius dengan Yufa dan saya berniat untuk memperisterikan dia. Tiada langsung niat saya nak permainkan Yufa dan saya akan beritahu ibu bapa saya secepat yang mungkin." Kali ini lebih yakin dan tenang Hanif membalas. Dia benar-benar bersungguh-sungguh.

"Okey, baik. Tapi, mampu ke kamu terima Yufa?" Encik Safwan kembali menyoal. Dia mahu anak muda ini ikhlas menerima anaknya.

"Maksud pak cik?" Hanif bertanya pula. Sedikit hairan dengan soalan itu.

"Yufa pernah berkahwin dan bercerai. Istilah senang nak faham Yufa tu seorang janda. Boleh ke kamu dan keluarga kamu terima?" tutur Encik Safwan sambil melihat wajah Hanif dan seperti dia duga, anak muda di hadapannya ini kelihatan agak bingung.

"Janda?" Hanif terkesima.

"Ya. Yufa yang kamu kenal tu pernah berkahwin dulu di usia yang muda."

"Yufa tak pernah beritahu saya." tutur Hanif dengan suara yang perlahan. Dirinya mulai tidak seyakin tadi.

"Pak cik sarankan lebih baik kamu balik dan fikir semula sebab pak cik tak nak Yufa dihina disebabkan Yufa seorang janda. Lebih baik kamu berbincang dengan mak ayah kamu dulu sebelum ambil keputusan untuk berkahwin." kata Encik Safwan.

Hanif terus terdiam. Tiada bicara dan kekuatan untuk membalas lagi.

***

"HANIF mana ayah?" tanya Yufa sambil menatang dulang ke ruang tamu itu. Matanya terarah ke pintu. Sekilas.

"Dah balik." jawab Encik Safwan tenang. Anak matanya memandang si anak.

"Dah balik?" kaget Yufa dibuatnya. Biar betul dah balik? Tak beritahu apa-apa pun pada dia. Tak sempat Hanif merasa puding air tangannya.

"Kamu tengok dia tak ada kan, dah baliklah maknanya." ujar Encik Safwan masih bernada sama.

Yufa terus duduk di depan Encik Safwan. Penasaran apa yang sudah berlaku. Bertengkarkah?

"Ayah cakap apa dengan Hanif? Takkan Hanif balik macam tu aje tak bagitahu Yufa."

"Dia kata dia nak balik jadi ayah biarkan aje. Kenapa pula nak halang?"

"Tak... masalahnya sekarang, kenapa Hanif tiba-tiba balik? Tak beritahu Yufa pun. Apa yang ayah dah cakap dengan dia?" Yufa menuntut jawapan. Dia yakin ada sesuatu yang tak kena.

"Ayah cakap yang seadanya tentang kamu dan kebenarannya."

"Maksud ayah?"

"Kisah kamu dengan Shariq."

Yufa terkedu.

"Semua?"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience