Yufa - 14

Short Story Completed 25775

DARI jenang pintu, Yufa memerhati Encik Safwan seketika. Ayahnya itu tampak ralit dan leka. Sesekali telinga menangkap keluhan yang dilepaskan. Kedengarannya juga berat. Entah apa yang difikirkan ayahnya itu.

"Ayah," Yufa menegur seraya menyambung langkahnya semula. Dulang diletak ke atas meja. Kopi panas yang masih berasap nipis diletak di hadapan ayahnya itu.

Encik Safwan hanya tersenyum melihat anak sulungnya. Sudah besar panjang anaknya ini. Pelbagai dugaan yang dilalui sejak usia masih muda. Namun, diri itu tetap tabah. Kuat jalani kehidupan seharian selama bertahun-tahun ini. Jelas penuh keperitan.

"Ayah menungkan apa tu? Ralit sangat Yufa tengok." tanya Yufa. Kerusi di sebelah ayahnya dilabuh. Sekilas suasana di luar rumah itu dipandang. Hanya sepi yang menemani. Cuma sesekali ada kereta dan motosikal yang melalu-lalang. Maklumlah dah hampir angka 10 malam.

"Tak ada apa, Yufa. Saja ayah tengok langit tu, gelap pula malam ni. Nak hujan kut." Encik Safwan membalas. Cawan kopi dicapai dan disisip berhati-hati.

"Ye ke? Yufa tak percayalah. Ayah jarang termenung." Yufa meluah rasa hatinya. Memang dia tak percaya. Gerak geri ayah seakan sedang menyimpan sesuatu darinya. Tapi sengaja mencipta alasan.

"Ke situ pula kamu ni." Encik Safwan hanya ketawa kecil.

Yufa berkalih menatap wajah Encik Safwan dari sisi. Ayah semakin dimamah usia dan nampak jelas garis-garis yang mula berkedutan. Apatah lagi sejak ayahnya sakit diserang strok tiga tahun lalu. Dia nampak perubahan yang makin ketara.

"Ayah nampak senyap sejak ayah sakit kena strok. Ayah dah tak macam dulu." tutur Yufa perlahan.

"Biasalah orang tua sakit. Kadang-kadang pergerakan ayah terbatas. Nasib baik ada Shariq selalu tolong ayah sejak ayah sakit ni." Teringat kembali kesanggupan Shariq menjaganya ketika dia tidak berdaya menguruskan diri. Shariqlah yang banyak membantu, memapah dan memandikannya tanpa sebarang rungutan.

Yufa hela nafas perlahan. Pandangannya terus dilarikan. Memandang langit yang kelam juga, sama seperti ayah. Kenapa nama Shariq sering meniti di bibir itu? Apa yang istimewanya?

"Ayah terhutang budi dengan dia ke?" Teringat semula apa yang dia dengar lewat petang kelmarin. Mungkin dia boleh korek dari ayah pula.

"Besar pengorbanan Shariq tu,"

"Besar apanya, menyusahkan hidup orang lagi adalah." Yufa senyum sinis. Diselangi gelak.

"Jangan benci Shariq, Yufa." Encik Safwan memesan perlahan. Tapi sebenarnya lebih kepada meminta.

"Kenapa pula Yufa tak boleh benci dia? Dia dah hancurkan hidup Yufa, ayah. Dia tinggalkan Yufa macam tu aje. Lepas tu sekarang ni baru dia nak datang dan menyesal dengan apa yang dia dah buat. Tahu-tahu je mama dengan ayah ambil dan jadikan dia anak angkat pula. Sakit hati Yufa ni, ayah." Suara Yufa mula bertukar getar. Dia nak ayahnya ini tahu dia terasa hati dengan apa yang mama dan ayah dia lakukan.

Encik Safwan hanya diam membisu. Sayu hati tuanya mendengar luahan anak.

"Ayah mama rapat dengan dia tanpa hiraukan perasaan Yufa. Dia ganggu Yufa, datang sini sesuka hati buat Yufa rasa tak selesa. Tapi mama ayah tetap baik dengan dia. Yufa tak dapat terima sebab lelaki tu kejam pada Yufa. Bila Yufa mengadu pada mama, senangnya mama cakap... anggap abang angkat sebab mama ayah anggap dia macam anak. Tapi, Yufa ni... mama ayah tak fikir ke perasaan Yufa? Yufa tak boleh tengok muka dia. Yufa benci dia, ayah." luah Yufa lagi. Sakit dia hanya tanggung seorang diri. Dia tak tahu kepada siapa dia nak luahkan. Dia rasa mama ayah berat sebelah. Selalu bela Shariq. Dia rasa tersisih. Kecil hati.

Entah mengapa, malam yang sepi itu mengubah mood yang sedia ada menjadi lebih sendu dan suram.

"Dia pernah jadi suami kamu." Hanya sebaris balasan Encik Safwan.

"Tapi dia pernah buang Yufa." Yufa bertegas dalam sedu. Air matanya mula menitis.

"Tak, Shariq tak pernah buang kamu." Encik Safwan geleng perlahan. Air mata bergenang.

Yufa terkerut dahi. Dia pandang semula ayahnya.

"Apa maksud ayah?"

Encik Safwan telan liur. Keluhan juga turut dilepaskan. Lama dia mendiamkan diri.

"Ayah," Yufa sentuh tangan Encik Safwan.

"Ayah yang suruh Shariq ceraikan kamu."

Yufa kelam. Tiba-tiba dia rasa dunianya berhenti berputar. Terpaku. Statik. Tak bergerak. Nafasnya juga seakan berhenti berdegup.

"Ayah paksa Shariq ceraikan kamu. Kerana ayahlah kamu diceraikan... kerana ayah, Yufa. Bukan atas kerelaan Shariq. Dia sayangkan kamu tapi ayah paksa dia lepaskan kamu." Air mata tuanya mula mengalir lesu. Tidak tegar dia menatap wajah si anak lagi. Rasa berdosa yang tidak pernah diampunkan.

"T-tak... tak mungkin...." Yufa menggeleng kepala berkali-kali. Badannya mula rasa menggigil. Liur ditelan berkali-kali.

Encik Safwan tersenyum pahit. Wajah ditunduk. Malu. Kerana ego dia telah memusnahkan kebahagiaan anak sendiri. Meruntuh sebuah masjid kerana pentingkan diri.

"A-Ayah... ayah tipu kan. Ayah tipu. Kan, ayah... ayah tipu, kan." Yufa pantas memaut lengan Encik Safwan agar memandangnya.

Tetapi, Encik Safwan mengeraskan diri. Dia masih kekal dalam keadaan yang sama. Menunduk kesal.

Yufa pantas melutut di hadapan ayahnya itu. Wajah ayah dijengok dari bawah. Kedua belah tangan ayah dia genggam erat dan kemas.

"Ayah, tolong... tolong cakap semua tu tak betul. Shariq ugut ayah ke ni suruh cakap macam ni? Tak betul kan, ayah. Ayah Yufa bukan macam tu. Tolong cakap semua tu tipu, ayah...." Yufa mengucup tangan yang berurat itu. Makin sesak dadanya. Tak mungkin ini satu kenyataan. Tak mungkin ayah adalah penyebabnya.

"Ayah tak tipu. Maafkan ayah, Yufa... ayah sebenarnya yang hancurkan hati kamu, bukannya Shariq. Shariq tak salah sama sekali." Kenyataan harus diakui. Dia tidak mahu lagi terus menipu. Dia juga tak sanggup melihat kebencian pada Shariq terus terbias di wajah Yufa.

"Tak!" Yufa meraung. Tangan Encik Safwan terus direntap. Lantai simen itu dia tumbuk-tumbuk sekuat hati. Biarkan tangannya sakit tapi sebenarnya hatinya lebih sakit.

"Ayah tipu!"

"Allah! Anakku...." Puan Wardah terus menerpa apabila mendengar raungan Yufa. Sekilas wajah suaminya dipandang.

"Mama, ayah tipu Yufa, ma..." Tangan Puan Wardah pula Yufa genggam kuat. Dia cuba mencari kekuatan.

"Tipu apa ni? Apa abang dah cakap?" Puan Wardah menyoal kalut. Risau pula jiran tetangga mendengar jeritan Yufa malam-malam begini.

"Abang dah bagitahu Yufa kenapa Shariq ceraikan dia."

Puan Wardah senyap. Tubuh anak terus dipeluk. Dia tahu anaknya rasa terpukul. Saat ini dia turut hilang kata-kata.

"Mama..." Yufa menatap sayu wajah Puan Wardah, seakan merayu. “Tak betul, kan?”

Hanya senyuman tawar yang dapat diberikan. Air mata di pipi itu dilap dengan lembut. Rasa berdosa kerana telah merahsiakan selama ini.

"Maafkan mama, maafkan ayah ya, Yufa." ucap Puan Wardah. Sebak melihat keadaan anaknya sekarang.

"Kenapa buat Yufa macam ni?" Yufa menyoal lirih. Wajah Puan Wardah dipandang sayu.

Puan Wardah kelu. Dia hanya mampu memeluk si anak.

"Kenapa buat Yufa macam ni, ayah?" Yufa menyoal Encik Safwan pula.

Encik Safwan juga kelu. Luka hatinya mendengar rayuan lirih anak.

"Apa dosa Yufa?" tanya Yufa hampir menjerit.

"Ayah mama pun tahu yang Yufa sayang sangat kat Shariq. Yufa tak boleh hidup tanpa dia... tapi, kenapa buat Yufa macam ni? Kenapa ayah sanggup, ayah? Apa salah Shariq sampai ayah paksa dia cerai Yufa? Kesian Shariq, ayah... macam-macam Yufa maki Shariq. Kenapa ayah tak kesiankan anak ayah ni?" Yufa memukul dada sendiri. Kenyataan yang sukar dan perit untuk ditelan. Rumah tangganya runtuh angkara ayahnya sendiri. Tanyalah, siapa yang terpukul dan sakit?

"Maafkan ayah, nak."

"Kenapa ayah?!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience