"AYAH nak jemput kamu dan keluarga kamu datang ke rumah esok. Ada buat majlis sikit."
"Majlis apa?" tanya Shariq dalam nada perlahan. Dia sudah mula rasa berdebar.
"Majlis akad nikah Yufa." Perlahan juga suara Encik Safwan menjawab.
"Oh."
"Maafkan ayah ya, Shariq... kerana ayah kamu berdua berpisah dulu." tutur Encik Safwan dalam kesalan. Masih belum mampu melupakan apa yang telah dia lakukan.
"Tak apa, ayah. Saya dah reda. Ayah tak payahlah ungkit lagi benda dah lepas ni. Kita sama-sama buang yang keruh. Saya dah anggap saya tak ada jodoh dengan Yufa lagi. Ayah tak payah ungkit lagi ya, kita sama-sama lupakan." Shariq pantas membalas. Dia tidak mahu Encik Safwan terus dihantui dengan rasa bersalah. Selagi difikir selagi itu dirasa. Ia takkan berhujung.
"Iya, baiklah, Shariq. Ayah tak tahu macam mana nak balas segala jasa kamu pada kami sekeluarga selama ni."
"Tak apa, ayah... saya ikhlas. Sudahlah, ayah... kita tak payah ungkit lagi benda-benda yang dah lepas ni ya, ayah." ujar Shariq lagi. Dia rasa tidak selesa setiap kali perkara yang sudah berlalu diungkit dan terus diungkit. Baginya biarlah segalanya berlalu seperti debu agar tiada lagi rasa dendam di hati. Kerana itu lebih baik daripada terus dikenang dan diungkit.
"Terima kasih Shariq atas segala usaha dan jasa kamu pada ayah, Yufa dan keluarga ni."
"Tak perlu pun, ayah. Majlis Yufa tu nanti In shaa Allah, kalau saya ada masa terluang saya akan pergi. Kalau tak, saya minta maaf." ucap Shariq kembali tenang rasanya.
"Tak mengapa, ayah faham."
***
"SEMPAT lagi kau mengelamun ya, Shariq." Afsha ketuk meja di depan Shariq. Menyedarkan adiknya itu dari terus dihasut lamunan. Leka benar layan perasaan.
Shariq terus tersengih tatkala tersedar. Rania di pangkuannya terus dilihat dan ditepuk-tepuk perlahan. Ubun-ubun anak kecil itu turut diusapnya dengan lembut. Nasib baik tidur lagi.
"Comot anak aku tu makan kau tak tengok... aduhai," Afsha mengomel. Pipi Rizqi yang comot terkena aiskrim terus dilap.
"Aduh! Tak perasanlah," Shariq tepuk dahi. Dah macam duda anak dua dia gamaknya kerana menjadi pengasuh Rizqi dan Rania. Beginilah dia bila jadi pengasuh anak-anak saudara. Kiri dijaga, kanan dipangku.
"Aku baru tinggal sekejap pergi beli makanan, kau dah ke awan mendung." Afsha menggeleng kepala dengan perangai Shariq yang pantang ditinggal, mesti akan hanyut.
"Ayah Ngah ni rindu Mama Ngah kut. Riz panggil pun Ayah Ngah tak dengar pun, ibu." Rizqi menjawab dengan becotnya.
"Iya? Ayah Ngah memang macam tu, suka berangan." Afsha turut mengenakan Shariq.
"Amboi, kemain dia menjawab eh. Cubit karang baru tau." Shariq terus mencubit manja pipi tembam Rizqi. Suka sangat menyampuk. Kakaknya turut dijeling. Mengajar anak kenakan dia.
"Ops!" Rizqi terus tutup mulut sambil tersengih.
"Suka kenakan Ayah Ngah." Kepala Rizqi diusap. Nakal.
"Lepas ni nak pergi mana?" tanya Shariq pada Rizqi.
"Nak pergi beli toys. Toys kat rumah tu dah buruk." Rizqi menayang muncung.
"Amboii, panjang muncung dia. Toys kat rumah Riz jaga tak?"
"Jagalah. Tapi, sekarang kan kena kongsi dengan adik." jawab Rizqi. Si adik yang pulas dibuai lena itu ditepuk pahanya dengan penuh kelembutan.
"Sayang adiklah ni." Shariq mencebik ke arah Rizqi.
"Mestilah!" Rizqi tayang muka berlagak.
"Berlagak macho." cebik Shariq dengan reaksi Rizqi. Tak nak kalah.
Afsha tergelak. Dia berlabuh di hadapan Shariq. Seketika adiknya itu direnung. Rasa belas jauh di sudut hatinya. Dia tahu adiknya itu sedang menyembunyi luka di hati. Rasa kecewa.
"Yufa akad nikah hari ni kan?" tanya Afsha ingin kepastian. Yelah, adiknya itu tak banyak berkongsi perasaan hati dengannya. Lebih suka menyimpan dan memendam.
"Ha'ah, pagi tadi. Dah selamat kut." jawab Shariq dengan senyuman nipis. Sekilas jam tangan dipandang. Sudah angka 5 petang.
"Kau tak nak pergi?"
Shariq terus membuang pandang ke arah manusia yang sedang melalu-lalang di pusat beli belah itu. Lalu, dia menjawab...
"Tengoklah nanti."
Bip! Bip!
Nada mesej yang berbunyi terus menarik perhatian Shariq. Sekilas Afsha turut melihat notifikasi di skrin telefon pintar Shariq. Dahinya mula berkerut.
"Sarah Nasuha? Siapa tu?" Afsha menyebut. Wajah si adik terus ditenung. Tak pernah pula dia mendengar nama itu.
"Bukan sesiapalah." Laju Shariq menjawab. Mesti kakaknya akan fikir yang bukan-bukan.
"Ye ke?" Afsha terus mencebik. Dipandang dengan jelingan. Tak percayalah.
"Yelah." Telefon pintar di atas meja itu terus diambil. Bertalu-talu pesanan ringkas yang masuk. Tak berhenti berbip-bip.
"Eleh! Kau nak saing Yufa ke apa ni?" Tiba-tiba Afsha rasa teruja.
"Taklah. Tak ada makna nak saing bagai. Macam budak-budak." Shariq terus ketawa. Kelakar dengan reaksi Afsha. Excited lain maciam.
"Manalah nak tahu kan, tapi aku nak tengok ajelah, betul ke tak? Balik nanti nak gosip dengan ibulah. Berita hot ni."
"Tak habis-habis nak gosip aje. Sarah ni bukan sesiapalah. Tak ada masa nak cari pengganti." pangkah Shariq lagi. Susah benar nak yakinkan Afsha. Kalau boleh nak korek sampai ke umbi.
"Yelah. Bukalah mesej tu, buah hati sedang merindu. Nanti merajuk pula kalau kau lambat balas." Afsha dah ketawa sendiri. Sengaja nak mengusik Shariq.
Shariq terus menjeling tajam. Over betul Afsha ni. Tetapi pesanan ringkas itu tetap dibukanya. Satu persatu dibaca. Dia senyum nipis.
'Assalamualaikum, Encik Shariq... maaf menganggu awak waktu petang macam ni.' - Sarah Nasuha.
'Terima kasih, Encik Shariq kerana sudi menolong saya. Saya terhutang budi.' - Sarah Nasuha.
'Kalau tak ada awak, tak tahulah macam mana nasib saya.' - Sarah Nasuha.
'Saya tak tahu macam mana nak balas budi awak. Tapi, awak boleh minta apa saja sebagai tanda balas budi.' - Sarah Nasuha.
Shariq senyum sendiri. Jarinya mula menyentuh keypad dan membalasnya.
'Tak apa, saya ikhlas menolong. Saya takkan ambil sebarang upah atau apa-apa sebagai balasan sebab saya tak mengharapkan apa-apa balasan pun. Saya cuma lakukan apa yang patut.'
"Senyum, senyum... menyampah aku tengok." Afsha menegur dengan tawa. "Kau angau ke apa ni, ha?"
"Mana adalah. Senyum pun salah ke? Senyum tu satu sedekah tahu tak? Dapat juga aku kumpul pahala hari ni daripada bermuram durja tak tentu pasal." Telefon pintar kembali diletak ke atas meja.
"Eleh! Drama sangat." Afsha tayang mula menyampah.
Shariq ketawa senang.
"Cepatlah makan tu. Nak sambung shopping kan. Nanti lewat pula sampai rumah."
"Yelah, yelah."
Bip!
Shariq melihat seketika pesanan ringkas yang dipapar di skrin.
'Apa-apa pun terima kasih, Encik Shariq. Saya takkan lupakan.' - Sarah Nasuha.
Share this novel