"BUAT apa kau datang sini lagi?" Yufa yang membuka pintu ketika terdengar suara memberi salam terus berkerut dahi. Jelas dia menunjukkan dia tak suka.
"Datang ambil Irsyad." jawab Shariq lalu mengukir senyuman nipis.
"Untuk apa?" tanya Yufa hairan.
"Hantar ke sekolah. Ayah minta tolong hantarkan sebab ayah nak ke tempat lain." jelas Shariq dengan tenangnya.
Terangkat kening Yufa mendengar. Sejak bila Shariq jadi tukang menghantar adiknya ke sekolah. Atau lelaki ini ada sesuatu yang dirancang?
"Mana Irsyad?" tanya Shariq tanpa menunggu balasan Yufa. Wajah berkerut bekas isterinya itu sengaja diabaikan. Dia tahu Yufa hairan.
"Aku rasa tak perlu kut kau hantar adik aku ke sekolah. Aku boleh aje panggil grab. Kau baliklah." Tanpa sebarang perasaan Yufa mengusir Shariq.
"Err, tapi..."
"Baliklah. Kau pun mesti nak pergi kerja kan, jadi aku rasa baik kau pergi sekarang." Dengan tegas Yufa membalas sehingga bertukar riak wajah Shariq. Padan muka!
"Tapi, ayah..."
"Tu ayah aku. Pandai-pandailah aku jawab nanti. Dah, pergilah." Sekali lagi Yufa mengusir. Kali ini berserta dengan isyarat tangan dia mengusirnya.
"Baiklah kalau macam tu, abang balik dulu." Dengan berat hati Shariq mengatur langkah meninggalkan rumah keluarga Yufa.
"Kau ingat aku ni bodoh ke, Shariq? Kau silap besarlah kalau kau fikir aku masih macam dulu tu." Yufa tersenyum sinis.
Yufa kembali masuk ke dalam rumah dan terus ke dapur. Puan Wardah yang baru keluar dari bilik terus menegur Yufa yang sedang menyediakan sarapan pagi.
"Siapa yang datang tadi?" tanya Puan Wardah sambil membantu Yufa.
"Anak angkat mama."
"Mana dia?" Puan Wardah terus menjengok ke ruang tamu.
"Tak payah cari, ma... Yufa dah halau dia." Dengan selamba dan jujur Yufa beritahu Puan Wardah.
"Apa? Kamu halau Shariq?" Puan Wardah terus memandang anaknya. Terkejut.
"Ya, Yufa halau dia. Pagi-pagi dah datang rumah orang, apa masalah dia?" Yufa hanya menayang wajah bersahaja.
"Astaghfirullah. Kamu ni, kenapa sampai dihalaunya Shariq tu? Kesian dia." Puan Wardah menggeleng kepala. Bertuah anaknya ini sehingga dia sendiri hilang kata-kata.
"Dia tu menyibuklah datang rumah orang. Bagi alasan bagai kata nak hantar Irsyad ke sekolah. Habis tu selama ni Irsyad ke sekolah dengan dia ke? Irsyad tu dah form 5, pandai-pandailah dia berdikari. Grab ada, bas ada... call ajelah. Apa yang susah sangat." Yufa mula membebel geram. Hilang mood paginya dengan kedatangan lelaki itu.
"Iya, ayah kamu minta tolong Shariq tolong hantar Irsyad ke sekolah. Kereta ayah tiba-tiba problem semalam, masalah bateri. Dahlah pagi ni Irsyad ada exam, mestilah kena cepat sampai ke sekolah." ujar Puan Wardah. Geram juga dengan anaknya ini.
"Tak perlu minta tolong Shariq tu, Hanif pun ada." kata Yufa sungguh tidak berkenan. Mengapa tak tanyakan kepadanya terlebih dahulu?
"Macam la ayah tu kenal sangat dengan si Hanif tu." Puan Wardah terus berlabuh di kerusi.
"Yufa kan ada. Bagitahu ajelah Yufa." Setelah menghidang, Yufa turut berlabuh di kerusi di hadapan Puan Wardah.
"Kamu ni boleh tak bersangka baik sikit pada Shariq tu?"
"Pasal dia memang Yufa tak boleh bersangka baik. Maaf, mama... hati Yufa masih terluka." kata Yufa. Air teh panas disisip perlahan sambil dia membuang pandang ke sisi.
"Cubalah berbaik...."
"Mama masih nak Yufa dengan lelaki tu?" Serta-merta Yufa memandang tepat wajah si ibu.
"Bukan tu maksud mama..."
"Habis tu? Mama... tolonglah, Yufa dah tak nak. Hati Yufa dah terluka amat dalam. Peluang untuk dia takkan ada, ma... sebab Yufa dah berikan pada orang lain iaitu Hanif. Mama ayah kena terima Hanif." tegas Yufa.
"Bukannya mama tak terima Hanif, mama ayah terima cuma mama dengan ayah tak nak kamu dengan Shariq terus bermusuhan. Mama ayah tak minta pun kamu kembali semula pada Shariq dan kami juga tak halang hubungan kamu dengan Hanif. Tapi, macam mama katakan tadilah... mama tak nak kita ni bermusuh dengan sesiapa. Biarlah, jangan dikenang lagi benda yang dah lepas. Tak guna kita mengungkit dan Shariq pun dah menyesal."
"Baiklah. Tapi, dengan syarat... jangan ganggu Yufa lagi. Boleh?"
"Mama akan pesan pada Shariq."
"Okey, Yufa pergi kerja dulu. Yufa dah panggilkan grab untuk Irsyad, kejap lagi sampailah tu."
Setelah menikmati sekeping roti, Yufa berlalu keluar dari rumah.
***
JAM di pergelangan tangan dipandang sekilas. Sesekali dia menoleh ke pintu keluar. Sudah hampir sepuluh minit dia menunggu, tapi gerangan yang ditunggu masih belum menampakkan diri.
"Mana Hanif ni... kata nak lunch sekali." Yufa merungut perlahan.
"Saya kat sinilah awak." Hanif menyahut dari belakang. Sempat juga dia mendengar rungutan wanita muda itu tadi.
Pantas Yufa menoleh ke belakang. Dia berdecit kecil lalu memeluk tubuh sendiri.
"Lambat!"
"Sorrylah, lif ramai orang tadi... kena tunggu turn." ujar Hanif lalu ketawa kecil.
"Alasan. Dah, jomlah... saya dah lapar ni." Yufa terus mengajak sambil mulakan langkah.
"Awak," Hanif memanggil. Dia masih berdiri di tempat yang sama.
"Apa?" Yufa menoleh ke belakang.
"Nah!" Sekuntum bunga yang disembunyikan di belakang tubuhnya terus dihulurkan kepada wanita itu. Senyuman manis turut dia lebarkan.
Yufa memandang kuntuman itu lalu memandang wajah manis Hanif pula. Matanya memicing ke wajah itu.
"Nak pujuklah ni," Yufa ketawa.
"Yeah." Hanif turut ketawa senang. "Nahlah, tak sudi ke ambil?"
Kuntuman itu terus Yufa sambil dan menyentuh kelopak bunga mawar itu. Halus dan lembut.
"Thank you. Saya tak marahkan awak pun."
"Saya selalu buat awak menunggu, kan." kata Hanif sedikit perlahan.
"Apalah awak ni tiba-tiba aje muram. Mana ada, awak tak buat saya tertunggu pun." Yufa pantas menggeleng kepala. Tidak sedikit pun Hanif membuatkan dia jadi seorang penunggu, malah dia yang menjadikan Hanif seorang penunggu.
"Okeylah jom kita pergi makan. Awak nak makan kat mana? Hari ni saya turutkan awak." Hanif pantas bersemangat setelah mendengar balasan wanita kesayangannya ini.
"Betul ni?"
"Betul!"
"Okay, jom!"
"Saya nak makan tom yam goong."
"Baik."
Tanpa membuang masa, mereka terus bergerak ke destinasi yang Yufa inginkan. Tiba di restoran masakan Thai, mereka terus mengambil tempat dan memesan makanan.
"Saya nak cakap sikit dengan awak ni." Yufa membuka bicara setelah pelayan yang mengambil pesanan itu beredar.
"Apa dia?" Hanif terus memberikan perhatian.
"Saya nak ajak awak jumpa mama dengan ayah." beritahu Yufa hanya dengan satu nafas. Reaksi Hanif diperhatikan.
Hanif menelan liur. Terus detak hatinya terasa berdebar-debar.
"Saya nak awak berkenalan dengan keluarga saya dengan lebih rapat." Yufa beritahu niat hatinya. Tetapi, tujuan yang lebih tepat adalah menjauhkan Shariq dari keluarganya.
"Boleh. Bila?" Setelah berfikir, Hanif terus memberi kata putus dengan senang hati. Bagus juga cadangan Yufa. Mungkin ini adalah masanya.
Serta-merta senyuman Yufa melebar. Siap kau, Shariq... kau bakal ditendang!
Share this novel